Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin

31 July 2013

Berikanku Jawapan

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Kebelakangan ini, ada satu hal yang membuatkan saya sentiasa terfikir-fikir dan tercari-cari jawapan kepada persoalan yang bermain di kepala saya.

Dari kalangan orang Islam, ada orang Islam mukmin, orang Islam munäfik dan orang Islam fäsik atau käfir.

Yang mukmin, mereka beriman dan beramal dengan perkara-perkara yang diimaninya.

Yang munäfik, mereka ini hipokrit dan bersandiwara dalam mentaati perintah dan larangan dalam agama Islam.

Manakala yang fäsik atau käfir, mereka mengetahui kebenaran agama Islam, tetapi mengingkari dan menolak kebenaran tersebut.

Persoalan yang bermain-main di fikiran, adakah orang Islam di luar sana perasan sama ada ciri-ciri orang munäfik, fäsik dan käfir ini ada pada diri mereka atau tak?

Kalau ya, mengapa memilih untuk bersikap dengan ciri-ciri orang-orang tersebut?

Tidak cukupkah peringatan-peringatan Allah dalam Al-Quran dan Rasulullah dalam hadith baginda yang sampai kepada kita selama ini agar kita tersedar dan keluar dari kesesatan tersebut?

Persoalan yang dilontarkan datangnya dari kisah ini.

Bila kita nak buat kerja dakwah mengajak manusia mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya, pasti akan ada individu atau kumpulan manusia yang bersikap menongkah arus, yang mahu menganggu atau menghalangi kerja-kerja murni kita

Kita nak buat kerja baik, tapi mengapa mereka tak suka? Hairan.

Kita nak mengajak manusia menyembah Allah semata-mata, tapi mengapa mereka membantah tindakan kita? Hairan.

Kita bukannya nak merampas ahli keluarga, harta atau kedudukan dari mereka, tapi mengapa mereka ketakutan atau kebimbangan? Hairan.

Sudah sampai kepada mereka ini seruan dan nasihat dari para du'at dan orang soleh, bahkan mereka sendiri mempunyai Al-Quran di tangan mereka, tetapi mengapa mereka tidak mengambil pengajaran dari semua itu?

Wahai saudaraku.
"Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman dari jalan Allah, kamu mengkehendakinya bengkok, padahal kamu menyaksikan?" (Äli-Imran : 99)

"Dan janganlah kamu duduk di setiap jalan dengan menakut-nakutkan dan menghalangi orang beriman dari jalan Allah dan ingin membelokkannya." (Al-A'raf : 86)
Kenapa kalian masih mahu membuatkan manusia beralih dari jalan kebenaran, meskipun kalian mengetahui kebenaran tersebut?
"Dan apabila dikatakan kepada mereka : 'Marilah (patuh) kepada apa yang telah diturunkan Allah (patuh) kepada Rasul', nescaya engkau melihat orang munafik menghalangi (manusia) dengan bersungguh-sungguh dari menghampirimu." (An-Nisa' : 61)
Kenapa kalian begitu bersungguh-sungguh melarikan manusia dari mendengarkan seruan dan nasihat kami?
"Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih, (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman." (An-Nisa' : 138-139)
Dan kenapa kami para du'at dan orang soleh tidak pula menjadi teman rapat bagi kalian?
"Sesungguhnya orang-orang kafir itu menginfakkan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Mereka itu akan (terus) menginfakkan harta itu, kemudian mereka menyesal sendiri, dan akhirnya mereka akan dikalahkan. Ke dalam neraka Jahannamlah orang-orang kafir itu akan dikumpulkan." (Al-Anfäl : 36)
Kenapa kalian sanggup berhabis duit semata-mata untuk menyesatkan manusia?
"Dan sebahagian dari orang-orang A'rab (yang munafik) itu memandang apa yang mereka belanjakan (dermakan pada jalan Allah) sebagai satu bayaran yang memberatkan." (At-Taubah : 98)
Tapi merasa keberatan untuk menyumbang harta di jalan Allah?
"Orang yang lebih menyukai dunia dari akhirat, dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah dan menginginkan (jalan) bengkok. Mereka itu berada dalam kesesatan yang jauh." (Ibrähim : 3)
Tidak sedarkah kalian bahawa kalian sudah jauh tersesat?
"Dan sungguh, mereka (syaitan) benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk." (Az-Zukhruf : 37)
Atau kalian menyangka perbuatan kalian itu sebagai perbuatan yang baik?
"Atau adakah mereka mengira bahawa Kami tidak mendengar rahsia dan bisikan mereka? Sebenarnya (Kami mendengar), dan utusan-utusan Kami (malaikat) sentiasa mencatat di sisi mereka." (Az-Zukhruf : 80)
Adakah kerana kalian menyangka tiada seorangpun yang mengetahui perancangan jahat kalian?
"Dan mereka (orang-orang munäfik) mengatakan, 'Taat'. Tetapi, apabila mereka pergi dari sisimu (Muhammad), sebahagian dari mereka mengatur siasat pada malam hari (mengambil keputusan) lain dari apa yang telah mereka katakan tadi." (An-Nisä' : 81)
Di hadapan kami, kalian berbicara apa yang kami suka. Di belakang kami, kalian berbicara apa yang kalian suka.
"Tetapi orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya." (Al-A'raf : 36)
"Allah menjanjikan orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan neraka Jahanam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah itu bagi mereka, dan Allah melaknat mereka, dan bagi mereka azab seksa yang kekal." (At-Taubah : 68)
Tidak cukupkah peringatan ini bagi kalian agar kalian meninggalkan kerja-kerja jahat tersebut dan bertaubat kembali kepada Allah?

Wahai saudaraku.

Apakah tujuan sebenarmu? Aku tidak mengerti, maka berikanlah aku jawapannya.
"Dan sekiranya (dahulu) kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu), tentulah kami tidak termasuk dalam penghuni neraka yang menyala-nyala. Maka mereka mengakui dosanya, tetapi jauhlah (dari rahmat Allah) bagi penghuni neraka yang menyala-nyala itu." (Al-Mulk : 10-11)
Wahai saudaraku, takutlah kepada Allah. Takutlah kepada Hari Pembalasan. Takutlah kepada azab neraka. Semoga kalian tidak termasuk dalam golongan manusia yang menyesal pada hari akhirat kelak.
"Hari (kebangkitan) yang tidak bermanfaat harta benda dan anak-pinak, kecuali sesiapa yang datang kepada Allah dengan hati yang sejantera." (As-Syu'ara' : 88-89)
Wallahu'alam.

30 July 2013

Tadabbur Al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Al-Quran bukan untuk setakat dibaca, tetapi juga untuk diteliti, dihayati dan difikiran tentang isinya, agar kita dapat memahami makna, hikmah dan tujuannya. Inilah sebab bagi setiap al-akh, menjadi kewajipan bagi mereka untuk mentadabbur Al-Quran.

Kita membaca Al-Quran bukan sekadar kerana hendak mengejar untuk mengkhatamkan tilawah Al-Quran dengan secepat mungkin, bukan sekadar merebut ganjaran 10 kebaikan bagi setiap huruf yang dibaca, dan juga bukan sekadar untuk menambah pengetahuan tentang ciptaan alam, hukum-hakam dan sirah. Kita mahu lebih dari itu.

Kita mahu dengan Al-Quran, keimanan kita terhadap Allah, Rasul, kitab-Nya, dan hari akhirat bertambah baik.

Kita mahu dengan Al-Quran, cara fikir kita lebih tajam, kritis dan meluas dari sempadan bagi orang kebiasaan.

Kita mahu dengan Al-Quran, akan membuahkan amal-amal yang bermanfaat untuk ummah dan agama Islam, bukan untuk diri sendiri semata-mata.

Kita mahu dengan Al-Quran, ia menjadi sumber pegangan dan rujukan paling utama bagi setiap urusan dalam kehidupan seharian kita, baik dalam urusan ibadah mahupun muamalat.

Al-Quran, dustüruna! Al-Quran, perlembagaan kami!

"Sebuah kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan kepadamu penuh berkah agar mereka mentadabbur ayat-ayatnya dan agar orang yang berakal sempurna beringat mengambil pengajaran." (Sod : 29)

"Maka tidakkah mereka mentadabbur Al-Quran, atau hati mereka sudah terkunci?" (Muhammad : 24)

Al-Quranmu itu, tadabburlah ia dengan tekun.

Ikhwan rahimakumullah.

Semoga Allah menjadikan hati kita ini hati-hati yang cintakan Al-Quran. Hati yang cintakan Al-Quran adalah apabila kita bertemu dengannya dengan hati yang senang, duduk bersamanya dalam waktu yang panjang tanpa rasa bosan, rindu padanya bila ia tiada di sisi, banyak berinteraksi dengannya, percaya penuh terhadap bimbingannya, kembali kepadanya dalam setiap permasalahan kecil atau besar, dan mentaatinya baik perintah mahupun larangan.

Senantiasalah memohon kepada Allah agar diberikan hati yang jernih, hati yang hidup, hati yang sentiasa terawat dan dijaga. Yä muqollibal qulüb, thabbit qolbï 'alä dïinik.

Wallahu'alam.

29 July 2013

Memilih Sasaran Yang Sesuai

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Di luar sana, tidak dinafikan banyak orang Islam, termasuklah kita, yang mempunyai kefahaman baik tentang Islam dan bersemangat untuk menyampaikan mesej Islam kepada kawan-kawan di sekelilingnya.

Semangat dalam berdakwah itu memang penting, tapi jangan biarkan semangat itu membuatkan kita bekerja tanpa ilmu atau dengan mengabaikan disiplin-disiplin dalam gerak kerja dakwah. Ilmu ini dikenali sebagai ilmu fiqh dakwah.

Fiqh dakwah, kita dapat perolehinya dengan mempelajari Al-Quran, sunnah dan juga sirah para sahabat serta salafussoleh. Untuk kali ini, saya suka untuk berkongsi sedikit ilmu fiqh dakwah berdasarkan Al-Quran, sumber rujukan utama bagi setiap aktivis dakwah.

Dengan mengambil Al-Quran sebagai panduan utama dalam bekerja, harapnya ia akan membuatkan kita lebih banyak berfikir dengan lebih tajam dan kritis, kerana ayat-ayat Al-Quran itu banyak sekali berkait dengan permasalahan kehidupan. Akhirnya, dengan banyak membaca dan mentadabbur Al-Quran, semoga ia akan membuatkan kita sentiasa dekat kepada Al-Quran.

Ilmu dan disiplin dalam dakwah

Seperti yang disebut di atas, keghairahan berdakwah, dengan darah panas dan semangat membaranya, tanpa didasari ilmu dan disiplin, seseorang da'i akan lebih terdedah kepada kesilapan dalam menyampaikan isi seruan yang dibawa. Ini boleh terjadi disebabkan, antaranya, tidak wujud jalinan hubungan dan kesefahaman antara da'i (yang menyeru) atau mad'u (yang diseru).

Saya bagi satu contoh kes berdasarkan pengalaman saya sendiri. Ada seorang si fulan ini mendapat sentuhan tarbiyah di luar negara. Selepas mengenal erti dakwah dan tarbiyyah, seperti kawan-kawannya yang lain, dia merasa kepentingan untuk menyampaikan dakwah kepada manusia di sekelilingnya. Dan dia melakukannya.

Cuma masalahnya, pada pandangan saya, dia lebih suka untuk menyentuh kawan-kawannya yang bukan muslim (baca : belum muslim) berbanding kawan-kawan Melayu. Sedangkan masih banyak lagi antara kawan Melayu di sekelilingnya itu yang perlu disantuni dan diberi sentuhan tarbiyyah. Pada saya, perkara seperti inilah yang selalunya mengakibatkan para du'at kehabisan tenaga, masa dan wang kerana kesilapan memilih sasaran mad'u yang sesuai berdasarkan keutamaan dari aspek tertentu.

Kenapa saya berkata begitu?

Surah Ibrahim : 4

Kata Allah s.w.t. :

"Dan kami tidak mengutuskan seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, agar dia dapat memberi penjelasan kepada mereka." (Ibrahim : 4)

Berdasarkan ayat di atas, satu petunjuk yang kita dapati di sini adalah bahawa tidaklah Allah menghantar seseorang utusan-Nya kepada sesebuah kaum melainkan dengan bahasa kaumnya tersebut.

Keselarasan bahasa itu merupakan salah satu elemen terpenting dalam mewujudkan komunikasi yang berkesan. Jika bercakap dalam bahasa yang sama pun boleh saling tersalah faham, inikan pula bercakap dengan bahasa yang saling berbeza. Kerana itu komunikasi antara da'i dan mad'u dengan bahasa yang sama yang saling difahami sangat memainkan peranan supaya kedua-dua pihak menerima dan menyampaikan maklumat yang sepatutnya.

Dan bahasa yang sama tidaklah digunakan antara dua pihak melainkan mereka ini ada unsur lain yang juga menjadi persamaan antara mereka, seperti asal usul keturunan, bangsa dan budaya. Untuk itu, mari kita tadabbur kisah-kisah Nabi dan kaumnya yang diceritakan oleh Allah dalam surah Hud.

Kata Allah s.w.t. :

"Dan kepada kaum 'Äd, (diutuskan) saudara mereka, Hud. Dia berkata : Sembahlah Allah, tidak ada tuhan bagimu selainnya." (Hud : 50)

"Dan kepada kaum Thamud, (diutuskan) saudara mereka, Saleh. Dia berkata : Wahai kaumku, sembahlah Allah, tidak ada tuhan bagimu selainnya." (Hud : 61)

"Dan kepada (penduduk) Madyan (diutuskan) saudara mereka, Syu'aib. Dia berkata : Wahai kaumku, sembahlah Allah, tidak ada tuhan bagimu selain dia." (Hud : 84)

Berdasarkan tiga ayat dari surah Hud di atas, kita akan dapati bahawa para rasul yang diutuskan oleh Allah, selain berkomunikasi dalam bahasa yang sama dengan kaumnya, mereka juga datang dari kaumnya sendiri.

Gaya bahasa dan jalinan hubungan

Kembali kepada contoh kes di atas, kerana itu pada saya tindakan si fulan tersebut 'bermasalah', iaitu bermasalah dari segi keutamaan memilih sasaran mad'u yang sesuai. Kawan-kawan Melayunya yang agamanya Islam warisan inilah sepatutnya lebih diutamakan dan lebih banyak disentuh kerana mereka ini datang dari keturunan dan bercakap dalam bahasa yang sama dengannya, berbeza dengan kawan Perancis, Inggeris atau Afrikanya itu, contohnya. Tambahan pula, kawan-kawan Melayunya yang sudah Islam tetapi belum berpegang dan beramal baik dengannya itu, hanyalah tinggal perlu dibangkitan perasaan 'izzah mereka terhadap Islam dan disemarakkan keinginan untuk bersama-sama dengan kita bekerja dalam satu pasukan.

Memilih mad'u yang sesuai, inilah antara disiplin gerak kerja dakwah mengikut fiqh dakwah yang sepatutnya dihormati oleh setiap da'i.

Wallahu'alam.

28 July 2013

Kau Ada atau Tak, Sama Sahaja

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Banyak orang menyertai bulatan usrah dengan harapan usrah akan membentuk dirinya lebih baik dari sebelumnya. Namun hakikatnya, tidak semua perkara akan terjadi seperti mana yang kita harapkan. Ada banyak sebab mengapa hal ini berlaku. Antaranya harapan seseorang yang menggunung terhadap keberkesanan sistem tarbiyah melalui usrah dan ketidaksabaran terhadap jalan dakwah dan tarbiyyah yang panjang ini.

Apabila kita mentadabbur ayat ke-129 dari surah Al-A'raf, kita akan mendapatkan ciri-ciri golongan yang tergopoh-gapah ini.

Kisah Nabi Musa dan kaumnya, ayat 128-129

Kaum Nabi Musa iaitu Bani Israil, sebelum kedatangan Nabi Musa, mereka telahpun dizalimi oleh Fir'aun. Apabila diutuskan Nabi Musa kepada mereka, mereka menganggap Nabi Musalah superhero mereka, iaitu penyelamat yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang akan menyelamatkan mereka dari kezaliman Fir'aun. 

"Musa berkata kepada kaumnya : Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya bumi milik Allah, diwariskan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki antara hamba-hamba-Nya. Dan kesudahan (yang baik) adalah bagi orang-orang bertaqwa." (Al-A'raf : 128)

Harapan dan janji yang diberikan oleh Nabi Musa kepada mereka membuatkan mereka bertambah percaya dan bergantung harap kepada Nabi Musa.

Namun, setelah beberapa lama bersama Nabi Musa, mereka menyedari bahawa nasib mereka tetap sama. Keadaan tidak bertambah baik, mereka tetap dizalimi oleh Fir'aun. Nabi Musa pun tidak dapat mengalahkan Fir'aun. Semua ini membuatkan mereka kecewa. Harapan indah yang diimpikan selama ini kini sekadar menjadi kenangan. Punah segalanya. Kerana terlalu kecewa, lalu mereka meluahkan rasa hati mereka kepada Nabi Musa :

"Kami telah ditindas (oleh Fir'aun) sebelum engkau datang kepada kami dan setelah engkau datang." (Al-A'raf : 129)

Bagi kaum Nabi Musa, mereka merasakan kehadiran Nabi Musa adalah sia-sia dan tidak membawa apa-apa perubahan yang lebih baik bagi mereka. Ketika Nabi Musa tiada, mereka ditindas. Bahkan ketika Nabi Musa ada sekalipun, mereka tetap ditindas. Tiada beza, sama sahaja. Ini luahan hati mereka. Beginilah, betapa kecewanya mereka terhadap Nabi Musa.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Kisah Nabi Musa dan kaumnya ini mengingatkan saya akan kisah yang berlaku terhadap mereka yang pada awalnya bersemangat bersama kita di jalan dakwah dan tarbiyyah ini, tetapi kemudiannya mereka memilih untuk keluar dari gerabak di jalan ini. Mereka merasakan proses pentarbiyyahan dan pentakwinan seseorang manusia itu memakan masa yang terlalu panjang, dan tidak lagi sesuai dengan suasana semasa. Pada mereka, pasti ada jalan alternatif lain yang boleh membawa mereka sampai ke matlamat yang sama dengan kita. Namun, bagi kita yang memahami benar manhaj dan prinsip yang kita pegang dan bawa, pasti kita akan kukuhkan kaki kita di jalan ini.

Ingatlah kita semua akan pesanan yang disampaikan oleh Pak Cik Hasan ini :
"Hai ikhwanul muslimin terutama yang gopoh daripada kamu. Dengarkanlah daripadaku satu kalimah yang tinggi yang berkumandang dari atas mimbar ini di dalam muktamar umum ini. Sesungguhnya jalan kamu ini adalah yang telah digariskan langkah-langkahnya, ditentukan batas-batasnya dan aku tidak mahu melanggar batas-batas itu. Aku telah yakin dengannya. Keyakinan yang sebenar-benarnya, bahawa itulah jalan yang paling selamat untuk mencapai tujuannya.
Ya, boleh jadi ia satu jalan yang panjang, tetapi di sana tidak ada jalan lain selain itu. Sifat kelakian tidak akan lahir kecuali dengan keberanian, ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang serius dan berterusan. Barangsiapa dari kalangan kamu yang hendak cepat dan gopoh memetik buah sebelum masak atau hendak memetik hasil sebelum masanya, maka aku tidak bersama dengannya sama sekali dan lebih baik baginya meninggalkan dakwah ini dan carilah dakwah yang lain. Barangsiapa yang bersabar bersama aku sehingga berkembang dan membesar benih itu lalu tumbuh pokoknya, baik buahnya sehingga tiba waktunya untuk dipetik dan diambil, maka ganjarannya terserahlah kepada Allah semata-mata. Kita dan dia tidak boleh lari dari dua kebaikan ini. Sama ada kita menang dan berkuasa atau mati syahid dan berbahagia."

Sungguh, jalan ini sangat panjang. Tapi yakinilah, inilah jalan yang paling dekat kepada sunnatullah dan sunnah Rasulullah s.a.w., para sahabat serta para salafussoleh yang terdahulu. Semoga Allah menetapkan diri dan hati kita di jalan dakwah dan tarbiyyah ini, hingga sama ada kita mati mulia sebagai seorang da'i ataupun mati syahid sebagai seorang mujahid.

Wallahu'alam.

27 July 2013

Buat Pilihan dan Nyatakannya (Siri 2)

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Dalam entri yang lepas, telah dikongsikan bahawa dengan mendalami asbab an-nuzul dan muläbasät penurunan surah Al-A'raf. Kita difahamkan bahawa tema yang dibawa oleh surah Al-A'raf adalah pertentangan sengit antara hak dan batil, manakala tujuan surahnya adalah supaya manusia membuat pilihan antara dua dan berani menyatakannya, serta dalam masa sama tidak sepatutnya seseorang berada di pihak berkecuali atau sebagai pemerhati sahaja.

Dan kali ini kita akan meneliti beberapa bahagian perenggan ayat dari surah Al-A'raf yang daripadanya kita akan menyedari betapa tegasnya peringatan dan balasan Allah kepada manusia yang berpihak kepada kekufuran serta ketidakpedulian Allah terhadap golongan yang berkecuali dan hanya memerhati serta menunggu-nunggu.

Surah Al-A'raf mengandungi kisah Adam dan Iblis, penduduk syurga dan neraka, dan para nabi dan kaumnya. Persamaan yang terdapat pada kisah-kisah ini adalah semua kisah ini menceritakan pertentangan antara hak dan batil.

Mari kita tadabbur surah Al-A'raf dari satu bahagian ke satu bahagian yang lain.

Kisah Nabi Adam dan Iblis (Ayat 11-37)

1) Ayat 14-16

"(Iblis) berkata : Berilah aku penangguhan waktu, sampai hari mereka dibangkitkan. Allah berfirman : Benar, kamu termasuk yang diberi penangguhan waktu. Iblis berkata : Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan sentiasa menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus."

Kebiasaannya, kita selalu meminta tempoh penangguhan apabila ada tugasan untuk disiapkan, hutang untuk dilangsaikan atau keputusan dalam sesuatu permasalahan untuk dibuat.

Hebatnya Iblis, ia meminta tempoh penangguhan daripada Allah dalam keadaan ia telahpun membuat keputusan muktamad untuk matlamat hidupnya, iaitu menyesatkan manusia. Cuba tanyakan diri kita, adakah kita sudah membuat keputusan muktamad tentang matlamat hidup kita? Malulah kita kepada Iblis dan syaitan jika kita yang Allah panjangkan umur kita di dunia ini, tetapi kita masih terkial-kial untuk membuat pilihan antara Islam dan jahiliyyah, masih termangu-mangu ke manakah hala tuju hidup kita.

2) Ayat 20

"Kemudian syaitan membisikan fikiran jahat kepada mereka agar menampakkan aurat mereka (yang selama ini) tertutup. Dan (syaitan) berkata : Tuhanmu hanya melarang kamu berdua mendekati pohon ini agar kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal (dalam syurga)."

Umum sedia tahu bahawa Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga kerana memetik buah pohon larangan dalam syurga. Persoalannya, apakah yang dikejar oleh Adam dan Hawa sehinggakan mereka memilih untuk mendekati pohon larangan tersebut? Ketahuilah, demi kepentingan diri sendiri, mereka memilih untuk memenuhi kemahuan diri iaitu supaya kekal di dalam syurga, lebih dari memilih untuk patuh kepada larangan Allah.

Adam dan Hawa membuat keputusan kerana dipengaruhi kepentingan diri, akibatnya mereka dihalau dari syurga ke bumi. Inilah akibatnya membuat keputusan kerana pentingkan diri sendiri.


Kisah ahli syurga dan neraka (Ayat 38-58)

1) Ayat 44

"Dan para penghuni syurga menyeru penghuni-penghuni neraka : Sungguh, kami telah memperoleh apa yang dijanjikan Tuhan kepada kami, semua itu benar. Apakah kamu telah memperoleh apa yang dijanjikan Tuhanmu kepadamu itu benar? Mereka menjawab : Benar. Kemudian penyeru (malaikat) mengumumkan tentang laknat Allah bagi orang-orang zalim."

Ayat ini menunjukkan bahawa dalam pertarungan antara al-haq dan al-batil, pasti al-haq menang dan al-batil dikalahkan. Mereka yang memilih al-haq, akan dikurniakan syurga. Selainnya, nerakalah tempatnya.

Berbahagialah mereka ketika di dunia yang menuruti perintah dan menjauhi larangan Allah dengan penuh ikhlas dan istiqamah, kerana mereka ini akan memperoleh sebaik-baik balasan di alam akhirat yang kekal abadi, iaitulah syurga. Mereka yang ketika di dunia yang dibekalkan Al-Quran dan diutuskan kepada mereka orang-orang söleh yang menyeru kepada kebenaran Islam, namun memilih untuk berpaling dari semua itu, duduklah diam-diam di neraka kelak.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Setelah menerima petunjuk daripada Allah melalui Al-Quran, Rasulullah melalui Al-Hadith dan para du'at melalui seruannya, adakah kita masih belum membuat pilihan untuk beramal dengan amalan ahli syurga ataupun ahli neraka?

2) Ayat 46-48

"Dan antara keduanya (syurga dan neraka), ada tabir dan di atas A'raf (tempat tertinggi), ada orang-orang yang saling mengenali, masing-masing dengan tandanya. Mereka (ahli neraka) menyeru ahli syurga : Salämun 'alaikum (salam sejahtera ke atas kamu). Mereka belum dapat masuk, tetapi mereka ingin segera (masuk).
Dan apabila pandangan mereka dialihkan ke arah ahli neraka, mereka berkata : Ya Tuhan kami, janganlah Engkau tempatkan kami bersama-sama orang zalim itu."

Pada hari akhirat kelak, Allah akan perlihatkan syurga dan neraka kepada segolongan manusia yang tempatnya bukan di syurga, juga bukan di neraka, tetapi di atas A'raf. Mereka ini dikenali sebagai Ashäbul A'raf.

Siapakah Ashäbul A'raf? Merekalah ketika Hari Pengadilan datang menghadap Allah dalam keadaan timbangan amal kebaikan dan keburukan adalah sama banyak, dan ketika di dunia tidak membuat keputusan yang betul-betul. Walaupun di dunia mereka mengenali perbezaan tanda-tanda antara orang-orang söleh dan orang zalim, namun mereka ragu-ragu untuk memilih bersama orang mukmin dan beramal dengan Islam secara keseluruhan ataupun tidak. Kerana itulah di akhirat kelak, apabila ditunjukkan kepada mereka bahawa ahli syurgalah pihak yang benar, lalu mereka mahu benar masuk ke dalam syurga, namun Allah tidak mengizinkannya lagi. Itulah balasan bagi Ashäbul A'raf.

Anda pula, mahu pilih syurga atau neraka?

Kisah nabi-nabi dan kaumnya (Ayat 59-102)

Dari ayat 59-64 diceritakan kisah Nabi Nuh dan kaumnya, ayat 65-72 tentang Nabi Hud dan kaumnya 'Ad, ayat 73-79 tentang Nabi Saleh dan kaumnya Thämud, ayat 80-84 tentang Nabi Lut dan kaumnya, dan ayat 85-95 tentang Nabi Syu'aib dan kaumnya penduduk Madyan.

Kisah nabi-nabi dan kaumnya di atas memperlihatkan sunnatullah pertentangan antara al-haq dan al-batil yang pengakhirannya pasti dimenangi oleh al-haq. Balasan azab yang diberikan kepada kaum-kaum yang ingkar tersebut bukanlah kerana Allah suka-suka mahu melaksanakannya, tapi kerana kesombongan yang meninggi, keingkaran yang melampau dan kerosakan yang terlalu teruk yang telah mereka kerjakan. 

Mereka diberi pilihan untuk menerima seruan supaya menyembah Allah semata-mata dan bersama rasul mereka, namun mereka tidak memilih untuk berbuat demikian. Bahkan mereka menyindir dan mengeji seruan dan utusan Allah. Maka, begitulah balasannya bagi orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri.

Kisah Nabi Musa dan kaumnya Bani Israil (Ayat 103-162)

1) Ayat 121-125

"Mereka berkata : Kami beriman kepada Tuhan seluruh alam.
Iaitu Tuhannya Musa dan Harun.
Fir'aun berkata : Mengapa kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya ini benar-benar tipu muslihat yang telah kamu rancangkan di kota ini untuk mengusir penduduknya. Kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu).
Pasti akan aku potong tangan dan kakimu dengan bersilang, kemudian aku akan menyalib kamu semua.
Mereka (ahli sihir) berkata : Sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami."

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Apa jawapan ahli sihir ketika diancam dan diugut oleh Fir'aun disebabkan mereka beriman kepada Allah? "Sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami."

Berbeza dengan Nabi Adam dan Hawa yang membuat keputusan atas kepentingan diri mereka, para pesihir yang mulanya bersama dengan Fir'aun pula telah membuat keputusan dan memilih untuk beriman kepada Allah bersama Nabi Musa dan Harun. Walaupun akan kehilangan kedudukan tinggi di sisi Fir'aun dan diancam akan diseksa olehnya, namun ahli sihir tekad dan tetap dengan pilihan mereka.

Cuba refleksi pada diri kita. Dalam banyak-banyak keputusan yang kita putuskan dalam hidup ini, banyaknya kerana Allah, rasul dan agama Islam ataupun kehendak nafsu diri? Inilah persoalan yang kita seharusnya sentiasa lontarkan kepada diri sendiri.

Kisah Bani Israil dan Hari Sabat (Ayat 163-166)

"Dan tanyakanlah kepada Bani Israil tentang negeri yang terletak berhampiran laut ketika mereka melanggar aturan Hari Sabat, ketika datang kepada mereka ikan-ikan terapung-apung di permukaan air, padahal pada hari-hari yang bukan Sabat ikan-ikan itu tidak datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan mereka berlaku fasik.
Dan ketika suatu umat antara mereka berkata : Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang keras? Mereka menjawab : Agar kami mempunyai alasan kepada Tuhanmu dan agar mereka bertaqwa.
Maka setelah mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang orang berbuat kejahatan dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim seksaan yang keras disebabkan mereka terlalu fasik.
Maka setelah mereka bersikap sombong terhadap segala apa yang dilarang, Kami katakan kepada mereka : Jadilah kamu kera yang hina!"

Kisah dalam ayat 163-166 ini dianalogikan seperti ini. Ketika mana kelompok A ta'at dan giat menjalankan tanggungjawab 'amar ma'ruf nahi mungkar dengan menasihati kelompok B yang melakukan kemungkaran, tiba-tiba datang kelompok C yang mempertikai kelompok A yang terlalu menjaga tepi kain orang. 

Tahukah anda siapakah kelompok C ini? Inilah kelompok yang sikapnya mirip seperti Ashäbul A'raf. Di depannya jelas ada satu kelompok yang patuh kepada perintah Allah dan satu kelompok lain pula ingkar kepada larangan Allah, namun mereka memilih untuk mempersoal tindakan kelompok orang söleh, sedangkan orang yang bermaksiat tidak ditegur.

Kelompok C, inilah kelompok yang cenderung untuk bersikap berkecuali dan memerhati sahaja. Malahan, inilah kelompok yang katanya menyokong agenda menegakkan syari'at Islam tetapi dalam masa sama sentiasa mempertikai mereka yang bekerja ke arah tujuan tersebut.

Dan dalam ayat ke-165, sebagaimana sunnatullahnya, Allah menyelamatkan mereka yang bersama kebenaran dan membinasakan mereka yang bersama kebatilan.

Apa nasib kelompok C? Ada sebahagian ahli mufassirin menafsirkan bahawa Allah mengabaikan kelompok tersebut. Kerana itu pengakhiran kisah ini berakhir tanpa diketahui apa nasib yang menimpa kelompok tersebut. Ada pula ahli mufassirin menafsirkan bahawa kelompok C ini akhirnya termasuk dalam kelompok B dan turut sama diazab seperti kelompok B.

Buat Pilihan dan Nyatakannya

Beginilah kisah-kisah dalam surah Al-A'raf ini mengajarkan kita bahawa menjadi sunnatullah pertarungan antara kebenaran dan kebatilan, pasti kebenaran akan menang. Berdasarkan kisah-kisah dan bukti yang ditunjukkan oleh Allah kepada kita semua tadi, kemudiannya kita diseru pula untuk membuat keputusan sama ada mahu mengikuti jejak langkah ahli syurga ataupun ahli neraka. Antara dua, tiada pilihan ketiga.

Maka, adakah anda sudah membuat pilihan anda? Buatlah pilihan anda sekarang, dan beranilah menyatakannya!

Wallahu'alam.