Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.
Banyak orang menyertai bulatan usrah dengan harapan usrah akan membentuk dirinya lebih baik dari sebelumnya. Namun hakikatnya, tidak semua perkara akan terjadi seperti mana yang kita harapkan. Ada banyak sebab mengapa hal ini berlaku. Antaranya harapan seseorang yang menggunung terhadap keberkesanan sistem tarbiyah melalui usrah dan ketidaksabaran terhadap jalan dakwah dan tarbiyyah yang panjang ini.
Apabila kita mentadabbur ayat ke-129 dari surah Al-A'raf, kita akan mendapatkan ciri-ciri golongan yang tergopoh-gapah ini.
Kisah Nabi Musa dan kaumnya, ayat 128-129
Kaum Nabi Musa iaitu Bani Israil, sebelum kedatangan Nabi Musa, mereka telahpun dizalimi oleh Fir'aun. Apabila diutuskan Nabi Musa kepada mereka, mereka menganggap Nabi Musalah superhero mereka, iaitu penyelamat yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang akan menyelamatkan mereka dari kezaliman Fir'aun.
"Musa berkata kepada kaumnya : Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya bumi milik Allah, diwariskan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki antara hamba-hamba-Nya. Dan kesudahan (yang baik) adalah bagi orang-orang bertaqwa." (Al-A'raf : 128)
Harapan dan janji yang diberikan oleh Nabi Musa kepada mereka membuatkan mereka bertambah percaya dan bergantung harap kepada Nabi Musa.
Namun, setelah beberapa lama bersama Nabi Musa, mereka menyedari bahawa nasib mereka tetap sama. Keadaan tidak bertambah baik, mereka tetap dizalimi oleh Fir'aun. Nabi Musa pun tidak dapat mengalahkan Fir'aun. Semua ini membuatkan mereka kecewa. Harapan indah yang diimpikan selama ini kini sekadar menjadi kenangan. Punah segalanya. Kerana terlalu kecewa, lalu mereka meluahkan rasa hati mereka kepada Nabi Musa :
"Kami telah ditindas (oleh Fir'aun) sebelum engkau datang kepada kami dan setelah engkau datang." (Al-A'raf : 129)
Bagi kaum Nabi Musa, mereka merasakan kehadiran Nabi Musa adalah sia-sia dan tidak membawa apa-apa perubahan yang lebih baik bagi mereka. Ketika Nabi Musa tiada, mereka ditindas. Bahkan ketika Nabi Musa ada sekalipun, mereka tetap ditindas. Tiada beza, sama sahaja. Ini luahan hati mereka. Beginilah, betapa kecewanya mereka terhadap Nabi Musa.
Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.
Kisah Nabi Musa dan kaumnya ini mengingatkan saya akan kisah yang berlaku terhadap mereka yang pada awalnya bersemangat bersama kita di jalan dakwah dan tarbiyyah ini, tetapi kemudiannya mereka memilih untuk keluar dari gerabak di jalan ini. Mereka merasakan proses pentarbiyyahan dan pentakwinan seseorang manusia itu memakan masa yang terlalu panjang, dan tidak lagi sesuai dengan suasana semasa. Pada mereka, pasti ada jalan alternatif lain yang boleh membawa mereka sampai ke matlamat yang sama dengan kita. Namun, bagi kita yang memahami benar manhaj dan prinsip yang kita pegang dan bawa, pasti kita akan kukuhkan kaki kita di jalan ini.
Ingatlah kita semua akan pesanan yang disampaikan oleh Pak Cik Hasan ini :
"Hai ikhwanul muslimin terutama yang gopoh daripada kamu. Dengarkanlah daripadaku satu kalimah yang tinggi yang berkumandang dari atas mimbar ini di dalam muktamar umum ini. Sesungguhnya jalan kamu ini adalah yang telah digariskan langkah-langkahnya, ditentukan batas-batasnya dan aku tidak mahu melanggar batas-batas itu. Aku telah yakin dengannya. Keyakinan yang sebenar-benarnya, bahawa itulah jalan yang paling selamat untuk mencapai tujuannya.
Ya, boleh jadi ia satu jalan yang panjang, tetapi di sana tidak ada jalan lain selain itu. Sifat kelakian tidak akan lahir kecuali dengan keberanian, ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang serius dan berterusan. Barangsiapa dari kalangan kamu yang hendak cepat dan gopoh memetik buah sebelum masak atau hendak memetik hasil sebelum masanya, maka aku tidak bersama dengannya sama sekali dan lebih baik baginya meninggalkan dakwah ini dan carilah dakwah yang lain. Barangsiapa yang bersabar bersama aku sehingga berkembang dan membesar benih itu lalu tumbuh pokoknya, baik buahnya sehingga tiba waktunya untuk dipetik dan diambil, maka ganjarannya terserahlah kepada Allah semata-mata. Kita dan dia tidak boleh lari dari dua kebaikan ini. Sama ada kita menang dan berkuasa atau mati syahid dan berbahagia."
Sungguh, jalan ini sangat panjang. Tapi yakinilah, inilah jalan yang paling dekat kepada sunnatullah dan sunnah Rasulullah s.a.w., para sahabat serta para salafussoleh yang terdahulu. Semoga Allah menetapkan diri dan hati kita di jalan dakwah dan tarbiyyah ini, hingga sama ada kita mati mulia sebagai seorang da'i ataupun mati syahid sebagai seorang mujahid.
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment