بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih
Kisah dakwah Rasulullah s.a.w. di Tha'if, adakah ianya dekat pada kita?
Sirah menukilkan tentang kedatangan Rasulullah s.a.w. dan sahabat Zaid bin Haritsah r.a. ke Tha'if untuk menyebarkan risalah agama Islam yang suci telah ditolak oleh para pembesar dari Bani Tsaqif, dan kemudiannya pula dihalau dengan ejekan dan balingan batu dan kayu oleh penduduk Thaif.
Peristiwa menyedihkan tersebut menyaksikan luka dan berdarahnya jasad mulia Rasulullah s.a.w. dan Zaid r.a.. Lalu Malaikat Jibril a.s. memohon kebenaran daripada Rasulullah s.a.w. untuk menurunkan bala kepada penduduk Tha'if, namun tidak dibenarkan oleh baginda. Malah Rasulullah s.a.w. mendoakan agar Allah s.w.t. mengurniakan rahmat dan hidayah kepada mereka yang telah menganiayai baginda.
Lalu, bagaimanakah kisah dakwah Nabi Muhammad s.a.w. di Tha'if tersebut mengajarkan kita para du'at zaman ini?
Ada beberapa hal yang mahu dikongsikan. Antaranya :
1. Tha'if adalah suatu tempat yang terletak lebih dari 100 kilometer dari kota Mekkah dan diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. mengambil masa lebih dari 10 hari untuk tiba di Tha'if. Walaupun mengharungi perjalanan yang merentasi kawasan pergunungan dan memakan masa yang panjang, namun Rasulullah s.a.w. tiba juga di Tha'if.
Perjalanan yang sesukar dan sejauh itu, ditempuhi juga demi kelangsungan dakwah. Lalu, bagaimanakah dengan kita para du'at hari ini?
Adakah perjalanan dari Sepang ke Kuala Selangor itu sudahpun cukup menyulitkan kita?
2. Ketika Malaikat Jibril a.s. meminta izin agar diazab kaum Tha'if, Rasulullah s.a.w. melarangnya, malah mendoakan akan kebaikan penduduk Thaif dengan doa :
"Ya Allah, kurniakanlah kaumku ini hidayah, sesungguhnya mereka tidak mengetahui."
Tha'if kedudukannya jauh dari Mekkah tempat membesarnya Rasulullah s.a.w., manakala penduduknya Bani Tsaqif pula bukanlah masyarakat yang rapat dengan baginda. Namun baginda masih membahasakan mereka sebagai "kaumku".
Lalu, bagaimanakah dengan kita para du'at hari ini? Adakah kita di Sepang sudahpun menganggap penduduk di Kuala Selangor itu sebagai "kaum" atau mad'u kita?
3. Ketika dalam perjalanan keluar dari Tha'if, Rasulullah s.a.w. telah disapa dan dilayan baik oleh seorang Nasrani. Peluang dimanfaatkan oleh Rasulullah s.a.w. dengan memperkenalkan risalah Islam kepadanya, kemudian menyaksikan ia memeluk agama Islam.
Lalu, bagaimanakah dengan kita para du'at hari ini? Adakah kerana sekumpulan manusia menolak seruan dakwah kita lalu kitapun pesimis terhadap kumpulan manusia yang lain?
4. Pada tahun ke-10 kenabian atau tiga tahun sebelum hijrah ke Madinah, Nabi Muhammad s.a.w. memulakan misi mencari tapak baru bagi dakwah islamiyyah tetapi tidak berjaya. Baginda keluar dari Tha'if dalam keadaan menyedihkan. Namun begitu, penduduk Tha'if akhirnya berjaya juga di-Islamkan hasil dakwah dan tarbiyyah oleh utusan baginda 'Abdullah bin 'Abbas, 12 tahun selepas peristiwa pengusiran dari Tha'if yang dilalui oleh baginda. Kini, baginda sudah boleh mula tersenyum kesyukuran.
Lalu, bagaimanakah dengan kita para du'at hari ini? Adakah kerana ditolak oleh masyarakat walaupun baru sahaja 3-6 tahun berdakwah, lalu kita sudahpun mahu berputus asa dan berhenti?
Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.
Begitulah sirah dakwah Nabi Muhammad s.a.w. di Tha'if mengajarkan kita banyak hal tentang kepentingan bersikap positif dan optimis terhadap masa depan mad'u dan dakwah kita.
Kepayahan, kesakitan, kesedihan, semua itu tidak sepatutnya melemahkan kita. Sebaliknya, setiap ujian yang dilalui sepatutnya lebih menguatkan kita, baik dari segi jiwa, mental dan juga fizikal.
وَلاَ حَوْلَ وَلا َقُوَّة َإِلا َّ بِالله
"Sesungguhnya tiada upaya dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah."
Tetaplah tsabat di jalan. Tetaplah cekal dengan amal.
والله أعلم
Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment