Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin
Showing posts with label Al-Quran. Show all posts
Showing posts with label Al-Quran. Show all posts

06 September 2014

Maka Apakah Kamu Tidak Memerhatikan? (1)

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

Maksud : "Dan Kami turunkan dari langit air dengan suatu ukuran, lalu Kami jadikan air itu menetap di bumi. Dan sesungguhnya Kami berkuasa melenyapkannya." (Al-Mukminun, 23 : 11)

Ada waktu, hujan gerimis.

Ada waktu, hujan salji.

Ada waktu, hujan batu ais.

Ada waktu, hujan deras.

Ada waktu, hujan rintik.

Ada waktu, hujan lebat.

Lain waktu, lain tempat, kadar hujan saling berbeza dan berubah. Sungguh, Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.

"Maka, apakah kamu tidak memerhatikan?"


والله أعلم
Wallahu'alam

05 September 2014

Kami Lebih Baik Dari Kamu

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

Maksud : Maka berkatalah para pemuka yang kafir dari kaumnya, "Kami tidak melihat engkau melainkan hanyalah seorang manusia seperti kami, dan kami tidak melihat orang yang mengikuti engkau melainkan orang yang hina antara kami yang lekas percaya. Kami tidak melihat kamu memiliki suatu kelebihan apapun atas kami, bahkan kami menganggap kamu adalah orang pendusta." (Hud, 11 : 27)

Ikhwah rahimakumullah.

Ayat 25-48 dari surah Hud menceritakan kepada kita tentang kisah Nabi Nuh a.s. dan kaumnya. Dan dalam ayat ke-27, terdapat satu dialog yang diungkapkan oleh kaum Nabi Nuh a.s. kepada Nabi Nuh a.s. dan para pengikutnya, yang sangat menarik untuk diambil pengajaran oleh setiap dari kita.

Dalam ucapan yang dikatakan oleh pemuka yang kafir tersebut terdapat dua mesej yang jelas dimaksudkan oleh para pemuka kafir kepada Nabi Nuh a.s. dan pengikutnya.

Pertama, adalah tidak perlu bagi mereka untuk memuliakan, menghormati dan menuruti seruan oleh Nabi Nuh a.s. kerana pada mereka, Nabi Nuh a.s. sama sahaja seperti mereka.

Kedua, adalah sesuatu yang menghinakan bagi mereka untuk bersama-sama dengan pengikut Nabi Nuh a.s. kerana pada mereka, pengikut Nabi Nuh a.s. lebih hina dan tidak setaraf dengan mereka.

Ringkasnya, para pemuka kafir tersebut enggan menuruti seruan Nabi Nuh a.s. kerana kedudukan Nabi Nuh a.s. dan para pengikutnya yang tidaklah  lebih mulia, malah lebih hina berbanding mereka.

Ikhwah rahimakumullah.

Adalah sesuatu yang amat menarik untuk kita bawa pengajaran daripada ucapan para pemuka kafir tersebut dalam konteks kita sebagai da'i melihat mad'u dan kita sebagai jundi melihat qiyadi.

Pertama, sebagai da'i dalam menyentuh dan menyantuni manusia sebagai mad'u, usah sesekali meletakkan kedudukan seseorang sebagai faktor utama kita berdakwah padanya. Lagi-lagi ketika kita ini sedang berada dalam fasa memasyarakatkan dakwah dan tarbiyah kepada seluruh warga tanah air kita, lagi-lagi ketika semua orang harus disantuni tanpa memilih-milih lagi. Kita usah terlalu terkejar-kejar untuk menarik mereka yang tinggi kedudukan dan kuat pengaruhnya dalam masyarakat untuk bersama dengan kita, sehinggakan di sana mungkin ada mereka yang ingin bersama dengan kita dalam menjayakan agenda mentarbiyah dan mendakwahkan ummah, tetapi tersisih dari pandangan kita kerana tiada kedudukan dan harta, dan kerana kita pula hanya sibuk mengejar 'orang-orang besar'. Ingatlah akan pepatah yang berbunyi, "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran".

Ambillah pengajaran dari surah 'Abasa yang mana dalam surah tersebut Allah telah menegur Nabi Muhammad s.a.w. kerana baginda telah mengabaikan 'Abdullah Ibnu Umm Maktum yang hadir untuk bertemukan baginda. 'Abdullah Ibnu Umm Maktum yang merupakan seorang sahabat yang buta dan tiada kedudukan yang tinggi, telah datang kepada Rasulullah s.a.w. untuk mendapatkan pengajaran dan ilmu daripada baginda. Namun, ia tersisih kerana Rasulullah s.a.w. lebih banyak memberi perhatian kepada pembesar-pembesar Quraisy. Lalu, Rasulullah s.a.w. pun ditegur oleh Allah s.w.t..

Kita sebagai du'at, sebolehnya santunilah semua orang di sekeliling kita. Boleh jadi mereka yang tidak berkedudukan dan tidak berharta itu lebih baik iman, taqwa dan amalnya di sisi Allah s.w.t. berbanding mereka yang berkedudukan dan berharta.

Kedua, sebagai jundi dalam mengangkat atau melantik seseorang sebagai qiyadi dalam jama'ah, kita mengamanahkan tanggungjawab memimpin kita dan jama'ah berdasarkan kapasiti dan kapabilitinya, bukan kerana hierarki dan popularitinya. Ada orang diangkat sebagai pemimpin kerana profesionnya sebagai seorang doktor, jurutera, akauntan dan seangkatan dengannya. Adapun mereka yang datang dari golongan petani ataupun karyawan, tidaklah mereka ini diletakkan pada kedudukan yang terhormat, sedangkan mereka inilah antara mujahid yang sudahpun terbukti paling terkehadapan dari segi amal fardi dan amal jama'i untuk kepentingan tarbiyah dan dakwah.

Lihatlah kepada sirah para nabi dan rasul. Kebanyakan nabi dan rasul asal-usulnya sebagai seorang pengembala haiwan. Ada juga yang miskin, malah merupakan anak yatim. Tapi kerana jiwa dan dirinya tunduk kepada Ilahi, maka mereka inilah sebaik-baik hamba di sisi Allah s.w.t.

Ikhwah rahimakumullah.

Begitulah sikap golongan mereka yang enggan tunduk kepada seruan para nabi dan rasul yang sebahagiannya diceritakan oleh Allah s.w.t. dalam kitab-Nya Al-Quran untuk kita sama-sama tadabbur dan ambil pengajaran darinya, termasuklah dari ayat ke-27 dalam surah Hud.

Sikap memandang rendah, memperlekeh dan menghina seseorang atau sesekumpulan manusia yang lain bukanlah sebahagian daripada akhlak yang dianjurkan oleh Islam. Yang paling mulia di sisi Allah s.w.t. adalah mereka yang paling baik taqwanya, bukan yang paling baik kedudukan dan hartanya.

Manusia macam tahu, tapi Allah Maha Tahu.

والله أعلم
Wallahu'alam

21 August 2014

Projek 1Iman Mustahil

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah,

Adakah kita pernah dan selalu merasa jemu dan lesu terhadap kewujudan manusia yang 'jahat' di sekeliling kita? Sehinggakan kita mengimpikan kehidupan ini sangat indah dan bahagia andai kata di dunia ini hanya wujud manusia yang baik-baik.
"Kenapa Tuhan menciptakan manusia semuanya baik-baik sahaja?"

Pada suatu saat, mungkin inilah antara persoalan yang terlintas pada fikiran ketika kita kepenatan dan kelelahan melayan karenah golongan manusia tersebut.

Benar, menyantuni golongan orang 'jahat' bukanlah sesuatu yang disukai oleh orang-orang baik. Apatah lagi ketika golongan orang baik pula ditentang oleh golongan orang 'jahat'.

Namun pada hakikatnya, bukanlah itu sifat seorang da'i. Golongan du'at sebenar ialah hamba-hamba Allah yang berjiwa besar dan bersikap optimis. Mengapa wujud orang baik dan jahat? Hanya Dia Maha Mengetahui, dan mereka pula akan terus bekerja.

"Dan jika Tuhamu menghendaki, tentulah beriman semua orang di bumi seluruhnya. Tetapi apakah kamu memaksa manusia agar mereka menjadi orang-orang yang beriman?

Dan tidak seorangpun beriman kecuali dengan izin Allah. Dan Allah menimpakan azab kepada orang yang tidak mengerti."

(Surah Yunus : 99-100)

Menjadikan seseorang beriman atau tidak, semuanya terletak dibawah urusan-Nya. Kita ini, pelihara dan perbaikilah keimanan terhadap-Nya. Apabila kita menjaga hubungan kita dengan Dia, nescaya Dia akan menjaga hubungan kita sesama hamba-Nya yang lain.

Keadaan iman ketika mana nyawa kita diambilpun kita sendiri masih belum pasti. Kerana itu, jagalah diri sendiri terlebih dahulu.

Manusia yang lain pula, jangan pula memaksa-maksa mereka untuk beriman. Tugas kita menyampaikan khabar gembira dan peringatan menakutkan, namun akhirnya merekalah yang membuat pilihan dan Allahlah yang memutuskan.

Projek 1Iman sedunia, mustahil.

والله أعلم
Wallahu'alam

11 June 2014

Ikut Petunjuk, Tiba Destinasi

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

"Alif, macam mana kamu boleh sampai di Taman You pada masanya?" 
"Ikut jalan yang Tuan Murabbi beritahu. Kalau ikut signboard jalan betul-betul, insyaAllah tiada masalah sepatutnya. Ba, macam mana kamu boleh tersesat jauh pula?" 
"Banyak sangat signboard, pening kepala dibuatnya. Tadi banyak kali juga keluar masuk jalan dan U-turn."

Turuti petunjuk jalan, selamat sampailah di destinasi.
(Gambar hiasan semata-mata)

Jika mahu sampai destinasi dengan selamat dan betul jalannya, maka ikutlah petunjuk jalan dengan sebaik-baiknya.

Perjalanan menuju ke syurga, begitulah juga keadaannya.

Ikut Petunjuk, Tiba Destinasi

Kata Allah s.w.t. :

"Dan Allah menyeru (manusia) ke Dar As-Salam (syurga), dan memberikan petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki ke jalan yang lurus." (Yunus, 10 : 25)

Manusia mengetahui suatu tempat yang namanya 'Syurga'. Dan seruan berlumba-lumba ke syurga itu, juga sudah sampai kepada mereka. Mereka tahu, mereka sedar.

Namun demikian, tidak semua orang akan melalui jalan yang sama sepanjang perjalanan ke Syurga. Orang yang diberikan petunjuk dan mengikut petunjuk tersebut elok-elok, nescaya sampailah ia ke destinasi Syurga dengan cepat dan selamat.

Manakala bagi orang yang tidak diberikan petunjuk atau tidak mengikuti petunjuk yang sebetulnya, maka lainlah jalan dan sukarlah perjalanan yang ditempuhi. Sama ada ia sampai lewat, ataupun langsung ia sesat.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Kerana itu kita hendaklah sentiasa memperbaharui niat dan memperbanyak amal soleh, agar Allah memudahkan perjalanan kita Syurga, baik di dunia mahupun di akhirat.

Ada orang niatnya untuk ke Syurga, tapi tidak berfokus. Sebelum tiba di destinasi, ia terlebih dahulu singgah sini, singgah sana. Berhibur sini, bermain sana.

Ada pula orang amalnya untuk ke Syurga, tapi tidak mujahadah. Sebelum sampai di tujuan, bila tidak ketemukan petunjuk, ia menghentikan perjalanannya lalu melencong ke lain.

Mudah-mudahan dengan niat dan amal soleh kita, Allah memberikan petunjuk lalu kita menurutinya mengikut jalan yang ditinggalkan oleh para nabi dan rasul Allah.

Dunia sebagai jalan, akhirat sebagai tujuan.

والله أعلم
Wallahu'alam

04 May 2014

Firaun dan Qarun Orang Berjaya

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

"Dan hendaklah antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar. Dan mereka itulah orang yang berjaya."

Ketika mentadabbur ayat ke-104 dari surah Ali-Imran, salah seorang mutarabbi melontarkan persoalan yang sangat menarik untuk difikirkan oleh kita semua.

Apakah yang dimaksudkan dengan "orang yang berjaya"?

Kalau kita mengatakan orang yang berjaya itu ialah orang yang kaya, maka Qarun itu orang yang berjaya.

Kalau kita mengatakan orang yang berjaya itu ialah orang yang berkuasa, maka Firaun itu juga orang yang berjaya.

Lalu, siapakah "orang yang berjaya" yang dimaksudkan sebenarnya?

Berdasarkan neraca Allah dan Islam, maka orang yang berjaya yang dimaksudkan adalah orang yang disebut oleh Allah dalam ayat di atas. Iaitulah orang yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada ma'ruf dan mencegah yang mungkar.

Kemudian, persoalan lain pula dilontarkan.

Adakah kita "orang yang berjaya" yang dimaksudkan itu?

والله أعلم
Wallahua'lam

16 April 2014

Manusia Ulul Albab

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

"Yang mendengar perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sihat." (Az-Zumar, 39 : 18)

Apa yang dikatakan sebagai manusia "ulul albab" (أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ) itu ialah mereka yang sihat akal fikirannya.

Dan orang yang berakal sihat ini, antara akhlak dan disiplinnya ketika menerima dan memberi sesuatu ilmu atau khabar, mereka memilih yang paling baik antara apa yang ada pada pengetahuan mereka.

Wahai saudaraku yang dirahmati Allah.

Apa yang sampai kepada kita, terimalah ia sebagai ilmu pengetahuan. Kemudian, pilihlah yang baik-baik sahaja sebagai pegangan dan ikutan.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah mengungkapkan bahawa :
"Sesungguhnya orang-orang yang terdahulu (salafus soleh) itu berhenti di atas dasar ilmu dengan penelitian yang tajam, lalu adakalanya mereka menahan dirinya sekalipun mereka lebih mampu dalam membahas sesuatu perkara jika mereka ingin membahasnya."

Ketahuilah bahawa orang yang paling baik akhlaknya adalah mereka yang memilih apa yang benar, dan mendiamkan apa yang samar. Manusia sebegitulah yang kita ingin ikuti.

Moga Allah mengurniakan petunjuk dan menetapkan kita di jalan kebenaran.

والله أعلم
Wallahua'lam

15 April 2014

La Yastawun!

بسم الله الرحمن الرحيم 
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

"Apakah yang memberi minuman kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidil Haram, kamu samakan dengan orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah. Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang zalim.

Orang-orang yang beriman dan berhijrah di jalan Allah, dengan harta dan jiwa mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Mereka itulah orang-orang yang memperoleh kemenangan." (At-Taubah : 19-20)

Mengikut tafsiran Ibnu Kathir berkenaan ayat ke-19, Ali bin Abi Talhah meriwayatkan bahawa Ibnu 'Abbas berkata bahawa ayat ini diturunkan berkaitan Al-'Abbas bin 'Abdul Muttalib, bila mana ia ditawan dalam Perang Badr, ia berkata :
"Sekiranya kalian semua termasuk orang-orang yang terlebih dahulu masuk Islam, berhijrah dan berjihad, sebenarnya kami termasuk orang-orang yang memakmurkan Masjid Al-Haram, memberi minuman kepada orang-orang yang menunaikan haji dan membebaskan orang-orang dari penderitaannya."

Maka, turunlah ayat tersebut.

Wahai saudaraku yang dikasihi Allah sekalian.

Berdasarkan ayat ke-19 dan 20 daripada surah At-Taubah di atas, disebutkan oleh Allah s.w.t. tentang dua kumpulan manusia. Kumpulan pertama, mereka yang memakmurkan masjid dan memberi minum kepada orang yang mengerjakan haji. Kumpulan kedua, mereka yang beriman, berhijrah dan berjihad dengan harta dan jiwanya.

Ayat tersebut merupakan penjelasan dan penafian daripada Allah s.w.t. bahawa orang-orang yang memakmurkan masjid dan memberi minum kepada orang, tidaklah sama dengan orang-orang yang beriman dan berjihad di jalan Allah.

Meskipun kedua-duanya melakukan amalan soleh, namun ianya tidak sama pada penilaian Allah.

Wahai saudaraku yang dikasihi Allah sekalian.

Antara kecelaruan orang kebanyakan dari kalangan masyarakat kita pada hari ini adalah dalam memahami tuntutan melaksanakan suruhan dan larangan dalam urusan agama.

Di luar sana masih banyak orang muslim yang beramal dan berhukum dengan isi kandungan agama Islam secara tidak menyeluruh, mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain pula. Ada juga yang mengkhususkan amalan soleh kepada amalan tertentu, iaitu beramal dengan amalan yang sesuai dengan kehendak dan keadaan diri, dan meninggalkan apa yang difikirkan tidak sesuai baginya.

Ada orang beranggapan bahawa dengan menunaikan zakat dan memberi bantuan kepada orang yang memerlukan, itu sudah memadai.

Ada pula orang beranggapan bahawa dengan mendirikan dan memakmurkan masjid, itu sudah mencukupi.

Ada juga orang beranggapan bahawa dengan melaksanakan lima rukun Islam, itu sudah dikira menyempurnakan keislamannya.

Sedangkan mengikut tafsiran ayat di atas, semua itu masih belum memadai dan ditempelak oleh Allah s.w.t..

Wahai saudaraku yang dikasihi Allah sekalian.

Firman Allah s.w.t. :
"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan siapa yang lebih baik amalnya..." (Al-Mulk : 2)

Dan kata Rasulullah s.a.w. : 
"Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi dari orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya. Oleh itu, hendaklah kalian bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas... " (Hadith riwayat Muslim)

Peluang dan medan beramal itu sangat luas. Maka beramallah di mana kita berada. Namun perlu diingat, usahlah kita mengkhususkan amalan soleh kepada amal tertentu sahaja, terutama apa yang sesuai dengan kehendak diri. Usah juga sentiasa melazimi rukhsah (keringanan) dalam menunaikan suruhan atau larangan, sedangkan masih ada yang lebih 'azimah (berat) yang masih dipinggir dan dilupakan. Bukanlah kita ini golongan ahli ibadah yang bermain-main.

Kita bukan mahu mengejar yang biasa, tetapi apa yang luar biasa itulah yang kita mahu biasakan. Kita akan bermujahadah menjadi lebih baik dalam beramal, seterusnya menjadi yang paling baik, sama ada pada kualiti atau kuantiti.

Berjihad dengan tenaga, harta dan nyawa, itulah jihad akbar, setinggi-tinggi tingkatan jihad.

والله أعلم
Wallahua'lam

31 July 2013

Berikanku Jawapan

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Kebelakangan ini, ada satu hal yang membuatkan saya sentiasa terfikir-fikir dan tercari-cari jawapan kepada persoalan yang bermain di kepala saya.

Dari kalangan orang Islam, ada orang Islam mukmin, orang Islam munäfik dan orang Islam fäsik atau käfir.

Yang mukmin, mereka beriman dan beramal dengan perkara-perkara yang diimaninya.

Yang munäfik, mereka ini hipokrit dan bersandiwara dalam mentaati perintah dan larangan dalam agama Islam.

Manakala yang fäsik atau käfir, mereka mengetahui kebenaran agama Islam, tetapi mengingkari dan menolak kebenaran tersebut.

Persoalan yang bermain-main di fikiran, adakah orang Islam di luar sana perasan sama ada ciri-ciri orang munäfik, fäsik dan käfir ini ada pada diri mereka atau tak?

Kalau ya, mengapa memilih untuk bersikap dengan ciri-ciri orang-orang tersebut?

Tidak cukupkah peringatan-peringatan Allah dalam Al-Quran dan Rasulullah dalam hadith baginda yang sampai kepada kita selama ini agar kita tersedar dan keluar dari kesesatan tersebut?

Persoalan yang dilontarkan datangnya dari kisah ini.

Bila kita nak buat kerja dakwah mengajak manusia mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya, pasti akan ada individu atau kumpulan manusia yang bersikap menongkah arus, yang mahu menganggu atau menghalangi kerja-kerja murni kita

Kita nak buat kerja baik, tapi mengapa mereka tak suka? Hairan.

Kita nak mengajak manusia menyembah Allah semata-mata, tapi mengapa mereka membantah tindakan kita? Hairan.

Kita bukannya nak merampas ahli keluarga, harta atau kedudukan dari mereka, tapi mengapa mereka ketakutan atau kebimbangan? Hairan.

Sudah sampai kepada mereka ini seruan dan nasihat dari para du'at dan orang soleh, bahkan mereka sendiri mempunyai Al-Quran di tangan mereka, tetapi mengapa mereka tidak mengambil pengajaran dari semua itu?

Wahai saudaraku.
"Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman dari jalan Allah, kamu mengkehendakinya bengkok, padahal kamu menyaksikan?" (Äli-Imran : 99)

"Dan janganlah kamu duduk di setiap jalan dengan menakut-nakutkan dan menghalangi orang beriman dari jalan Allah dan ingin membelokkannya." (Al-A'raf : 86)
Kenapa kalian masih mahu membuatkan manusia beralih dari jalan kebenaran, meskipun kalian mengetahui kebenaran tersebut?
"Dan apabila dikatakan kepada mereka : 'Marilah (patuh) kepada apa yang telah diturunkan Allah (patuh) kepada Rasul', nescaya engkau melihat orang munafik menghalangi (manusia) dengan bersungguh-sungguh dari menghampirimu." (An-Nisa' : 61)
Kenapa kalian begitu bersungguh-sungguh melarikan manusia dari mendengarkan seruan dan nasihat kami?
"Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih, (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman." (An-Nisa' : 138-139)
Dan kenapa kami para du'at dan orang soleh tidak pula menjadi teman rapat bagi kalian?
"Sesungguhnya orang-orang kafir itu menginfakkan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Mereka itu akan (terus) menginfakkan harta itu, kemudian mereka menyesal sendiri, dan akhirnya mereka akan dikalahkan. Ke dalam neraka Jahannamlah orang-orang kafir itu akan dikumpulkan." (Al-Anfäl : 36)
Kenapa kalian sanggup berhabis duit semata-mata untuk menyesatkan manusia?
"Dan sebahagian dari orang-orang A'rab (yang munafik) itu memandang apa yang mereka belanjakan (dermakan pada jalan Allah) sebagai satu bayaran yang memberatkan." (At-Taubah : 98)
Tapi merasa keberatan untuk menyumbang harta di jalan Allah?
"Orang yang lebih menyukai dunia dari akhirat, dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah dan menginginkan (jalan) bengkok. Mereka itu berada dalam kesesatan yang jauh." (Ibrähim : 3)
Tidak sedarkah kalian bahawa kalian sudah jauh tersesat?
"Dan sungguh, mereka (syaitan) benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk." (Az-Zukhruf : 37)
Atau kalian menyangka perbuatan kalian itu sebagai perbuatan yang baik?
"Atau adakah mereka mengira bahawa Kami tidak mendengar rahsia dan bisikan mereka? Sebenarnya (Kami mendengar), dan utusan-utusan Kami (malaikat) sentiasa mencatat di sisi mereka." (Az-Zukhruf : 80)
Adakah kerana kalian menyangka tiada seorangpun yang mengetahui perancangan jahat kalian?
"Dan mereka (orang-orang munäfik) mengatakan, 'Taat'. Tetapi, apabila mereka pergi dari sisimu (Muhammad), sebahagian dari mereka mengatur siasat pada malam hari (mengambil keputusan) lain dari apa yang telah mereka katakan tadi." (An-Nisä' : 81)
Di hadapan kami, kalian berbicara apa yang kami suka. Di belakang kami, kalian berbicara apa yang kalian suka.
"Tetapi orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya." (Al-A'raf : 36)
"Allah menjanjikan orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan neraka Jahanam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah itu bagi mereka, dan Allah melaknat mereka, dan bagi mereka azab seksa yang kekal." (At-Taubah : 68)
Tidak cukupkah peringatan ini bagi kalian agar kalian meninggalkan kerja-kerja jahat tersebut dan bertaubat kembali kepada Allah?

Wahai saudaraku.

Apakah tujuan sebenarmu? Aku tidak mengerti, maka berikanlah aku jawapannya.
"Dan sekiranya (dahulu) kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu), tentulah kami tidak termasuk dalam penghuni neraka yang menyala-nyala. Maka mereka mengakui dosanya, tetapi jauhlah (dari rahmat Allah) bagi penghuni neraka yang menyala-nyala itu." (Al-Mulk : 10-11)
Wahai saudaraku, takutlah kepada Allah. Takutlah kepada Hari Pembalasan. Takutlah kepada azab neraka. Semoga kalian tidak termasuk dalam golongan manusia yang menyesal pada hari akhirat kelak.
"Hari (kebangkitan) yang tidak bermanfaat harta benda dan anak-pinak, kecuali sesiapa yang datang kepada Allah dengan hati yang sejantera." (As-Syu'ara' : 88-89)
Wallahu'alam.

30 July 2013

Tadabbur Al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Al-Quran bukan untuk setakat dibaca, tetapi juga untuk diteliti, dihayati dan difikiran tentang isinya, agar kita dapat memahami makna, hikmah dan tujuannya. Inilah sebab bagi setiap al-akh, menjadi kewajipan bagi mereka untuk mentadabbur Al-Quran.

Kita membaca Al-Quran bukan sekadar kerana hendak mengejar untuk mengkhatamkan tilawah Al-Quran dengan secepat mungkin, bukan sekadar merebut ganjaran 10 kebaikan bagi setiap huruf yang dibaca, dan juga bukan sekadar untuk menambah pengetahuan tentang ciptaan alam, hukum-hakam dan sirah. Kita mahu lebih dari itu.

Kita mahu dengan Al-Quran, keimanan kita terhadap Allah, Rasul, kitab-Nya, dan hari akhirat bertambah baik.

Kita mahu dengan Al-Quran, cara fikir kita lebih tajam, kritis dan meluas dari sempadan bagi orang kebiasaan.

Kita mahu dengan Al-Quran, akan membuahkan amal-amal yang bermanfaat untuk ummah dan agama Islam, bukan untuk diri sendiri semata-mata.

Kita mahu dengan Al-Quran, ia menjadi sumber pegangan dan rujukan paling utama bagi setiap urusan dalam kehidupan seharian kita, baik dalam urusan ibadah mahupun muamalat.

Al-Quran, dustüruna! Al-Quran, perlembagaan kami!

"Sebuah kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan kepadamu penuh berkah agar mereka mentadabbur ayat-ayatnya dan agar orang yang berakal sempurna beringat mengambil pengajaran." (Sod : 29)

"Maka tidakkah mereka mentadabbur Al-Quran, atau hati mereka sudah terkunci?" (Muhammad : 24)

Al-Quranmu itu, tadabburlah ia dengan tekun.

Ikhwan rahimakumullah.

Semoga Allah menjadikan hati kita ini hati-hati yang cintakan Al-Quran. Hati yang cintakan Al-Quran adalah apabila kita bertemu dengannya dengan hati yang senang, duduk bersamanya dalam waktu yang panjang tanpa rasa bosan, rindu padanya bila ia tiada di sisi, banyak berinteraksi dengannya, percaya penuh terhadap bimbingannya, kembali kepadanya dalam setiap permasalahan kecil atau besar, dan mentaatinya baik perintah mahupun larangan.

Senantiasalah memohon kepada Allah agar diberikan hati yang jernih, hati yang hidup, hati yang sentiasa terawat dan dijaga. Yä muqollibal qulüb, thabbit qolbï 'alä dïinik.

Wallahu'alam.

29 July 2013

Memilih Sasaran Yang Sesuai

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Di luar sana, tidak dinafikan banyak orang Islam, termasuklah kita, yang mempunyai kefahaman baik tentang Islam dan bersemangat untuk menyampaikan mesej Islam kepada kawan-kawan di sekelilingnya.

Semangat dalam berdakwah itu memang penting, tapi jangan biarkan semangat itu membuatkan kita bekerja tanpa ilmu atau dengan mengabaikan disiplin-disiplin dalam gerak kerja dakwah. Ilmu ini dikenali sebagai ilmu fiqh dakwah.

Fiqh dakwah, kita dapat perolehinya dengan mempelajari Al-Quran, sunnah dan juga sirah para sahabat serta salafussoleh. Untuk kali ini, saya suka untuk berkongsi sedikit ilmu fiqh dakwah berdasarkan Al-Quran, sumber rujukan utama bagi setiap aktivis dakwah.

Dengan mengambil Al-Quran sebagai panduan utama dalam bekerja, harapnya ia akan membuatkan kita lebih banyak berfikir dengan lebih tajam dan kritis, kerana ayat-ayat Al-Quran itu banyak sekali berkait dengan permasalahan kehidupan. Akhirnya, dengan banyak membaca dan mentadabbur Al-Quran, semoga ia akan membuatkan kita sentiasa dekat kepada Al-Quran.

Ilmu dan disiplin dalam dakwah

Seperti yang disebut di atas, keghairahan berdakwah, dengan darah panas dan semangat membaranya, tanpa didasari ilmu dan disiplin, seseorang da'i akan lebih terdedah kepada kesilapan dalam menyampaikan isi seruan yang dibawa. Ini boleh terjadi disebabkan, antaranya, tidak wujud jalinan hubungan dan kesefahaman antara da'i (yang menyeru) atau mad'u (yang diseru).

Saya bagi satu contoh kes berdasarkan pengalaman saya sendiri. Ada seorang si fulan ini mendapat sentuhan tarbiyah di luar negara. Selepas mengenal erti dakwah dan tarbiyyah, seperti kawan-kawannya yang lain, dia merasa kepentingan untuk menyampaikan dakwah kepada manusia di sekelilingnya. Dan dia melakukannya.

Cuma masalahnya, pada pandangan saya, dia lebih suka untuk menyentuh kawan-kawannya yang bukan muslim (baca : belum muslim) berbanding kawan-kawan Melayu. Sedangkan masih banyak lagi antara kawan Melayu di sekelilingnya itu yang perlu disantuni dan diberi sentuhan tarbiyyah. Pada saya, perkara seperti inilah yang selalunya mengakibatkan para du'at kehabisan tenaga, masa dan wang kerana kesilapan memilih sasaran mad'u yang sesuai berdasarkan keutamaan dari aspek tertentu.

Kenapa saya berkata begitu?

Surah Ibrahim : 4

Kata Allah s.w.t. :

"Dan kami tidak mengutuskan seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, agar dia dapat memberi penjelasan kepada mereka." (Ibrahim : 4)

Berdasarkan ayat di atas, satu petunjuk yang kita dapati di sini adalah bahawa tidaklah Allah menghantar seseorang utusan-Nya kepada sesebuah kaum melainkan dengan bahasa kaumnya tersebut.

Keselarasan bahasa itu merupakan salah satu elemen terpenting dalam mewujudkan komunikasi yang berkesan. Jika bercakap dalam bahasa yang sama pun boleh saling tersalah faham, inikan pula bercakap dengan bahasa yang saling berbeza. Kerana itu komunikasi antara da'i dan mad'u dengan bahasa yang sama yang saling difahami sangat memainkan peranan supaya kedua-dua pihak menerima dan menyampaikan maklumat yang sepatutnya.

Dan bahasa yang sama tidaklah digunakan antara dua pihak melainkan mereka ini ada unsur lain yang juga menjadi persamaan antara mereka, seperti asal usul keturunan, bangsa dan budaya. Untuk itu, mari kita tadabbur kisah-kisah Nabi dan kaumnya yang diceritakan oleh Allah dalam surah Hud.

Kata Allah s.w.t. :

"Dan kepada kaum 'Äd, (diutuskan) saudara mereka, Hud. Dia berkata : Sembahlah Allah, tidak ada tuhan bagimu selainnya." (Hud : 50)

"Dan kepada kaum Thamud, (diutuskan) saudara mereka, Saleh. Dia berkata : Wahai kaumku, sembahlah Allah, tidak ada tuhan bagimu selainnya." (Hud : 61)

"Dan kepada (penduduk) Madyan (diutuskan) saudara mereka, Syu'aib. Dia berkata : Wahai kaumku, sembahlah Allah, tidak ada tuhan bagimu selain dia." (Hud : 84)

Berdasarkan tiga ayat dari surah Hud di atas, kita akan dapati bahawa para rasul yang diutuskan oleh Allah, selain berkomunikasi dalam bahasa yang sama dengan kaumnya, mereka juga datang dari kaumnya sendiri.

Gaya bahasa dan jalinan hubungan

Kembali kepada contoh kes di atas, kerana itu pada saya tindakan si fulan tersebut 'bermasalah', iaitu bermasalah dari segi keutamaan memilih sasaran mad'u yang sesuai. Kawan-kawan Melayunya yang agamanya Islam warisan inilah sepatutnya lebih diutamakan dan lebih banyak disentuh kerana mereka ini datang dari keturunan dan bercakap dalam bahasa yang sama dengannya, berbeza dengan kawan Perancis, Inggeris atau Afrikanya itu, contohnya. Tambahan pula, kawan-kawan Melayunya yang sudah Islam tetapi belum berpegang dan beramal baik dengannya itu, hanyalah tinggal perlu dibangkitan perasaan 'izzah mereka terhadap Islam dan disemarakkan keinginan untuk bersama-sama dengan kita bekerja dalam satu pasukan.

Memilih mad'u yang sesuai, inilah antara disiplin gerak kerja dakwah mengikut fiqh dakwah yang sepatutnya dihormati oleh setiap da'i.

Wallahu'alam.

28 July 2013

Kau Ada atau Tak, Sama Sahaja

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Banyak orang menyertai bulatan usrah dengan harapan usrah akan membentuk dirinya lebih baik dari sebelumnya. Namun hakikatnya, tidak semua perkara akan terjadi seperti mana yang kita harapkan. Ada banyak sebab mengapa hal ini berlaku. Antaranya harapan seseorang yang menggunung terhadap keberkesanan sistem tarbiyah melalui usrah dan ketidaksabaran terhadap jalan dakwah dan tarbiyyah yang panjang ini.

Apabila kita mentadabbur ayat ke-129 dari surah Al-A'raf, kita akan mendapatkan ciri-ciri golongan yang tergopoh-gapah ini.

Kisah Nabi Musa dan kaumnya, ayat 128-129

Kaum Nabi Musa iaitu Bani Israil, sebelum kedatangan Nabi Musa, mereka telahpun dizalimi oleh Fir'aun. Apabila diutuskan Nabi Musa kepada mereka, mereka menganggap Nabi Musalah superhero mereka, iaitu penyelamat yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang akan menyelamatkan mereka dari kezaliman Fir'aun. 

"Musa berkata kepada kaumnya : Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya bumi milik Allah, diwariskan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki antara hamba-hamba-Nya. Dan kesudahan (yang baik) adalah bagi orang-orang bertaqwa." (Al-A'raf : 128)

Harapan dan janji yang diberikan oleh Nabi Musa kepada mereka membuatkan mereka bertambah percaya dan bergantung harap kepada Nabi Musa.

Namun, setelah beberapa lama bersama Nabi Musa, mereka menyedari bahawa nasib mereka tetap sama. Keadaan tidak bertambah baik, mereka tetap dizalimi oleh Fir'aun. Nabi Musa pun tidak dapat mengalahkan Fir'aun. Semua ini membuatkan mereka kecewa. Harapan indah yang diimpikan selama ini kini sekadar menjadi kenangan. Punah segalanya. Kerana terlalu kecewa, lalu mereka meluahkan rasa hati mereka kepada Nabi Musa :

"Kami telah ditindas (oleh Fir'aun) sebelum engkau datang kepada kami dan setelah engkau datang." (Al-A'raf : 129)

Bagi kaum Nabi Musa, mereka merasakan kehadiran Nabi Musa adalah sia-sia dan tidak membawa apa-apa perubahan yang lebih baik bagi mereka. Ketika Nabi Musa tiada, mereka ditindas. Bahkan ketika Nabi Musa ada sekalipun, mereka tetap ditindas. Tiada beza, sama sahaja. Ini luahan hati mereka. Beginilah, betapa kecewanya mereka terhadap Nabi Musa.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Kisah Nabi Musa dan kaumnya ini mengingatkan saya akan kisah yang berlaku terhadap mereka yang pada awalnya bersemangat bersama kita di jalan dakwah dan tarbiyyah ini, tetapi kemudiannya mereka memilih untuk keluar dari gerabak di jalan ini. Mereka merasakan proses pentarbiyyahan dan pentakwinan seseorang manusia itu memakan masa yang terlalu panjang, dan tidak lagi sesuai dengan suasana semasa. Pada mereka, pasti ada jalan alternatif lain yang boleh membawa mereka sampai ke matlamat yang sama dengan kita. Namun, bagi kita yang memahami benar manhaj dan prinsip yang kita pegang dan bawa, pasti kita akan kukuhkan kaki kita di jalan ini.

Ingatlah kita semua akan pesanan yang disampaikan oleh Pak Cik Hasan ini :
"Hai ikhwanul muslimin terutama yang gopoh daripada kamu. Dengarkanlah daripadaku satu kalimah yang tinggi yang berkumandang dari atas mimbar ini di dalam muktamar umum ini. Sesungguhnya jalan kamu ini adalah yang telah digariskan langkah-langkahnya, ditentukan batas-batasnya dan aku tidak mahu melanggar batas-batas itu. Aku telah yakin dengannya. Keyakinan yang sebenar-benarnya, bahawa itulah jalan yang paling selamat untuk mencapai tujuannya.
Ya, boleh jadi ia satu jalan yang panjang, tetapi di sana tidak ada jalan lain selain itu. Sifat kelakian tidak akan lahir kecuali dengan keberanian, ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang serius dan berterusan. Barangsiapa dari kalangan kamu yang hendak cepat dan gopoh memetik buah sebelum masak atau hendak memetik hasil sebelum masanya, maka aku tidak bersama dengannya sama sekali dan lebih baik baginya meninggalkan dakwah ini dan carilah dakwah yang lain. Barangsiapa yang bersabar bersama aku sehingga berkembang dan membesar benih itu lalu tumbuh pokoknya, baik buahnya sehingga tiba waktunya untuk dipetik dan diambil, maka ganjarannya terserahlah kepada Allah semata-mata. Kita dan dia tidak boleh lari dari dua kebaikan ini. Sama ada kita menang dan berkuasa atau mati syahid dan berbahagia."

Sungguh, jalan ini sangat panjang. Tapi yakinilah, inilah jalan yang paling dekat kepada sunnatullah dan sunnah Rasulullah s.a.w., para sahabat serta para salafussoleh yang terdahulu. Semoga Allah menetapkan diri dan hati kita di jalan dakwah dan tarbiyyah ini, hingga sama ada kita mati mulia sebagai seorang da'i ataupun mati syahid sebagai seorang mujahid.

Wallahu'alam.

27 July 2013

Buat Pilihan dan Nyatakannya (Siri 2)

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Dalam entri yang lepas, telah dikongsikan bahawa dengan mendalami asbab an-nuzul dan muläbasät penurunan surah Al-A'raf. Kita difahamkan bahawa tema yang dibawa oleh surah Al-A'raf adalah pertentangan sengit antara hak dan batil, manakala tujuan surahnya adalah supaya manusia membuat pilihan antara dua dan berani menyatakannya, serta dalam masa sama tidak sepatutnya seseorang berada di pihak berkecuali atau sebagai pemerhati sahaja.

Dan kali ini kita akan meneliti beberapa bahagian perenggan ayat dari surah Al-A'raf yang daripadanya kita akan menyedari betapa tegasnya peringatan dan balasan Allah kepada manusia yang berpihak kepada kekufuran serta ketidakpedulian Allah terhadap golongan yang berkecuali dan hanya memerhati serta menunggu-nunggu.

Surah Al-A'raf mengandungi kisah Adam dan Iblis, penduduk syurga dan neraka, dan para nabi dan kaumnya. Persamaan yang terdapat pada kisah-kisah ini adalah semua kisah ini menceritakan pertentangan antara hak dan batil.

Mari kita tadabbur surah Al-A'raf dari satu bahagian ke satu bahagian yang lain.

Kisah Nabi Adam dan Iblis (Ayat 11-37)

1) Ayat 14-16

"(Iblis) berkata : Berilah aku penangguhan waktu, sampai hari mereka dibangkitkan. Allah berfirman : Benar, kamu termasuk yang diberi penangguhan waktu. Iblis berkata : Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan sentiasa menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus."

Kebiasaannya, kita selalu meminta tempoh penangguhan apabila ada tugasan untuk disiapkan, hutang untuk dilangsaikan atau keputusan dalam sesuatu permasalahan untuk dibuat.

Hebatnya Iblis, ia meminta tempoh penangguhan daripada Allah dalam keadaan ia telahpun membuat keputusan muktamad untuk matlamat hidupnya, iaitu menyesatkan manusia. Cuba tanyakan diri kita, adakah kita sudah membuat keputusan muktamad tentang matlamat hidup kita? Malulah kita kepada Iblis dan syaitan jika kita yang Allah panjangkan umur kita di dunia ini, tetapi kita masih terkial-kial untuk membuat pilihan antara Islam dan jahiliyyah, masih termangu-mangu ke manakah hala tuju hidup kita.

2) Ayat 20

"Kemudian syaitan membisikan fikiran jahat kepada mereka agar menampakkan aurat mereka (yang selama ini) tertutup. Dan (syaitan) berkata : Tuhanmu hanya melarang kamu berdua mendekati pohon ini agar kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal (dalam syurga)."

Umum sedia tahu bahawa Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga kerana memetik buah pohon larangan dalam syurga. Persoalannya, apakah yang dikejar oleh Adam dan Hawa sehinggakan mereka memilih untuk mendekati pohon larangan tersebut? Ketahuilah, demi kepentingan diri sendiri, mereka memilih untuk memenuhi kemahuan diri iaitu supaya kekal di dalam syurga, lebih dari memilih untuk patuh kepada larangan Allah.

Adam dan Hawa membuat keputusan kerana dipengaruhi kepentingan diri, akibatnya mereka dihalau dari syurga ke bumi. Inilah akibatnya membuat keputusan kerana pentingkan diri sendiri.


Kisah ahli syurga dan neraka (Ayat 38-58)

1) Ayat 44

"Dan para penghuni syurga menyeru penghuni-penghuni neraka : Sungguh, kami telah memperoleh apa yang dijanjikan Tuhan kepada kami, semua itu benar. Apakah kamu telah memperoleh apa yang dijanjikan Tuhanmu kepadamu itu benar? Mereka menjawab : Benar. Kemudian penyeru (malaikat) mengumumkan tentang laknat Allah bagi orang-orang zalim."

Ayat ini menunjukkan bahawa dalam pertarungan antara al-haq dan al-batil, pasti al-haq menang dan al-batil dikalahkan. Mereka yang memilih al-haq, akan dikurniakan syurga. Selainnya, nerakalah tempatnya.

Berbahagialah mereka ketika di dunia yang menuruti perintah dan menjauhi larangan Allah dengan penuh ikhlas dan istiqamah, kerana mereka ini akan memperoleh sebaik-baik balasan di alam akhirat yang kekal abadi, iaitulah syurga. Mereka yang ketika di dunia yang dibekalkan Al-Quran dan diutuskan kepada mereka orang-orang söleh yang menyeru kepada kebenaran Islam, namun memilih untuk berpaling dari semua itu, duduklah diam-diam di neraka kelak.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Setelah menerima petunjuk daripada Allah melalui Al-Quran, Rasulullah melalui Al-Hadith dan para du'at melalui seruannya, adakah kita masih belum membuat pilihan untuk beramal dengan amalan ahli syurga ataupun ahli neraka?

2) Ayat 46-48

"Dan antara keduanya (syurga dan neraka), ada tabir dan di atas A'raf (tempat tertinggi), ada orang-orang yang saling mengenali, masing-masing dengan tandanya. Mereka (ahli neraka) menyeru ahli syurga : Salämun 'alaikum (salam sejahtera ke atas kamu). Mereka belum dapat masuk, tetapi mereka ingin segera (masuk).
Dan apabila pandangan mereka dialihkan ke arah ahli neraka, mereka berkata : Ya Tuhan kami, janganlah Engkau tempatkan kami bersama-sama orang zalim itu."

Pada hari akhirat kelak, Allah akan perlihatkan syurga dan neraka kepada segolongan manusia yang tempatnya bukan di syurga, juga bukan di neraka, tetapi di atas A'raf. Mereka ini dikenali sebagai Ashäbul A'raf.

Siapakah Ashäbul A'raf? Merekalah ketika Hari Pengadilan datang menghadap Allah dalam keadaan timbangan amal kebaikan dan keburukan adalah sama banyak, dan ketika di dunia tidak membuat keputusan yang betul-betul. Walaupun di dunia mereka mengenali perbezaan tanda-tanda antara orang-orang söleh dan orang zalim, namun mereka ragu-ragu untuk memilih bersama orang mukmin dan beramal dengan Islam secara keseluruhan ataupun tidak. Kerana itulah di akhirat kelak, apabila ditunjukkan kepada mereka bahawa ahli syurgalah pihak yang benar, lalu mereka mahu benar masuk ke dalam syurga, namun Allah tidak mengizinkannya lagi. Itulah balasan bagi Ashäbul A'raf.

Anda pula, mahu pilih syurga atau neraka?

Kisah nabi-nabi dan kaumnya (Ayat 59-102)

Dari ayat 59-64 diceritakan kisah Nabi Nuh dan kaumnya, ayat 65-72 tentang Nabi Hud dan kaumnya 'Ad, ayat 73-79 tentang Nabi Saleh dan kaumnya Thämud, ayat 80-84 tentang Nabi Lut dan kaumnya, dan ayat 85-95 tentang Nabi Syu'aib dan kaumnya penduduk Madyan.

Kisah nabi-nabi dan kaumnya di atas memperlihatkan sunnatullah pertentangan antara al-haq dan al-batil yang pengakhirannya pasti dimenangi oleh al-haq. Balasan azab yang diberikan kepada kaum-kaum yang ingkar tersebut bukanlah kerana Allah suka-suka mahu melaksanakannya, tapi kerana kesombongan yang meninggi, keingkaran yang melampau dan kerosakan yang terlalu teruk yang telah mereka kerjakan. 

Mereka diberi pilihan untuk menerima seruan supaya menyembah Allah semata-mata dan bersama rasul mereka, namun mereka tidak memilih untuk berbuat demikian. Bahkan mereka menyindir dan mengeji seruan dan utusan Allah. Maka, begitulah balasannya bagi orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri.

Kisah Nabi Musa dan kaumnya Bani Israil (Ayat 103-162)

1) Ayat 121-125

"Mereka berkata : Kami beriman kepada Tuhan seluruh alam.
Iaitu Tuhannya Musa dan Harun.
Fir'aun berkata : Mengapa kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya ini benar-benar tipu muslihat yang telah kamu rancangkan di kota ini untuk mengusir penduduknya. Kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu).
Pasti akan aku potong tangan dan kakimu dengan bersilang, kemudian aku akan menyalib kamu semua.
Mereka (ahli sihir) berkata : Sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami."

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Apa jawapan ahli sihir ketika diancam dan diugut oleh Fir'aun disebabkan mereka beriman kepada Allah? "Sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami."

Berbeza dengan Nabi Adam dan Hawa yang membuat keputusan atas kepentingan diri mereka, para pesihir yang mulanya bersama dengan Fir'aun pula telah membuat keputusan dan memilih untuk beriman kepada Allah bersama Nabi Musa dan Harun. Walaupun akan kehilangan kedudukan tinggi di sisi Fir'aun dan diancam akan diseksa olehnya, namun ahli sihir tekad dan tetap dengan pilihan mereka.

Cuba refleksi pada diri kita. Dalam banyak-banyak keputusan yang kita putuskan dalam hidup ini, banyaknya kerana Allah, rasul dan agama Islam ataupun kehendak nafsu diri? Inilah persoalan yang kita seharusnya sentiasa lontarkan kepada diri sendiri.

Kisah Bani Israil dan Hari Sabat (Ayat 163-166)

"Dan tanyakanlah kepada Bani Israil tentang negeri yang terletak berhampiran laut ketika mereka melanggar aturan Hari Sabat, ketika datang kepada mereka ikan-ikan terapung-apung di permukaan air, padahal pada hari-hari yang bukan Sabat ikan-ikan itu tidak datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan mereka berlaku fasik.
Dan ketika suatu umat antara mereka berkata : Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang keras? Mereka menjawab : Agar kami mempunyai alasan kepada Tuhanmu dan agar mereka bertaqwa.
Maka setelah mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang orang berbuat kejahatan dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim seksaan yang keras disebabkan mereka terlalu fasik.
Maka setelah mereka bersikap sombong terhadap segala apa yang dilarang, Kami katakan kepada mereka : Jadilah kamu kera yang hina!"

Kisah dalam ayat 163-166 ini dianalogikan seperti ini. Ketika mana kelompok A ta'at dan giat menjalankan tanggungjawab 'amar ma'ruf nahi mungkar dengan menasihati kelompok B yang melakukan kemungkaran, tiba-tiba datang kelompok C yang mempertikai kelompok A yang terlalu menjaga tepi kain orang. 

Tahukah anda siapakah kelompok C ini? Inilah kelompok yang sikapnya mirip seperti Ashäbul A'raf. Di depannya jelas ada satu kelompok yang patuh kepada perintah Allah dan satu kelompok lain pula ingkar kepada larangan Allah, namun mereka memilih untuk mempersoal tindakan kelompok orang söleh, sedangkan orang yang bermaksiat tidak ditegur.

Kelompok C, inilah kelompok yang cenderung untuk bersikap berkecuali dan memerhati sahaja. Malahan, inilah kelompok yang katanya menyokong agenda menegakkan syari'at Islam tetapi dalam masa sama sentiasa mempertikai mereka yang bekerja ke arah tujuan tersebut.

Dan dalam ayat ke-165, sebagaimana sunnatullahnya, Allah menyelamatkan mereka yang bersama kebenaran dan membinasakan mereka yang bersama kebatilan.

Apa nasib kelompok C? Ada sebahagian ahli mufassirin menafsirkan bahawa Allah mengabaikan kelompok tersebut. Kerana itu pengakhiran kisah ini berakhir tanpa diketahui apa nasib yang menimpa kelompok tersebut. Ada pula ahli mufassirin menafsirkan bahawa kelompok C ini akhirnya termasuk dalam kelompok B dan turut sama diazab seperti kelompok B.

Buat Pilihan dan Nyatakannya

Beginilah kisah-kisah dalam surah Al-A'raf ini mengajarkan kita bahawa menjadi sunnatullah pertarungan antara kebenaran dan kebatilan, pasti kebenaran akan menang. Berdasarkan kisah-kisah dan bukti yang ditunjukkan oleh Allah kepada kita semua tadi, kemudiannya kita diseru pula untuk membuat keputusan sama ada mahu mengikuti jejak langkah ahli syurga ataupun ahli neraka. Antara dua, tiada pilihan ketiga.

Maka, adakah anda sudah membuat pilihan anda? Buatlah pilihan anda sekarang, dan beranilah menyatakannya!

Wallahu'alam.

26 July 2013

Buat Pilihan dan Nyatakannya (Siri 1)

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Bayangkan jika anda seorang ahli PAS dan anda berada dalam Perhimpunan Agung UMNO. Pada suatu ketika, Dato' Seri Najib bertanya, "Siapa ahli PAS di sini?"

Apa reaksi anda?

Bayangkan pula jika anda seorang ahli UMNO dan anda berada dalam Muktamar Tahunan PAS. Pada suatu saat, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi bertanya, "Siapa ahli UMNO di sini?"

Apa reaksi anda?

Pegangan Hidup Disimpul Mati

Sebagai seorang muslim, kita pasti tidak sekali-kali rela hidup dan mati dalam keadaan tidak beriman. Kalimah syahadatain menjadi ikrar hidup kita bahawa hanya Islam cara hidup kita semata-mata, tidak ada yang lain dari itu.

"Orang-orang kafir dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah, Allah menghapus segala amal mereka. Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta beriman kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad, dan itulah kebenaran dari Tuhan mereka. Allah mengampunkan dosa-dosa mereka dan memperbaik keadaan mereka. Yang demikian itu kerana sesungguhnya orang-orang kafir mengikuti perkara yang batil dan orang-orang yang beriman mengikuti hak dari Tuhan mereka. Demikianlah Allah membuat perumpamaan bagi mereka." (Surah Muhammad : 1-3)

Perbandingan dibuat antara dua kumpulan manusia. Sama ada yang bersama Islam, atau yang bersama jahiliyyah. Tiada yang ketiga, keempat, dan lain dari itu. Hanya dua.

Maka persoalannya, apakah kita telah memilih untuk menyertai kumpulan mana?

Hanya ada dua pilihan, pilih salah satu dari dua. Kita tidak boleh memilih untuk berkecuali atau "Tidak tahu" atau "Nanti saja jawabkan".

Kata Allah :  

"Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam seluruhnya, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sungguh, ia musuh nyata bagimu." (Al-Baqarah : 208)

Jika Islam menjadi pilihan, maka berpegang padanya dan beramallah dengannya semata-mata. Jika sebaliknya, maka jahiliyyah atau syaitanlah pilihannya. Ya, itulah hakikatnya. Meskipun kita mengisytiharkan bahawa kita bukan ahli pasukan syaitan, tetapi secara tak sedar, kalau bukanpun menjadi ahli pasukan syaitan, kita telahpun menjadi penyokong pasukan syaitan. Memilih untuk tidak menguatkan pasukan Islam ataupun berkecuali, maknanya secara tidak langsung telah menguatkan pasukan syaitan.

Apapun alasannya, hanya ada dua pilihan, tiada lain dari itu. Dan ini dapat dipelajari dengan mentadabbur surah Al-A'raf, yang mana isi kandungannya mempunyai tema dan ahdaf yang sangat besar.

Surah Al-A'raf

Surah Al-A'raf merupakan surah ketujuh dalam Al-Quran tetapi diturunkan selepas surah Sod. Ianya termasuk dalam kumpulan surah Makiyyah dan mengandungi 206 ayat.

Mengenai sejarah penurunan surah ini, surah Al-A'raf diturunkan ketika fasa dakwah Nabi s.a.w. secara terang-terangan, bila mana berlakunya pertentangan yang jelas antara hak dan batil, atau antara Islam dan jahiliyyah.

Ketika 10 tahun fasa dakwah sirriyyah (tersembunyi) Nabi s.a.w., para sahabat yang menganuti agama Islam tidak menghadapi banyak ujian besar daripada orang musyrikin Mekah. Namun setelah Islam mula disampaikan secara terang-terangan kepada orang ramai, maka bermulalah saatnya Nabi s.a.w. dan para pengikutnya diancam dan ditindas dengan teruk. 

Tiga golongan manusia

Dari sudut pandang fiqh dakwah, kita akan dapati fasa dakwah jahriyyah (terang-terangan) Nabi s.a.w. merupakan satu bentuk proses penapisan dalam pentakwinan qaidah sulbah (tulang belakang) kumpulan muslimin. Di pihak Islam, lahir sekelompok muslimin yang mula takut akan ancaman daripada orang musyrikin Mekah. Manakala di pihak orang Quraisy, wujud satu kumpulan manusia yang sekadar memerhati dan mengikuti perkembangan dakwah Nabi s.a.w., menunggu-nunggu dan tertanya-tanya sama ada Muhammad dan seruan dibawanya itu benar atau tidak.

Maka di sana ada tiga kelompok manusia - orang Islam yang mukmin, orang kafir Quraisy yang memusuhi Islam, dan orang Islam atau bukan Islam Quraisy yang ragu-ragu, berkecuali dan memerhati.

Ketika fasa keterbukaan dan muwajahah inilah orang Islam digesa membuat pilihan, memilih Islam dan berpegang teguh padanya, atau berpaling daripadanya. Orang Quraisy yang masih belum memeluk Islam yang memilih untuk berkecuali dan masih ragu-ragu pula, juga perlu segera membuat pilihan, sama ada memilih kebenaran isi dakwah Rasulullah atau agama sedia ada yang bertuhankan berhala-berhala.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Kesimpulannya, dengan memahami asbab an-nuzul dan muläbasät (konteks) penurunan surah Al-A'raf ini, dapatlah difahami betapa bahawa ketika mana Islam disampaikan secara terang-terangan kepada seluruh ummah manusia, para du'at dan pendokong dakwah islamiyyah pasti akan diuji dengan pelbagai bentuk ancaman, penindasan dan hukuman daripada musuh-musuh agama Islam. Namun semua itu tidak lain tidak bukan merupakan satu bentuk ujian untuk melihat setakat mana keteguhan orang Islam terhadap agama Islam yang dianuti. Bagi mereka yang masih belum membuat keputusan, di sinilah Allah menuntut kita membuat pilihan - Islam atau jahiliyyah. Dan bagi mereka yang memilih untuk berkecuali dan menjadi pemerhati, sesungguhnya tiadalah tempat bagi mereka di sisi Allah.

Maka secara keseluruhannya, tema surah Al-A'raf adalah pertentangan sengit antara hak dan batil, dan tujuan surahnya adalah supaya manusia membuat pilihan antara dua dan berani menyatakannya, serta dalam masa sama tidak sepatutnya seseorang berada di pihak berkecuali atau sebagai pemerhati sahaja.

Jika kita ahli parti PAS, beranilah nyatakan ia di hadapan Dato' Seri Najib! 

InsyaAllah dalam bahagian kedua, kita akan menghayati isi surah Al-A'raf dengan lebih terperinci dalam usaha memahami tema dan hadaf besar surah ini.

Wallahu'alam.

18 July 2013

Qanun Menang Kalah

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Surah Al-Anfäl

Surah Al-Anfäl merupakan surah ke-8 dalam Al-Quran, yang mengandungi 75 ayat dan tergolong dalam golongan surah Madaniyyah.

Surah ini dinamakan Al-Anfäl, yang bermaksud "harta rampasan perang", kerana pada permulaan surah dan di pertengahan surah diceritakan tentang urusan harta rampasan perang.

Surah Al-Anfäl diturunkan selepas surah Al-Baqarah dan selepas berlakunya Ghazwah Badar. Ghazwah Badar merupakan satu peristiwa yang menjadi titik tolak terpenting dalam harakah dakwah Nabi s.a.w., sehinggakan Ghazwah Badar ini dinamakan juga sebagai Yaumul Furqan (Hari Pembeda), iaitu saatnya membezakan antara kebenaran dan kebatilan, dan antara kelompok Islam dan kelompok kafir.

Bagi Nabi s.a.w., Ghazwah Badar ini diumpamakan sebagai medan yang menentukan hidup mati dakwah baginda. Kerana itu sebelum perang, Nabi s.a.w. sangat takut untuk berperang dan baginda banyak dan bersungguh-sungguh berdoa, sehinggakan pada suatu ketika, selendang baginda terjatuh ketika baginda berdoa tetapi baginda terus tekun berdoa, menunjukkan betapa Nabi s.a.w. sangat mengharapkan Allah s.w.t. mengurniakan kekuatan dan kemenangan kepada orang Islam. Ketakutan Nabi s.a.w. bertambah pula disebabkan oleh kekuatan orang kafir Quraisy yang mantap dari segi jumlah tentera, kelengkapan persenjataan, pengangkutan dan bekalan makanan, berbanding orang Islam yang persiapannya serba kekurangan.

Pada hari berlakunya Ghazwah Badar, lalu Allah s.w.t. mentakdirkan orang Islam menang ke atas orang kafir Quraisy.

Dan sebab turunnya surah Al-Anfäl berpunca dari selepas berakhirnya Ghazwah Badar apabila orang Islam saling berselisih mengenai pembahagian ghanimah. Ghazwah Badar merupakan ghazwah pertama bagi orang Islam, dan kerana mereka menang, ini merupakan kali pertama mereka mendapatkan ghanimah. Kerana itulah mereka 'keliru' lalu berselisih dalam menyelesaikan urusan pembahagian harta rampasan. Begitu tegangnya situasi ketika itu sehinggakan seorang sahabat berkata : "Menjadi rosak akhlak kami".

Hadaf surah

Walaupun surah ini dinamakan Al-Anfäl (harta rampasan perang), namun hadaf utama surah ini bukanlah untuk menceritakan kepada kita tentang hukum-hakam berkait pengurusan harta rampasan perang. Sebenarnya melalui surah ini Allah ingin menceritakan kepada kita tentang perkara atau urusan yang sepatutnya menjadi prioriti utama bagi orang Islam.  

Dalam ayat pertama, orang Islam menanyakan Rasulullah s.a.w. tentang urusan harta rampasan perang.

"Mereka menanyakan kamu tentang harta rampasan perang. Katakanlah : Harta rampasan perang itu milik Allah dan Rasul-Nya. Maka bertaqwalah kepada Allah dan perbaikilah hubungan sesama kamu. Dan taatlah Allah dan Rasul-Nya, jika kamu orang-orang beriman."

Lalu, apakah jawapan Nabi s.a.w.? 

Cuba anda perhatikan 50 ayat pertama dari surah ini. Dalam ayat manakah Allah memberitahu Rasulullah cara mengurus harta rampasan perang? Bermula dari ayat ke-41!

Ketika ditanya oleh para sahabat tentang cara mengurus harta rampasan, Allah tidak memberitahu Rasulullah jawapannya terus, sebaliknya Allah mengajarkan kepada Rasulullah dan para sahabat perkara-perkara lain terlebih dahulu. Selepas ayat ke-40, barulah Allah memberi jawapan kepada persoalan yang ditanya oleh orang Islam dalam ayat pertama. Dan ketahuilah bahawa 40 ayat pertama itulah ayat-ayat yang mengandungi isi penting yang Allah mahukan orang Islam ambil pengajaran darinya.

Apa yang Allah mahu ajarkan?

Apabila kita meneliti keseluruhan isi surah ini, kita akan menyedari bahawa urusan harta rampasan perang bukanlah perkara utama yang Allah nak ceritakan dalam surah ini, tetapi Allah sebenarnya ingin menceritakan sesuatu yang lebih penting dari Perang Badar dan harta rampasan perang itu sendiri, iaitulah sunnatullah menang kalah dalam dakwah. Di sana Allah lebih banyak menekankan perkara-perkara yang menjadi syarat dan asas kepada piawaian sunnatullah kemenangan.

Seperti mana dalam surah-surah sebelum surah ini yang mengandungi qanun tertentu, surah Al-Anfäl juga mengandungi qanun tersendiri. Perkara-perkara yang menjadi syarat dan asas kepada piawaian sunnatullah kemenangan tadi membentuk dua qanun besar, iaitu qanun rabbaniyyah (ketuhanan) dan qanun mäddiyyah (kebendaan).

Sunnatullah Kemenangan

Bagi tujuan mencapai kemenangan mengalahkan musuh Islam, menjadi sunnatullah bagi kita untuk mematuhi qanun yang telah ditetapkan oleh-Nya, iaitulah qanun rabbaniyyah dan mäddiyyah (berdasarkan surah ini).

Pertama, qanun rabbaniyyah menyatakan bahawa kemenangan hanya datang dari sisi Allah semata-mata, bukannya apa yang selain dari Dia.

Surah Al-Anfäl, ayat 10
"Dan tidaklah Allah menjadikannya melainkan sebagai khabar gembira agar hatimu tenteram kerananya. Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa Maha Bijaksana."

Walaupun Allah mengutuskan gerombolan malaikat yang datang berbondong-bondong ketika perang, malaikat bukanlah watak utama yang memenangkan orang Islam dalam Ghazwah Badar. Malaikat hanyalah sekadar penyokong yang menguatkan semangat tentera Islam lagi, tetapi Allahlah yang mengizinkan mereka untuk menang.

"Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya" (ayat 30), "Dia ialah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong" (ayat 40), "... Allah berkehendak melaksanakan suatu urusan yang harus dilaksanakan, iaitu agar orang yang binasa itu binasa dengan bukti yang nyata dan agar yang hidup itu hidup dengan bukti yang nyata" (ayat 42), "Hanya kepada Allah segala urusan dikembalikan" (ayat 44), "Dan jika mereka hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah bagimu. Dialah yang memberikan kekuatan kepadamu dengan pertolongan-Nya ..." (ayat 62), "Barangsiapa bertawakkal kepada Allah, ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa Maha Bijaksana" (ayat 49) - Inilah antara ayat-ayat lain dari surah ini yang menekankan betapa Allahlah Yang Maha Berkuasa Maha Perkasa, dan Dialah yang berhak memenangkan atau mengalahkan sesuatu golongan. 

Kedua, qanun mäddiyyah menyatakan bahawa kekuatan material yang mencangkupi kekuatan persenjataan, pengangkutan dan sebagainya juga merupakan salah satu syarat utama bagi mencapai tujuan kemenangan.

Surah Al-Anfäl, ayat 60
"Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki dari pasukan berkuda yang dapat menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya tetapi Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu infakkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dizalimi."

Kedua-dua qanun ini mesti dipatuhi secara serentak, tidak boleh diabaikan salah satu dari keduanya. Jika kita hanya banyak berdoa dan bertawakkal semata-mata, syarat qanun mäddiyyah tidak dipenuhi. Dan jika kita terlebih sibuk dengan persediaan teknikal tetapi kurang bergantung harap kepada Allah, syarat qanun rabbaniyyah tidak dipenuhi pula. Patuh kepada qanun sekadar mengikut kemampuan kita, kita pasti akan menang.

Kenapa diceritakan qanun ini?

Nampak pelik apabila diceritakan sunnatullah kemenangan dan qanun-qanun berkenaan selepas berakhirnya Ghazwah Badar, bukannya sebelum ghazwah.

"Strategi perang, mesti dibuat sebelum perang, kenapa ini dibuat selepas perang?"

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah, qanun-qanun yang Allah ceritakan di atas merupakan peringatan dan teguran Allah yang sangat penting bagi orang Islam selepas ghazwah, kerana semua itu boleh diambil sebagai muhasabah dan pengajaran bagi orang Islam untuk masa hadapan.

Betapa cantiknya perancangan Allah, cuba kita lihat sejarah Ghazwah Uhud.

Dalam Ghazwah Uhud, pada suatu ketika orang Islam hampir menang. Malangnya, apabila kelihatan sebahagian tentera Islam mula beralih kepada harta rampasan perang, maka tentera lain termasuk pasukan pemanah di atas bukit mula menyangka Islam sudah menang. Lalu turunlah beberapa sahabat dari atas bukit itu dengan tujuan turut serta dalam perebutan harta rampasan.

Disebabkan lupanya orang Islam terhadap qanun yang telah diceritakan oleh Allah selepas Ghazwah Badar, maka akibatnya tentera Islam kalah dalam Ghazwah Uhud. Nabi Muhammad tercedera teruk, beberapa orang sahabat gugur syahid kerana mempertahankan Nabi, dan bapa saudara Nabi, Sayyidana Hamzah juga mati syahid. Setelah pulang ke Madinah, tentera Muslim mendapat penangan yang hebat apabila diejek oleh Yahudi dan munafik Madinah. Inilah harga yang perlu dibayar oleh orang Islam atas perbuatan mereka melanggar qanun rabbaniyyah dan mäddiyyah.

Dari sirah Ghazwah Badar dan Ghazwah Uhud ini kita akan menyedari bahawa apa yang diceritakan selepas Ghazwah Badar ialah teori, manakala ketika Ghazwah Uhud ialah masanya teori qanun tersebut diuji dan dilaksanakan oleh orang Islam.

Kesimpulannya, orang Islam gagal dalam mematuhi dua qanun tersebut. Inilah pengajaran besar bagi kita, ikhwah dan akhawat sebagai para du'at pada zaman ini.

Sunnatullah memenangkan dakwah dan syariah Islam di muka bumi ini akan berlaku apabila qanun rabbaniyyah dan mäddiyyah dihayati dan dipatuhi oleh kita. Kita juga merancang, tetapi sesungguhnya Dia Maha Merancang.

Wallahu'alam.

Kosa kata :

غَزْوَةٌ / Ghazwah = Peperangan
غَنِيمَةٌ / Ghanimah = Harta rampasan perang
هَدَفٌ / Hadaf = Tujuan, matlamat, sasaran
قَانُونٌ / Qanun = Undang-undang
سُنَّةُ اللهِ / Sunnatullah = Ketetapan Allah
مَادِّيَّةٌ / Mäddiyyah = Materialisme, kebendaan