بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih
Emas di mana-mana
Kini hangat diperkatakan mengenai pembelian dan pelaburan emas. Dulunya jual beli emas hanya berlaku di kedai-kedai emas ataupun dari rumah ke rumah, namun kini ia sudahpun melata di alam siber. Dulunya konsep jual beli emas adalah sekadar "bayar dan dapat", kini konsep pembelian dan pelaburan emas sudahpun berkembang dalam banyak bentuk. Skim jual beli atau pelaburan emas secara tangguh dan diskaun, ETA (Estimated Time Arrival), dan lain-lain lagi.
Dan semua ini terjadi dek kerana semua orang juga mahu berniaga emas. Kenapa semakin banyak orang mahu berjual beli dan melabur emas? Aku tak terlalu mengetahuinya. Bagi mereka yang terlibat dengan jual beli dan pelaburan emas, mereka lebih arif.
Emas dan duit, dambaan masyarakat yang menjadi mangsa penyelewangan ekonomi. |
Cuma di sana ada beberapa perkara yang kurasakan seolah-olah, bahkan sepastinya, ada yang tidak kena dengan skim jual beli dan pelaburan emas yang menjadi ikutan dan anutan orang kebanyakan sekarang.
Aku anti skim jual beli dan pelaburan emas
Sejujurnya, aku tidak suka dan tidak redha dengan kewujudan pelbagai skim jual beli dan pelaburan emas yang bukan sahaja terang-terang menyalahi prinsip yang dibenarkan menurut Islam, bahkan juga yang syubhah (meragukan).
Dan di luar sana, banyak orang yang telah lama terlibat dalam perniagaan dan pelaburan emas dan kini sudahpun bergelar jutawan emas, mempertikai beberapa fatwa yang telah diputuskan oleh pihak berautoriti berkenaan (seperti Majlis Fatwa Kebangsaan dan Bank Negara) yang memutuskan bahawa beberapa skim perniagaan dan pelaburan yang wujud kebelakangan ini adalah tidak sah dan tidak dibenarkan. Soal mereka, "kenapa mahu menghalang kami orang Islam untuk menjadi kaya?"
Aku dan mereka yang bersetuju dengan fatwa mengharamkan perniagaan dan pelaburan yang menyalahi dan meragukan tersebut bukan kerana mencemburui mereka yang kaya-raya kerana perniagaan dan pelaburan emas mereka. Tanyalah sesiapapun, setiap orang pasti mahu kaya. Tapi mahu kaya itu, biarlah secara jalan yang dibenarkan di sisi hukum-hakam agama.
Ya, para sahabat memang hartawan dan jutawan
Alasan kebanyakan peniaga dan pelabur emas ini, juga banyak disandarkan kepada sirah para sahabat yang kebanyakannya adalah orang kaya. Diambilnya sebagai contoh ialah sahabat kaya seperti Abu Bakr, Utsman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, dan lain-lain.
Kataku, ya, memang benar. Tapi kumahu tanyakan juga beberapa persoalan. Para sahabat yang kaya-raya ini, kerana perniagaan apa? Kekayaan mereka pula, akhirnya akan ke mana?
Kalau benarlah emas dan perak itu tinggi darjatnya dalam Islam dan Nabi Muhammad s.a.w., nescaya sudah lama para sahabat menjalankan perniagaan dan pelaburan emas. Tapi hakikat tidak!
Para sahabat yang kaya berniagakan haiwan ternakan, tanaman dan pakaian. Dengan haiwan ternakan, tanaman dan pakaian ini, mereka bukan sahaja menjadi kaya untuk diri sendiri, bahkan secara langsung juga mereka telah mengangkat nilai penguasaan orang Islam dalam industri penternakan, makanan dan tekstil, iaitulah industri yang berkaitan dengan barangan kegunaan harian rakyat. Kemudian, kekayaan mereka itu dikembalikan dalam bentuk zakat, sedekah ataupun infak di jalan jihad fi sabilillah, seperti pembangunan infrastruktur dan ketenteraan, yang akhirnya kita melihat hasil kekayaan itu kembali bermanfaat bagi kemajuan masyarakat, negara dan agama.
Berbeza dengan kita yang tamak dan buta hatinya dalam menjalankan perniagaan dan pelaburan emas pada hari ini. Perniagaan dan pelaburan emas itu hanya sekadar berlegar disekitar industri emas sahaja. Andai kata industri emas dikuasai oleh orang Islam, adakah ia akan meningkatkan penguasaan dan kuasa membeli orang Islam dalam industri lain? Kufikirkan tidak.
Kemudian, berapa banyak dari kita yang membeli, menyimpan dan melabur emas ini memberi perhatian kepada hak emas? Banyak orang memberi perhatian kepada untung dan rugi dalam jual beli dan pelaburan emas, tetapi banyak orang juga terlepas pandang dalam menyempurnakan hak harta seperti kewajipan membayar zakat.
Ingatlah amaran oleh Allah s.w.t. dalam surah At-Taubah, ayat ke-34 :
"Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya." |
Banyak orang menyimpan emas dan berjual beli dengannya kerana mahu mengkayakan diri sendiri, dan tidak banyak pula yang mahu mengkayakan umat Islam. Apa-apapun, bagi mereka yang terlibat dalam perniagaan dan pelaburan emas, tanyalah diri sendiri. Allah Maha Mengetahui.
Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.
Agama tidak menghalang umatnya untuk menjadi kaya. Tapi biarlah niat dan usaha kita itu bertepatan dengan kehendak syarak pada setiap ketika dan tempat. Jadilah kaya, tapi jangan lupa menunaikan kewajipan zakat, sedekah dan infak. Kayakan diri sendiri, tapi jangan lupa untuk kayakan umat Islam juga.
Moga Allah redha, amin.
p/s: Panduan dalam urusan perniagaan dan pelaburan emas oleh Majlis Fatwa Kebangsaan boleh didapati di sini.
والله أعلم
Wallahu'alam