Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.
Keyakinan dalam beragama dan hidup ibarat sebuah gunung yang puncaknya meninggi di langit, pasaknya mengukuh jauh ke dalam bumi. Tidak dapat digoyang oleh syak dan ragu, tidak pula digoncang oleh sangkaan dan keliru. Andai diganggu oleh anasir luar, mata, telinga dan hati akan tertutup, berkuncikan keyakinan yang sejahtera.
Keyakinan yang kita bicarakan ini ialah suatu asas keimanan yang akan membuahkan ibadah dan akhlak. Kerana akhlak mantap datangnya dari ibadah sahih, dan ibadah sahih pula datangnya dari aqidah sejahtera. Dan ketiga-tiga elemen ini terangkum dalam satu pakej sebagai simbol manifestasi kesempurnaan iman. Tanpa salah satu elemen tersebut, kesempurnaan iman takkan dapat berdiri sendirinya.
Suatu hal yang kita mesti sedari adalah bahawa keyakinan juga boleh menjadi pudar, sepertinya pudarnya seri muka seseorang. Kata 'alim ulama, antara sebab lemahnya keyakinan kita terhadap Allah dan Rasul-Nya ialah cinta dunia dan dosa lalu kita.
Kerana itu amatlah penting bagi kita mengenal dan mencari asbab yang dapat memperbaik dan memperkukuh keyakinan. Menurut Imam Habib Abdullah Haddad, ada tiga hal yang boleh menjadi sebab meneguhkan keyakinan.
Pertama, menyediakan hati, telinga dan matanya untuk melihat, mendengar dan menerima ayat-ayat Al-Quran ataupun hadith.
Kedua, hendaklah kita melihat kerajaan langit dan bumi serta antara keduanya dengan pandangan penuh keinsafan. Di sana terdapat pelbagai bentuk keajaiban dan keindahan ciptaan-Nya, baik yang terzahir secara terang mahupun tersingkap secara sembunyi.
Kata Allah s.w.t. :
"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Dia itulah yang benar." (Fussilat, 41 : 53)
Ketiga, hendaklah kita beramal sesuai dengan tahap keyakinan, lalu melakukannya secara berterusan. Dengan doa, moga Allah membuka jalan-jalan amal lain yang boleh kita ikuti dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah.
Sepertinya seorang muslimah yang asalnya tidak berhijab kemudiannya berkeinginan berhijab. Ia bermula dengan tudung kecil bersaiz atas dada. Apabila ia bertambah yakin, ia mula memakai hijab sedikit labuh menutupi dada. Apabila ia bertambah yakin lagi, ia memakai hijab labuh menutupi perut pula.
Seperti itulah juga Allah membantu dan mempermudah urusan kita dalam mujahadah melalui kehidupan ini. Bak pepatah masyarakat kita berbunyi, "sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit".
Kata Allah s.w.t. :
"Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." (Al-Ankabut, 29 : 69)
Wahai saudaraku yang dirahmati Allah.
Akhirnya, setelah berikhtiar dan berdoa sebaik mungkin, kita mengharapkan buah-buah keyakinan dapat dizahirkan pada setiap amal dan akhlak.
Dalam suatu hadith qudsi, Allah berkata :
"Dan tidaklah seseorang hamba-Ku itu mendekat pada-Ku dengan sesuatu yang amat Kucintai lebih daripada apabila ia melakukan apa-apa yang telah Kuwajibkan baginya. Dan tidaklah seseorang hamba-Ku itu mendekatkan pada-Ku dan melakukan hal-hal yang sunnah sehingga akhirnya Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, Akulah telinganya yang ia gunakan untuk mendengar, Akulah matanya yang ia gunakan untuk melihat, Akulah tangannya yang ia gunakan untuk mengambil dan Akulah kakinya yang ia gunakan untuk berjalan. Andaikata ia meminta sesuatu daripada-Ku, pastilah Kuberi dan andaikata ia memohonkan perlindungan daripada-Ku, pastilah Kulindungi." (Hadith riwayat Bukhari)
Semacam inilah buah keyakinan yang seharusnya diimpikan dan dikejar oleh setiap orang dari kita. Kita inginkan hanya kepada Allahlah kita mengadu, serta meminta pertolongan dan petunjuk, baik ketika senang mahupun susah.
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment