Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin

06 July 2013

Soalan Binasa

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Baru-baru ini kecoh di Facebook fan page seorang selebriti muslimah mengenai isu cukur kening. Kisahnya bermula apabila ada seorang si fulanah menanyakan selebriti tersebut sama ada keningnya cantik kerana dicukur atau tidak. Kemudian, si selebriti memberi nasihat kepada umum supaya banyak bertanyakan soalan-soalan kritis yang dapat 'meningkatkan iman', bukannya soalan-soalan yang bersifat peribadi atau remeh-temeh. Nasihatnya mendapat pelbagai macam reaksi, termasuklah ada yang 'menyerang' si selebriti kerana dikatakan beliau ingin berdalih dari berkata benar.

Kisah ini mengingatkan saya terhadap hadith kesembilan dari Hadith 40 Imam An-Nawawi rahimahullah yang pernah dibincangkan dalam liqa usrah.
Daripada Abu Hurairah, 'Abdurrahman bin Sakhr r.a., dia berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : "Apa saja yang aku larang kamu melaksanakannya, hendaklah kamu jauhi dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu, maka lakukanlah menurut kemampuan kamu. Sesungguhnya kebinasaan umat-umat sebelum kamu adalah kerana banyak pertanyaan dan perselisihan terhadap nabi-nabi mereka." (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadith ini, ada dibincangkan bahawa pertanyaan ada tiga jenis. Pertama, pertanyaan orang yang tidak tahu akan urusan agama dari hukum yang wajib diketahui dan dipelajari untuk diamalkan. Contohnya persoalan tentang wudhuk, solat dan puasa.

Kedua, pertanyaan orang yang hendak menambah pengertian dan pengetahuannya dalam sesuatu masalah dalam urusan agama, sama ada yang berkaitan dengan hukum ibadah, hukum muamalah, atau lain-lain.

Ketiga, pertanyaan orang dalam perkara yang tidak difardhukan oleh Allah. Inilah yang dimaksudkan oleh hadith kesembilan ini.

Antara bentuk persoalan jenis ini ialah persoalan yang jawapannya akan mendatangkan kesusahan kepada si penanya, persoalan dengan tujuan menyindir, menghukum, meremehkan atau mencari kesalahan si ditanya, persoalan yang tidak berkait dengan realiti diri si penanya, dan persoalan lain yang seangkatan dengannya.
Rasulullah s.a.w. bersabda : "Barangsiapa yang menuntut ilmu untuk menyombongkan diri di hadapan para ulama atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh atau untuk menarik perhatian manusia, maka Allah akan memasukkannya ke dalam neraka." (Hadith riwayat At-Tirmizi)
Ibnu Al-Qayyim pula berkata :
"Jika anda duduk bersama seorang 'alim, maka bertanyalah untuk menuntut ilmu bukan untuk melawan."
Bertanyalah, kerana wajib bertanya apabila tidak tahu.
"Bertanyalah kepada orang-orang yang memiliki pengetahuan jika kamu tidak mengetahui." (An-Nahl : 43)
Cuma satu hal yang perlu diteliti sebelum bertanya - apakah niat kita bertanya? Untuk manfaat diri dan ummah?Atau sebaliknya?

Semoga Allah memelihara kita dari tergolong dalam kumpulan manusia yang banyak persoalan membinasakan. Amin.

P/s: Boleh tonton video pendek jenis simptom ketika bertanya.
1. Soalan pelik
2. Soalan penghukum

Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment