Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.
Dalam entri yang lepas, telah dikongsikan bahawa dengan mendalami asbab an-nuzul dan muläbasät penurunan surah Al-A'raf. Kita difahamkan bahawa tema yang dibawa oleh surah Al-A'raf adalah pertentangan sengit antara hak dan batil, manakala tujuan surahnya adalah supaya manusia membuat pilihan antara dua dan berani menyatakannya, serta dalam masa sama tidak sepatutnya seseorang berada di pihak berkecuali atau sebagai pemerhati sahaja.
Dan kali ini kita akan meneliti beberapa bahagian perenggan ayat dari surah Al-A'raf yang daripadanya kita akan menyedari betapa tegasnya peringatan dan balasan Allah kepada manusia yang berpihak kepada kekufuran serta ketidakpedulian Allah terhadap golongan yang berkecuali dan hanya memerhati serta menunggu-nunggu.
Surah Al-A'raf mengandungi kisah Adam dan Iblis, penduduk syurga dan neraka, dan para nabi dan kaumnya. Persamaan yang terdapat pada kisah-kisah ini adalah semua kisah ini menceritakan pertentangan antara hak dan batil.
Mari kita tadabbur surah Al-A'raf dari satu bahagian ke satu bahagian yang lain.
Kisah Nabi Adam dan Iblis (Ayat 11-37)
1) Ayat 14-16
"(Iblis) berkata : Berilah aku penangguhan waktu, sampai hari mereka dibangkitkan. Allah berfirman : Benar, kamu termasuk yang diberi penangguhan waktu. Iblis berkata : Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan sentiasa menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus."
Kebiasaannya, kita selalu meminta tempoh penangguhan apabila ada tugasan untuk disiapkan, hutang untuk dilangsaikan atau keputusan dalam sesuatu permasalahan untuk dibuat.
Hebatnya Iblis, ia meminta tempoh penangguhan daripada Allah dalam keadaan ia telahpun membuat keputusan muktamad untuk matlamat hidupnya, iaitu menyesatkan manusia. Cuba tanyakan diri kita, adakah kita sudah membuat keputusan muktamad tentang matlamat hidup kita? Malulah kita kepada Iblis dan syaitan jika kita yang Allah panjangkan umur kita di dunia ini, tetapi kita masih terkial-kial untuk membuat pilihan antara Islam dan jahiliyyah, masih termangu-mangu ke manakah hala tuju hidup kita.
2) Ayat 20
"Kemudian syaitan membisikan fikiran jahat kepada mereka agar menampakkan aurat mereka (yang selama ini) tertutup. Dan (syaitan) berkata : Tuhanmu hanya melarang kamu berdua mendekati pohon ini agar kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal (dalam syurga)."
Umum sedia tahu bahawa Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga kerana memetik buah pohon larangan dalam syurga. Persoalannya, apakah yang dikejar oleh Adam dan Hawa sehinggakan mereka memilih untuk mendekati pohon larangan tersebut? Ketahuilah, demi kepentingan diri sendiri, mereka memilih untuk memenuhi kemahuan diri iaitu supaya kekal di dalam syurga, lebih dari memilih untuk patuh kepada larangan Allah.
Adam dan Hawa membuat keputusan kerana dipengaruhi kepentingan diri, akibatnya mereka dihalau dari syurga ke bumi. Inilah akibatnya membuat keputusan kerana pentingkan diri sendiri.
Kisah ahli syurga dan neraka (Ayat 38-58)
1) Ayat 44
"Dan para penghuni syurga menyeru penghuni-penghuni neraka : Sungguh, kami telah memperoleh apa yang dijanjikan Tuhan kepada kami, semua itu benar. Apakah kamu telah memperoleh apa yang dijanjikan Tuhanmu kepadamu itu benar? Mereka menjawab : Benar. Kemudian penyeru (malaikat) mengumumkan tentang laknat Allah bagi orang-orang zalim."
Ayat ini menunjukkan bahawa dalam pertarungan antara al-haq dan al-batil, pasti al-haq menang dan al-batil dikalahkan. Mereka yang memilih al-haq, akan dikurniakan syurga. Selainnya, nerakalah tempatnya.
Berbahagialah mereka ketika di dunia yang menuruti perintah dan menjauhi larangan Allah dengan penuh ikhlas dan istiqamah, kerana mereka ini akan memperoleh sebaik-baik balasan di alam akhirat yang kekal abadi, iaitulah syurga. Mereka yang ketika di dunia yang dibekalkan Al-Quran dan diutuskan kepada mereka orang-orang söleh yang menyeru kepada kebenaran Islam, namun memilih untuk berpaling dari semua itu, duduklah diam-diam di neraka kelak.
Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.
Setelah menerima petunjuk daripada Allah melalui Al-Quran, Rasulullah melalui Al-Hadith dan para du'at melalui seruannya, adakah kita masih belum membuat pilihan untuk beramal dengan amalan ahli syurga ataupun ahli neraka?
2) Ayat 46-48
"Dan antara keduanya (syurga dan neraka), ada tabir dan di atas A'raf (tempat tertinggi), ada orang-orang yang saling mengenali, masing-masing dengan tandanya. Mereka (ahli neraka) menyeru ahli syurga : Salämun 'alaikum (salam sejahtera ke atas kamu). Mereka belum dapat masuk, tetapi mereka ingin segera (masuk).
Dan apabila pandangan mereka dialihkan ke arah ahli neraka, mereka berkata : Ya Tuhan kami, janganlah Engkau tempatkan kami bersama-sama orang zalim itu."
Pada hari akhirat kelak, Allah akan perlihatkan syurga dan neraka kepada segolongan manusia yang tempatnya bukan di syurga, juga bukan di neraka, tetapi di atas A'raf. Mereka ini dikenali sebagai Ashäbul A'raf.
Siapakah Ashäbul A'raf? Merekalah ketika Hari Pengadilan datang menghadap Allah dalam keadaan timbangan amal kebaikan dan keburukan adalah sama banyak, dan ketika di dunia tidak membuat keputusan yang betul-betul. Walaupun di dunia mereka mengenali perbezaan tanda-tanda antara orang-orang söleh dan orang zalim, namun mereka ragu-ragu untuk memilih bersama orang mukmin dan beramal dengan Islam secara keseluruhan ataupun tidak. Kerana itulah di akhirat kelak, apabila ditunjukkan kepada mereka bahawa ahli syurgalah pihak yang benar, lalu mereka mahu benar masuk ke dalam syurga, namun Allah tidak mengizinkannya lagi. Itulah balasan bagi Ashäbul A'raf.
Anda pula, mahu pilih syurga atau neraka?
Kisah nabi-nabi dan kaumnya (Ayat 59-102)
Dari ayat 59-64 diceritakan kisah Nabi Nuh dan kaumnya, ayat 65-72 tentang Nabi Hud dan kaumnya 'Ad, ayat 73-79 tentang Nabi Saleh dan kaumnya Thämud, ayat 80-84 tentang Nabi Lut dan kaumnya, dan ayat 85-95 tentang Nabi Syu'aib dan kaumnya penduduk Madyan.
Kisah nabi-nabi dan kaumnya di atas memperlihatkan sunnatullah pertentangan antara al-haq dan al-batil yang pengakhirannya pasti dimenangi oleh al-haq. Balasan azab yang diberikan kepada kaum-kaum yang ingkar tersebut bukanlah kerana Allah suka-suka mahu melaksanakannya, tapi kerana kesombongan yang meninggi, keingkaran yang melampau dan kerosakan yang terlalu teruk yang telah mereka kerjakan.
Mereka diberi pilihan untuk menerima seruan supaya menyembah Allah semata-mata dan bersama rasul mereka, namun mereka tidak memilih untuk berbuat demikian. Bahkan mereka menyindir dan mengeji seruan dan utusan Allah. Maka, begitulah balasannya bagi orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri.
Kisah Nabi Musa dan kaumnya Bani Israil (Ayat 103-162)
1) Ayat 121-125
"Mereka berkata : Kami beriman kepada Tuhan seluruh alam.
Iaitu Tuhannya Musa dan Harun.
Fir'aun berkata : Mengapa kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya ini benar-benar tipu muslihat yang telah kamu rancangkan di kota ini untuk mengusir penduduknya. Kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu).
Pasti akan aku potong tangan dan kakimu dengan bersilang, kemudian aku akan menyalib kamu semua.
Mereka (ahli sihir) berkata : Sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami."
Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.
Apa jawapan ahli sihir ketika diancam dan diugut oleh Fir'aun disebabkan mereka beriman kepada Allah? "Sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami."
Berbeza dengan Nabi Adam dan Hawa yang membuat keputusan atas kepentingan diri mereka, para pesihir yang mulanya bersama dengan Fir'aun pula telah membuat keputusan dan memilih untuk beriman kepada Allah bersama Nabi Musa dan Harun. Walaupun akan kehilangan kedudukan tinggi di sisi Fir'aun dan diancam akan diseksa olehnya, namun ahli sihir tekad dan tetap dengan pilihan mereka.
Cuba refleksi pada diri kita. Dalam banyak-banyak keputusan yang kita putuskan dalam hidup ini, banyaknya kerana Allah, rasul dan agama Islam ataupun kehendak nafsu diri? Inilah persoalan yang kita seharusnya sentiasa lontarkan kepada diri sendiri.
Kisah Bani Israil dan Hari Sabat (Ayat 163-166)
"Dan tanyakanlah kepada Bani Israil tentang negeri yang terletak berhampiran laut ketika mereka melanggar aturan Hari Sabat, ketika datang kepada mereka ikan-ikan terapung-apung di permukaan air, padahal pada hari-hari yang bukan Sabat ikan-ikan itu tidak datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan mereka berlaku fasik.
Dan ketika suatu umat antara mereka berkata : Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang keras? Mereka menjawab : Agar kami mempunyai alasan kepada Tuhanmu dan agar mereka bertaqwa.
Maka setelah mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang orang berbuat kejahatan dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim seksaan yang keras disebabkan mereka terlalu fasik.
Maka setelah mereka bersikap sombong terhadap segala apa yang dilarang, Kami katakan kepada mereka : Jadilah kamu kera yang hina!"
Kisah dalam ayat 163-166 ini dianalogikan seperti ini. Ketika mana kelompok A ta'at dan giat menjalankan tanggungjawab 'amar ma'ruf nahi mungkar dengan menasihati kelompok B yang melakukan kemungkaran, tiba-tiba datang kelompok C yang mempertikai kelompok A yang terlalu menjaga tepi kain orang.
Tahukah anda siapakah kelompok C ini? Inilah kelompok yang sikapnya mirip seperti Ashäbul A'raf. Di depannya jelas ada satu kelompok yang patuh kepada perintah Allah dan satu kelompok lain pula ingkar kepada larangan Allah, namun mereka memilih untuk mempersoal tindakan kelompok orang söleh, sedangkan orang yang bermaksiat tidak ditegur.
Kelompok C, inilah kelompok yang cenderung untuk bersikap berkecuali dan memerhati sahaja. Malahan, inilah kelompok yang katanya menyokong agenda menegakkan syari'at Islam tetapi dalam masa sama sentiasa mempertikai mereka yang bekerja ke arah tujuan tersebut.
Dan dalam ayat ke-165, sebagaimana sunnatullahnya, Allah menyelamatkan mereka yang bersama kebenaran dan membinasakan mereka yang bersama kebatilan.
Apa nasib kelompok C? Ada sebahagian ahli mufassirin menafsirkan bahawa Allah mengabaikan kelompok tersebut. Kerana itu pengakhiran kisah ini berakhir tanpa diketahui apa nasib yang menimpa kelompok tersebut. Ada pula ahli mufassirin menafsirkan bahawa kelompok C ini akhirnya termasuk dalam kelompok B dan turut sama diazab seperti kelompok B.
Buat Pilihan dan Nyatakannya
Beginilah kisah-kisah dalam surah Al-A'raf ini mengajarkan kita bahawa menjadi sunnatullah pertarungan antara kebenaran dan kebatilan, pasti kebenaran akan menang. Berdasarkan kisah-kisah dan bukti yang ditunjukkan oleh Allah kepada kita semua tadi, kemudiannya kita diseru pula untuk membuat keputusan sama ada mahu mengikuti jejak langkah ahli syurga ataupun ahli neraka. Antara dua, tiada pilihan ketiga.
Maka, adakah anda sudah membuat pilihan anda? Buatlah pilihan anda sekarang, dan beranilah menyatakannya!
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment