Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin

01 April 2015

Katibah Rumah

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

Dalam membina seseorang rijal muslim sejati, Ikhwan Muslimin telah mengkhususkan beberapa wasilah tarbiyah penting yang menyokong proses pengislahan seseorang akh dan juga suasana soleh agar para mujahid dakwah terus sihat dan konsisten dalam memikul beban di sepanjang jalan dakwah.

Antara wasilah-wasilah takwin tersebut, ianya adalah katibah.

Katibah adalah wasilah berasaskan tarbiyah ruhiyah, bertujuan melembutkan hati, mencantikkan jiwa, mengembalikan jasad kepada ibadah, memelihara ukhuwah sesama ahli katibah, bermuhasabah diri, iman dan amal, dan juga membiasakan diri dengan ketaatan dan disiplin.

Dalam katibahlah para ikhwah dibina dengan adab katibah yang khusus, seperti menghadirkan niat kerana Allah s.w.t. dan redha-Nya dari awal hingga akhir katibah, sentiasa merasa dan berusaha bertaqarrub dengan Allah s.w.t., sentiasa mentadabbur dan memikirkan ayat Al-Quran dan hadits yang dibacakan sepanjang katibah, bersungguh-sungguh menunaikan kewajipan katibah, berdisiplin, tidak berlebihan dalam makan dan tidur, serta meninggalkan gurau senda dan percakapan kosong.

Dalam katibah itulah juga para ikwah didisiplinkan agar memperbanyak tilawah Al-Quran, selawat, zikir dan muhasabah, disamping bergiliran dalam berjaga (hirasah) pada tengah malam dan bangun menunaikan ibadah malam lain seperti solat sunat.

Indahnya saat melarikan diri dari kehidupan dunia yang hiruk-pikuk, lalu kembali ke sisi ikhwah yang dirindui, dan bersama-sama menghidupkan malam dengan pelbagai ibadah, dalam suasana berukhuwah yang penuh dengan mahabbah.

Ikhwah bersama-sama memperbaik hati dan fikiran, dan kembali kepada-Nya dengan memperbanyak ibadah sunat dalam katibah.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah,

Persoalannya, adakah kita ini beriltizam dan konsisten dalam meneruskan adab dan kewajipan katibah dalam kehidupan seharian kita yang diluar dari waktu katibah?

Alangkah ruginya jika kita dapat menyempurnakan satu juz tilawah Al-Quran, 500-700 kali zikir dan 4-8 rakaat solat malam hanya dalam satu malam katibah, namun tidak pula ketika waktu diluar katibah.

Ada satu hadits yang menarik untuk direnungi bersama.
Daripada Aisyah r.a., beliau berkata : "Adalah Rasulullah apabila tiba 10 malam terakhir dari Ramadan, baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya dan mengikat kainnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Lihatlah bagaimana baginda Rasulullah s.a.w. mengejutkan ahli keluarganya agar bersama-sama dengan baginda dalam menghidupkan malam dengan ibadah.

Jika dalam katibah kita saling bergiliran antara berjaga dan tidur sesama ahli katibah, mengapa tidak ketika kita di rumah keluarga bersama ahli keluarga atau di "Rumah Islam" (RI) sesama ikhwah atau akhawat, kita meneruskan tradisi hirasah katibah di rumah?

Alangkah baiknya jika tradisi baik hirasah dan nasihat dengan saling mengejutkan atau saling memperingat ahli keluarga atau ahli rumah bagi menghidupkan rumah dengan ibadah dapat diteruskan seperti mana kita komited dengannya seperti mana dalam katibah.

Moga Allah mengurniakan kita kekuatan dan hidayah agar kita dapat bermujahadah dan beriltizam dengan ibadah sunat.

والله أعلم
Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment