Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.
Di luar sana, tidak dinafikan banyak orang Islam, termasuklah kita, yang mempunyai kefahaman baik tentang Islam dan bersemangat untuk menyampaikan mesej Islam kepada kawan-kawan di sekelilingnya.
Semangat dalam berdakwah itu memang penting, tapi jangan biarkan semangat itu membuatkan kita bekerja tanpa ilmu atau dengan mengabaikan disiplin-disiplin dalam gerak kerja dakwah. Ilmu ini dikenali sebagai ilmu fiqh dakwah.
Fiqh dakwah, kita dapat perolehinya dengan mempelajari Al-Quran, sunnah dan juga sirah para sahabat serta salafussoleh. Untuk kali ini, saya suka untuk berkongsi sedikit ilmu fiqh dakwah berdasarkan Al-Quran, sumber rujukan utama bagi setiap aktivis dakwah.
Dengan mengambil Al-Quran sebagai panduan utama dalam bekerja, harapnya ia akan membuatkan kita lebih banyak berfikir dengan lebih tajam dan kritis, kerana ayat-ayat Al-Quran itu banyak sekali berkait dengan permasalahan kehidupan. Akhirnya, dengan banyak membaca dan mentadabbur Al-Quran, semoga ia akan membuatkan kita sentiasa dekat kepada Al-Quran.
Ilmu dan disiplin dalam dakwah
Seperti yang disebut di atas, keghairahan berdakwah, dengan darah panas dan semangat membaranya, tanpa didasari ilmu dan disiplin, seseorang da'i akan lebih terdedah kepada kesilapan dalam menyampaikan isi seruan yang dibawa. Ini boleh terjadi disebabkan, antaranya, tidak wujud jalinan hubungan dan kesefahaman antara da'i (yang menyeru) atau mad'u (yang diseru).
Saya bagi satu contoh kes berdasarkan pengalaman saya sendiri. Ada seorang si fulan ini mendapat sentuhan tarbiyah di luar negara. Selepas mengenal erti dakwah dan tarbiyyah, seperti kawan-kawannya yang lain, dia merasa kepentingan untuk menyampaikan dakwah kepada manusia di sekelilingnya. Dan dia melakukannya.
Cuma masalahnya, pada pandangan saya, dia lebih suka untuk menyentuh kawan-kawannya yang bukan muslim (baca : belum muslim) berbanding kawan-kawan Melayu. Sedangkan masih banyak lagi antara kawan Melayu di sekelilingnya itu yang perlu disantuni dan diberi sentuhan tarbiyyah. Pada saya, perkara seperti inilah yang selalunya mengakibatkan para du'at kehabisan tenaga, masa dan wang kerana kesilapan memilih sasaran mad'u yang sesuai berdasarkan keutamaan dari aspek tertentu.
Kenapa saya berkata begitu?
Surah Ibrahim : 4
Kata Allah s.w.t. :
"Dan kami tidak mengutuskan seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, agar dia dapat memberi penjelasan kepada mereka." (Ibrahim : 4)
Berdasarkan ayat di atas, satu petunjuk yang kita dapati di sini adalah bahawa tidaklah Allah menghantar seseorang utusan-Nya kepada sesebuah kaum melainkan dengan bahasa kaumnya tersebut.
Keselarasan bahasa itu merupakan salah satu elemen terpenting dalam mewujudkan komunikasi yang berkesan. Jika bercakap dalam bahasa yang sama pun boleh saling tersalah faham, inikan pula bercakap dengan bahasa yang saling berbeza. Kerana itu komunikasi antara da'i dan mad'u dengan bahasa yang sama yang saling difahami sangat memainkan peranan supaya kedua-dua pihak menerima dan menyampaikan maklumat yang sepatutnya.
Dan bahasa yang sama tidaklah digunakan antara dua pihak melainkan mereka ini ada unsur lain yang juga menjadi persamaan antara mereka, seperti asal usul keturunan, bangsa dan budaya. Untuk itu, mari kita tadabbur kisah-kisah Nabi dan kaumnya yang diceritakan oleh Allah dalam surah Hud.
Kata Allah s.w.t. :
"Dan kepada kaum 'Äd, (diutuskan) saudara mereka, Hud. Dia berkata : Sembahlah Allah, tidak ada tuhan bagimu selainnya." (Hud : 50)
"Dan kepada kaum Thamud, (diutuskan) saudara mereka, Saleh. Dia berkata : Wahai kaumku, sembahlah Allah, tidak ada tuhan bagimu selainnya." (Hud : 61)
"Dan kepada (penduduk) Madyan (diutuskan) saudara mereka, Syu'aib. Dia berkata : Wahai kaumku, sembahlah Allah, tidak ada tuhan bagimu selain dia." (Hud : 84)
Berdasarkan tiga ayat dari surah Hud di atas, kita akan dapati bahawa para rasul yang diutuskan oleh Allah, selain berkomunikasi dalam bahasa yang sama dengan kaumnya, mereka juga datang dari kaumnya sendiri.
Gaya bahasa dan jalinan hubungan
Kembali kepada contoh kes di atas, kerana itu pada saya tindakan si fulan tersebut 'bermasalah', iaitu bermasalah dari segi keutamaan memilih sasaran mad'u yang sesuai. Kawan-kawan Melayunya yang agamanya Islam warisan inilah sepatutnya lebih diutamakan dan lebih banyak disentuh kerana mereka ini datang dari keturunan dan bercakap dalam bahasa yang sama dengannya, berbeza dengan kawan Perancis, Inggeris atau Afrikanya itu, contohnya. Tambahan pula, kawan-kawan Melayunya yang sudah Islam tetapi belum berpegang dan beramal baik dengannya itu, hanyalah tinggal perlu dibangkitan perasaan 'izzah mereka terhadap Islam dan disemarakkan keinginan untuk bersama-sama dengan kita bekerja dalam satu pasukan.
Memilih mad'u yang sesuai, inilah antara disiplin gerak kerja dakwah mengikut fiqh dakwah yang sepatutnya dihormati oleh setiap da'i.
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment