Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin

24 October 2014

Nyalakan Lilin

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih
"Daripada anjurkan kempen sentuh anjing, baik anjurkan kempen usap anak yatim!"
Inilah antara respon yang diberikan oleh orang umum rentetan anjuran kempen I Want To Touch A Dog yang kontroversi baru-baru ini.

Selain 'saranan' di atas, tidak kurang juga ada yang menyarankan agar dianjurkan kempen menyentuh isteri, Al-Quran dan sebagainya, yang menurut mereka semua itu bahkan jauh lebih baik daripada kempen menyentuh anjing.

Tapi kemudiannya, aku tertanya pada diri sendiri.

Pihak-pihak yang menyarankan kempen-kempen 'alternatif' tersebut, adakah mereka sendiri sudahpun melaksanakannya?

Lebih baik buat itu, lebih baik buat ini, itu ini, itu ini. Persoalannya, sudahkah ia dianjurkan? Kalau belum, silalah anjurkan. Takkanlah kita mahu mencadangkan kepada Syed Azmi dan teman penganjur kempen menyentuh anjing agar mereka yang menganjurkannya pula? Kalau lain yang dibuatnya, nanti marahkan mereka pula.

Lebih baik menyalakan lilin daripada mengutuk kegelapan

Kita ini terlebih suka memerhati dan mengkritik pekerjaan orang. Tidak banyak pula yang suka melihat dirinya sendiri. Kerana itu, marilah kita merenungi kata-kata berikut :

الأفضل أن تضيء شمعة من أن يلعن الظلام

"Lebih baik menyalakan lilin daripada mengutuk kegelapan."


Mengutuk kegelapan tidak menjadikan suasana semakin terang, malah menjadikan ia suram. Memperlekeh pekerjaan seseorang tanpa membantu atau memberinya solusi, tidak menyelesaikan masalah sedia ada, malah menjadikan persaudaraan sesama manusia semakin merenggang.

Wahai ikhwah dan akhawat sekalian,

Perhebatkanlah pekerjaanmu dalam keadaan kalian mengawasi lidah dan tanganmu. Basahkan hatimu, keraskan tekadmu, kerahkan kudratmu, lalu ubatilah penyakit umat kita ini. Asyik meremeh dan mengkritik pekerjaan orang, bukan lagi tabiat para du'at.

Ubati, usah sakiti.

والله أعلم
Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment