Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin

09 July 2013

Krisis Jenayah Musibah Bagi Kita?

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Berada di perantauan tidak menghalang bagi saya untuk mengikuti sebanyak mungkin perkembangan terkini dari Malaysia. Pada setiap waktu senggang, saya rajinkan diri melayari portal-portal berita bagi mendapatkan berita-berita terkini dan menarik.

Membaca dan berfikir secara kritis itu penting, lebih-lebih lagi para du'at. Waqi' medan amal kita, sebaiknya dikuasai.

Dan antara isu yang sangat menarik perhatian saya ialah isu jenayah di Malaysia. Dalam 10 tahun kebelakangan ini, saban hari kita disajikan dengan berita-berita jenayah seperti pembunuhan, rompakan, ragut, pecah atau curi kereta, pecah rumah, rogol, dan banyak lagi. Yang membimbangkan, makin hari makin banyak berita jenayah menjadi isi berita.

Bukan sahaja kadar jenayah yang makin bertambah, bahkan penjenayah juga makin berani, kejam dan tidak berhati perut. Tidak kira usia mahupun jantina, semuanya pasti akan menjadi sasaran mereka. Inilah yang menyebabkan rakyat Malaysia semakin bimbang akan tahap keselamatan diri, keluarga dan harta benda mereka. Manakan tidak, anak yang bermain di sekitar rumah pun boleh diculik, di luar rumah pun boleh disamun, tempat letak kereta berpenjaga pun kereta boleh dicuri, di atas jalan raya pun tingkap kenderaan boleh dipecah dan barang dilarikan, mesin juruwang automatik (ATM) dalam bangunan bank pun boleh ditarik angkut keluar. Penjenayah makin kreatif, bentuk jenayah makin bervariasi. Pihak berkuasa pula makin kurang dipercayai oleh rakyat.


Gambaran krisis jenayah yang semakin meruncing dan membimbangkan yang dihebohkan di media dan laman sosial, saya tidak pasti ia banyaknya persepsi atau realiti yang sebenar.

Tetapi kisah jenayah ini menarik minat saya untuk mengaitkannya dengan peringatan Allah s.w.t. dalam surah An-Nahl, ayat ke-112.

"Dan Allah telah membuat perumpamaan sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezeki datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi ia (penduduk negeri) mengingkari nikmat-nikmat Allah. Kerana itu Allah menimpakan kepada mereka bencana kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang mereka perbuat."

Krisis Jenayah Musibah Bagi Kita?

Saya tertanya-tanya, apakah ketakutan kita terhadap lambakan kes jenayah ini merupakan salah satu bentuk musibah ketakutan yang Allah timpakan kepada negara kita? Inikah musibah akibat kita melupakan dan tidak menghargai nikmat-nikmat yang telah Dia kurniakan selama ini?

Saya khuatir, jika salah kita bersikap mementingkan diri sendiri selama inilah Allah membalasnya dengan menghadirkan penjenayah-penjenayah yang mementingkan diri sendiri juga. Penjenayah yang pentingkan diri sendiri, pasti tak akan mengasihani si mangsa.

Ini cuma telahan dan rasa hati saya. Boleh jadi benar, boleh jadi tidak. Wallahu'alam. Manusia macam tahu, tapi Allah Maha Tahu.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah, ketahuilah disebalik setiap musibah yang menimpa masyarakat dan negara kita, pasti ada maksud dan hikmahnya. Ingatlah peringatan Allah ini.
"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul-rasul kepada umat-umat sebelummu, kemudian Kami timpa mereka dengan kesengsaraan dan kemelaratan, supaya mereka bermohon (kepada Allah) dengan tunduk dan merendahkan diri." (Surah Al-An'am : 42)
Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment