Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin
Showing posts with label Curhat. Show all posts
Showing posts with label Curhat. Show all posts

02 March 2014

Kenapa Nescafé?

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Suatu hari, aku makan tengah hari di sebuah kedai makan bersama seorang ikhwah.
"Kenapa pesan air nescafé?"
"Ha? Apa?"
Tiba-tiba ditanya dengan soalan sebegitu. Aku terkejut, terpinga-pinga dibuatnya.
"Tak tahu."
Jawapan diberi dengan cepat dan ringkas, tanpa berfikir panjang. Lalu, aku terdiam.

Gambar hiasan semata-mata

Kemudian, baru kuingat, baru kufaham. 

Antara syiar ikhwah dan akhawat dalam kehidupan ialah memboikot produk syarikat pro-zionis Israel. Termasuklah Nescafé, salah satu produk daripada syarikat Nestlé.

Itulah sebabnya akh tersebut kehairanan melihatkan aku memesan minuman nescafé.
"Ana lupa. Kalau barang yang jelas berlabel 'Nestlé', ana memang tak beli. Mungkin sebab minuman seperti ini tiada label, jadi ana terlupa."
Kucuba jelaskan padanya. Tapi kutahu, alasanku itu masih belum meyakinkan.

Sehingga kini, aku sungguh terasa dengan pertanyaan itu, semacam ia memukul kepala dan mengetuk jiwaku. Sejak saat itu, acap kali kutanyakan diriku sendiri, "Apakah benar jihadku memboikot produk syarikat pro-zionis Israel selama ini?".

Mungkin kerana selama ini minuman nescafé merupakan minuman kegemaranku, lalu aku tak bersungguh memboikot produk Nestlé.

Teringat kisah seorang akh yang menceritakan peristiwa di tempatnya bekerja, jururawat terkejut apabila diberitahu ia sudah 6 tahun memboikot dan tak makan makanan McDonald's.

Mereka boleh dan mampu, kenapa tidak kita?

Memboikot barangan syarikat pro-zionis Israel itu suatu kewajipan, juga suatu jihad ekonomi.


Wallahu'alam.

05 February 2014

Jundi Menyerang, Qiyadi Mempertahan

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Antara keuntungan berada di Terengganu, spesifiknya Kuala Terengganu, adalah selalu berkesempatan berjumpa dan mendengar kata-kata ingatan dan panduan daripada banyak orang lama dalam dakwah, terutamanya mereka yang mengasaskan dan berada dalam pimpinan jemaah.

Antara syuyukh tersebut, salah seorangnya ialah Ustaz Zawawi Ali.

Jika ikhwah dan akhawat berjaulah ke Kuala Terengganu, selalunya akan ada ziarah bertemu dengan Ustaz Zawawi. Dengan mengenali peribadi dan meneliti kata-kata murabbi agung, harapnya ikhwah dan akhawat memperoleh sebanyak mungkin pengajaran dan bimbingan dalam mengikuti kafilah dakwah ini.

Dan dalam pertemuan tersebut, persoalan berkaitan jemaah lazimnya ditanya. Bukan sahaja jemaah sendiri, bahkan jemaah lain.

Mengapa isu jemaah? Tak pasti. Yang pasti, kebanyakan ikhwah dan akhawat memang suka berbicara tentang jemaah.

Sejujurnya, aku suka bila mana Ustaz Zawawi bercakap tentang jemaah. Prinsip dan akhlaknya, kerana itulah aku sangat mengagumi dan menghormatinya. Kenapa? Kerana tidak pernah sekalipun aku mendengar perkataan buruk yang diungkapkan olehnya tentang jemaah lain dan ahli pimpinannya.

Terima kasih kepada Ustaz Zawawi dan para syuyukh yang lain. Kerana merekalah aku kini memahami slogan yang selalu kita laungkan bersama - dakwah kita ialah dakwah kasih sayang dan penyatuan.

Ketika mana orang di bawah leka menghentam jemaah lain dan pimpinannya, orang di atas pula tidak pernah berhenti mendoakan dan melaksanakan usaha-usaha penyatuan dan kerjasama antara jemaah lain. Ini kerana para murabbi agung arif dalam membezakan antara alat dan matlamat. Jemaah-jemaah kecil hanyalah alat, khilafah itu matlamat. Maka janganlah kerana terlalu sibuk dengan alat, kita tercicir jauh dari matlamat yang hendak dituju.

Jundi menyerang, qiyadi mempertahan.

Ya ikhwani.

Begitulah para syuyukh mengajarkan kita dalam meniti jalan dakwah ini. Dakwah Ikhwan bukan sahaja mempersatukan kumpulan-kumpulan manusia secara luaran semata-mata, bahkan mengikat hati-hati dalam kebersamaan. Kerana itu bagi seorang al-akh sejati, hendaklah ia sentiasa mendoakan dan berusaha agar kita diizinkan bersama dengan mereka yang lain.

Ukhuwah, teras kegemilangan.

Wallahu'alam.

25 January 2014

Tetap Di Posisi Demi Pengislahan

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Dalam liqa' baru-baru ini, seorang ahli usrah yang juga bekas graduan dari Jordan meluahkan perasaannya yang kesukaran bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah rendah.

Karenah anak-anak murid dan rakan-rakan guru, sangat menguji dirinya. Sehinggakan, ia merasakan sudah hilang sabar dan terlintas di hati mahu berhenti mengajar.

Lalu, kata murabbi kami : "Kalau kamu berhenti mengajar, maknanya kamu tak kisah kalau tempat kamu diganti dengan orang yang kurang baik dari kamu? Pengganti yang kurang baik akhlaknya, yang kurang rohnya sebagai pendidik. Kamu mahu lihat keadaan menjadi lebih teruk? Kalau bukan kamu, siapa lagi yang akan menjadikannya lebih baik?"

Saya terdiam. Walaupun tidak ditujukan kepada saya, saya terpukul dengan kata-katanya.

Tapi benarlah kata murabbi. Kita ini bukan orang yang mahu lari dari masalah dan sukakan zon selesa. Dengan kesungguhan dan pengorbanan, kitalah yang akan tetap di posisi yang akan merawat dan mengubati penyakit umat ini.

Moga Allah memelihara umat ini.

Wallahu'alam.

17 August 2013

Lakonan Pengantin Baru KITA!

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Musim cuti panjang sebegini pasti akan penuh dengan undangan ke majlis perkahwinan saudara-mara atau kenalan rapat. Saya sendiri menerima hampir 10 undangan, tetapi malangnya semua tidak dapat saya hadiri kerana saya masih berada di bumi perantauan.

Melihat ikhwah dan akhawat yang akan mendirikan baitul muslim, saya teringat akan satu artikel nukilan seorang murabbi lama tentang pengantin baru KITA. Sejak dua tahun yang lalu, setiap kali datangnya musim ikhwah dan akhawat bernikah, saya pasti akan teringatkan artikel ini. Saya pernah kongsikan artikel ini di Facebook saya, tetapi tidak sampai tiga minit selepas itu, perkongsian tersebut saya padamkan. Sebabnya, saya khuatir bukan sahaja orang kebiasaan akan merasa pelik dengan 'budaya' KITA, malah pengantin baru KITA sendiri.

Inilah artikel luahan hati sang murabbi yang saya hormati.

"Dulu kebanyakan dari kita belum kahwin. Mereka mendapat dakwah dan tarbiyyah semasa belajar. Mengenal erti Islam semula ketika single. Belajar erti iman, adab, ibadah, pergaulan, sosial dan bagaimana hidup sebagai seorang muslim mengikut Quran dan Sunnah. Kita cuba sedaya upaya untuk beramal dan praktikkan apa yang kita belajar dari murabbi-murabbi. Murabbi berada di tepi kita, bersama-sama makan minum setiap hari, menegur apa yang sepatutnya.

Kini ramai dari kita telah berpindah ke alam baru. Alam yang lebih 'privacy' dari sahabat-sahabat lain dan bahkan murabbi sendiri. Banyak perkara baru yang kita perlu hidup sendirian tanpa teman murabbi yang akan menunjuk itu dan ini. Sebahagian besar dari kita telah memasuki alam 'BM'!

Apa yang terperasan oleh sahabat yang belum 'melangkah' ialah lakonan-lakonan 'kurang sopan' dari pengantin-pengantin muda ini. Maybe ianya bukan disengajakan dan memang ia maybe tidak diperasankan oleh pelakonnya, tapi ia diperasani oleh penontonnya.

Sejak hari pertama mereka hanya diikat oleh 'pertunangan', telah ada hubungan-hubungan yang kurang enak didengari dan sampai ke telinga penonton. Sedangkan movienya belum sampai ke sinema 'panggung wayang gambar'. Telah ada perbualan telefon melebihi had, telah ada emel melebihi huruf-huruf akal dan lain-lain yang maybe juga tidak disedari oleh pelakonnya.

Setelah hari menjadi 'raja', memang ada berlaku solekan dan perhiasan. Tapi ianya maybe tidak dapat dielakkan kerana desakan famili dan adat perpatih atau temenggung tua yang bertukar menjadi muda dan moden. Tetapi iklan kahwin di FB dengan gambar ala artis menghiasi laman foto FB. Ini tentunya bukan budaya kita dan budaya orang tarbiyyah. Setelah dipaksa bersolek, maka siapa pula memaksa kita menjadi penghias laman majalah dunia FB? Gambar-gambar aksi kasih sayang berdua juga tidak ketinggalan.

Setelah hidup kembali normal sebagai BM, timbul pulak lakonan lain. Lakonan gelak ketawa, gurau-gurauan fizikally atau cakapan suara, dekat mendekat, panggilan manja dan lain-lain berlaku di depan penonton sahabat-sahabat lain tidak kira sesama KITA atau bukan. Gambar-gambar lebih manja menghiasi Majalah FB lagi dengan lebih banyak.

Mencemburukan orang yang belum ber'BM'? Bukan masalah cemburu atau tidak, tetapi ia masalah adab dan akhlaq. Maybe perkara ini tidak sempat diajar oleh murabbi semasa belum kahwin dulu kerana belum tiba masanya. Sekarang oleh kerana ia telah berlaku dengan hits yang tinggi, maka mana-mana murabbi patut mengajar kembali tajuk 'ADAB DAN IKHTILAT SETELAH BM'.

Kerana kita ada 'tamayyuz'nya!"

Sekali baca, terasa 'pedas'nya. Bila difikirkan dalam-dalam, ada benarnya kata murabbi kita ini.

Semoga apa yang dinukilkan oleh murabbi kita ini, ada sesuatu yang baik yang kita boleh ambil untuk difikirkan dan diamalkan.

Suatu hari nanti, insyaAllah saya juga akan mendirikan baitul muslim. Tapi menjadi harapan agar biarlah kelak menjadi pengantin baru yang menjaga adab dan akhlak, agar dosa-dosa disebabkan 'kenakalan' dan keghairahan menjadi Raja Sehari tidak mencemari hari pernikahan kelak.

Wallahu'alam

Dikongsikan semula dari blog Muntalaq.

16 August 2013

Ziwaj Da'awi, Tanda Wafa' Seorang Rijal

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Ketika anda ketemu seorang lelaki yang begitu bersemangat, anda mungkin menganggapnya mantap dalam fikrah, cekal dalam azam dan akan mengorbankan segala-galanya untuk dakwah yang diyakininya.

Tapi bila berdepan dengan masa menentukan pilihan zaujah, anda tiba-tiba kecewa dengannya. Bukan kerana masalah atau paksaan keluarga, bukan kerana tekanan janji lama atau lain-lain uzur yang mungkin boleh diterima, tetapi ia kalah kerana sebab yang anda ragui kesanggupan pengorbanannya untuk dakwah.

Dia mungkin bersungguh-sungguh mencari seorang mad'u dan men-DF, tapi dengan mudah ia membiarkan seorang ukhti yang telah lama berkorban dan bersedia untuk berkorban lagi, tetapi terpaksa terkorban kerana menjadi ahli baitul muslim yang tak ketentuan masa depannya.

Apakah hanya kerana umur yang hanya lebih banyak beberapa hari (Ya, beberapa tahun lebih tua juga adalah beberapa hari), maka ia sanggup membiarkan seorang ukhti dilarikan arus keperluan kehidupan biasa dan kembali menjadi manusia biasa kategori MB atau MC?

Adakah hanya kerana wajah yang tidak secantik artis hiasan media massa maka ia sanggup korbankan manusia yang telah ditarbiyyah begitu lama oleh sang murabbiyah?

Adakah kerana hanya untuk mengikuti kehendak mata dan kononnya melaksanakan hadis 'dinikahi wanita kerana kecantikannya', maka ia sanggup hanya melihat seorang ukhti dibawa kembali secara paksa atas kuasa seorang suami kepada cara 'hidup selesa' dan 'harmoni'?

Tidak…

Tidak mungkin seorang rijal yang wafa' (setia) dengan dakwahnya untuk membiarkan dirinya hanya melihat dakwah surut kerana kehilangan tenaga-tenaga yang telah diasuh dan dibina dengan susah payah tangan murabbiyah. Tidak mungkin juga seorang rijal sanggup gembira dengan rumahtangga barunya bersama zaujah yang entah dari mana dan dia hidup gembira sedangkan akhawat di sana-sini menangis diheret ke alam hidup lama mereka kembali, bukan kerana kerelaan hati mereka.

Sampai bila kita hanya akan menjadi orang yang hanya berkorban harta dan tenaga tetapi tidak sanggup untuk mengorbankan keinginan mendirikan rumah tangga dengan pilihan ala artisnya.

Sungguh terharu mendengar ungkapan seorang sahabat:

"... jika tidak kerana halangan keluarga, tidak kerana memelihara imej dakwah dan tidak kerana kekangan tohmahan masyarakat, nescaya kulengkapkan bilangan empat mengikut sunnah para sahabat demi menyelamatkan dakwah kita. Akan tetapi..."

Wallahu'alam

Dikongsikan semula dari blog Muntalaq.

05 August 2013

Trailer Apa Lagi Yang Kita Mahu?

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Selepas menonton trailer filem Fast and Furious 6 sebelum ini, terdetik di hati nak menonton filem tersebut kerana teruja melihatkan ia penuh dengan babak dan aksi yang mantap lagi hebat. Baru-baru ini, melalui perkongsian trailer filem KL Gangster 2 daripada beberapa orang kawan di Facebook, juga menyebabkan hati tertarik untuk menonton filem tersebut.

Kemudian saya terfikir.

Trailer sesebuah filem yang hanya berdurasi 2-3 minit itu sudah cukup kuat untuk menggerakkan kebanyakan dari kita agar pergi ke panggung wayang dan ternanti-nanti untuk menonton filem tersebut.

Tapi yang peliknya...

'Trailer' kisah syurga dan neraka dalam Al-Quran dan Al-Hadith yang banyak-banyak itupun masih belum cukup bagi kita untuk berlumba-lumba mendapatkan syurga dan bencikan neraka.

Jadi, 'trailer' apa lagi yang kita mahu?

Wallahu'alam.

02 August 2013

Impian Hari Ini

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


"Demi Allah aku tidak sanggup terperuk dan berkurung di dalam sangkar bersama-sama kalian seperti ayam bersama anak-anaknya.

Aku tidak mampu hidup dengan menyejukkan diri sedangkan kepanasan api dugaan membakar hati-hati umat Islam.

Aku tidak rela tinggal bersama-sama kalian sepanjang masa sedangkan realiti umat Islam kini telah mengoyak-robak jiwa setiap mereka yang mempunyai hati dan akal yang waras.

Benar-benar tidak bermaruah jika aku tinggal bersama-sama kalian dengan limpahan kenikmatan diangkat satu hidangan dan dituruti pula dengan hidangan yang lain."


As-Syahid Dr. Abdullah Azzam

As-Syahid Dr. Abddullah Azzam, mujahid yang telahpun menemui syahid yang dicita-citakannya. Kepergian beliau melahirkan ribuan lagi mujahid yang sedang mengejar dan menunggu-nunggu untuk mati syahid. Kitakah orangnya?

Sejak dari usia muda, beliau telahpun komited memperniaga fikiran, tenaga dan hartanya untuk dakwah dan tarbiyyah. Kita?

Rajin dan cemerlang dalam pelajaran, bahkan bergelar 'Doktor'. Tetapi semua itu tidak pula menghalangnya daripada mencintai jihad untuk umat dan agama Islam. Kita?

Berhijrah dari tempat tinggal yang aman dan selesa ke suatu tempat yang asing baginya dan huru-hara dengan suasana peperangan. Semua itu dilakukan demi dakwah dan jihad. Kita?

Mati syahid, cita-cita tertinggi. Persoalannya, sudah bersediakah kita untuk mati syahid? Sudah bersediakah kita untuk meninggalkan kesenangan dunia?

Daripada Jabir r.a., katanya, ada seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w. pada hari perang Uhud: "Bagaimanakah pendapat Tuan jikalau saya terbunuh, di manakah tempatku?" Nabi s.a.w. bersabda: "Di syurga." Orang tersebut lalu melemparkan beberapa buah kurma yang masih di tangannya, kemudian berperang sehingga ia dibunuh (mati syahid)." (Muttafaq 'alaih)

Sesungguhnya syurga itu di bawah naungan pedang.

Kata Allah s.w.t. : 

"SesungguhnyaAllah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil, dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu. Dan demikian itulah kemenangan yang agung." (At-Taubah : 111)

Janji Allah, saya percayakannya. Mati syahid, saya mengimpikannya. Anda?

Wallahu'alam.

31 July 2013

Berikanku Jawapan

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Kebelakangan ini, ada satu hal yang membuatkan saya sentiasa terfikir-fikir dan tercari-cari jawapan kepada persoalan yang bermain di kepala saya.

Dari kalangan orang Islam, ada orang Islam mukmin, orang Islam munäfik dan orang Islam fäsik atau käfir.

Yang mukmin, mereka beriman dan beramal dengan perkara-perkara yang diimaninya.

Yang munäfik, mereka ini hipokrit dan bersandiwara dalam mentaati perintah dan larangan dalam agama Islam.

Manakala yang fäsik atau käfir, mereka mengetahui kebenaran agama Islam, tetapi mengingkari dan menolak kebenaran tersebut.

Persoalan yang bermain-main di fikiran, adakah orang Islam di luar sana perasan sama ada ciri-ciri orang munäfik, fäsik dan käfir ini ada pada diri mereka atau tak?

Kalau ya, mengapa memilih untuk bersikap dengan ciri-ciri orang-orang tersebut?

Tidak cukupkah peringatan-peringatan Allah dalam Al-Quran dan Rasulullah dalam hadith baginda yang sampai kepada kita selama ini agar kita tersedar dan keluar dari kesesatan tersebut?

Persoalan yang dilontarkan datangnya dari kisah ini.

Bila kita nak buat kerja dakwah mengajak manusia mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya, pasti akan ada individu atau kumpulan manusia yang bersikap menongkah arus, yang mahu menganggu atau menghalangi kerja-kerja murni kita

Kita nak buat kerja baik, tapi mengapa mereka tak suka? Hairan.

Kita nak mengajak manusia menyembah Allah semata-mata, tapi mengapa mereka membantah tindakan kita? Hairan.

Kita bukannya nak merampas ahli keluarga, harta atau kedudukan dari mereka, tapi mengapa mereka ketakutan atau kebimbangan? Hairan.

Sudah sampai kepada mereka ini seruan dan nasihat dari para du'at dan orang soleh, bahkan mereka sendiri mempunyai Al-Quran di tangan mereka, tetapi mengapa mereka tidak mengambil pengajaran dari semua itu?

Wahai saudaraku.
"Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman dari jalan Allah, kamu mengkehendakinya bengkok, padahal kamu menyaksikan?" (Äli-Imran : 99)

"Dan janganlah kamu duduk di setiap jalan dengan menakut-nakutkan dan menghalangi orang beriman dari jalan Allah dan ingin membelokkannya." (Al-A'raf : 86)
Kenapa kalian masih mahu membuatkan manusia beralih dari jalan kebenaran, meskipun kalian mengetahui kebenaran tersebut?
"Dan apabila dikatakan kepada mereka : 'Marilah (patuh) kepada apa yang telah diturunkan Allah (patuh) kepada Rasul', nescaya engkau melihat orang munafik menghalangi (manusia) dengan bersungguh-sungguh dari menghampirimu." (An-Nisa' : 61)
Kenapa kalian begitu bersungguh-sungguh melarikan manusia dari mendengarkan seruan dan nasihat kami?
"Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih, (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman." (An-Nisa' : 138-139)
Dan kenapa kami para du'at dan orang soleh tidak pula menjadi teman rapat bagi kalian?
"Sesungguhnya orang-orang kafir itu menginfakkan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Mereka itu akan (terus) menginfakkan harta itu, kemudian mereka menyesal sendiri, dan akhirnya mereka akan dikalahkan. Ke dalam neraka Jahannamlah orang-orang kafir itu akan dikumpulkan." (Al-Anfäl : 36)
Kenapa kalian sanggup berhabis duit semata-mata untuk menyesatkan manusia?
"Dan sebahagian dari orang-orang A'rab (yang munafik) itu memandang apa yang mereka belanjakan (dermakan pada jalan Allah) sebagai satu bayaran yang memberatkan." (At-Taubah : 98)
Tapi merasa keberatan untuk menyumbang harta di jalan Allah?
"Orang yang lebih menyukai dunia dari akhirat, dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah dan menginginkan (jalan) bengkok. Mereka itu berada dalam kesesatan yang jauh." (Ibrähim : 3)
Tidak sedarkah kalian bahawa kalian sudah jauh tersesat?
"Dan sungguh, mereka (syaitan) benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk." (Az-Zukhruf : 37)
Atau kalian menyangka perbuatan kalian itu sebagai perbuatan yang baik?
"Atau adakah mereka mengira bahawa Kami tidak mendengar rahsia dan bisikan mereka? Sebenarnya (Kami mendengar), dan utusan-utusan Kami (malaikat) sentiasa mencatat di sisi mereka." (Az-Zukhruf : 80)
Adakah kerana kalian menyangka tiada seorangpun yang mengetahui perancangan jahat kalian?
"Dan mereka (orang-orang munäfik) mengatakan, 'Taat'. Tetapi, apabila mereka pergi dari sisimu (Muhammad), sebahagian dari mereka mengatur siasat pada malam hari (mengambil keputusan) lain dari apa yang telah mereka katakan tadi." (An-Nisä' : 81)
Di hadapan kami, kalian berbicara apa yang kami suka. Di belakang kami, kalian berbicara apa yang kalian suka.
"Tetapi orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya." (Al-A'raf : 36)
"Allah menjanjikan orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan neraka Jahanam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah itu bagi mereka, dan Allah melaknat mereka, dan bagi mereka azab seksa yang kekal." (At-Taubah : 68)
Tidak cukupkah peringatan ini bagi kalian agar kalian meninggalkan kerja-kerja jahat tersebut dan bertaubat kembali kepada Allah?

Wahai saudaraku.

Apakah tujuan sebenarmu? Aku tidak mengerti, maka berikanlah aku jawapannya.
"Dan sekiranya (dahulu) kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu), tentulah kami tidak termasuk dalam penghuni neraka yang menyala-nyala. Maka mereka mengakui dosanya, tetapi jauhlah (dari rahmat Allah) bagi penghuni neraka yang menyala-nyala itu." (Al-Mulk : 10-11)
Wahai saudaraku, takutlah kepada Allah. Takutlah kepada Hari Pembalasan. Takutlah kepada azab neraka. Semoga kalian tidak termasuk dalam golongan manusia yang menyesal pada hari akhirat kelak.
"Hari (kebangkitan) yang tidak bermanfaat harta benda dan anak-pinak, kecuali sesiapa yang datang kepada Allah dengan hati yang sejantera." (As-Syu'ara' : 88-89)
Wallahu'alam.

30 July 2013

Tadabbur Al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Al-Quran bukan untuk setakat dibaca, tetapi juga untuk diteliti, dihayati dan difikiran tentang isinya, agar kita dapat memahami makna, hikmah dan tujuannya. Inilah sebab bagi setiap al-akh, menjadi kewajipan bagi mereka untuk mentadabbur Al-Quran.

Kita membaca Al-Quran bukan sekadar kerana hendak mengejar untuk mengkhatamkan tilawah Al-Quran dengan secepat mungkin, bukan sekadar merebut ganjaran 10 kebaikan bagi setiap huruf yang dibaca, dan juga bukan sekadar untuk menambah pengetahuan tentang ciptaan alam, hukum-hakam dan sirah. Kita mahu lebih dari itu.

Kita mahu dengan Al-Quran, keimanan kita terhadap Allah, Rasul, kitab-Nya, dan hari akhirat bertambah baik.

Kita mahu dengan Al-Quran, cara fikir kita lebih tajam, kritis dan meluas dari sempadan bagi orang kebiasaan.

Kita mahu dengan Al-Quran, akan membuahkan amal-amal yang bermanfaat untuk ummah dan agama Islam, bukan untuk diri sendiri semata-mata.

Kita mahu dengan Al-Quran, ia menjadi sumber pegangan dan rujukan paling utama bagi setiap urusan dalam kehidupan seharian kita, baik dalam urusan ibadah mahupun muamalat.

Al-Quran, dustüruna! Al-Quran, perlembagaan kami!

"Sebuah kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan kepadamu penuh berkah agar mereka mentadabbur ayat-ayatnya dan agar orang yang berakal sempurna beringat mengambil pengajaran." (Sod : 29)

"Maka tidakkah mereka mentadabbur Al-Quran, atau hati mereka sudah terkunci?" (Muhammad : 24)

Al-Quranmu itu, tadabburlah ia dengan tekun.

Ikhwan rahimakumullah.

Semoga Allah menjadikan hati kita ini hati-hati yang cintakan Al-Quran. Hati yang cintakan Al-Quran adalah apabila kita bertemu dengannya dengan hati yang senang, duduk bersamanya dalam waktu yang panjang tanpa rasa bosan, rindu padanya bila ia tiada di sisi, banyak berinteraksi dengannya, percaya penuh terhadap bimbingannya, kembali kepadanya dalam setiap permasalahan kecil atau besar, dan mentaatinya baik perintah mahupun larangan.

Senantiasalah memohon kepada Allah agar diberikan hati yang jernih, hati yang hidup, hati yang sentiasa terawat dan dijaga. Yä muqollibal qulüb, thabbit qolbï 'alä dïinik.

Wallahu'alam.

19 July 2013

Ya, Saya Dah Kahwin

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Ini kisah Facebook saya.

Dek kerana status hubungan (relationship status) di Facebook saya "Married", maka banyaklah orang menanyakan saya - "Eh, dah kahwin ke?", "Bila kahwin?", bla, bla.

Penat juga menjawab soalan-soalan yang ditanyakan. Dan bukan sekadar menjawab, lebih mencabar sebenarnya untuk memahamkan mereka sebab saya berbuat demikian. Untuk tidak memanjangkan salah faham atau fitnah di luar sana, ini jawapan saya.

Ya, memang benar saya masih bujang (setakat artikel ini ditulis). Tapi, ada sebab dan niatnya yang tertentu saya meletakkan status "married" tersebut.

Pertama, ianya sebagai satu simbolik kepada ikatan hubungan antara saya dan dakwah.

Kata Pak Mustafa Masyhur : 
"Aku memiliki dua isteri, isteriku yang pertama adalah dakwah. Isteriku yang kedua adalah isteriku sekarang. Jika bertembung antara keduanya, akan aku utamakan isteriku yang pertama."

Saya sudah berkahwin, dan dakwahlah isteri saya.

Doakan hubungan kami diberkati-Nya dan membawa kami ke syurga, ya!

Kedua, ianya sebagai 'tanda amaran' kepada mana-mana perempuan yang mahu menegur saya (chat, mesej, dll.). 

Pada tanggapan saya, orang perempuan akan berfikir dua kali sebelum menegur saya, yang menyangka saya ini sudah menjadi suami orang. Kalau nak diikutkan adat kebiasaan orang kita, yang masih belum berpunyalah kita nak kacau, manakala yang dah berpunya segan nak menegur.

Ya, yang kedua sepertinya agak melampau dan kelakar. Tapi apa-apapun, inilah niat saya berbuat demikian. Hanya Allah Maha Tahu dan semoga Allah redha.

Wallahu'alam.