Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin

26 March 2014

Bagaimana Mengurus Fitrah Berhibur?

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita kematian enam orang pengunjung konsert di Future Music Festival Asia (FMFA). Dan khabar duka cita itu betul-betul hadir ketika mana negara Malaysia dan seluruh rakyatnya sedang meratapi tragedi pesawat MH370, selain cuaca berjerebu dan musim kemarau berpanjangan yang melanda di kebanyakan tempat.

Lantas, kebanyakan orang mencela penganjuran konsert liar atas beberapa sebab. Antaranya, hiburan melampaui batas syara' seumpama ini menjadi sebab keruntuhan akhlak dan moral masyarakat, terutamanya bagi anak-anak muda. Ia juga dijadikan alasan bahawa penganjuran program sebegitulah sebabnya kita dilanda musibah kemarau, jerebu dan terkini tragedi MH370.

Semenjak itu, usaha mendesak supaya program hiburan liar, melampaui batas atau seumpamanya agar dibatalkan, giat dijalankan oleh beberapa pihak yang prihatin terhadap isu tersebut.

Usaha-usaha mereka ini amatlah dialu-alukan dan dihargai. Moga ia bermanfaat bagi pembangunan umat dan negara yang lebih baik.

Cuma di sana terdapat satu hal yang membuatkan aku selalu berfikir tentangnya. Apakah usaha membantah dan menghukum haramnya program hiburan yang bukan syar'i, ianya solusi kepada masalah berhibur secara melampau-lampau?

Di sana ada muslim dan bukan muslim yang sukakan hiburan.
Lalu, bagaimana kita perlu melayan mereka?

Mudah bagi kita menghukum dan memberi titah sebegini dan sebegitu. Tapi andai kata kita diamanahkan untuk mengurus negara dan rakyatnya kelak, apakah kita masih dengan sikap dan polisi 'hukum dan perintah'?

Mungkin selama ini kita bisa memperincikan hukum hiburan dan muzik beserta dalil-dalilnya, atau syarat-syarat berhibur mengikut perspektif Islam. Tapi bagaimanakah kita bisa dan mampu mengurus fitrah manusia yang sukakan hiburan dan melaksanakan wasilah (medium) hiburan yang sepatutnya bagi mereka?

Andai kata kita adalah penganjur konsert, lalu bagaimanakah bentuk konsert yang kita ingin dan bayangkan?

Dalam Himpunan Risalah, IHAB ada berbicara panjang tentang persoalan "Adakah kita golongan yang praktikal?" (هل نحن قوم عمليون؟). Bagi kita yang ditarbiyah, kita merupakan du'at yang praktikal pada bicara dan amalnya dalam menyelesaikan penyakit umat. Bukan lagi individu yang hanya tahu berteori, memberi hukum atau memberi cadangan semata-mata. Selepas semua perkara itu, kita mahu beramal. Kita mahu beramal secara realistik, bukan idealistik semata-mata. Bukan setakat kerjanya efisien, malah kerjanya menghasilkan hasil yang muntij (produktif).

Dalam isu kebudayaan yang dalamnya terkandung soal hiburan dan muzik, inilah suatu hal yang perlu diteliti dan dibincangkan sesama aktivis dakwah dalam konteks yang lebih mendalam dan lebih luas. Kerana antara cabaran besar bagi harakah Islam dan pendokongnya di seluruh dunia adalah mengurus isu kebudayaan.

Wahai saudaraku.

Lalu, di mana kita? Adakah fikiran dan amal kita sudah bersedia dan sesuai bagi realiti dan keperluan masa depan?

Persoalan buat diriku, juga persoalan buat kalian semua. Moga amal-amal kita bermanfaat bagi umat dan negara.

والله أعلم
Wallahua'lam

11 March 2014

Menggosok Pakaian, Mencetak Pahlawan

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Mentarbiyah manusia, ibaratnya menggosok pakaian.

Sebelum menggosok, dipastikan terlebih dahulu sama ada ia boleh digosok atau tidak. Jika boleh digosok, diteliti pula jenis fabriknya, sama ada ianya cotton, wool, polyster, silk, nylon atau lain-lain.

Kemudian, pilih mod penggosok berdasarkan suhu dan jenis fabrik yang bersesuaian. Kain yang nipis dan licin, rendah suhu ditetapkan. Kain yang tebal dan kasar, tinggi pula suhu ditetapkan.

Andai kata terdapat kedutan degil, semburan air digunakan. Jika kedutan masih belum hilang, gosok pakaian dari bahagian dalam pula.

Panas, siap untuk menggosok.

Begitulah juga kita ketika mentarbiyah manusia, baik diri sendiri mahupun orang lain.

Terlebih dahulu, kenal dan fahami diri. Fikiran, akhlak, karakter, prinsip, kecenderungan, kelebihan dan kekurangan diri, perhatikan ia baik-baik. Kemudian, santuni dan didiklah ia sesuai dengan karakternya.

Jiwa yang sikit jahiliyahnya, mudah dirinya ditarbiyah. Ubatnya sikit, masa rawatannya singkat. Jiwa yang pekat jahiliyahnya, payah dirinya ditarbiyah. Ubatnya banyak, masa rawatannya panjang. 

Apa yang paling penting, jiwa itu perlu berterusan diberi perhatian dan didikan.

Asasnya, pakaian digosok supaya ia hilang kedutan, selesa dipakai dan kemas dipandang. Begitu juga dengan kita. Tarbiyah menghilangkan unsur jahiliyah dan memperkemas diri, baik pada fikrah, amal ataupun akhlaknya.

Menggosok pakaian, mencetak pahlawan. 

Wallahu'alam.

02 March 2014

Kenapa Nescafé?

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Suatu hari, aku makan tengah hari di sebuah kedai makan bersama seorang ikhwah.
"Kenapa pesan air nescafé?"
"Ha? Apa?"
Tiba-tiba ditanya dengan soalan sebegitu. Aku terkejut, terpinga-pinga dibuatnya.
"Tak tahu."
Jawapan diberi dengan cepat dan ringkas, tanpa berfikir panjang. Lalu, aku terdiam.

Gambar hiasan semata-mata

Kemudian, baru kuingat, baru kufaham. 

Antara syiar ikhwah dan akhawat dalam kehidupan ialah memboikot produk syarikat pro-zionis Israel. Termasuklah Nescafé, salah satu produk daripada syarikat Nestlé.

Itulah sebabnya akh tersebut kehairanan melihatkan aku memesan minuman nescafé.
"Ana lupa. Kalau barang yang jelas berlabel 'Nestlé', ana memang tak beli. Mungkin sebab minuman seperti ini tiada label, jadi ana terlupa."
Kucuba jelaskan padanya. Tapi kutahu, alasanku itu masih belum meyakinkan.

Sehingga kini, aku sungguh terasa dengan pertanyaan itu, semacam ia memukul kepala dan mengetuk jiwaku. Sejak saat itu, acap kali kutanyakan diriku sendiri, "Apakah benar jihadku memboikot produk syarikat pro-zionis Israel selama ini?".

Mungkin kerana selama ini minuman nescafé merupakan minuman kegemaranku, lalu aku tak bersungguh memboikot produk Nestlé.

Teringat kisah seorang akh yang menceritakan peristiwa di tempatnya bekerja, jururawat terkejut apabila diberitahu ia sudah 6 tahun memboikot dan tak makan makanan McDonald's.

Mereka boleh dan mampu, kenapa tidak kita?

Memboikot barangan syarikat pro-zionis Israel itu suatu kewajipan, juga suatu jihad ekonomi.


Wallahu'alam.

27 February 2014

MKPN, Mangsa Kezaliman Puak Nakal

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Semenjak Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) membuat pendirian tidak bersetuju terhadap serbuan dan rampasan kitab Bible yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas premis Persatuan Bible Malaysia, MKPN terus-menerus dikritik dan dicemuh oleh banyak pihak, terutamanya pertubuhan islamis.

Baru-baru ini, MKPN dikritik kerana majoriti ahlinya ialah mereka yang dianggap liberal dan lebih ramai ahlinya ialah bukan Islam. Terbaru, beberapa pertubuhan menolak jemputan daripada MKPN ke jelajah Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi  kerana meragui idea MKPN melakukan program tersebut. Alasannya, keanggotaan MKPN yang tidak mewakili lapisan masyarakat yang menyeluruh termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan kecenderungan kepada pemikiran Islam liberal sebahagian besar ahli MKPN.



Aku fahami keprihatinan dan kebimbangan mereka yang mengkritik MKPN. Tapi, alasan-alasan yang diberikan oleh mereka, aku tidak bersetuju dengannya.

Pandangan aku begini.

Pertama, MKPN ditubuhkan untuk membincangkan isu-isu berkaitan perpaduan dalam usaha penyatuan nasional untuk membina bangsa Malaysia yang bersatu padu. Namun, isu agama tidak termasuk dalam peranannya, walaupun ia berkaitan dengan isu perpaduan.

Seperti mana dalam Buku Panduan MKPN bab Terma Rujukan, dinyatakan bahawa :
"Skop dan peranan MKPN turut membincangkan isu-isu sukar yang mempengaruhi perpaduan nasional terutamanya melibatkan aspek pendidikan, sosioekonomi dan sebagainya. Ini kerana jika isu sukar ini tidak ditangani, usaha memupuk perpaduan nasional akan sukar dijayakan. Skop dan peranan Majlis tidak melibatkan perbincangan isu-isu antara agama yang telah mempunyai platformnya sendiri, iaitu Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) yang telah ditubuhkan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 Februari 2010."

Oleh sebab itu, tidak perlu terkejut dan tidak perlu melenting apabila melihat pendirian dan kenyataan yang dibuat oleh MKPN. Dalam kes serbuan dan rampasan kitab Bible baru-baru ini, pendirian yang dibuat oleh MKPN adalah atas dasar keprihatinan terhadap isu perpaduan, selari dengan tujuan penubuhan dan skop kerjanya. 

Pengerusi MKPN, Tan Sri Samsudin Osman menegaskan bahawa mereka hanya bertanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian mengenai isu perpaduan dan menyerahkan penyelesaian isu kalimah Allah kepada pihak yang berkenaan. 

Jelaslah bahawa isu penggunaan kalimah Allah dan yang bersangkutannya, adalah bukan urusan MKPN. Seperti dalam petikan di atas, isu-isu antara agama tertakluk dibawah bidang kuasa JKMPKA sebagai suatu wadah untuk menjadi mekanisme dialog dan mediasi bagi mewujudkan persefahaman dan keharmonian antara penganut agama.

Maka, tohmahan bahawa MKPN mencampuri urusan agama adalah tidak tepat. Dalam isu tertentu, termasuk yang berkaitan agama, pendirian atau kenyataan dibuat dalam skop perpaduan nasional, bukannya toleransi antara agama.

Kedua, adalah normal dan boleh diterima akal jika ahli MKPN majoritinya ialah bukan Islam.

Dalam Buku Panduan MKPN yang sama, dalam bab Struktur dan Keahlian, disebutkan bahawa :
"... ahli-ahli MKPN hendaklah terdiri dari pelbagai latar belakang individu yang meliputi ahli akademik, ahli politik, pelbagai etnik, ahli korporat, peguam, ahli yang mewakili golongan muda dan ahli yang mewakili wilayah Sabah dan Sarawak. Ahli-ahli yang dilantik hendaklah terdiri dari kalangan individu yang mempunyai kredibiliti, berfikiran terbuka dan dapat menerima dan menghormati pelbagai pandangan."

Sekali lagi, tidak pelik dan tidak mengejutkan jika majoriti ahlinya bukan Islam kerana MKPN ialah suatu wadah berkaitan subjek perpaduan kaum, bukannya subjek agama. Dan pastilah ahlinya berbeza latar belakang dari segi agama, kaum, profesion dan aspek lain juga. Isu antara agama, biarlah dibincangkan dalam wadah lain yang sememangnya ahlinya merupakan agamawan atau pakar bagi agama masing-masing.

