Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin
Showing posts with label Sirah. Show all posts
Showing posts with label Sirah. Show all posts

23 August 2014

Dakwah di Tha'if dan Pengajarannya

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

Kisah dakwah Rasulullah s.a.w. di Tha'if, adakah ianya dekat pada kita?

Sirah menukilkan tentang kedatangan Rasulullah s.a.w. dan sahabat Zaid bin Haritsah r.a. ke Tha'if untuk menyebarkan risalah agama Islam yang suci telah ditolak oleh para pembesar dari Bani Tsaqif, dan kemudiannya pula dihalau dengan ejekan dan balingan batu dan kayu oleh penduduk Thaif.

Peristiwa menyedihkan tersebut menyaksikan luka dan berdarahnya jasad mulia Rasulullah s.a.w. dan Zaid r.a.. Lalu Malaikat Jibril a.s. memohon kebenaran daripada Rasulullah s.a.w. untuk menurunkan bala kepada penduduk Tha'if, namun tidak dibenarkan oleh baginda. Malah Rasulullah s.a.w. mendoakan agar Allah s.w.t. mengurniakan rahmat dan hidayah kepada mereka yang telah menganiayai baginda.

Lalu, bagaimanakah kisah dakwah Nabi Muhammad s.a.w. di Tha'if tersebut mengajarkan kita para du'at zaman ini?

Ada beberapa hal yang mahu dikongsikan. Antaranya :

1. Tha'if adalah suatu tempat yang terletak lebih dari 100 kilometer dari kota Mekkah dan diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. mengambil masa lebih dari 10 hari untuk tiba di Tha'if. Walaupun mengharungi perjalanan yang merentasi kawasan pergunungan dan memakan masa yang panjang, namun Rasulullah s.a.w. tiba juga di Tha'if.



Perjalanan yang sesukar dan sejauh itu, ditempuhi juga demi kelangsungan dakwah. Lalu, bagaimanakah dengan kita para du'at hari ini?

Adakah perjalanan dari Sepang ke Kuala Selangor itu sudahpun cukup menyulitkan kita?

2. Ketika Malaikat Jibril a.s. meminta izin agar diazab kaum Tha'if, Rasulullah s.a.w. melarangnya, malah mendoakan akan kebaikan penduduk Thaif dengan doa :
"Ya Allah, kurniakanlah kaumku ini hidayah, sesungguhnya mereka tidak mengetahui."

Tha'if kedudukannya jauh dari Mekkah tempat membesarnya Rasulullah s.a.w., manakala penduduknya Bani Tsaqif pula bukanlah masyarakat yang rapat dengan baginda. Namun baginda masih membahasakan mereka sebagai "kaumku". 

Lalu, bagaimanakah dengan kita para du'at hari ini? Adakah kita di Sepang sudahpun menganggap penduduk di Kuala Selangor itu sebagai "kaum" atau mad'u kita?

3. Ketika dalam perjalanan keluar dari Tha'if, Rasulullah s.a.w. telah disapa dan dilayan baik oleh seorang Nasrani. Peluang dimanfaatkan oleh Rasulullah s.a.w. dengan memperkenalkan risalah Islam kepadanya, kemudian menyaksikan ia memeluk agama Islam.

Lalu, bagaimanakah dengan kita para du'at hari ini? Adakah kerana sekumpulan manusia menolak seruan dakwah kita lalu kitapun pesimis terhadap kumpulan manusia yang lain?

4. Pada tahun ke-10 kenabian atau tiga tahun sebelum hijrah ke Madinah, Nabi Muhammad s.a.w. memulakan misi mencari tapak baru bagi dakwah islamiyyah tetapi tidak berjaya. Baginda keluar dari Tha'if dalam keadaan menyedihkan. Namun begitu, penduduk Tha'if akhirnya berjaya juga di-Islamkan hasil dakwah dan tarbiyyah oleh utusan baginda 'Abdullah bin 'Abbas, 12 tahun selepas peristiwa pengusiran dari Tha'if yang dilalui oleh baginda. Kini, baginda sudah boleh mula tersenyum kesyukuran.

Lalu, bagaimanakah dengan kita para du'at hari ini? Adakah kerana ditolak oleh masyarakat walaupun baru sahaja 3-6 tahun berdakwah, lalu kita sudahpun mahu berputus asa dan berhenti?

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Begitulah sirah dakwah Nabi Muhammad s.a.w. di Tha'if mengajarkan kita banyak hal tentang kepentingan bersikap positif dan optimis terhadap masa depan mad'u dan dakwah kita.

Kepayahan, kesakitan, kesedihan, semua itu tidak sepatutnya melemahkan kita. Sebaliknya, setiap ujian yang dilalui sepatutnya lebih menguatkan kita, baik dari segi jiwa, mental dan juga fizikal.

وَلاَ حَوْلَ وَلا َقُوَّة َإِلا َّ بِالله
"Sesungguhnya tiada upaya dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah."

Tetaplah tsabat di jalan. Tetaplah cekal dengan amal.

والله أعلم
Wallahu'alam

10 February 2014

Merindui Abu Bakr dan Khadijah

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Setiap kali diacah oleh ujian, hati mula goyah dan ragu-ragu. "Apakah yang patut kulakukan?", itulah persoalan yang selalu terlintas dalam hati.

Aku mengenang kembali kisah individu terpenting bagi Rasulullah, iaitulah Abu Bakr dan Khadijah. Dengan harapan, kutemui sumber kekuatan untuk mengharungi ujian yang mendatang.

Abu Bakr dan Khadijah, insan yang kurindui, yang kumahu turuti.

Ya ikhwani rahimakumullah.

Ketika Perang Tabuk, Abu Bakr menyerahkan segala hartanya untuk Islam.
"Wahai Abu Bakar, apa yang kamu tinggalkan untuk ahli keluarga engkau?"
"Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya."

Tanpa ragu-ragu dan banyak karenah, segalanya disedekahkan untuk Islam.

Manakala ketika seluruh masyarakat Arab Quraisy mengingkari dakwah Rasulullah s.a.w., Khadijah binti Khuwailid ialah orang pertama yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Khadijah orang bangsawan dan jutawan ini menyerahkan segala apa miliknya untuk Islam. Tiada apa yang berharga baginya melainkan keimanan kepada Allah dan Rasulullah.

Abu Bakr dan Khadijah, merekalah ahli syurga yang pasti. Mereka mendahului para sahabat yang lainnya. Sehinggakan Abu Bakr dicemburui Umar, manakala Khadijah dicemburui Aisyah. Malah kedua-duanya dicemburui oleh semua sahabat.

Manakan dapat Abu Bakr dan Khadijah pada umat ini?

Ya ikhwani rahimakumullah.

Begitulah para sahabat agung mengajarkan para du'at akan makna keyakinan terhadap janji Allah dan Rasul-Nya dalam melalui jalan perjuangan dakwah dan tarbiyah ini. Segala apa yang ada pada diri kita, sebenarnya semua itu milik Allah.

Wallahu'alam.

02 August 2013

Impian Hari Ini

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


"Demi Allah aku tidak sanggup terperuk dan berkurung di dalam sangkar bersama-sama kalian seperti ayam bersama anak-anaknya.

Aku tidak mampu hidup dengan menyejukkan diri sedangkan kepanasan api dugaan membakar hati-hati umat Islam.

Aku tidak rela tinggal bersama-sama kalian sepanjang masa sedangkan realiti umat Islam kini telah mengoyak-robak jiwa setiap mereka yang mempunyai hati dan akal yang waras.

Benar-benar tidak bermaruah jika aku tinggal bersama-sama kalian dengan limpahan kenikmatan diangkat satu hidangan dan dituruti pula dengan hidangan yang lain."


As-Syahid Dr. Abdullah Azzam

As-Syahid Dr. Abddullah Azzam, mujahid yang telahpun menemui syahid yang dicita-citakannya. Kepergian beliau melahirkan ribuan lagi mujahid yang sedang mengejar dan menunggu-nunggu untuk mati syahid. Kitakah orangnya?

Sejak dari usia muda, beliau telahpun komited memperniaga fikiran, tenaga dan hartanya untuk dakwah dan tarbiyyah. Kita?

Rajin dan cemerlang dalam pelajaran, bahkan bergelar 'Doktor'. Tetapi semua itu tidak pula menghalangnya daripada mencintai jihad untuk umat dan agama Islam. Kita?

Berhijrah dari tempat tinggal yang aman dan selesa ke suatu tempat yang asing baginya dan huru-hara dengan suasana peperangan. Semua itu dilakukan demi dakwah dan jihad. Kita?

Mati syahid, cita-cita tertinggi. Persoalannya, sudah bersediakah kita untuk mati syahid? Sudah bersediakah kita untuk meninggalkan kesenangan dunia?

Daripada Jabir r.a., katanya, ada seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w. pada hari perang Uhud: "Bagaimanakah pendapat Tuan jikalau saya terbunuh, di manakah tempatku?" Nabi s.a.w. bersabda: "Di syurga." Orang tersebut lalu melemparkan beberapa buah kurma yang masih di tangannya, kemudian berperang sehingga ia dibunuh (mati syahid)." (Muttafaq 'alaih)

Sesungguhnya syurga itu di bawah naungan pedang.

Kata Allah s.w.t. : 

"SesungguhnyaAllah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil, dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu. Dan demikian itulah kemenangan yang agung." (At-Taubah : 111)

Janji Allah, saya percayakannya. Mati syahid, saya mengimpikannya. Anda?

Wallahu'alam.

18 July 2013

Qanun Menang Kalah

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Surah Al-Anfäl

Surah Al-Anfäl merupakan surah ke-8 dalam Al-Quran, yang mengandungi 75 ayat dan tergolong dalam golongan surah Madaniyyah.

Surah ini dinamakan Al-Anfäl, yang bermaksud "harta rampasan perang", kerana pada permulaan surah dan di pertengahan surah diceritakan tentang urusan harta rampasan perang.

Surah Al-Anfäl diturunkan selepas surah Al-Baqarah dan selepas berlakunya Ghazwah Badar. Ghazwah Badar merupakan satu peristiwa yang menjadi titik tolak terpenting dalam harakah dakwah Nabi s.a.w., sehinggakan Ghazwah Badar ini dinamakan juga sebagai Yaumul Furqan (Hari Pembeda), iaitu saatnya membezakan antara kebenaran dan kebatilan, dan antara kelompok Islam dan kelompok kafir.

Bagi Nabi s.a.w., Ghazwah Badar ini diumpamakan sebagai medan yang menentukan hidup mati dakwah baginda. Kerana itu sebelum perang, Nabi s.a.w. sangat takut untuk berperang dan baginda banyak dan bersungguh-sungguh berdoa, sehinggakan pada suatu ketika, selendang baginda terjatuh ketika baginda berdoa tetapi baginda terus tekun berdoa, menunjukkan betapa Nabi s.a.w. sangat mengharapkan Allah s.w.t. mengurniakan kekuatan dan kemenangan kepada orang Islam. Ketakutan Nabi s.a.w. bertambah pula disebabkan oleh kekuatan orang kafir Quraisy yang mantap dari segi jumlah tentera, kelengkapan persenjataan, pengangkutan dan bekalan makanan, berbanding orang Islam yang persiapannya serba kekurangan.

Pada hari berlakunya Ghazwah Badar, lalu Allah s.w.t. mentakdirkan orang Islam menang ke atas orang kafir Quraisy.

Dan sebab turunnya surah Al-Anfäl berpunca dari selepas berakhirnya Ghazwah Badar apabila orang Islam saling berselisih mengenai pembahagian ghanimah. Ghazwah Badar merupakan ghazwah pertama bagi orang Islam, dan kerana mereka menang, ini merupakan kali pertama mereka mendapatkan ghanimah. Kerana itulah mereka 'keliru' lalu berselisih dalam menyelesaikan urusan pembahagian harta rampasan. Begitu tegangnya situasi ketika itu sehinggakan seorang sahabat berkata : "Menjadi rosak akhlak kami".

Hadaf surah

Walaupun surah ini dinamakan Al-Anfäl (harta rampasan perang), namun hadaf utama surah ini bukanlah untuk menceritakan kepada kita tentang hukum-hakam berkait pengurusan harta rampasan perang. Sebenarnya melalui surah ini Allah ingin menceritakan kepada kita tentang perkara atau urusan yang sepatutnya menjadi prioriti utama bagi orang Islam.  

Dalam ayat pertama, orang Islam menanyakan Rasulullah s.a.w. tentang urusan harta rampasan perang.

"Mereka menanyakan kamu tentang harta rampasan perang. Katakanlah : Harta rampasan perang itu milik Allah dan Rasul-Nya. Maka bertaqwalah kepada Allah dan perbaikilah hubungan sesama kamu. Dan taatlah Allah dan Rasul-Nya, jika kamu orang-orang beriman."

Lalu, apakah jawapan Nabi s.a.w.? 

Cuba anda perhatikan 50 ayat pertama dari surah ini. Dalam ayat manakah Allah memberitahu Rasulullah cara mengurus harta rampasan perang? Bermula dari ayat ke-41!

Ketika ditanya oleh para sahabat tentang cara mengurus harta rampasan, Allah tidak memberitahu Rasulullah jawapannya terus, sebaliknya Allah mengajarkan kepada Rasulullah dan para sahabat perkara-perkara lain terlebih dahulu. Selepas ayat ke-40, barulah Allah memberi jawapan kepada persoalan yang ditanya oleh orang Islam dalam ayat pertama. Dan ketahuilah bahawa 40 ayat pertama itulah ayat-ayat yang mengandungi isi penting yang Allah mahukan orang Islam ambil pengajaran darinya.

Apa yang Allah mahu ajarkan?

Apabila kita meneliti keseluruhan isi surah ini, kita akan menyedari bahawa urusan harta rampasan perang bukanlah perkara utama yang Allah nak ceritakan dalam surah ini, tetapi Allah sebenarnya ingin menceritakan sesuatu yang lebih penting dari Perang Badar dan harta rampasan perang itu sendiri, iaitulah sunnatullah menang kalah dalam dakwah. Di sana Allah lebih banyak menekankan perkara-perkara yang menjadi syarat dan asas kepada piawaian sunnatullah kemenangan.

Seperti mana dalam surah-surah sebelum surah ini yang mengandungi qanun tertentu, surah Al-Anfäl juga mengandungi qanun tersendiri. Perkara-perkara yang menjadi syarat dan asas kepada piawaian sunnatullah kemenangan tadi membentuk dua qanun besar, iaitu qanun rabbaniyyah (ketuhanan) dan qanun mäddiyyah (kebendaan).

Sunnatullah Kemenangan

Bagi tujuan mencapai kemenangan mengalahkan musuh Islam, menjadi sunnatullah bagi kita untuk mematuhi qanun yang telah ditetapkan oleh-Nya, iaitulah qanun rabbaniyyah dan mäddiyyah (berdasarkan surah ini).

Pertama, qanun rabbaniyyah menyatakan bahawa kemenangan hanya datang dari sisi Allah semata-mata, bukannya apa yang selain dari Dia.

Surah Al-Anfäl, ayat 10
"Dan tidaklah Allah menjadikannya melainkan sebagai khabar gembira agar hatimu tenteram kerananya. Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa Maha Bijaksana."

Walaupun Allah mengutuskan gerombolan malaikat yang datang berbondong-bondong ketika perang, malaikat bukanlah watak utama yang memenangkan orang Islam dalam Ghazwah Badar. Malaikat hanyalah sekadar penyokong yang menguatkan semangat tentera Islam lagi, tetapi Allahlah yang mengizinkan mereka untuk menang.

"Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya" (ayat 30), "Dia ialah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong" (ayat 40), "... Allah berkehendak melaksanakan suatu urusan yang harus dilaksanakan, iaitu agar orang yang binasa itu binasa dengan bukti yang nyata dan agar yang hidup itu hidup dengan bukti yang nyata" (ayat 42), "Hanya kepada Allah segala urusan dikembalikan" (ayat 44), "Dan jika mereka hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah bagimu. Dialah yang memberikan kekuatan kepadamu dengan pertolongan-Nya ..." (ayat 62), "Barangsiapa bertawakkal kepada Allah, ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa Maha Bijaksana" (ayat 49) - Inilah antara ayat-ayat lain dari surah ini yang menekankan betapa Allahlah Yang Maha Berkuasa Maha Perkasa, dan Dialah yang berhak memenangkan atau mengalahkan sesuatu golongan. 

Kedua, qanun mäddiyyah menyatakan bahawa kekuatan material yang mencangkupi kekuatan persenjataan, pengangkutan dan sebagainya juga merupakan salah satu syarat utama bagi mencapai tujuan kemenangan.

Surah Al-Anfäl, ayat 60
"Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki dari pasukan berkuda yang dapat menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya tetapi Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu infakkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dizalimi."

Kedua-dua qanun ini mesti dipatuhi secara serentak, tidak boleh diabaikan salah satu dari keduanya. Jika kita hanya banyak berdoa dan bertawakkal semata-mata, syarat qanun mäddiyyah tidak dipenuhi. Dan jika kita terlebih sibuk dengan persediaan teknikal tetapi kurang bergantung harap kepada Allah, syarat qanun rabbaniyyah tidak dipenuhi pula. Patuh kepada qanun sekadar mengikut kemampuan kita, kita pasti akan menang.

Kenapa diceritakan qanun ini?

Nampak pelik apabila diceritakan sunnatullah kemenangan dan qanun-qanun berkenaan selepas berakhirnya Ghazwah Badar, bukannya sebelum ghazwah.

"Strategi perang, mesti dibuat sebelum perang, kenapa ini dibuat selepas perang?"

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah, qanun-qanun yang Allah ceritakan di atas merupakan peringatan dan teguran Allah yang sangat penting bagi orang Islam selepas ghazwah, kerana semua itu boleh diambil sebagai muhasabah dan pengajaran bagi orang Islam untuk masa hadapan.

Betapa cantiknya perancangan Allah, cuba kita lihat sejarah Ghazwah Uhud.

Dalam Ghazwah Uhud, pada suatu ketika orang Islam hampir menang. Malangnya, apabila kelihatan sebahagian tentera Islam mula beralih kepada harta rampasan perang, maka tentera lain termasuk pasukan pemanah di atas bukit mula menyangka Islam sudah menang. Lalu turunlah beberapa sahabat dari atas bukit itu dengan tujuan turut serta dalam perebutan harta rampasan.

Disebabkan lupanya orang Islam terhadap qanun yang telah diceritakan oleh Allah selepas Ghazwah Badar, maka akibatnya tentera Islam kalah dalam Ghazwah Uhud. Nabi Muhammad tercedera teruk, beberapa orang sahabat gugur syahid kerana mempertahankan Nabi, dan bapa saudara Nabi, Sayyidana Hamzah juga mati syahid. Setelah pulang ke Madinah, tentera Muslim mendapat penangan yang hebat apabila diejek oleh Yahudi dan munafik Madinah. Inilah harga yang perlu dibayar oleh orang Islam atas perbuatan mereka melanggar qanun rabbaniyyah dan mäddiyyah.

Dari sirah Ghazwah Badar dan Ghazwah Uhud ini kita akan menyedari bahawa apa yang diceritakan selepas Ghazwah Badar ialah teori, manakala ketika Ghazwah Uhud ialah masanya teori qanun tersebut diuji dan dilaksanakan oleh orang Islam.

Kesimpulannya, orang Islam gagal dalam mematuhi dua qanun tersebut. Inilah pengajaran besar bagi kita, ikhwah dan akhawat sebagai para du'at pada zaman ini.

Sunnatullah memenangkan dakwah dan syariah Islam di muka bumi ini akan berlaku apabila qanun rabbaniyyah dan mäddiyyah dihayati dan dipatuhi oleh kita. Kita juga merancang, tetapi sesungguhnya Dia Maha Merancang.

Wallahu'alam.

Kosa kata :

غَزْوَةٌ / Ghazwah = Peperangan
غَنِيمَةٌ / Ghanimah = Harta rampasan perang
هَدَفٌ / Hadaf = Tujuan, matlamat, sasaran
قَانُونٌ / Qanun = Undang-undang
سُنَّةُ اللهِ / Sunnatullah = Ketetapan Allah
مَادِّيَّةٌ / Mäddiyyah = Materialisme, kebendaan