Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin
Showing posts with label Al-A'raf. Show all posts
Showing posts with label Al-A'raf. Show all posts

09 November 2013

Nama Putera dan Puteri Kita

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Ayat 190, Surah Al-A'raf

"Tatkala Dia memberi kedua-duanya seorang anak yang sempurna, mereka menjadikan sekutu bagi Allah terhadap anak yang telah dianugerahkan oleh-Nya itu. Maka Maha Tinggi Allah dari apa yang mereka persekutukan."

Menurut ulama tafsir, orang-orang musyrik menyekutukan Allah dengan menamakan anak mereka dengan nama berhala sembahan mereka seperti Abdul 'Uzza, Abdul Manat, Abdusy Syam, dan sebagainya.

Menurut Imam Hasan Al-Basri pula, ia berkata : "Mereka itu adalah orang-orang Yahudi dan Nasrani. Mereka dikurniakan anak oleh Allah, lalu menjadikannya Yahudi dan Nasrani."

Nama Baik Bagi Anak

Berbeza dengan orang-orang musyrik terdahulu yang menisbahkan nama anak mereka kepada tuhan atau berhala sembahan, dan orang-orang zaman kini yang menamakan anak mereka dengan nama-nama selebriti atau sebagainya, kita, orang-orang muslim pula dianjurkan untuk menamakan anak dengan nama-nama yang baik.

Dalam Islam, kita digalakkan menisbahkan nama anak kepada :
  • nama Allah, seperti Abdur Rahman, dll.
  • nama Nabi, seperti Muhammad, Ibrahim, dll.
  • nama malaikat, seperti Ridhwan, dll.
  • nama sahabat atau orang terdekat Nabi, seperti Abu Bakar, Umar, Khadijah dll.
  • nama orang-orang soleh dari kalangan salafussoleh
  • nama orang yang syahid di jalan Allah

Secara umumnya, asalkan dinamakan dengan nama yang bermaksud baik.

Nama Ialah Doa Kita

Salah satu tanda kesyukuran kepada Allah atas kurniaan cahaya mata adalah dengan memberi nama yang baik-baik bagi anak. Sesungguhnya nama itu adalah doa. Apabila setiap kali seseorang dipanggil dengan namanya, setiap kali itulah ia didoakan dengan maksud namanya. Kerana itulah kita dituntut agar menamakan anak dengan nama yang mempunyai maksud yang baik-baik.

Daripada Abu Darda' r.a., kata Rasulullah s.a.w. :
"Sesungguhnya kamu sekalian akan diseru pada hari kiamat dengan nama-nama kalian dan nama-nama bapa kalian. Oleh demikian, perelokkanlah nama-nama kalian." (Hadith riwayat Abu Daud)

Majoriti ikhwah dan akhawat, baik syuyukh mahupun syabab, yang saya kenali, mereka bukan sahaja mahukan nama yang baik-baik bagi anak mereka, malah mereka mengharapkan maksud nama atau ciri individu yang namanya diberikan kepada anak, juga ada pada diri anak mereka, zahir mahupun batin.

Kebanyakan ibu bapa menamakan dengan nama-nama kebiasaan seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Khadijah, Fatimah dan lain-lain.

Sebaliknya bagi ikhwah dan akhawat, mereka mengabadikan pada putera atau puteri mereka dengan nama para pejuang Islam dan para syuhada zaman terdahulu atau zaman ini, yang rata-ratanya jarang didengari dan dikenali oleh masyarakat kita.

Mus'ab, Hanzalah, Talhah, Ubadah, Ayyath, Umar Mukhtar, Ummu Salamah, Nusaibah, dan banyak lagi, itulah antara nama para pejuang Islam dan para syuhada yang diabadikan sebagai nama anak ikhwah dan akhawat kita.

Inilah yang kita mahu terapkan dalam pembinaan keluarga muslim ikhwah dan akhawat kita. Kita mahu menghidupkan kembali nama para pejuang Islam dan para syuhada yang selama ini tidak dikenali oleh masyarakat dengan mengabadikan ia sebagai nama bagi anak-anak kita. Dan semestinya kita mahu nama itu menjadi doa bagi tuan empunya nama itu sendiri.

Ini semua kerana mengimpikan kelahiran putera dan puteri umat Islam kita sebagai kelahiran semula bagi para pejuang dan para syuhada Islam terdahulu yang telah mengorbankan seluruh hidup mereka bagi Allah dan Rasul semata-mata.

Semoga dengan nama yang baik tersebut menjadi doa, motivasi dan kebanggaan bagi anak itu sendiri. Putera dan puteri kita, merekalah penyambung perjuangan dalam memuliakan Islam di muka bumi ini.

Wallahu'alam

28 July 2013

Kau Ada atau Tak, Sama Sahaja

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Banyak orang menyertai bulatan usrah dengan harapan usrah akan membentuk dirinya lebih baik dari sebelumnya. Namun hakikatnya, tidak semua perkara akan terjadi seperti mana yang kita harapkan. Ada banyak sebab mengapa hal ini berlaku. Antaranya harapan seseorang yang menggunung terhadap keberkesanan sistem tarbiyah melalui usrah dan ketidaksabaran terhadap jalan dakwah dan tarbiyyah yang panjang ini.

Apabila kita mentadabbur ayat ke-129 dari surah Al-A'raf, kita akan mendapatkan ciri-ciri golongan yang tergopoh-gapah ini.

Kisah Nabi Musa dan kaumnya, ayat 128-129

Kaum Nabi Musa iaitu Bani Israil, sebelum kedatangan Nabi Musa, mereka telahpun dizalimi oleh Fir'aun. Apabila diutuskan Nabi Musa kepada mereka, mereka menganggap Nabi Musalah superhero mereka, iaitu penyelamat yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang akan menyelamatkan mereka dari kezaliman Fir'aun. 

"Musa berkata kepada kaumnya : Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya bumi milik Allah, diwariskan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki antara hamba-hamba-Nya. Dan kesudahan (yang baik) adalah bagi orang-orang bertaqwa." (Al-A'raf : 128)

Harapan dan janji yang diberikan oleh Nabi Musa kepada mereka membuatkan mereka bertambah percaya dan bergantung harap kepada Nabi Musa.

Namun, setelah beberapa lama bersama Nabi Musa, mereka menyedari bahawa nasib mereka tetap sama. Keadaan tidak bertambah baik, mereka tetap dizalimi oleh Fir'aun. Nabi Musa pun tidak dapat mengalahkan Fir'aun. Semua ini membuatkan mereka kecewa. Harapan indah yang diimpikan selama ini kini sekadar menjadi kenangan. Punah segalanya. Kerana terlalu kecewa, lalu mereka meluahkan rasa hati mereka kepada Nabi Musa :

"Kami telah ditindas (oleh Fir'aun) sebelum engkau datang kepada kami dan setelah engkau datang." (Al-A'raf : 129)

Bagi kaum Nabi Musa, mereka merasakan kehadiran Nabi Musa adalah sia-sia dan tidak membawa apa-apa perubahan yang lebih baik bagi mereka. Ketika Nabi Musa tiada, mereka ditindas. Bahkan ketika Nabi Musa ada sekalipun, mereka tetap ditindas. Tiada beza, sama sahaja. Ini luahan hati mereka. Beginilah, betapa kecewanya mereka terhadap Nabi Musa.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Kisah Nabi Musa dan kaumnya ini mengingatkan saya akan kisah yang berlaku terhadap mereka yang pada awalnya bersemangat bersama kita di jalan dakwah dan tarbiyyah ini, tetapi kemudiannya mereka memilih untuk keluar dari gerabak di jalan ini. Mereka merasakan proses pentarbiyyahan dan pentakwinan seseorang manusia itu memakan masa yang terlalu panjang, dan tidak lagi sesuai dengan suasana semasa. Pada mereka, pasti ada jalan alternatif lain yang boleh membawa mereka sampai ke matlamat yang sama dengan kita. Namun, bagi kita yang memahami benar manhaj dan prinsip yang kita pegang dan bawa, pasti kita akan kukuhkan kaki kita di jalan ini.

Ingatlah kita semua akan pesanan yang disampaikan oleh Pak Cik Hasan ini :
"Hai ikhwanul muslimin terutama yang gopoh daripada kamu. Dengarkanlah daripadaku satu kalimah yang tinggi yang berkumandang dari atas mimbar ini di dalam muktamar umum ini. Sesungguhnya jalan kamu ini adalah yang telah digariskan langkah-langkahnya, ditentukan batas-batasnya dan aku tidak mahu melanggar batas-batas itu. Aku telah yakin dengannya. Keyakinan yang sebenar-benarnya, bahawa itulah jalan yang paling selamat untuk mencapai tujuannya.
Ya, boleh jadi ia satu jalan yang panjang, tetapi di sana tidak ada jalan lain selain itu. Sifat kelakian tidak akan lahir kecuali dengan keberanian, ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang serius dan berterusan. Barangsiapa dari kalangan kamu yang hendak cepat dan gopoh memetik buah sebelum masak atau hendak memetik hasil sebelum masanya, maka aku tidak bersama dengannya sama sekali dan lebih baik baginya meninggalkan dakwah ini dan carilah dakwah yang lain. Barangsiapa yang bersabar bersama aku sehingga berkembang dan membesar benih itu lalu tumbuh pokoknya, baik buahnya sehingga tiba waktunya untuk dipetik dan diambil, maka ganjarannya terserahlah kepada Allah semata-mata. Kita dan dia tidak boleh lari dari dua kebaikan ini. Sama ada kita menang dan berkuasa atau mati syahid dan berbahagia."

Sungguh, jalan ini sangat panjang. Tapi yakinilah, inilah jalan yang paling dekat kepada sunnatullah dan sunnah Rasulullah s.a.w., para sahabat serta para salafussoleh yang terdahulu. Semoga Allah menetapkan diri dan hati kita di jalan dakwah dan tarbiyyah ini, hingga sama ada kita mati mulia sebagai seorang da'i ataupun mati syahid sebagai seorang mujahid.

Wallahu'alam.

27 July 2013

Buat Pilihan dan Nyatakannya (Siri 2)

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Dalam entri yang lepas, telah dikongsikan bahawa dengan mendalami asbab an-nuzul dan muläbasät penurunan surah Al-A'raf. Kita difahamkan bahawa tema yang dibawa oleh surah Al-A'raf adalah pertentangan sengit antara hak dan batil, manakala tujuan surahnya adalah supaya manusia membuat pilihan antara dua dan berani menyatakannya, serta dalam masa sama tidak sepatutnya seseorang berada di pihak berkecuali atau sebagai pemerhati sahaja.

Dan kali ini kita akan meneliti beberapa bahagian perenggan ayat dari surah Al-A'raf yang daripadanya kita akan menyedari betapa tegasnya peringatan dan balasan Allah kepada manusia yang berpihak kepada kekufuran serta ketidakpedulian Allah terhadap golongan yang berkecuali dan hanya memerhati serta menunggu-nunggu.

Surah Al-A'raf mengandungi kisah Adam dan Iblis, penduduk syurga dan neraka, dan para nabi dan kaumnya. Persamaan yang terdapat pada kisah-kisah ini adalah semua kisah ini menceritakan pertentangan antara hak dan batil.

Mari kita tadabbur surah Al-A'raf dari satu bahagian ke satu bahagian yang lain.

Kisah Nabi Adam dan Iblis (Ayat 11-37)

1) Ayat 14-16

"(Iblis) berkata : Berilah aku penangguhan waktu, sampai hari mereka dibangkitkan. Allah berfirman : Benar, kamu termasuk yang diberi penangguhan waktu. Iblis berkata : Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan sentiasa menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus."

Kebiasaannya, kita selalu meminta tempoh penangguhan apabila ada tugasan untuk disiapkan, hutang untuk dilangsaikan atau keputusan dalam sesuatu permasalahan untuk dibuat.

Hebatnya Iblis, ia meminta tempoh penangguhan daripada Allah dalam keadaan ia telahpun membuat keputusan muktamad untuk matlamat hidupnya, iaitu menyesatkan manusia. Cuba tanyakan diri kita, adakah kita sudah membuat keputusan muktamad tentang matlamat hidup kita? Malulah kita kepada Iblis dan syaitan jika kita yang Allah panjangkan umur kita di dunia ini, tetapi kita masih terkial-kial untuk membuat pilihan antara Islam dan jahiliyyah, masih termangu-mangu ke manakah hala tuju hidup kita.

2) Ayat 20

"Kemudian syaitan membisikan fikiran jahat kepada mereka agar menampakkan aurat mereka (yang selama ini) tertutup. Dan (syaitan) berkata : Tuhanmu hanya melarang kamu berdua mendekati pohon ini agar kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal (dalam syurga)."

Umum sedia tahu bahawa Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga kerana memetik buah pohon larangan dalam syurga. Persoalannya, apakah yang dikejar oleh Adam dan Hawa sehinggakan mereka memilih untuk mendekati pohon larangan tersebut? Ketahuilah, demi kepentingan diri sendiri, mereka memilih untuk memenuhi kemahuan diri iaitu supaya kekal di dalam syurga, lebih dari memilih untuk patuh kepada larangan Allah.

Adam dan Hawa membuat keputusan kerana dipengaruhi kepentingan diri, akibatnya mereka dihalau dari syurga ke bumi. Inilah akibatnya membuat keputusan kerana pentingkan diri sendiri.


Kisah ahli syurga dan neraka (Ayat 38-58)

1) Ayat 44

"Dan para penghuni syurga menyeru penghuni-penghuni neraka : Sungguh, kami telah memperoleh apa yang dijanjikan Tuhan kepada kami, semua itu benar. Apakah kamu telah memperoleh apa yang dijanjikan Tuhanmu kepadamu itu benar? Mereka menjawab : Benar. Kemudian penyeru (malaikat) mengumumkan tentang laknat Allah bagi orang-orang zalim."

Ayat ini menunjukkan bahawa dalam pertarungan antara al-haq dan al-batil, pasti al-haq menang dan al-batil dikalahkan. Mereka yang memilih al-haq, akan dikurniakan syurga. Selainnya, nerakalah tempatnya.

Berbahagialah mereka ketika di dunia yang menuruti perintah dan menjauhi larangan Allah dengan penuh ikhlas dan istiqamah, kerana mereka ini akan memperoleh sebaik-baik balasan di alam akhirat yang kekal abadi, iaitulah syurga. Mereka yang ketika di dunia yang dibekalkan Al-Quran dan diutuskan kepada mereka orang-orang söleh yang menyeru kepada kebenaran Islam, namun memilih untuk berpaling dari semua itu, duduklah diam-diam di neraka kelak.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Setelah menerima petunjuk daripada Allah melalui Al-Quran, Rasulullah melalui Al-Hadith dan para du'at melalui seruannya, adakah kita masih belum membuat pilihan untuk beramal dengan amalan ahli syurga ataupun ahli neraka?

2) Ayat 46-48

"Dan antara keduanya (syurga dan neraka), ada tabir dan di atas A'raf (tempat tertinggi), ada orang-orang yang saling mengenali, masing-masing dengan tandanya. Mereka (ahli neraka) menyeru ahli syurga : Salämun 'alaikum (salam sejahtera ke atas kamu). Mereka belum dapat masuk, tetapi mereka ingin segera (masuk).
Dan apabila pandangan mereka dialihkan ke arah ahli neraka, mereka berkata : Ya Tuhan kami, janganlah Engkau tempatkan kami bersama-sama orang zalim itu."

Pada hari akhirat kelak, Allah akan perlihatkan syurga dan neraka kepada segolongan manusia yang tempatnya bukan di syurga, juga bukan di neraka, tetapi di atas A'raf. Mereka ini dikenali sebagai Ashäbul A'raf.

Siapakah Ashäbul A'raf? Merekalah ketika Hari Pengadilan datang menghadap Allah dalam keadaan timbangan amal kebaikan dan keburukan adalah sama banyak, dan ketika di dunia tidak membuat keputusan yang betul-betul. Walaupun di dunia mereka mengenali perbezaan tanda-tanda antara orang-orang söleh dan orang zalim, namun mereka ragu-ragu untuk memilih bersama orang mukmin dan beramal dengan Islam secara keseluruhan ataupun tidak. Kerana itulah di akhirat kelak, apabila ditunjukkan kepada mereka bahawa ahli syurgalah pihak yang benar, lalu mereka mahu benar masuk ke dalam syurga, namun Allah tidak mengizinkannya lagi. Itulah balasan bagi Ashäbul A'raf.

Anda pula, mahu pilih syurga atau neraka?

Kisah nabi-nabi dan kaumnya (Ayat 59-102)

Dari ayat 59-64 diceritakan kisah Nabi Nuh dan kaumnya, ayat 65-72 tentang Nabi Hud dan kaumnya 'Ad, ayat 73-79 tentang Nabi Saleh dan kaumnya Thämud, ayat 80-84 tentang Nabi Lut dan kaumnya, dan ayat 85-95 tentang Nabi Syu'aib dan kaumnya penduduk Madyan.

Kisah nabi-nabi dan kaumnya di atas memperlihatkan sunnatullah pertentangan antara al-haq dan al-batil yang pengakhirannya pasti dimenangi oleh al-haq. Balasan azab yang diberikan kepada kaum-kaum yang ingkar tersebut bukanlah kerana Allah suka-suka mahu melaksanakannya, tapi kerana kesombongan yang meninggi, keingkaran yang melampau dan kerosakan yang terlalu teruk yang telah mereka kerjakan. 

Mereka diberi pilihan untuk menerima seruan supaya menyembah Allah semata-mata dan bersama rasul mereka, namun mereka tidak memilih untuk berbuat demikian. Bahkan mereka menyindir dan mengeji seruan dan utusan Allah. Maka, begitulah balasannya bagi orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri.

Kisah Nabi Musa dan kaumnya Bani Israil (Ayat 103-162)

1) Ayat 121-125

"Mereka berkata : Kami beriman kepada Tuhan seluruh alam.
Iaitu Tuhannya Musa dan Harun.
Fir'aun berkata : Mengapa kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya ini benar-benar tipu muslihat yang telah kamu rancangkan di kota ini untuk mengusir penduduknya. Kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu).
Pasti akan aku potong tangan dan kakimu dengan bersilang, kemudian aku akan menyalib kamu semua.
Mereka (ahli sihir) berkata : Sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami."

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Apa jawapan ahli sihir ketika diancam dan diugut oleh Fir'aun disebabkan mereka beriman kepada Allah? "Sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami."

Berbeza dengan Nabi Adam dan Hawa yang membuat keputusan atas kepentingan diri mereka, para pesihir yang mulanya bersama dengan Fir'aun pula telah membuat keputusan dan memilih untuk beriman kepada Allah bersama Nabi Musa dan Harun. Walaupun akan kehilangan kedudukan tinggi di sisi Fir'aun dan diancam akan diseksa olehnya, namun ahli sihir tekad dan tetap dengan pilihan mereka.

Cuba refleksi pada diri kita. Dalam banyak-banyak keputusan yang kita putuskan dalam hidup ini, banyaknya kerana Allah, rasul dan agama Islam ataupun kehendak nafsu diri? Inilah persoalan yang kita seharusnya sentiasa lontarkan kepada diri sendiri.

Kisah Bani Israil dan Hari Sabat (Ayat 163-166)

"Dan tanyakanlah kepada Bani Israil tentang negeri yang terletak berhampiran laut ketika mereka melanggar aturan Hari Sabat, ketika datang kepada mereka ikan-ikan terapung-apung di permukaan air, padahal pada hari-hari yang bukan Sabat ikan-ikan itu tidak datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan mereka berlaku fasik.
Dan ketika suatu umat antara mereka berkata : Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang keras? Mereka menjawab : Agar kami mempunyai alasan kepada Tuhanmu dan agar mereka bertaqwa.
Maka setelah mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang orang berbuat kejahatan dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim seksaan yang keras disebabkan mereka terlalu fasik.
Maka setelah mereka bersikap sombong terhadap segala apa yang dilarang, Kami katakan kepada mereka : Jadilah kamu kera yang hina!"

Kisah dalam ayat 163-166 ini dianalogikan seperti ini. Ketika mana kelompok A ta'at dan giat menjalankan tanggungjawab 'amar ma'ruf nahi mungkar dengan menasihati kelompok B yang melakukan kemungkaran, tiba-tiba datang kelompok C yang mempertikai kelompok A yang terlalu menjaga tepi kain orang. 

Tahukah anda siapakah kelompok C ini? Inilah kelompok yang sikapnya mirip seperti Ashäbul A'raf. Di depannya jelas ada satu kelompok yang patuh kepada perintah Allah dan satu kelompok lain pula ingkar kepada larangan Allah, namun mereka memilih untuk mempersoal tindakan kelompok orang söleh, sedangkan orang yang bermaksiat tidak ditegur.

Kelompok C, inilah kelompok yang cenderung untuk bersikap berkecuali dan memerhati sahaja. Malahan, inilah kelompok yang katanya menyokong agenda menegakkan syari'at Islam tetapi dalam masa sama sentiasa mempertikai mereka yang bekerja ke arah tujuan tersebut.

Dan dalam ayat ke-165, sebagaimana sunnatullahnya, Allah menyelamatkan mereka yang bersama kebenaran dan membinasakan mereka yang bersama kebatilan.

Apa nasib kelompok C? Ada sebahagian ahli mufassirin menafsirkan bahawa Allah mengabaikan kelompok tersebut. Kerana itu pengakhiran kisah ini berakhir tanpa diketahui apa nasib yang menimpa kelompok tersebut. Ada pula ahli mufassirin menafsirkan bahawa kelompok C ini akhirnya termasuk dalam kelompok B dan turut sama diazab seperti kelompok B.

Buat Pilihan dan Nyatakannya

Beginilah kisah-kisah dalam surah Al-A'raf ini mengajarkan kita bahawa menjadi sunnatullah pertarungan antara kebenaran dan kebatilan, pasti kebenaran akan menang. Berdasarkan kisah-kisah dan bukti yang ditunjukkan oleh Allah kepada kita semua tadi, kemudiannya kita diseru pula untuk membuat keputusan sama ada mahu mengikuti jejak langkah ahli syurga ataupun ahli neraka. Antara dua, tiada pilihan ketiga.

Maka, adakah anda sudah membuat pilihan anda? Buatlah pilihan anda sekarang, dan beranilah menyatakannya!

Wallahu'alam.

26 July 2013

Buat Pilihan dan Nyatakannya (Siri 1)

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Bayangkan jika anda seorang ahli PAS dan anda berada dalam Perhimpunan Agung UMNO. Pada suatu ketika, Dato' Seri Najib bertanya, "Siapa ahli PAS di sini?"

Apa reaksi anda?

Bayangkan pula jika anda seorang ahli UMNO dan anda berada dalam Muktamar Tahunan PAS. Pada suatu saat, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi bertanya, "Siapa ahli UMNO di sini?"

Apa reaksi anda?

Pegangan Hidup Disimpul Mati

Sebagai seorang muslim, kita pasti tidak sekali-kali rela hidup dan mati dalam keadaan tidak beriman. Kalimah syahadatain menjadi ikrar hidup kita bahawa hanya Islam cara hidup kita semata-mata, tidak ada yang lain dari itu.

"Orang-orang kafir dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah, Allah menghapus segala amal mereka. Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta beriman kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad, dan itulah kebenaran dari Tuhan mereka. Allah mengampunkan dosa-dosa mereka dan memperbaik keadaan mereka. Yang demikian itu kerana sesungguhnya orang-orang kafir mengikuti perkara yang batil dan orang-orang yang beriman mengikuti hak dari Tuhan mereka. Demikianlah Allah membuat perumpamaan bagi mereka." (Surah Muhammad : 1-3)

Perbandingan dibuat antara dua kumpulan manusia. Sama ada yang bersama Islam, atau yang bersama jahiliyyah. Tiada yang ketiga, keempat, dan lain dari itu. Hanya dua.

Maka persoalannya, apakah kita telah memilih untuk menyertai kumpulan mana?

Hanya ada dua pilihan, pilih salah satu dari dua. Kita tidak boleh memilih untuk berkecuali atau "Tidak tahu" atau "Nanti saja jawabkan".

Kata Allah :  

"Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam seluruhnya, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sungguh, ia musuh nyata bagimu." (Al-Baqarah : 208)

Jika Islam menjadi pilihan, maka berpegang padanya dan beramallah dengannya semata-mata. Jika sebaliknya, maka jahiliyyah atau syaitanlah pilihannya. Ya, itulah hakikatnya. Meskipun kita mengisytiharkan bahawa kita bukan ahli pasukan syaitan, tetapi secara tak sedar, kalau bukanpun menjadi ahli pasukan syaitan, kita telahpun menjadi penyokong pasukan syaitan. Memilih untuk tidak menguatkan pasukan Islam ataupun berkecuali, maknanya secara tidak langsung telah menguatkan pasukan syaitan.

Apapun alasannya, hanya ada dua pilihan, tiada lain dari itu. Dan ini dapat dipelajari dengan mentadabbur surah Al-A'raf, yang mana isi kandungannya mempunyai tema dan ahdaf yang sangat besar.

Surah Al-A'raf

Surah Al-A'raf merupakan surah ketujuh dalam Al-Quran tetapi diturunkan selepas surah Sod. Ianya termasuk dalam kumpulan surah Makiyyah dan mengandungi 206 ayat.

Mengenai sejarah penurunan surah ini, surah Al-A'raf diturunkan ketika fasa dakwah Nabi s.a.w. secara terang-terangan, bila mana berlakunya pertentangan yang jelas antara hak dan batil, atau antara Islam dan jahiliyyah.

Ketika 10 tahun fasa dakwah sirriyyah (tersembunyi) Nabi s.a.w., para sahabat yang menganuti agama Islam tidak menghadapi banyak ujian besar daripada orang musyrikin Mekah. Namun setelah Islam mula disampaikan secara terang-terangan kepada orang ramai, maka bermulalah saatnya Nabi s.a.w. dan para pengikutnya diancam dan ditindas dengan teruk. 

Tiga golongan manusia

Dari sudut pandang fiqh dakwah, kita akan dapati fasa dakwah jahriyyah (terang-terangan) Nabi s.a.w. merupakan satu bentuk proses penapisan dalam pentakwinan qaidah sulbah (tulang belakang) kumpulan muslimin. Di pihak Islam, lahir sekelompok muslimin yang mula takut akan ancaman daripada orang musyrikin Mekah. Manakala di pihak orang Quraisy, wujud satu kumpulan manusia yang sekadar memerhati dan mengikuti perkembangan dakwah Nabi s.a.w., menunggu-nunggu dan tertanya-tanya sama ada Muhammad dan seruan dibawanya itu benar atau tidak.

Maka di sana ada tiga kelompok manusia - orang Islam yang mukmin, orang kafir Quraisy yang memusuhi Islam, dan orang Islam atau bukan Islam Quraisy yang ragu-ragu, berkecuali dan memerhati.

Ketika fasa keterbukaan dan muwajahah inilah orang Islam digesa membuat pilihan, memilih Islam dan berpegang teguh padanya, atau berpaling daripadanya. Orang Quraisy yang masih belum memeluk Islam yang memilih untuk berkecuali dan masih ragu-ragu pula, juga perlu segera membuat pilihan, sama ada memilih kebenaran isi dakwah Rasulullah atau agama sedia ada yang bertuhankan berhala-berhala.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Kesimpulannya, dengan memahami asbab an-nuzul dan muläbasät (konteks) penurunan surah Al-A'raf ini, dapatlah difahami betapa bahawa ketika mana Islam disampaikan secara terang-terangan kepada seluruh ummah manusia, para du'at dan pendokong dakwah islamiyyah pasti akan diuji dengan pelbagai bentuk ancaman, penindasan dan hukuman daripada musuh-musuh agama Islam. Namun semua itu tidak lain tidak bukan merupakan satu bentuk ujian untuk melihat setakat mana keteguhan orang Islam terhadap agama Islam yang dianuti. Bagi mereka yang masih belum membuat keputusan, di sinilah Allah menuntut kita membuat pilihan - Islam atau jahiliyyah. Dan bagi mereka yang memilih untuk berkecuali dan menjadi pemerhati, sesungguhnya tiadalah tempat bagi mereka di sisi Allah.

Maka secara keseluruhannya, tema surah Al-A'raf adalah pertentangan sengit antara hak dan batil, dan tujuan surahnya adalah supaya manusia membuat pilihan antara dua dan berani menyatakannya, serta dalam masa sama tidak sepatutnya seseorang berada di pihak berkecuali atau sebagai pemerhati sahaja.

Jika kita ahli parti PAS, beranilah nyatakan ia di hadapan Dato' Seri Najib! 

InsyaAllah dalam bahagian kedua, kita akan menghayati isi surah Al-A'raf dengan lebih terperinci dalam usaha memahami tema dan hadaf besar surah ini.

Wallahu'alam.

17 July 2013

Tak Mengubah Apa-apa?


Bismillahirrahmanirrahim.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


InsyaAllah kali ini saya ingin mengajak ikhwah dan akhawat rahimakumullah sekali lagi mentadabbur sebahagian ayat penting dari surah Al-A'raf, dan kali ini berkenaan ayat ke-129.

Maksud : "Berkata (kaum Musa) : Kami telah ditindas sebelum engkau datang kepada kami dan selepas engkau datang kepada kami. Kata (Musa) : Mudah-mudahan Tuhanmu membinasakan musuhmu dan menjadikan kamu khalifah di bumi. Maka Dia akan melihat bagaimana kamu beramal."

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Ayat ke-129 dari surah Al-A'raf ini menceritakan kepada kita kisah kaum Nabi Musa yang meluahkan perasaan mereka kepada Nabi Musa dengan mendakwa bahawa kedatangan Nabi Musa kepada mereka tidak memberi manfaat dan tidak menjadikan nasib mereka lebih baik di bawah pemerintahan Firaun. Dakwa mereka, sebelum kedatangan Nabi Musa mereka telah dizalimi oleh Firaun, dan selepas kedatangannya pun mereka masih lagi dizalimi oleh Firaun.

Kaum Nabi Musa, iaitu Bani Israil, ialah golongan yang sentiasa ditindas oleh Firaun. Dengan kedatangan Nabi Musa, mereka mengharapkan ia akan dapat mengubah nasib mereka menjadi lebih baik. Namun, apa yang berlaku tidaklah seperti apa yang diharapkan oleh mereka selama ini.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Bercakap dalam konteks dakwah dan tarbiyah, kisah ini mengajarkan kita akan betapa pentingnya bersabar terhadap mehnah perjuangan di sepanjang jalan dakwah dan tarbiyah, serta dalam masa sama mensyukuri nikmat keberadaan di jalan ini.

Perhatikanlah betapa gopohnya kaum Nabi Musa menyalahkan Nabi Musa dan ajaran yang dibawanya. Dakwa mereka, semua itu tidak menjadikan keadaan mereka lebih baik, malah sama sahaja. Dan dakwaan mereka itu menyerlahkan sikap mereka yang tidak bersyukur dan tidak menghargai dakwah Nabi Musa, yang kemudiannya menjadikan mereka tidak mahu lagi menerima seruan dakwah Nabi Musa, sepertimana yang terungkap dalam ayat ke-132 :
"Dan berkata (kaum Nabi Musa) : Bukti apa pun yang engkau bawa kepada kami untuk menyihir kami, kami tidak akan beriman kepadamu."

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Sesungguhnya kisah kaum Nabi Musa ini mengingatkan saya tentang ikhwah atau akhawat yang dahulunya mereka ini bersama jama'ah menggerakkan dakwah dan tarbiyah, tetapi kemudiannya mereka ini hilang dari lapangan ini tanpa semena-mena. Dan ia juga mengingatkan saya tentang mereka yang tidak bersabar dengan ujian dan tidak dapat lagi menerima amanah, lalu ditinggalkannya medan dakwah dan tarbiyah ini.

Mudah-mudahan kisah-kisah kaum para nabi terdahulu seperti ini dapat mengajar dan menjaga kita untuk senantiasa memperbanyak doa dan amal, kerana dengan doa dan amal kita yang menimbun itulah yang menjadikan kita untuk terus thabat berada di jalan ini.

Wallahu'alam.

10 July 2013

Kau Umpama Anjing


Bismillahirrahmanirrahim.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Ikhwah dan akhawat rahimakumullah, apa agaknya perasaan dan reaksi anda bila anda dipanggil dengan gelaran "anjing"?

Manusia digelar atau diumpamakan sebagai anjing, memang terlalu kurang ajar namanya, kan? Tapi, jangan terkejut kalau Allah sendiri mengumpamakan kita sebagai anjing. Tak percaya? Renungilah ayat ini.

Surah Al-A'raf, ayat 176

Allah akan mengumpamakan kita sebagai anjing, bila mana kita mendustakan kata-kata Allah. Mungkin menjadi persoalan kita - "Bagaimana kita boleh mendustakan ayat-ayat Allah?" 

Jawapannya ada pada permulaan ayat di atas.
"Dan kalau Kami kehendaki, nescaya Kami tinggikan kedudukan ia dengannya (Al-Quran). Tetapi ia cenderung kepada dunia dan mengikut hawanya."
Untuk memahami dengan lebih mendalam, mari kita tadabbur ayat 175-176 dari surah Al-A'raf.

Surah Al-A'raf, ayat 175

Alkisahnya, Allah menurunkan kepada manusia Al-Quran. Tapi malangnya, walaupun sudah datang kepadanya ayat-ayat Allah, manusia memilih untuk tidak mempedulikannya. Kerana itu dalam ayat seterusnya, Allah mengatakan bahawa Dia boleh sahaja meninggikan kedudukan manusia dengan kemuliaan Al-Quran, akan tetapi manusia sendiri memilih untuk cenderung kepada dunia dan kehendak nafsunya. Oleh hal demikianlah, Allah mengumpamakan manusia seperti ini seperti anjing. Ketika belum datangnya Al-Quran, ia ingkar. Malah, selepas Al-Quran datang padanya pun ia masih ingkar.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah, cuba kita renungi semula kehidupan kita sejak lima tahun kebelakangan ini, atau kehidupan anda sebelum dan selepas komited kepada D&T. Adakah kita dapat mengenal pasti perbezaan baik dan buruk sebelum dan selepas mengikat diri pada gerakan dakwah dan tarbiyah?

Sedarlah bahawa kata-kata Allah dalam ayat 175 dan 176 surah Al-A'raf ini sebenarnya mahu menyedarkan kita akan betapa Maha Pemurah dan Maha Penyayangnya Dia terhadap kita atas kurniaan kepada kita nikmat berada di dalam gerabak dakwah dan tarbiyah.

Alangkah malangnya bagi kita apabila kita berpeluang dimuliakan oleh Allah dengan memahami dan melaksanakan ajaran isi Al-Quran, kita memilih untuk berpaling darinya.

Alangkah malangnya bagi kita apabila setelah sekian lama kita berada di jalan dakwah dan tarbiyah, kita dengan pengetahuan cetek serta nafsu tercemar memilih untuk meninggalkan jalan tersebut.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah, kata Allah di hujung ayat ke-176 : "Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir."

Allah mengakhiri teguran-Nya dengan mengamanahkan tanggungjawab kepada kita agar mengingatkan mereka yang berkenaan akan teguran Allah ini. Sesungguhnya kita sayang akan ikhwah dan akhawat yang bersama kita di jalan ini, maka apabila perlu, ingatkan dan bimbinglah mereka agar mereka tidak terbabas dari jalan ini.

Semoga penghayatan terhadap kata-kata Allah melalui Al-Quran akan sentiasa menetapkan atau menambahkan rasa kesyukuran dan 'izzah kita lagi terhadap kurniaan Islam, iman, dan keberadaan di jalan dakwah dan tarbiyah ini oleh-Nya. Amin.

Wallahu'alam.