Ketiga, memandangkan ahli MKPN majoritinya bukan Islam dan skop perbincangannya isu perpaduan kaum, adalah tidak menghairankan jika sesetengah pendirian atau kenyataan yang dibuat oleh MKPN dilihat semacam 'pro-liberalisma'. Itupun jika ia benar.

Ahli-ahli MKPN, mereka juga warga negara Malaysia, kerana itu setiap orang, baik ia Melayu, Cina, India, mahupun Iban dan suku lain, masing-masing ada hak dalam membicarakan isu perpaduan. Dan semestinya isu perpaduan antara kaum berkait dengan isu kemanusiaan. Namun begitu, lain agama dan falsafah, lain pula perspektifnya dalam isu kemanusiaan. Meskipun mereka berbeza pendapat, namun kita percaya apa yang diputuskan adalah saksama demi perpaduan kaum. Maka, adalah tidak tepat untuk melabel MKPN sebagai pro-liberalisma, semata-mata kerana ia kurang ahli beragama Islam dan ia bukan organisasi islamis.

Kesimpulannya, mendakwa MKPN tidak sepatutnya mencampuri urusan agama dan berpendirian pro-liberalisma dengan mengabaikan latar belakang ahli dan wadah itu sendiri, adalah tidak adil untuk berlaku sedemikian.

Dan ini pula nasihatku kepada mereka yang mengkritik MKPN.

Pertama, hormatilah MKPN sebagai wadah yang ahlinya terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, kaum dan profesion. Dan apa-apa tindakan semacam mahu 'mengislamkan' MKPN adalah sesuatu yang mengarut dan tidak masuk akal. Ia umpama sekolah kebangsaan yang digesa bertukar menjadi sekolah agama, sedangkan sekolah kebangsaan perlu berdiri dengan karakter dan peranannya tersendiri, sama seperti sekolah vernakular dan sekolah agama yang masing-masing punya karakter dan peranannya tersendiri.

Perhatikan sejarah negara. Penubuhan MKPN adalah kesinambungan kepada kewujudan Majlis Perpaduan Negara, Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Lembaga Penasihat Perpaduan Negara, Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEL) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Walaupun bertukar-tukar wajah dan nama, namun tujuan penubuhan, keanggotaan dan peranannya tetap sama dari dahulu hingga sekarang, iaitulah penglibatan individu yang berbeza latar belakang yang membincangkan isu-isu perpaduan antara kaum dalam usaha penyatuan nasional.

Sejak dari 40 tahun lepas, pelbagai agensi yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk mengurus isu perpaduan antara kaum sudahpun wujud. Persoalannya, kenapa baru sekarang isu keanggotaan dan peranannya dimainkan?  Kenapa tidak dipersoalkan ketika sebelum atau sejurus ia ditubuhkan?

Kedua, usahlah hanya tahu mengkritik dan membiarkannya. Tujuan penubuhan MKPN adalah ke arah sesuatu yang baik, maka sepatutnya ia disokong agar tercapai matlamatnya. Apa yang baik, kita puji. Apa yang kurang, kita perbaiki.

Jika dijemput hadir ke Dialog Perpaduan : Suara Akar Umbi yang bertujuan untuk mendapatkan pandangan akar umbi untuk dijadikan pelan tindakan ke arah perpaduan nasional, terimalah. Tetapi, mengapa menolak pula? Itupun menolak dengan alasan yang tidak munasabah, sekadar beralaskan sangkaan dan keraguan semata-mata. Kalau benar MKPN tidak betul, maka program sebeginilah sepatutnya menjadi medium bagi pihak pengkritik untuk mendapatkan penjelasan serta memberi pandangan dan teguran membina dalam usaha menambahbaik gerak kerja MKPN.

Cadanganku, mohonlah keahlian dalam MKPN daripada kerajaan. Kalau tidak, wujudkan gabungan organisasi-organisasi muslim sendiri seperti yang kalian mahukan. Perkata dan perbuatlah apa-apa sahaja dari dalam sana seperti yang diinginkan.

Wahai saudaraku yang dikasihi Allah.

Menjayakan isu perpaduan nasional adalah kewajipan bagi setiap orang dari kita sebagai warga negara Malaysia. Dan sebagai seorang muslim, kita akan laksanakannya sesuai dengan syariat Islam.

