Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin

08 July 2013

Minum Arak Tenangkan Diri

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

"Atlik SUKMA dakwa dirogol peserta lelaki"

(Sebenarnya pegawai pengiring, bukan atlit perempuan)

Inilah antara tajuk berita dalam sisipan Berita Harian Ahad 7 Julai 2013, dan inilah antara berita yang mendapat perhatian ramai.


Kalau ditanya mengenai reaksi terhadap berita ini, memanglah terkejut. Nauzubillahi-min-zälik, semoga Allah menjauhi kita darinya.

Ketika mengikuti perkembangan berita ini, termasuklah pemerhatian terhadap komen-komen pembaca terhadap isu ini, terlintas di fikiran saya pelbagai macam rupa buah fikiran.

"Mangsa dipercayai telah minum minuman keras bersama rakan-rakannya bagi menghilangkan tekanan setelah pasukan mereka kalah dalam perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini."

Kalau anda perasan, inilah bahagian berita yang paling banyak mendapat reaksi orang. Dan kalau anda perasan lagi, kebanyakan reaksi orang di luar sana, termasuklah kita barangkali, sepertinya lebih banyak 'menghentam' dan punyai maksud "Padan muka engkau!" kepada mangsa dan juga tertuduh.

"Atlit sukan perempuan, mana ada yang berpakaian menutup kepala dan berseluang panjang. Pakaian seksi, padanlah kena."

"Arak itu air kencing syaitan, punca segala maksiat. Patutlah kena rogol dan merogol."

"Macam mana lelaki dan perempuan boleh berada dalam satu kawasan asrama yang sama?"

Inilah antara reaksi manusia. Banyak lagi yang saya tak sebutkan.

Pelbagai reaksi manusia di luar sana terhadap isu ini amat menarik untuk diteliti, lebih-lebih lagi bagi para du'at. Tatkala manusia lainnya melemparkan sindiran "Padan muka engkau!" kepada si mangsa, kita seharusnya melihat si mangsa dan si tertuduh sebagai 'mangsa keadaan' hasil tidak berjalannya dakwah kasih sayang dan rosaknya sistem hidup manusia. Dalam muhasabah, pernahkah kita menyalahkan diri kita atas apa yang berlaku? Apakah kisah ini membuatkan kita melihat manusia seperti ini sebagai 'manusia yang sudah rosak', atau ia membuatkan kita lebih kuat tekad dan usahanya mengislahkan masyarakat kita yang sedang rosak ini?

Ikhwah akhawat rahimakumullah, tidaklah Allah menguji negara kita dengan musibah sebegini rupa melainkan agar kita mengambil pengajaran darinya.

Semoga kerja dakwah kita makin menyubur, lalu menumbuhkan hasil-hasil yang baik untuk manfaat masyarakat dan negara.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment