Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin

20 April 2014

Pasukan Pencegah Nasihat

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

Kalau mentadabbur ayat ke-163 hingga 166 dari surah Al-A'raf, teringat akan kisah 'perselisihan' antara Ustaz Don Daniyal dan Kak Wardina yang sedang hangat diperkatakan di laman sosial Facebook sekarang ini.



Tindakan Kak Wardina meminta pihak berkenaan supaya menyemak dan menilai maklumat yang disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal yang diragui kedudukannya, mendapat banyak respon daripada masyarakat.

Apa yang mahu dikaitkan dengan kisah kemungkaran pada hari Sabtu dalam ayat ke-163 hingga 166 dari surah Al-A'raf tersebut adalah kehadiran kelompok yang melampaui batas ketika mengkritik dan mencemuh Kak Wardina.

Dalam kes Kak Wardina dan Ustaz Don Daniyal ini, kumpulan 'pengkritik' ini mempersoal dan mencemuh Kak Wardina kerana menegur Ustaz Don Daniyal secara terbuka. Lebih teruk lagi, ada yang mempersoal kredibiliti, kedudukan dan kelayakan Kak Wardina untuk menegur Ustaz Don Daniyal.

Sebahagian dari kelompok ini, kita khuatiri mereka ini seperti kelompok manusia yang disebut oleh Allah dalam ayat ke-164, iaitu kelompok penduduk yang berdiam diri terhadap kemungkaran yang berlaku, malah sebaliknya mereka mempersoal kewajaran tindakan kelompok penduduk yang melarang kemungkaran.

Melihat kepada diri sendiri, adakah kita mungkin seperti kelompok manusia ini?

Ketika mana ada seorang yang ada hak untuk berdiri meminta penjelasan dan semakan terhadap kesamaran khabar yang disampaikan oleh seseorang, mengapa kita tiba-tiba mahu mempersoal tindakannya tersebut?

Sedangkan selama ini, kemungkaran yang lebih besar yang berlaku di depan mata dan di sekeliling kita, tidak pula kita mahu menyibukkan diri untuk menegur atau melarangnya?

Aku masih tertanya-tanya. Mereka yang mengkritik Kak Wardina ini, adakah kerana tindakan Kak Wardina itu salah? Ataupun kerana Kak Wardina itu seorang artis yang memandai-mandai menegur seorang ustaz?

Kita bicara soal 'apa yang salah', bukan 'siapa yang salah'.

Akhirnya, tidak boleh sesekali kita ini berdiam diri terhadap kemungkaran. Tidak boleh pula memilih kasih dalam mencegah dan mengubah kemungkaran.

Kita ialah tentera pencegah maksiat, bukan tentera pencegah nasihat.

والله أعلم
Wallahua'lam

16 April 2014

Manusia Ulul Albab

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

"Yang mendengar perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sihat." (Az-Zumar, 39 : 18)

Apa yang dikatakan sebagai manusia "ulul albab" (أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ) itu ialah mereka yang sihat akal fikirannya.

Dan orang yang berakal sihat ini, antara akhlak dan disiplinnya ketika menerima dan memberi sesuatu ilmu atau khabar, mereka memilih yang paling baik antara apa yang ada pada pengetahuan mereka.

Wahai saudaraku yang dirahmati Allah.

Apa yang sampai kepada kita, terimalah ia sebagai ilmu pengetahuan. Kemudian, pilihlah yang baik-baik sahaja sebagai pegangan dan ikutan.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah mengungkapkan bahawa :
"Sesungguhnya orang-orang yang terdahulu (salafus soleh) itu berhenti di atas dasar ilmu dengan penelitian yang tajam, lalu adakalanya mereka menahan dirinya sekalipun mereka lebih mampu dalam membahas sesuatu perkara jika mereka ingin membahasnya."

Ketahuilah bahawa orang yang paling baik akhlaknya adalah mereka yang memilih apa yang benar, dan mendiamkan apa yang samar. Manusia sebegitulah yang kita ingin ikuti.

Moga Allah mengurniakan petunjuk dan menetapkan kita di jalan kebenaran.

والله أعلم
Wallahua'lam

15 April 2014

Ke Mana Duit Kita?

بسم الله الرحمن الرحيم 
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

Dalam satu daurah, ketika membincangkan tentang pengurusan duit, seorang murabbi meminta ikhwah dan akhawat menyenaraikan semua perbelanjaan bulanan mereka.

Lalu, ditulislah oleh mereka apa yang mereka belanjakan dari duit elaun bulanan yang dikurniakan oleh pihak penaja masing-masing.
"Jadi, apa yang antum boleh senaraikan?"
"Sewa rumah."
"Bil telefon dan internet."
"Kad pengangkutan awam."
Dan seterusnya.

Satu-persatu bentuk perbelanjaan dinyatakan oleh ikhwah dan akhawat. Semua tampak normal, kerana apa yang disenaraikan merupakan bentuk perbelanjaan biasa.
"Ha, inilah masalah antum semua."
Kata-kata murabbi tersebut mengejutkan ikhwah dan akhawat. Tercengang dan terkeliru. Di manakah masalahnya?
"Ketika mengurus duit antum, antum terlebih dahulu peka terhadap perbelanjaan rumah, telefon, internet dan makan minum. Di mana peruntukan untuk infak dan sedekah? Pada bahagian akhir, bukan? Itulah masalah kita."
Ikhwah dan akhawat terdiam, ada yang tertunduk malu.

Ini bukan kisah rekaan, tetapi kisah benar.

Ke manakah duit kita?

Wahai saudaraku sekalian.

Secara jujur, bila mana kita memperuntuk dan membelanjakan sebahagian duit kita di jalan dakwah yang kita cintai ini?

Bagi yang bekerja, adakah ketika kita mula-mula mendapat gaji? Ataupun apa yang tersisa selepas perbelanjaan peribadi?

Jawapannya, anda yang lebih mengetahui.

Hakikatnya, medan dakwah kita ini makin meluas. Kewajipan dan keperluan juga makin bertambah. Maka, duit untuk kegunaan dakwah juga makin diperlukan.

Berinfaklah sebanyak dan semahu mungkin ketika mana kita berharta. Dan teruskan memberi meskipun sedikit ketika mana kita miskin. Moga dengan sedikit itulah Dia akan membuka pintu keluar dari masalah-masalah bagi kita.

Moga keperluan dakwah dapat diutamakan, sebagaimana kita mengutamakan keperluan asasi diri kita.

 والله أعلم 
Wallahua'lam

Roh Orang Mati dan Tempat Tinggalnya di Dunia

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

Isu 'tempat tinggal' roh orang mati di dunia bukanlah satu isu baru. Sebelum ia disebut oleh Ustaz Don Daniyal, sudah ada sarjana Islam yang membicarakan isu berkenaan sejak dahulu lagi. Antaranya Ibnu Qayyim rahimahullah yang membahaskan persoalan-persoalan tentang roh dalam kitabnya yang kontroversi, Ar-Ruh.

Dalamnya juga ada disebut tentang Jabiyah (جابية), Telaga Zamzam (بئر زمزم) dan Telaga Baharut (بئر برهوت) berkenaan tempat tinggal roh orang mati di dunia.

Dan merujuk kepada isu Telaga Zamzam dan Telaga Barahut yang dibawa oleh Ustaz Don Daniyal yang kini hangat diperkatakan, saya ingin mengajak kita semua kembali jelas dan fokus terhadap isu sebenar yang mahu dibahaskan.

Pertama, adakah kita mempertikaikan kesahihan pendapat tentang tempat tinggal roh ahli syurga dan ahli neraka di dunia?

Jika itu yang mahu dibahaskan, saya ingin katakan bahawa ia sudahpun dibahaskan oleh banyak sarjana Islam.

Ada sarjana yang berpendapat bahawa tempat tinggal roh adalah di alam barzakh. Ada pula yang berpendapat bahawa adanya tempat tinggal roh di alam dunia, termasuklah Ibnu Qayyim sendiri seperti mana yang telah disebut sebelum ini.

Maka pada saya, usahlah memandai-mandai menyesatkan atau melebih-lebih mengkritik mana-mana individu yang berpandangan bahawa adanya tempat tinggal roh di dunia, sedangkan sarjana besar Islam seperti Ibnu Qayyim sendiri berpandangan begitu. Dalam masa sama, sarjana Islam lain yang tidak bersetuju dengannya, tidaklah pula tidak beradab dan melampau-lampau dalam membantah pandangan Ibnu Qayyim tersebut.

Kepada kita sebagai orang umum, para ulama menasihatkan agar tidak terlalu memberatkan dalam membahaskan isu tempat tinggal roh orang mati di dunia.

Kedua, adakah kita mempertikai kesahihan kisah seorang fulan memanggil seorang fulan di Telaga Zamzam dan Telaga Barahut?

Jika itu yang mahu dipertikaikan, maka saya tidak akan membantah jika ada pihak yang mahu membahaskannya.

Namun secara peribadi, dalam isu roh orang mati berkomunikasi dengan roh orang hidup, saya lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan bahawa roh tidak mampu untuk kembali ke alam dunia.

Adapun Ibnu Qayyim yang berpandangan bahawa roh orang mati boleh berhubung dengan roh orang hidup, ia hanya berlaku ketika tidur melalui mimpi. Tiada seorangpun yang berpandangan bahawa roh orang mati boleh bertemu dengan orang hidup semasa sedar mereka.

Maka pada saya, kisah seorang fulan yang hidup berhubung dengan seorang fulan yang sudah mati di Telaga Zamzam dan Telaga Barahut, kesahihannya diragui dan boleh dipertikaikan.

Ketiga, adakah kita sedang membahaskan susuk peribadi Ustaz Don Daniyal?

Dalam membahaskan sesuatu isu, bicara dan kritiklah prinsip dan hujah yang dibawa, bukannya membantai diri individu yang bercakap. Kita menilai apa yang dibicarakan, bukan siapa yang membicarakannya.

Dalam kes Ustaz Don Daniyal ini, kebanyakan dari kita tidak fokus dalam membahaskan persoalan roh orang mati, tetapi sebaliknya kita tidak henti-henti mencari salah Ustaz Don Daniyal. Beginilah 'kemarahan' diletuskan dalam isu terbaru ini, terbawa-bawa sejak isu Bani Tamim dan Ikhwanul Muslimun yang diperkatakan sebelum ini.

Sekalipun ia pernah berlaku silap sebelum ini, bukanlah ia bererti kita mempunyai lesen untuk berlaku tidak berakhlak terhadapnya.

Akhirnya, saya suka ingin mengingatkan setiap orang dari kita, termasuklah saya sendiri, agar tidak memandai-mandai dalam urusan yang kita bukan ahlinya. Berbicaralah sekadar apa yang patut.

Dalam Islam, tidak dinafikan ada berlakunya perkara atau insiden 'ajaib'. Tidak seperti orang soleh dan 'alim ulama, kadang-kadang perkara sebegitu sukar dijangkau oleh akal fikiran kita sebagai orang awam biasa.

Ingatlah firman Allah s.w.t. dalam ayat ke-85 dari surah Al-Isra :
"... dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: Roh itu dari urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu melainkan sedikit sahaja."
Manusia macam tahu, tapi Dia Maha Tahu.

 والله أعلم
Wallahua'lam

La Yastawun!

بسم الله الرحمن الرحيم 
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

"Apakah yang memberi minuman kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidil Haram, kamu samakan dengan orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah. Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang zalim.

Orang-orang yang beriman dan berhijrah di jalan Allah, dengan harta dan jiwa mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Mereka itulah orang-orang yang memperoleh kemenangan." (At-Taubah : 19-20)

Mengikut tafsiran Ibnu Kathir berkenaan ayat ke-19, Ali bin Abi Talhah meriwayatkan bahawa Ibnu 'Abbas berkata bahawa ayat ini diturunkan berkaitan Al-'Abbas bin 'Abdul Muttalib, bila mana ia ditawan dalam Perang Badr, ia berkata :
"Sekiranya kalian semua termasuk orang-orang yang terlebih dahulu masuk Islam, berhijrah dan berjihad, sebenarnya kami termasuk orang-orang yang memakmurkan Masjid Al-Haram, memberi minuman kepada orang-orang yang menunaikan haji dan membebaskan orang-orang dari penderitaannya."

Maka, turunlah ayat tersebut.

Wahai saudaraku yang dikasihi Allah sekalian.

Berdasarkan ayat ke-19 dan 20 daripada surah At-Taubah di atas, disebutkan oleh Allah s.w.t. tentang dua kumpulan manusia. Kumpulan pertama, mereka yang memakmurkan masjid dan memberi minum kepada orang yang mengerjakan haji. Kumpulan kedua, mereka yang beriman, berhijrah dan berjihad dengan harta dan jiwanya.

Ayat tersebut merupakan penjelasan dan penafian daripada Allah s.w.t. bahawa orang-orang yang memakmurkan masjid dan memberi minum kepada orang, tidaklah sama dengan orang-orang yang beriman dan berjihad di jalan Allah.

Meskipun kedua-duanya melakukan amalan soleh, namun ianya tidak sama pada penilaian Allah.

Wahai saudaraku yang dikasihi Allah sekalian.

Antara kecelaruan orang kebanyakan dari kalangan masyarakat kita pada hari ini adalah dalam memahami tuntutan melaksanakan suruhan dan larangan dalam urusan agama.

Di luar sana masih banyak orang muslim yang beramal dan berhukum dengan isi kandungan agama Islam secara tidak menyeluruh, mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain pula. Ada juga yang mengkhususkan amalan soleh kepada amalan tertentu, iaitu beramal dengan amalan yang sesuai dengan kehendak dan keadaan diri, dan meninggalkan apa yang difikirkan tidak sesuai baginya.

Ada orang beranggapan bahawa dengan menunaikan zakat dan memberi bantuan kepada orang yang memerlukan, itu sudah memadai.

Ada pula orang beranggapan bahawa dengan mendirikan dan memakmurkan masjid, itu sudah mencukupi.

Ada juga orang beranggapan bahawa dengan melaksanakan lima rukun Islam, itu sudah dikira menyempurnakan keislamannya.

Sedangkan mengikut tafsiran ayat di atas, semua itu masih belum memadai dan ditempelak oleh Allah s.w.t..

Wahai saudaraku yang dikasihi Allah sekalian.

Firman Allah s.w.t. :
"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan siapa yang lebih baik amalnya..." (Al-Mulk : 2)

Dan kata Rasulullah s.a.w. : 
"Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi dari orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya. Oleh itu, hendaklah kalian bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas... " (Hadith riwayat Muslim)

Peluang dan medan beramal itu sangat luas. Maka beramallah di mana kita berada. Namun perlu diingat, usahlah kita mengkhususkan amalan soleh kepada amal tertentu sahaja, terutama apa yang sesuai dengan kehendak diri. Usah juga sentiasa melazimi rukhsah (keringanan) dalam menunaikan suruhan atau larangan, sedangkan masih ada yang lebih 'azimah (berat) yang masih dipinggir dan dilupakan. Bukanlah kita ini golongan ahli ibadah yang bermain-main.

Kita bukan mahu mengejar yang biasa, tetapi apa yang luar biasa itulah yang kita mahu biasakan. Kita akan bermujahadah menjadi lebih baik dalam beramal, seterusnya menjadi yang paling baik, sama ada pada kualiti atau kuantiti.

Berjihad dengan tenaga, harta dan nyawa, itulah jihad akbar, setinggi-tinggi tingkatan jihad.

والله أعلم
Wallahua'lam