Dalam apa-apa permasalahan, termasuklah isu perpaduan antara kaum, kita percaya bahawa Islam ada panduan dan solusinya. Sebagai orang Islam, kita mahu dan kita yakin bahawa kitalah sebagai muslim paling benar dalam memberi panduan dan solusi. Namun, tidak dalam semua keadaan kita boleh menjadi ketua atau paling dominan. Dan penerimaan serta penghormatan kita terhadap kewujudan pihak lain yang berbeza agama atau fikrah tidak bermakna pula kita meredhai setiap apa yang diperbuat dan diperkatakan.

Akhirnya, berbicaralah dengan orang lain sesuai dengan latar belakang dan kedudukannya. Apa yang berlaku kepada MKPN, usahlah diulangi lagi. Kasihan mereka.

M-K-P-N, mangsa kezaliman puak nakal.

Wallahu'alam.

20 February 2014

Meraikan Perbezaan dalam Jama'ah

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Kata Allah s.w.t. :

"Dan jika Tuhanmu mengkehendaki, tentulah beriman semua orang di bumi seluruhnya. Tetapi apakah kamu memaksa manusia agar mereka menjadi orang-orang beriman?" (Yunus, 10 : 99)

"Dan jika Tuhanmu mengkehendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu telah tetap." (Hud, 11 : 118-119)
Allah menciptakan semua hamba-Nya yang masing-masing berbeza jenisnya. Itulah hakikat penciptaan manusia, sebaik-baik penciptaan-Nya. Itu semua berlaku atas kehendak dan kemahuan Dia. Kerana itu setiap dari kita sebagai hamba-Nya harus menerima kewujudan perbezaan sesama kita, baik dalam bentuk kelebihan mahupun kekurangan. Apa yang paling penting adalah usaha kita mengambil hikmah disebalik setiap kelebihan dan kekurangan, lalu dimanfaatkan untuk melaksanakan apa yang terbaik. Tanpa berbangga atas kekuatan diri sendiri, tanpa memperlekeh kelemahan orang lain.

Lihatlah generasi para sahabat pada zaman Rasulullah s.a.w..

Abu Hurairah dikenali sebagai seorang sahabat yang alim dan soleh, dan ia terkenal sebagai lagenda ilmu hadith kerana meriwayatkan paling banyak hadith berbanding para sahabat lain.

Khalid Al-Walid pula dikenali sebagai seorang sahabat yang keras dan gagah, dan ia terkenal sebagai lagenda perang kerana mengetuai dan memenangi banyak peperangan melawan musuh Islam.

Tetapi tidak pula Abu Hurairah memperlekeh Khalid Al-Walid kerana terlalu menonjol di medan perang, kurang soleh atau kurang alim kerana tidak menghafaz banyak hadith sepertinya. Begitu juga Khalid Al-Walid, tidak pula ia merendah-rendahkan Abu Hurairah kerana hanya tahu menghafaz hadith dan tidak garang di medan perang sepertinya.

Begitu juga dengan Bilal bin Rabah, Mus'ab bin Umair dan para sahabat lain yang masing-masing berbeza peribadi dan perilaku. Tidak pula mereka saling merendah-rendahkan sesama mereka. Sebaliknya, mereka bersatu dan bekerja dalam satu saf, menghargai kelebihan dan menerima kekurangan mereka yang lain. Kelebihan dan kekurangan mereka saling melengkapi antara satu sama lain.

Kemudian, lihatlah generasi tabi'un (التابعون‎) dan tabi' tabi'in (تابع التابعين‎).

Berdasarkan sejarah mazhab Sunni, ia dimulai dengan kemunculan mazhab Hanafi yang diasaskan oleh Imam Abu Hanifah, kemudian diikuti oleh mazhab Maliki, Syafi'i dan Hanbali.

Wujudnya empat mazhab ini adalah kerana setiap dari imam-imam pengasas mazhab tersebut berusaha berijtihad mengikut kaedah terbaik dan memberi panduan terbaik, atas prinsip amanah dan bertanggungjawab dalam membimbing umat. Pada masa sama, masing-masing tidak mengaku bahawalah merekalah yang terbaik, sebaliknya masing-masing menghormati dan meraikan pandangan lain yang berbeza dengannya.

Begitulah para sahabat, tabi'un dan tabi' tabi'in mengajarkan kita sebagai du'at akhlak dan adab dalam berbeza pendapat.

Bicara dalam konteks jama'ah, menghormati dan meraikan perbezaan kemampuan cara fikir dan bekerja bukan sahaja harus berlaku antara satu jama'ah dan jama'ah yang lain, tetapi juga dalam jama'ah itu sendiri.

Setiap ahli jama'ah, baik di peringkat qiyadah mahupun di peringkat jundiyah, haruslah menerima perbezaan kapasiti, kelajuan dan kekuatan setiap ahli lain. Adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap ahli jama'ah agar mencontohi mereka yang terkehadapan dan menyokong mereka yang terkebelakang. Jika kewajipan beramal jama'i seperti ini dilaksanakan oleh setiap ahli, nescaya ahli dan jama'ah akan memperoleh manfaatnya. Malah akan terkesan pada dakwah itu sendiri. Inilah yang dikatakan sebagai berkat berjama'ah.

Wahai saudaraku yang dirahmati Allah.

Ingatlah kita akan pesanan Imam Hasan Al-Banna kepada anggota Ikhwan agar sentiasa menjaga hati ketika berukhuwah. Mereka yang terkehadapan, usahlah berbangga dan merasa lebih baik. Manakala mereka yang terkebelakang, usahlah pula berkecil hati dan merasa kurang baik.

Bagi para qiyadi, hendaklah bijak meletakkan para jundi pada posisinya, sesuai dengan kemampuannya. Yang punya kelebihan, kita lajukan. Yang punya kelemahan, kita kuatkan. Kedua-duanya, kita pegang dan bagi panduan.

Akhirnya, setiap orang mesti percaya bahawa tarbiyahlah yang akan mengimbangkan kedua-dua aspek kelebihan dan kekurangan pada seseorang individu, dan akhirnya menyempurnakan pembinaan individu tersebut pada jasad dan jiwanya, pada zahir dan batinnya.

Kata Muhammad Ahmad Ar-Rasyid dalam kitabnya, Al-Muntalaq :
"Setiap individu mampu menegakkan sifat muhajir dan mujahid pada dirinya. Banyak jiwa-jiwa yang baik cenderung untuk menghijrahkan kejahatan tetapi tidak mahu berjihad. Banyak jiwa-jiwa yang kuat pula cenderung untuk berjihad tetapi tidak berhijrah meninggalkan kejahatan.
Allah telah mengikat muwalah bagi sesiapa yang mempunyai kedua-dua sifat ini (hijrah dan jihad) dalam dirinya. Mereka ialah umat Muhammad s.a.w. yang beriman kepadanya dengan iman yang sebenar.
Membina da'i yang memiliki kedua-dua sifat ini dan menjadikan semasa Islam melahirkan kebaikan-kebaikan dari kedua-dua golongan tersebut, ia merupakan dua tugas asasi bagi tarbiyyah harakiyyah kita.
Bagi yang pertama, orang yang beriman tetapi tidak bekerja atau orang yang sedar tetapi berhati keras, tarbiyah Islam akan dapat menyempurnakan kekurangan mereka dibawah asuhan da'i sebelum mereka.
Dan bagi semasa Islam pula, tarbiyah akan menyelaraskan usaha dua golongan ini secara disempurnakan dan distabilkan. Ia disatukan serta dirancang kegiatannya sehingga hasilnya membentuk kombinasi yang mantap."

Cabaran mengimbangkan kelebihan dan kekurangan seseorang da'i, solusinya adalah komited terhadap tarbiyah dan hidup berjama'ah. Kerohanian dan kemujahidan, terjaga lagi terpelihara.

Pepatah ada mengatakan, jika mahu pergi cepat, pergilah seorang diri. Jika mahu pergi jauh, pergilah bersama-sama. Itulah berkat hidup berjama'ah dengan prinsip meraikan kelebihan dan kekurangan setiap orang.


Wallahu'alam.