*Disiarkan semula dari blog lama
Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.
Al-Quran ialah sebuah kitab yang lengkap. Di dalamnya, Allah kumpulkan segala asas akidah, keperluan asas manusia dan intipati undang-undang dunia. Di dalamnya termaktub segala perintah dan larangan-Nya.
Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.
Al-Quran ialah sebuah kitab yang lengkap. Di dalamnya, Allah kumpulkan segala asas akidah, keperluan asas manusia dan intipati undang-undang dunia. Di dalamnya termaktub segala perintah dan larangan-Nya.
Matlamat Hidup dalam Islam
Al-Quran telah menetapkan matlamat dan sasaran hidup manusia melalui beberapa firman-Nya. Antaranya:
"Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu untuk bermain-main dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami, maka Maha Suci Allah raja yang sebenarnya, tiada Tuhan selain Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia" (Al-Mukminun : 115-116)
Firman Allah yang berikutnya:
"Dan Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." (Adz-Dzäriyät: 56)
Selain itu, Allah menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini sebagaimana firman-Nya:
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat : Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." (Al-Baqarah : 30)
Dalam ayat ini, dengan jelas Allah telah memberikan manusia kedudukan yang tinggi dengan memilih manusia sebagai khalifah, jawatan yang tidak diterima oleh mana-mana makhluk di atas muka bumi ini sendiri. Namun jawatan penting ini merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul bukan sebagai pangkat atau kedudukan yang perlu dibangga-banggakan.
Oleh hal sedemikian, dalam menjalankan amanah ini, peranan manusia perlu selari dengan arahan Allah seperti firman-Nya:
"Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Äli-Imran : 104)
Persoalan matlamat hidup manusia dalam Islam juga ada diceritakan dalam suatu kisah yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal r.a.. Katanya : Pernah aku mengekori Nabi s.a.w. dalam satu perjalanan di mana aku berada di belakang baginda. Baginda memanggil : "Wahai Muaz bin Jabal!". Aku terus menyahut : "Telahku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah". Kami meneruskan lagi perjalanan. Kemudian baginda memanggil lagi : "Wahai Muaz bin Jabal!" dan aku menyahut : "Telahku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah". Kami meneruskan lagi perjalanan kemudian baginda memanggil lagi : "Wahai Muaz bin Jabal!" dan aku menyahut lagi : "Telahku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah."
Baginda bersabda : "Tahukah kamu kewajipan manusia terhadap Allah?".
Aku menjawab : "Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih mengetahui."
Baginda bersabda : "Kewajipan manusia terhadap Allah ialah dengan mengabdikan diri kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya".
Kami meneruskan lagi perjalanan beberapa ketika kemudian baginda memanggil lagi : "Wahai Muaz bin Jabal!" dan aku menyahut : "Telahku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah".
Rasulullah s.a.w. bersabda : "Tahukah engkau apakah kewajipan Allah terhadap manusia apabila mereka melakukan perkara-perkara yang aku nyatakan di atas?"
Aku menjawab : "Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih mengetahui".
Akhirnya baginda bersabda : "Allah tidak akan menyeksa mereka".
Namun, Allah juga ada menjelaskan bahawa ada manusia yang tumpuan hidup mereka hanyalah makan dan berseronok sebagaimana firman-Nya:
"Dan orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka." (Muhammad : 12)
Sekumpulan manusia yang matlamat mereka hanyalah hiasan dan kesenangan hidup juga ada dijelaskan dalam al-Quran. Firman Allah:
"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya." (Äli-Imran : 14)
Selain itu, al-Quran menjelaskan tentang sekumpulan manusia yang menjadikan hidup mereka hanya untuk mewujudkan huru-hara, mencetus suasana yang tidak selamat dan tidak aman. Mereka ini disebut oleh Allah dalam firman-Nya:
"Dan antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati, dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia ialah orang yang amat keras permusuhannya. Kemudian apabila dia pergi, berusahalah dia di bumi untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia), sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan." (Al-Baqarah : 204-205)
Inilah antara matlamat manusia dalam kehidupan di dunia ini. Semoga Allah menjauhkan kita daripada matlamat seperti ini. Sememangnya Allah telah menyerahkan di bahu orang-orang beriman tanggungjawab yang jauh lebih mulia iaitu memimpin manusia ke arah jalan yang benar, membimbing manusia ke arah jalan kebaikan dan memancarkan nur Islam ke seluruh dunia. Ini dinyatakan oleh Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah, dan beribadatlah kepada Tuhan kamu, serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya. Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu, dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu "orang-orang Islam" sejak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada ummah manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan." (Al-Hajj : 77-78)
Ini bermakna Allah melalui kitab-Nya Al-Quran telah meletakkan ummah Islam sebagai pembimbing ummah manusia seluruhnya. Al-Quran telah menyerahkan hak menguasai dunia ini kepada mereka untuk menunaikan tanggungjawab berdakwah yang suci ini. Oleh itu, ini adalah hak kita, bukan hak kaum kuffar.
Sejauh mana ummah Islam dengan matlamat ini?
Namun, apabila kita sama-sama renungkan kembali sejarah dunia khususnya sejarah ketamadunan Islam yang lalu dan apa yang berlaku di sekeliling kita sekarang ini, apakah kita, ummah Islam pada hari ini memahami pengertian matlamat hidup sebenar daripada Tuhan kita? Adakah kita mengamalkan kandungan Al-Quran? Adakah kita memahami segala matlamat yang dijelaskan di dalamnya? Jika kita melaksanakannya, alhamdulillah, bererti kita berada dalam landasan betul untuk menuju matlamat sebenar hidup kita. Namun jika kita dapati kita masih jauh daripada Al-Quran dan masih mengabaikan ajaran serta perintah Al-Quran, ketahuilah tugas kita kini ialah memimpin dan membawa ummah Islam dan diri kita sendiri ke arah matlamat hidup yang sebenar-benarnya, seperti mana yang terkandung di dalam Al-Quran kitab Allah.
Oleh sebab matlamat ummah Islam masih kabur, kita perlu bertanggungjawab menjelaskan dan menetapkan matlamat ini. Kita sedia maklum bahawa peranan kita ialah menjadi khalifah Allah, memimpin dan membimbing dunia serta manusia agar semuanya tunduk di bawah sistem dan ajaran Islam yang menjadi satu-satunya jalan yang boleh membawa manusia ke arah kebahagiaan, sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak.
Penghayatan
"Segala Kebesaran dan Kepujian adalah untuk Allah sebanyak-banyaknya.
Maha Suci Allah setiap pagi dan petang.
Aku menghadapkan mukaku kepada (Tuhan) yang menjadikan langit dan bumi,
dengan keadaan tunduk menyerah diri dan bukannya aku termasuk dalam golongan orang musyrik.
Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah Tuhan Semesta Alam.
Tiada sekutu bagi-Nya kerana itu aku rela diperintah dan aku ini adalah termasuk dalam golongan orang Islam."
Marilah kita sama-sama menghayati erti doa iftitah di atas, doa yang dibaca pada awal permulaan solat dengan sebenar-benar penghayatan dan pemahaman. Walaupun membaca doa iftitah sunat tuntutannya, namun saya secara peribadinya menggalakkan sahabat-sahabat muslimin serta diri saya sendiri untuk sentiasa mengamalkan bacaan doa tersebut dalam setiap solat kita.
Dalam doa tersebut, terkandung janji dan taat setia kita kepada Allah s.w.t. bahawa solat, ibadah, hidup dan mati kita hanyalah untuk-Nya. Jelas bahawa matlamat hidup kita sebenarnya hanyalah kerana dan untuk Allah s.w.t..
Jika janji kita kepada Allah itu dipegang betul-betul dan diterjemahkan ke dalam kehidupan melalui amalan seharian kita, percayalah yang kita akan lebih ikhlas dalam mengerjakannya. Segala bentuk pekerjaan sama ada ibadah khusus atau ibadah umum akan dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t..
Disamping itu, tanya hati anda, berfikir dengan akal, di manakah kedudukan kita sekarang ini? Marilah kita bersama-sama memahami tujuan kehidupan ini. Menjadi hamba-Nya yang patuh dan taat. Menjadi khalifah yang amanah dan jujur. Semoga kita beroleh ketenangan jiwa sebagaimana yang difirmankan oleh Allah :
"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya." (Al-Fajr : 27-28)
Wallahu'alam.
Minta izin saya shared.Bokeh?
ReplyDeletesaya sher
ReplyDelete