Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin

14 July 2013

Hidayah Bagi Dirimu

*Disiarkan semula dari blog lama

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Kerana Allah Maha Penyayang, maka dikurniakan kepada hamba-Nya hidayah. Kerana Allah Maha Berkuasa, maka diberikan kekuatan kepada hamba-Nya untuk berhijrah.

Hidayah, petunjuk untuk lebih mengenali dan mencintai Islam dan Allah ada di mana-mana sahaja, baik di bumi mahupun di langit. Barangsiapa yang berkehendak kepadanya, maka hanya dialah yang paling layak diberikan hidayah daripada Allah.

Hijrah, peralihan dari apa yang kurang baik kepada apa yang lebih baik, bukannya hanya berlaku ketika awal tahun baru hijrah, tapi sebenarnya berlaku pada sepanjang masa dan bila-bila masa.

Hidayah dan hijrah, itulah antara kurniaan terbesar daripada-Nya supaya hamba-Nya berkemahuan tinggi dan mempunyai kekuatan untuk memilih jalan kebaikan dan meninggalkan jalan kebinasaan.



Bob Lokman, Sham Kamikaze, Akhil Hayy, Damian VE, Iwan, Al-Mawlid, inilah antara selebriti lelaki yang telah memilih untuk menjadi individu yang lebih islamik.

Dalam kalangan selebriti wanita pula, sudah ramai yang berani bertudung sepenuhnya seperti Farah AF2, Waheeda, Wardina Safiyyah, Noorkumalasari, Rahimah Rahim, Bienda, Heliza AF5, Irma Hasmie dan mungkin juga beberapa orang lain yang tidak saya tersebut di sini.

Mereka semua ini, dikenali sebagai artis hijrah.

Firman Allah:
Al-Baqarah, ayat 269
"Allah memberikan hikmah kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya."

Rasulullah s.a.w. berkata :
"Sesiapa yang Allah ingin memberikan kebaikan kepadanya, nescaya Allah memberi dia kefahaman yang baik tentang agama."

Gelombang penghijrahan beberapa selebriti tanah air kepada keperibadian dan imej yang lebih islamik kebelakangan ini telah menghadirkan sinar baru yang lebih signifikan dalam perkembangan agama Islam di Malaysia, lagi-lagi bagi industri hiburan tanah air.

Subhanallah, sejuk hati dan mata memandang perubahan mereka. Semoga Allah menetapkan hati-hati mereka di jalan yang telah mereka pilih ini, dan mudah-mudahan mereka menemukan apa yang mereka tercari-cari selama ini. Amin.

Insyaallah mereka sudah melakukan perubahan. Bagaimana pula dengan kita? Sahabat-sahabat kita di sekeliling?

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment