Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin

24 July 2013

Ikhlas dan Kerana Allah

*Disiarkan semula dari blog lama

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Al-marhum Muhammad Nur Iman Shafiq bin Abdul Rahman telah meninggal dunia pada hari Sabtu 16 Mac 2013 lalu selepas terlibat dalam suatu kemalangan jalan raya. Kepergiannya dari dunia ini sangat menyedihkan, terutamanya bagi mereka yang rapat dan mengenali sosok tubuh yang dipanggil Iman ini.

Akhu Iman Shafiq

Saya bukanlah seorang kenalan rapat al-marhum, tetapi saya pernah diizinkan oleh-Nya untuk bertemu dengan al-marhum sebanyak tiga kali. Kali pertama di KONSISTEN IKRAM 2011, keduanya pada tahun 2012 di SMS Banting dalam satu program bersama ikhwah UK, dan kali terakhir di PERSISTEN IKRAM pada tahun yang sama. Saya bersyukur, meskipun dalam perkenalan yang singkat ini, saya masih berpeluang mengambil banyak ibrah daripada qudwah hasanahnya.

Selepas kepergiannya, banyak ikhwah menceritakan kebaikan dan amal soleh al-marhum, dan mereka juga bersaksi bahawa al-marhum sesungguhnya telahpun melaksanakan kewajipan syahadatul haq menyampaikan risalah Islam kepada manusia. Ikut kata hati, saya juga mengiyakannya.

Saya berbangga akan al-marhum kerana kepergiannya diiringi oleh puji-pujian dan cerita-cerita baik tentang kebaikan diri dan amalnya. Dalam masa yang sama, saya juga mencemburuinya.

Andaikata cemburu saya terhadapnya menggerakkan saya untuk lebih kuat, bersungguh dan istiqamah di jalan D&T demi Allah, maka itulah yang saya harap-harapkan.

Akan tetapi, andaikata cemburu buta saya menggerakkan saya untuk ALL OUT di jalan ini dengan niat supaya semasa hidup atau selepas mati saya dipuji dan diangkat oleh manusia, maka itu sesuatu yang saya doakan supaya dijauhkan dari saya dan supaya hati ini dipelihara daripada penyakit-penyakit hati yang tidak baik yang boleh merosakkan amal.

Ikhwah akhawat rahimakumullah.

Marilah kita sama-sama mengambil pengajaran daripada satu hadith yang panjang yang mana Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, Rasulullah berkata bahawa orang-orang yang mula-mula diseru pada hari kiamat ialah lelaki yang membaca atau menghafaz Al-Quran, lelaki yang banyak harta dan lelaki yang terkorban dalam perang sabil.

Kepada lelaki yang membaca/menghafaz Al-Quran, Allah Ta'ala berfirman, "Tidakkah Aku ajarkan engkau apa yang Aku turunkan melalui Rasul-Ku?"

Apabila lelaki itu menjawab, "Ya, wahai Tuhanku", Allah berfirman lagi, "Apa yang engkau amalkan dengan apa yang engkau ketahui di dalam Al-Quran itu?"

Jika lelaki itu berbohong, Allah berfirman kepadanya, "Engkau dusta!". Para malaikat juga turut berkata demikian. "Engkau sebenarnya mahukan pujian orang. Sesungguhnya apa yang engkau mahu itu engkau telah dapat dan itulah ganjaran untukmu".

Kepada orang kaya pula Allah berfirman, "Tidakkah Aku kurniakan kekayaan kepada engkau sehingga engkau tidak perlukan bantuan orang lain?"

Jawab orang kaya, "Ya, wahai Tuhanku". Lalu Allah berfirman lagi, "Apakah yang engkau lakukan dengan kekayaan yang Aku kurniakan itu?"

Jika orang kaya itu menjawab, dia gunakan hartanya untuk menghubungkan silaturrahim dan bersedekah, Allah lalu berfirman dan diikuti oleh para malaikat, "Engkau berdusta! Sebenarnya engkau mahu dikatakan orang, bahawa engkau pemurah. Engkau telah memperolehi apa yang engkau mahu itu dan itulah ganjaran untukmu!"

Demikianlah juga, firman Allah kepada lelaki yang terkorban dalam perang sabil, apabila dia berbohong dengan mengatakan, "Engkau perintah kami berjihad fi sabilillah, maka aku berjihad. Dalam perang sabil aku membunuh dan akhirnya aku dibunuh".

Semoga Allah sentiasa menjaga keikhlasan kita dalam beramal. Dan sentiasalah kita mengamalkan doa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w kepada Sayyidina Ali r.a. supaya tidak lemas dalam pujian manusia: 
اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ مَا لاَيَعْلَمُوْنَ 
وَلاَ تُؤَاخِذْنِيْ بِمَا يَقُوْلُوْنَ 
وَاجْعَلْنِيْ خَيْرًا مِمَّا يَظُنُّوْنَ
"Ya Allah, ampunilah aku dari apa yang tidak mereka ketahui, dan janganlah Engkau hukum aku atas apa yang dikatakan oleh orang-orang itu, dan jadikanlah aku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan."

Moga Allah redha.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment