Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.
Assalamualaikum dan salam sejahtera, muslimin yang dirahmati dan dikasihi Allah s.w.t. sekalian.
Pertamanya saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana saya telah diberikan kekuatan oleh-Nya untuk melibatkan diri dalam dunia blog, menyertai sahabat-sahabat blogger saya yang lain untuk manfaat pada jalan kebaikan, dan semulia-mulia jalan kebaikan itu adalah menyampaikan risalah dan ajaran Islam kepada manusia.
Matlamat dan harapan untuk menyampaikan seruan Islam tidak dapat dicapai sekadar menerusi ceramah dan khutbah semata-mata, tetapi juga perlu melalui pelbagai medium yang ada termasuklah laman blog. Oleh itu, kita perlu sedar bahawa segala potensi dan kemampuan yang kita ada atau miliki, perlulah digunakan untuk kepentingan Islam.
InsyaAllah, penulisan saya di sini akan banyak berkisarkan isi kandungan Al-Quran, Al-Hadith, dan kisah-kisah manusia, termasuklah kisah peribadi sendiri, kerana saya percaya setiap apa yang terkandung dalam Al-Quran, Al-Hadith serta apa yang berlaku di sekeliling kita sebenarnya merupakan pengajaran dan hikmah yang Allah sedang sampaikan kepada kita, baik secara tersurat mahupun tersirat. Cumanya terpulang kepada kita sama ada mahu mencarinya atau tidak, dan menerimanya atau tidak.
Kata Allah s.w.t. :
"Demi sesungguhnya, pada kisah mereka itu ada iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. Bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman." (QS 12:111)
Berdasarkan satu nama surah - "Al-Qasas" yang bermaksud kisah-kisah, maka inilah sumber inspirasi yang membuatkan saya untuk menulis, berkongsi cerita-cerita untuk manfaat bersama. Dari situ, terlahirlah "Al-Qasas" ini.
Tunjuk ajar, nasihat, teguran dan segala macam bentuk bantuan yang lain daripada ikhwah dan akhawat amatlah saya alu-alukan agar dalam meniti kehidupan yang penuh ranjau dan liku ini serta dalam membawa tanggungjawab menyampaikan risalah kebaikan, saya sentiasa berada pada jalan yang betul, berada dalam batas-batas agama, yakni jalan perjuangan yang dianjurkan oleh Allah s.w.t. dan para rasul-Nya.
Akhir kata, moga-moga blog “Al-Qasas” ini juga dapat menjadi medium penyampaian risalah Islam serta medium perkongsian pandangan dan buah fikiran kita semua yang bermanfaat dalam segala bentuk aspek, kepada diri dan dalam kehidupan kita. Amin.
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment