Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin

05 September 2014

Kami Lebih Baik Dari Kamu

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

Maksud : Maka berkatalah para pemuka yang kafir dari kaumnya, "Kami tidak melihat engkau melainkan hanyalah seorang manusia seperti kami, dan kami tidak melihat orang yang mengikuti engkau melainkan orang yang hina antara kami yang lekas percaya. Kami tidak melihat kamu memiliki suatu kelebihan apapun atas kami, bahkan kami menganggap kamu adalah orang pendusta." (Hud, 11 : 27)

Ikhwah rahimakumullah.

Ayat 25-48 dari surah Hud menceritakan kepada kita tentang kisah Nabi Nuh a.s. dan kaumnya. Dan dalam ayat ke-27, terdapat satu dialog yang diungkapkan oleh kaum Nabi Nuh a.s. kepada Nabi Nuh a.s. dan para pengikutnya, yang sangat menarik untuk diambil pengajaran oleh setiap dari kita.

Dalam ucapan yang dikatakan oleh pemuka yang kafir tersebut terdapat dua mesej yang jelas dimaksudkan oleh para pemuka kafir kepada Nabi Nuh a.s. dan pengikutnya.

Pertama, adalah tidak perlu bagi mereka untuk memuliakan, menghormati dan menuruti seruan oleh Nabi Nuh a.s. kerana pada mereka, Nabi Nuh a.s. sama sahaja seperti mereka.

Kedua, adalah sesuatu yang menghinakan bagi mereka untuk bersama-sama dengan pengikut Nabi Nuh a.s. kerana pada mereka, pengikut Nabi Nuh a.s. lebih hina dan tidak setaraf dengan mereka.

Ringkasnya, para pemuka kafir tersebut enggan menuruti seruan Nabi Nuh a.s. kerana kedudukan Nabi Nuh a.s. dan para pengikutnya yang tidaklah  lebih mulia, malah lebih hina berbanding mereka.

Ikhwah rahimakumullah.

Adalah sesuatu yang amat menarik untuk kita bawa pengajaran daripada ucapan para pemuka kafir tersebut dalam konteks kita sebagai da'i melihat mad'u dan kita sebagai jundi melihat qiyadi.

Pertama, sebagai da'i dalam menyentuh dan menyantuni manusia sebagai mad'u, usah sesekali meletakkan kedudukan seseorang sebagai faktor utama kita berdakwah padanya. Lagi-lagi ketika kita ini sedang berada dalam fasa memasyarakatkan dakwah dan tarbiyah kepada seluruh warga tanah air kita, lagi-lagi ketika semua orang harus disantuni tanpa memilih-milih lagi. Kita usah terlalu terkejar-kejar untuk menarik mereka yang tinggi kedudukan dan kuat pengaruhnya dalam masyarakat untuk bersama dengan kita, sehinggakan di sana mungkin ada mereka yang ingin bersama dengan kita dalam menjayakan agenda mentarbiyah dan mendakwahkan ummah, tetapi tersisih dari pandangan kita kerana tiada kedudukan dan harta, dan kerana kita pula hanya sibuk mengejar 'orang-orang besar'. Ingatlah akan pepatah yang berbunyi, "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran".

Ambillah pengajaran dari surah 'Abasa yang mana dalam surah tersebut Allah telah menegur Nabi Muhammad s.a.w. kerana baginda telah mengabaikan 'Abdullah Ibnu Umm Maktum yang hadir untuk bertemukan baginda. 'Abdullah Ibnu Umm Maktum yang merupakan seorang sahabat yang buta dan tiada kedudukan yang tinggi, telah datang kepada Rasulullah s.a.w. untuk mendapatkan pengajaran dan ilmu daripada baginda. Namun, ia tersisih kerana Rasulullah s.a.w. lebih banyak memberi perhatian kepada pembesar-pembesar Quraisy. Lalu, Rasulullah s.a.w. pun ditegur oleh Allah s.w.t..

Kita sebagai du'at, sebolehnya santunilah semua orang di sekeliling kita. Boleh jadi mereka yang tidak berkedudukan dan tidak berharta itu lebih baik iman, taqwa dan amalnya di sisi Allah s.w.t. berbanding mereka yang berkedudukan dan berharta.

Kedua, sebagai jundi dalam mengangkat atau melantik seseorang sebagai qiyadi dalam jama'ah, kita mengamanahkan tanggungjawab memimpin kita dan jama'ah berdasarkan kapasiti dan kapabilitinya, bukan kerana hierarki dan popularitinya. Ada orang diangkat sebagai pemimpin kerana profesionnya sebagai seorang doktor, jurutera, akauntan dan seangkatan dengannya. Adapun mereka yang datang dari golongan petani ataupun karyawan, tidaklah mereka ini diletakkan pada kedudukan yang terhormat, sedangkan mereka inilah antara mujahid yang sudahpun terbukti paling terkehadapan dari segi amal fardi dan amal jama'i untuk kepentingan tarbiyah dan dakwah.

Lihatlah kepada sirah para nabi dan rasul. Kebanyakan nabi dan rasul asal-usulnya sebagai seorang pengembala haiwan. Ada juga yang miskin, malah merupakan anak yatim. Tapi kerana jiwa dan dirinya tunduk kepada Ilahi, maka mereka inilah sebaik-baik hamba di sisi Allah s.w.t.

Ikhwah rahimakumullah.

Begitulah sikap golongan mereka yang enggan tunduk kepada seruan para nabi dan rasul yang sebahagiannya diceritakan oleh Allah s.w.t. dalam kitab-Nya Al-Quran untuk kita sama-sama tadabbur dan ambil pengajaran darinya, termasuklah dari ayat ke-27 dalam surah Hud.

Sikap memandang rendah, memperlekeh dan menghina seseorang atau sesekumpulan manusia yang lain bukanlah sebahagian daripada akhlak yang dianjurkan oleh Islam. Yang paling mulia di sisi Allah s.w.t. adalah mereka yang paling baik taqwanya, bukan yang paling baik kedudukan dan hartanya.

Manusia macam tahu, tapi Allah Maha Tahu.

والله أعلم
Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment