Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin

27 February 2014

MKPN, Mangsa Kezaliman Puak Nakal

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Semenjak Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) membuat pendirian tidak bersetuju terhadap serbuan dan rampasan kitab Bible yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas premis Persatuan Bible Malaysia, MKPN terus-menerus dikritik dan dicemuh oleh banyak pihak, terutamanya pertubuhan islamis.

Baru-baru ini, MKPN dikritik kerana majoriti ahlinya ialah mereka yang dianggap liberal dan lebih ramai ahlinya ialah bukan Islam. Terbaru, beberapa pertubuhan menolak jemputan daripada MKPN ke jelajah Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi  kerana meragui idea MKPN melakukan program tersebut. Alasannya, keanggotaan MKPN yang tidak mewakili lapisan masyarakat yang menyeluruh termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan kecenderungan kepada pemikiran Islam liberal sebahagian besar ahli MKPN.



Aku fahami keprihatinan dan kebimbangan mereka yang mengkritik MKPN. Tapi, alasan-alasan yang diberikan oleh mereka, aku tidak bersetuju dengannya.

Pandangan aku begini.

Pertama, MKPN ditubuhkan untuk membincangkan isu-isu berkaitan perpaduan dalam usaha penyatuan nasional untuk membina bangsa Malaysia yang bersatu padu. Namun, isu agama tidak termasuk dalam peranannya, walaupun ia berkaitan dengan isu perpaduan.

Seperti mana dalam Buku Panduan MKPN bab Terma Rujukan, dinyatakan bahawa :
"Skop dan peranan MKPN turut membincangkan isu-isu sukar yang mempengaruhi perpaduan nasional terutamanya melibatkan aspek pendidikan, sosioekonomi dan sebagainya. Ini kerana jika isu sukar ini tidak ditangani, usaha memupuk perpaduan nasional akan sukar dijayakan. Skop dan peranan Majlis tidak melibatkan perbincangan isu-isu antara agama yang telah mempunyai platformnya sendiri, iaitu Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) yang telah ditubuhkan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 Februari 2010."

Oleh sebab itu, tidak perlu terkejut dan tidak perlu melenting apabila melihat pendirian dan kenyataan yang dibuat oleh MKPN. Dalam kes serbuan dan rampasan kitab Bible baru-baru ini, pendirian yang dibuat oleh MKPN adalah atas dasar keprihatinan terhadap isu perpaduan, selari dengan tujuan penubuhan dan skop kerjanya. 

Pengerusi MKPN, Tan Sri Samsudin Osman menegaskan bahawa mereka hanya bertanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian mengenai isu perpaduan dan menyerahkan penyelesaian isu kalimah Allah kepada pihak yang berkenaan. 

Jelaslah bahawa isu penggunaan kalimah Allah dan yang bersangkutannya, adalah bukan urusan MKPN. Seperti dalam petikan di atas, isu-isu antara agama tertakluk dibawah bidang kuasa JKMPKA sebagai suatu wadah untuk menjadi mekanisme dialog dan mediasi bagi mewujudkan persefahaman dan keharmonian antara penganut agama.

Maka, tohmahan bahawa MKPN mencampuri urusan agama adalah tidak tepat. Dalam isu tertentu, termasuk yang berkaitan agama, pendirian atau kenyataan dibuat dalam skop perpaduan nasional, bukannya toleransi antara agama.

Kedua, adalah normal dan boleh diterima akal jika ahli MKPN majoritinya ialah bukan Islam.

Dalam Buku Panduan MKPN yang sama, dalam bab Struktur dan Keahlian, disebutkan bahawa :
"... ahli-ahli MKPN hendaklah terdiri dari pelbagai latar belakang individu yang meliputi ahli akademik, ahli politik, pelbagai etnik, ahli korporat, peguam, ahli yang mewakili golongan muda dan ahli yang mewakili wilayah Sabah dan Sarawak. Ahli-ahli yang dilantik hendaklah terdiri dari kalangan individu yang mempunyai kredibiliti, berfikiran terbuka dan dapat menerima dan menghormati pelbagai pandangan."

Sekali lagi, tidak pelik dan tidak mengejutkan jika majoriti ahlinya bukan Islam kerana MKPN ialah suatu wadah berkaitan subjek perpaduan kaum, bukannya subjek agama. Dan pastilah ahlinya berbeza latar belakang dari segi agama, kaum, profesion dan aspek lain juga. Isu antara agama, biarlah dibincangkan dalam wadah lain yang sememangnya ahlinya merupakan agamawan atau pakar bagi agama masing-masing.

Ketiga, memandangkan ahli MKPN majoritinya bukan Islam dan skop perbincangannya isu perpaduan kaum, adalah tidak menghairankan jika sesetengah pendirian atau kenyataan yang dibuat oleh MKPN dilihat semacam 'pro-liberalisma'. Itupun jika ia benar.

Ahli-ahli MKPN, mereka juga warga negara Malaysia, kerana itu setiap orang, baik ia Melayu, Cina, India, mahupun Iban dan suku lain, masing-masing ada hak dalam membicarakan isu perpaduan. Dan semestinya isu perpaduan antara kaum berkait dengan isu kemanusiaan. Namun begitu, lain agama dan falsafah, lain pula perspektifnya dalam isu kemanusiaan. Meskipun mereka berbeza pendapat, namun kita percaya apa yang diputuskan adalah saksama demi perpaduan kaum. Maka, adalah tidak tepat untuk melabel MKPN sebagai pro-liberalisma, semata-mata kerana ia kurang ahli beragama Islam dan ia bukan organisasi islamis.

Kesimpulannya, mendakwa MKPN tidak sepatutnya mencampuri urusan agama dan berpendirian pro-liberalisma dengan mengabaikan latar belakang ahli dan wadah itu sendiri, adalah tidak adil untuk berlaku sedemikian.

Dan ini pula nasihatku kepada mereka yang mengkritik MKPN.

Pertama, hormatilah MKPN sebagai wadah yang ahlinya terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, kaum dan profesion. Dan apa-apa tindakan semacam mahu 'mengislamkan' MKPN adalah sesuatu yang mengarut dan tidak masuk akal. Ia umpama sekolah kebangsaan yang digesa bertukar menjadi sekolah agama, sedangkan sekolah kebangsaan perlu berdiri dengan karakter dan peranannya tersendiri, sama seperti sekolah vernakular dan sekolah agama yang masing-masing punya karakter dan peranannya tersendiri.

Perhatikan sejarah negara. Penubuhan MKPN adalah kesinambungan kepada kewujudan Majlis Perpaduan Negara, Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Lembaga Penasihat Perpaduan Negara, Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEL) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Walaupun bertukar-tukar wajah dan nama, namun tujuan penubuhan, keanggotaan dan peranannya tetap sama dari dahulu hingga sekarang, iaitulah penglibatan individu yang berbeza latar belakang yang membincangkan isu-isu perpaduan antara kaum dalam usaha penyatuan nasional.

Sejak dari 40 tahun lepas, pelbagai agensi yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk mengurus isu perpaduan antara kaum sudahpun wujud. Persoalannya, kenapa baru sekarang isu keanggotaan dan peranannya dimainkan?  Kenapa tidak dipersoalkan ketika sebelum atau sejurus ia ditubuhkan?

Kedua, usahlah hanya tahu mengkritik dan membiarkannya. Tujuan penubuhan MKPN adalah ke arah sesuatu yang baik, maka sepatutnya ia disokong agar tercapai matlamatnya. Apa yang baik, kita puji. Apa yang kurang, kita perbaiki.

Jika dijemput hadir ke Dialog Perpaduan : Suara Akar Umbi yang bertujuan untuk mendapatkan pandangan akar umbi untuk dijadikan pelan tindakan ke arah perpaduan nasional, terimalah. Tetapi, mengapa menolak pula? Itupun menolak dengan alasan yang tidak munasabah, sekadar beralaskan sangkaan dan keraguan semata-mata. Kalau benar MKPN tidak betul, maka program sebeginilah sepatutnya menjadi medium bagi pihak pengkritik untuk mendapatkan penjelasan serta memberi pandangan dan teguran membina dalam usaha menambahbaik gerak kerja MKPN.

Cadanganku, mohonlah keahlian dalam MKPN daripada kerajaan. Kalau tidak, wujudkan gabungan organisasi-organisasi muslim sendiri seperti yang kalian mahukan. Perkata dan perbuatlah apa-apa sahaja dari dalam sana seperti yang diinginkan.

Wahai saudaraku yang dikasihi Allah.

Menjayakan isu perpaduan nasional adalah kewajipan bagi setiap orang dari kita sebagai warga negara Malaysia. Dan sebagai seorang muslim, kita akan laksanakannya sesuai dengan syariat Islam.

Dalam apa-apa permasalahan, termasuklah isu perpaduan antara kaum, kita percaya bahawa Islam ada panduan dan solusinya. Sebagai orang Islam, kita mahu dan kita yakin bahawa kitalah sebagai muslim paling benar dalam memberi panduan dan solusi. Namun, tidak dalam semua keadaan kita boleh menjadi ketua atau paling dominan. Dan penerimaan serta penghormatan kita terhadap kewujudan pihak lain yang berbeza agama atau fikrah tidak bermakna pula kita meredhai setiap apa yang diperbuat dan diperkatakan.

Akhirnya, berbicaralah dengan orang lain sesuai dengan latar belakang dan kedudukannya. Apa yang berlaku kepada MKPN, usahlah diulangi lagi. Kasihan mereka.

M-K-P-N, mangsa kezaliman puak nakal.

Wallahu'alam.

20 February 2014

Meraikan Perbezaan dalam Jama'ah

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Kata Allah s.w.t. :

"Dan jika Tuhanmu mengkehendaki, tentulah beriman semua orang di bumi seluruhnya. Tetapi apakah kamu memaksa manusia agar mereka menjadi orang-orang beriman?" (Yunus, 10 : 99)

"Dan jika Tuhanmu mengkehendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu telah tetap." (Hud, 11 : 118-119)
Allah menciptakan semua hamba-Nya yang masing-masing berbeza jenisnya. Itulah hakikat penciptaan manusia, sebaik-baik penciptaan-Nya. Itu semua berlaku atas kehendak dan kemahuan Dia. Kerana itu setiap dari kita sebagai hamba-Nya harus menerima kewujudan perbezaan sesama kita, baik dalam bentuk kelebihan mahupun kekurangan. Apa yang paling penting adalah usaha kita mengambil hikmah disebalik setiap kelebihan dan kekurangan, lalu dimanfaatkan untuk melaksanakan apa yang terbaik. Tanpa berbangga atas kekuatan diri sendiri, tanpa memperlekeh kelemahan orang lain.

Lihatlah generasi para sahabat pada zaman Rasulullah s.a.w..

Abu Hurairah dikenali sebagai seorang sahabat yang alim dan soleh, dan ia terkenal sebagai lagenda ilmu hadith kerana meriwayatkan paling banyak hadith berbanding para sahabat lain.

Khalid Al-Walid pula dikenali sebagai seorang sahabat yang keras dan gagah, dan ia terkenal sebagai lagenda perang kerana mengetuai dan memenangi banyak peperangan melawan musuh Islam.

Tetapi tidak pula Abu Hurairah memperlekeh Khalid Al-Walid kerana terlalu menonjol di medan perang, kurang soleh atau kurang alim kerana tidak menghafaz banyak hadith sepertinya. Begitu juga Khalid Al-Walid, tidak pula ia merendah-rendahkan Abu Hurairah kerana hanya tahu menghafaz hadith dan tidak garang di medan perang sepertinya.

Begitu juga dengan Bilal bin Rabah, Mus'ab bin Umair dan para sahabat lain yang masing-masing berbeza peribadi dan perilaku. Tidak pula mereka saling merendah-rendahkan sesama mereka. Sebaliknya, mereka bersatu dan bekerja dalam satu saf, menghargai kelebihan dan menerima kekurangan mereka yang lain. Kelebihan dan kekurangan mereka saling melengkapi antara satu sama lain.

Kemudian, lihatlah generasi tabi'un (التابعون‎) dan tabi' tabi'in (تابع التابعين‎).

Berdasarkan sejarah mazhab Sunni, ia dimulai dengan kemunculan mazhab Hanafi yang diasaskan oleh Imam Abu Hanifah, kemudian diikuti oleh mazhab Maliki, Syafi'i dan Hanbali.

Wujudnya empat mazhab ini adalah kerana setiap dari imam-imam pengasas mazhab tersebut berusaha berijtihad mengikut kaedah terbaik dan memberi panduan terbaik, atas prinsip amanah dan bertanggungjawab dalam membimbing umat. Pada masa sama, masing-masing tidak mengaku bahawalah merekalah yang terbaik, sebaliknya masing-masing menghormati dan meraikan pandangan lain yang berbeza dengannya.

Begitulah para sahabat, tabi'un dan tabi' tabi'in mengajarkan kita sebagai du'at akhlak dan adab dalam berbeza pendapat.

Bicara dalam konteks jama'ah, menghormati dan meraikan perbezaan kemampuan cara fikir dan bekerja bukan sahaja harus berlaku antara satu jama'ah dan jama'ah yang lain, tetapi juga dalam jama'ah itu sendiri.

Setiap ahli jama'ah, baik di peringkat qiyadah mahupun di peringkat jundiyah, haruslah menerima perbezaan kapasiti, kelajuan dan kekuatan setiap ahli lain. Adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap ahli jama'ah agar mencontohi mereka yang terkehadapan dan menyokong mereka yang terkebelakang. Jika kewajipan beramal jama'i seperti ini dilaksanakan oleh setiap ahli, nescaya ahli dan jama'ah akan memperoleh manfaatnya. Malah akan terkesan pada dakwah itu sendiri. Inilah yang dikatakan sebagai berkat berjama'ah.

Wahai saudaraku yang dirahmati Allah.

Ingatlah kita akan pesanan Imam Hasan Al-Banna kepada anggota Ikhwan agar sentiasa menjaga hati ketika berukhuwah. Mereka yang terkehadapan, usahlah berbangga dan merasa lebih baik. Manakala mereka yang terkebelakang, usahlah pula berkecil hati dan merasa kurang baik.

Bagi para qiyadi, hendaklah bijak meletakkan para jundi pada posisinya, sesuai dengan kemampuannya. Yang punya kelebihan, kita lajukan. Yang punya kelemahan, kita kuatkan. Kedua-duanya, kita pegang dan bagi panduan.

Akhirnya, setiap orang mesti percaya bahawa tarbiyahlah yang akan mengimbangkan kedua-dua aspek kelebihan dan kekurangan pada seseorang individu, dan akhirnya menyempurnakan pembinaan individu tersebut pada jasad dan jiwanya, pada zahir dan batinnya.

Kata Muhammad Ahmad Ar-Rasyid dalam kitabnya, Al-Muntalaq :
"Setiap individu mampu menegakkan sifat muhajir dan mujahid pada dirinya. Banyak jiwa-jiwa yang baik cenderung untuk menghijrahkan kejahatan tetapi tidak mahu berjihad. Banyak jiwa-jiwa yang kuat pula cenderung untuk berjihad tetapi tidak berhijrah meninggalkan kejahatan.
Allah telah mengikat muwalah bagi sesiapa yang mempunyai kedua-dua sifat ini (hijrah dan jihad) dalam dirinya. Mereka ialah umat Muhammad s.a.w. yang beriman kepadanya dengan iman yang sebenar.
Membina da'i yang memiliki kedua-dua sifat ini dan menjadikan semasa Islam melahirkan kebaikan-kebaikan dari kedua-dua golongan tersebut, ia merupakan dua tugas asasi bagi tarbiyyah harakiyyah kita.
Bagi yang pertama, orang yang beriman tetapi tidak bekerja atau orang yang sedar tetapi berhati keras, tarbiyah Islam akan dapat menyempurnakan kekurangan mereka dibawah asuhan da'i sebelum mereka.
Dan bagi semasa Islam pula, tarbiyah akan menyelaraskan usaha dua golongan ini secara disempurnakan dan distabilkan. Ia disatukan serta dirancang kegiatannya sehingga hasilnya membentuk kombinasi yang mantap."

Cabaran mengimbangkan kelebihan dan kekurangan seseorang da'i, solusinya adalah komited terhadap tarbiyah dan hidup berjama'ah. Kerohanian dan kemujahidan, terjaga lagi terpelihara.

Pepatah ada mengatakan, jika mahu pergi cepat, pergilah seorang diri. Jika mahu pergi jauh, pergilah bersama-sama. Itulah berkat hidup berjama'ah dengan prinsip meraikan kelebihan dan kekurangan setiap orang.


Wallahu'alam.

15 February 2014

Jangan Pandang Belakang

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Kata Allah s.w.t. :
"Agar kamu tidak berduka cita akan apa yang hilang daripada kamu, dan agar kamu tidak terlalu bergembira akan apa yang diberikan kepada kamu. Dan Allah tidak suka orang yang sombong dan membangga diri." (Al-Hadid, 57 : 23)

Masa lalu, usah terlalu dikenang-kenangkan. Pandanglah masa lalu hanya dengan sekadarnya, dan ambillah pengajaran dengan sewajarnya. Apa yang baik, jadikanlah ia sebagai motivasi dan inspirasi untuk sentiasa menghasilkan amal-amal yang baik dan muntij. Bukan untuk dibangga-banggakan. Manakala apa yang tidak baik, jadikanlah ia sebagai teladan dan sempadan untuk sentiasa berhati-hati dan juga memperbaik pekerjaan. Bukan pula untuk diratapi dan ditangisi buat selamanya.

Masa lalu sudah menjadi sejarah, mustahil dapat dikembalikan semula. Tetapi kita masih punya masa sekarang dan masa depan yang kita sendiri tidak pasti akan ceritanya. Maka, coretkanlah ia dengan sebaik-baiknya. Misteri masa depan, letaknya pada diri kita. Kita diberi pilihan, lalu kitalah yang akan memilihnya.

"The windshield of a car is so big and the rear view mirror is so small,
because what's in front of you is much more important than what's behind you."

Wallahu'alam.

13 February 2014

Keyakinan

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Keyakinan dalam beragama dan hidup ibarat sebuah gunung yang puncaknya meninggi di langit, pasaknya mengukuh jauh ke dalam bumi. Tidak dapat digoyang oleh syak dan ragu, tidak pula digoncang oleh sangkaan dan keliru. Andai diganggu oleh anasir luar, mata, telinga dan hati akan tertutup, berkuncikan keyakinan yang sejahtera.

Keyakinan yang kita bicarakan ini ialah suatu asas keimanan yang akan membuahkan ibadah dan akhlak. Kerana akhlak mantap datangnya dari ibadah sahih, dan ibadah sahih pula datangnya dari aqidah sejahtera. Dan ketiga-tiga elemen ini terangkum dalam satu pakej sebagai simbol manifestasi kesempurnaan iman. Tanpa salah satu elemen tersebut, kesempurnaan iman takkan dapat berdiri sendirinya.

Suatu hal yang kita mesti sedari adalah bahawa keyakinan juga boleh menjadi pudar, sepertinya pudarnya seri muka seseorang. Kata 'alim ulama, antara sebab lemahnya keyakinan kita terhadap Allah dan Rasul-Nya ialah cinta dunia dan dosa lalu kita.

Kerana itu amatlah penting bagi kita mengenal dan mencari asbab yang dapat memperbaik dan memperkukuh keyakinan. Menurut Imam Habib Abdullah Haddad, ada tiga hal yang boleh menjadi sebab meneguhkan keyakinan.

Pertama, menyediakan hati, telinga dan matanya untuk melihat, mendengar dan menerima ayat-ayat Al-Quran ataupun hadith.

Kedua, hendaklah kita melihat kerajaan langit dan bumi serta antara keduanya dengan pandangan penuh keinsafan. Di sana terdapat pelbagai bentuk keajaiban dan keindahan ciptaan-Nya, baik yang terzahir secara terang mahupun tersingkap secara sembunyi.

Kata Allah s.w.t. :
"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Dia itulah yang benar." (Fussilat, 41 : 53)

Ketiga, hendaklah kita beramal sesuai dengan tahap keyakinan, lalu melakukannya secara berterusan. Dengan doa, moga Allah membuka jalan-jalan amal lain yang boleh kita ikuti dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah.

Sepertinya seorang muslimah yang asalnya tidak berhijab kemudiannya berkeinginan berhijab. Ia bermula dengan tudung kecil bersaiz atas dada. Apabila ia bertambah yakin, ia mula memakai hijab sedikit labuh menutupi dada. Apabila ia bertambah yakin lagi, ia memakai hijab labuh menutupi perut pula.

Seperti itulah juga Allah membantu dan mempermudah urusan kita dalam mujahadah melalui kehidupan ini. Bak pepatah masyarakat kita berbunyi, "sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit".

Kata Allah s.w.t. :
"Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." (Al-Ankabut, 29 : 69)

Wahai saudaraku yang dirahmati Allah.

Akhirnya, setelah berikhtiar dan berdoa sebaik mungkin, kita mengharapkan buah-buah keyakinan dapat dizahirkan pada setiap amal dan akhlak.

Dalam suatu hadith qudsi, Allah berkata :
"Dan tidaklah seseorang hamba-Ku itu mendekat pada-Ku dengan sesuatu yang amat Kucintai lebih daripada apabila ia melakukan apa-apa yang telah Kuwajibkan baginya. Dan tidaklah seseorang hamba-Ku itu mendekatkan pada-Ku dan melakukan hal-hal yang sunnah sehingga akhirnya Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, Akulah telinganya yang ia gunakan untuk mendengar, Akulah matanya yang ia gunakan untuk melihat, Akulah tangannya yang ia gunakan untuk mengambil dan Akulah kakinya yang ia gunakan untuk berjalan. Andaikata ia meminta sesuatu daripada-Ku, pastilah Kuberi dan andaikata ia memohonkan perlindungan daripada-Ku, pastilah Kulindungi." (Hadith riwayat Bukhari)

Semacam inilah buah keyakinan yang seharusnya diimpikan dan dikejar oleh setiap orang dari kita. Kita inginkan hanya kepada Allahlah kita mengadu, serta meminta pertolongan dan petunjuk, baik ketika senang mahupun susah.

Wallahu'alam.

12 February 2014

Memberi Apa Yang Tersisa

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Senario 1 : Barang tertinggal di tempat program
"Ada sesiapa tertinggal berus dan ubat gigi di bilik air tempat program baru-baru ni?"
"Eh, ana ada tertinggal. Emmm, tak mengapalah. Ana sedekahkan ajelah."

Senario 2 : Menyumbang untuk kutipan tabung
"Ikhwah sekalian, sudi-sudilah menyumbang sedikit sebanyak untuk tabung tempat kita berprogram ni, ya? Harapnya dapatlah ringankan beban tuan tempat ni membayar bil air dan elektrik sikit."
"InsyaAllah, boleh. Kebetulan sekarang banyak duit syiling, bagi jelah. Buat berat poket je."

Senario 3 : Mengumpul pakaian untuk didermakan
"Akhi, anta ada nak derma pakaian sekali dengan kitorang tak?"
"Ada. Sekejap, ya? Nak pergi tengok pakaian lama dalam stor. Daripada simpan lama-lama kat situ, lebih baik ana bagi kat orang."



Seakan pernah dan selalu melaluinya. Tapi bila, ya?

Ya ikhwani rahimakumullah.

Barangkali kita ini acap kali juga memberikan apa yang tersisa, terpakai atau tertinggal kepada orang lain, baik ketika bersedekah mahupun pekerjaan lain.

Nak sedekahkan apa? Apa yang terpakai, apa yang tertinggal. Yang diberi kepada orang lain, apa yang terbuang.

Nak liqa' usrah bila? Bila dah selesai urusan di rumah, urusan di pejabat, urusan bersama kawan, urusan di taman. Baki masa yang ada, itulah untuk liqa' usrah. Yang diberi dalam liqa', sisa-sisa buah fikiran dan tenaga yang masih ada pada diri.

Sedangkan Allah dan Rasul-Nya mengajarkan kita agar ketika memberi, biarlah memberi apa yang terbaik dari simpanan kita.

Kata Allah s.w.t. :
"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya." (Al-Mulk : 2)

Sungguh Allah amat menyukai hamba-Nya yang beramal dengan amal yang lebih baik atau terbaik.

Ya ikhwani rahimakumullah.

Masihkah kita ingat akan kisah Habil dan Qabil? 

Bila mana ketika diperintah oleh Allah agar memberi korban kepada-Nya, Habil membawa korbannya yang terbaik sedangkan Qabil datang dengan korbannya yang ala kadar, tak seberapa keadaannya. Akhirnya, Allah menerima korban oleh Habil. Kerana ia memberi apa yang terbaik.

Begitulah kisah Habil dan Qabil yang sepatutnya menjadi peringatan bagi kita semua pada setiap ketika agar kita sentiasa bermuhasabah dan memperbaik setiap niat dan amal kita, dan moga-moga ianya dilakukan dengan cara terbaik dan yang akhirnya akan diterima dan diredhai oleh-Nya.

Sungguh Allah itu cantik dan Allah sukakan kecantikan. Maka percantikkanlah niat dan amalmu wahai saudaraku. 

Wallahu'alam.

11 February 2014

Banyak Tidur

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Kata orang kebanyakan, kalau banyak tidur pada siang hari, nanti sukar hendak tidur pada malam hari.

Manakala kata seorang 'alim, kalau banyak tidur di dunia, nanti susah tidur di kubur.

MasyaAllah!

Benarlah kata para murabbi kita, rehat dan tidur sebenar kita adalah di alam kubur nanti. Biar bersusah payah dengan perjuangan di dunia, kelak akan dipermudah segala urusan di alam kubur.

Teruslah bergerak, hingga kelelahan itu lelah mengikutimu.
Teruslah berlari, hingga kebosanan itu bosan mengejarmu.
Teruslah berjalan, hingga keletihan itu letih bersamamu.
Teruslah bertahan, hingga kefuturan itu futur menyertaimu.
Tetaplah berjaga, hingga kelesuan itu lesu menemanimu.

Terus dan tetaplah melalui jalan dakwah dan tarbiyah ini sehingga ke penghujungnya. Hidup mulia atau mati syahid.

Wallahu'alam.

10 February 2014

Merindui Abu Bakr dan Khadijah

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Setiap kali diacah oleh ujian, hati mula goyah dan ragu-ragu. "Apakah yang patut kulakukan?", itulah persoalan yang selalu terlintas dalam hati.

Aku mengenang kembali kisah individu terpenting bagi Rasulullah, iaitulah Abu Bakr dan Khadijah. Dengan harapan, kutemui sumber kekuatan untuk mengharungi ujian yang mendatang.

Abu Bakr dan Khadijah, insan yang kurindui, yang kumahu turuti.

Ya ikhwani rahimakumullah.

Ketika Perang Tabuk, Abu Bakr menyerahkan segala hartanya untuk Islam.
"Wahai Abu Bakar, apa yang kamu tinggalkan untuk ahli keluarga engkau?"
"Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya."

Tanpa ragu-ragu dan banyak karenah, segalanya disedekahkan untuk Islam.

Manakala ketika seluruh masyarakat Arab Quraisy mengingkari dakwah Rasulullah s.a.w., Khadijah binti Khuwailid ialah orang pertama yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Khadijah orang bangsawan dan jutawan ini menyerahkan segala apa miliknya untuk Islam. Tiada apa yang berharga baginya melainkan keimanan kepada Allah dan Rasulullah.

Abu Bakr dan Khadijah, merekalah ahli syurga yang pasti. Mereka mendahului para sahabat yang lainnya. Sehinggakan Abu Bakr dicemburui Umar, manakala Khadijah dicemburui Aisyah. Malah kedua-duanya dicemburui oleh semua sahabat.

Manakan dapat Abu Bakr dan Khadijah pada umat ini?

Ya ikhwani rahimakumullah.

Begitulah para sahabat agung mengajarkan para du'at akan makna keyakinan terhadap janji Allah dan Rasul-Nya dalam melalui jalan perjuangan dakwah dan tarbiyah ini. Segala apa yang ada pada diri kita, sebenarnya semua itu milik Allah.

Wallahu'alam.

08 February 2014

Manusia dan Mujahid

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.
 

Para jundullah tidaklah mereka berjuang sendirian, melainkan berkumpulnya jasad dan hati mereka dalam satu kelompok yang tersusun dan berfokus. Sebagaimana tentera yang berkumpul dalam skuad, platun dan batalion, para du'at Ikhwan pula berhimpun dalam usrah dan jemaah.

Usrah ialah sebuah jemaah kecil dan pada masa sama, usrah-usrah yang kecil ini membentuk jemaah. Jemaah yang terbentuk pula ialah usrah besar.

Ya ikhwani.

Pengenalan dan pengasasan jemaah kita dimulakan dengan usrah, iaitu keluarga. Keluarga usrah yang kita maksudkan ini terdiri oleh elemen ukhuwah dan tarbiyah. Elemen ukhuwah, itulah kemanusiaan, manakala elemen tarbiyah, itulah kemujahidan.

Dan yang mendasari hubungan sesama kita, baik dalam usrah kecil mahupun besar, ialah hubungan kemanusiaan, iaitulah hubungan kekeluargaan.

Malangnya, apa yang diperhatikan, semakin lama berada di jalan dakwah dan tarbiyah, elemen kekeluargaan makin berkurang, sebaliknya makin didominasi oleh elemen kemujahidan. Maka hubungan antara seorang murabbi dan mutarabbi kini menjadi interaksi qiyadi-jundi, bukan lagi interaksi ayah-anak ataupun ikhwah-ikhwah. Kemudian, dapatlah kita bayangkan bahawa usrah yang sedang dibina dalam keadaan tersebut bukan lagi ke arah pembentukan sebuah keluarga, tetapi sebuah platun. Seorang mutarabbi melihat dirinya sebagai askar dan murabbinya sebagai komander, bukan lagi dirinya sebagai anak dan murabbinya sebagai ayah atau kawan.

Hilangnya keriuhan dengan senyuman dan kemesraan, kini sepi dengan jurang dan keseriusan.

Dalam keluarga kecil (usrah) mahupun besar (jemaah), di sana terdapat konsep amal jama'i yang didirikan oleh prinsip taat, istisyarah (meminta pendapat) dan isti'zan (meminta izin). Namun begitu, apabila konsep tersebut dilaksanakan hanya dengan elemen kemujahidan dan meninggalkan elemen kemanusiaan, keluarga menjadi suram kerana wujudnya rasa takut, hormat dan disiplin yang tinggi dalam hubungan antara mutarabbi dan murabbi. Segalanya dingin.

Ya ikhwani rahimakumullah.

Siramilah kehidupan berkeluarga dalam usrah dan jemaah dengan kasih sayang, kerana itulah asas terpenting dan tonggak kejayaaan dalam dakwah dan tarbiyah kita ini. Elemen kemanusiaan dan kemujahidan, imbangilah keduanya dengan sewajarnya.

Hiasilah hati dengan kasih dan sayang, jangan biarkan ia kontang dan gersang.

Mujahid manusiawi

"Maka disebabkan rahmat dari Allahlah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya." (Ali Imran : 159)

Wallahu'alam.

07 February 2014

Jay Zek Kay Kay

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Menjadi kebiasaan ikhwah dan akhawat mengucapkan "جَزَاكَ الله" (jazakallah) sebagai ucapan berterima kasih sesama mereka.

Tapi bila ada seseorang yang selalu mengucapkan dengan lafaz lengkap, iaitu "جزاك الله خيرا" (jazakallahu khairan) atau "جزاك الله خيرا كثيرا" (jazakallahu khairan kathira), kebanyakan ikhwah dan akhawat merasa pelik dan janggal.

"Amboi, skemanya!"

Memang skema, tapi bersebab.



Tak mengapa skema, kerana ia bermakna. Sememangnya, itulah apa yang mahu dimaksudkan dan didoakan.

Jazakallahu = balasan Allah untuk kamu
 Khairan = dengan kebaikan
 Kathira = yang banyak

جزاك الله خيرا كثيرا

Wallahu'alam.

05 February 2014

Jundi Menyerang, Qiyadi Mempertahan

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Antara keuntungan berada di Terengganu, spesifiknya Kuala Terengganu, adalah selalu berkesempatan berjumpa dan mendengar kata-kata ingatan dan panduan daripada banyak orang lama dalam dakwah, terutamanya mereka yang mengasaskan dan berada dalam pimpinan jemaah.

Antara syuyukh tersebut, salah seorangnya ialah Ustaz Zawawi Ali.

Jika ikhwah dan akhawat berjaulah ke Kuala Terengganu, selalunya akan ada ziarah bertemu dengan Ustaz Zawawi. Dengan mengenali peribadi dan meneliti kata-kata murabbi agung, harapnya ikhwah dan akhawat memperoleh sebanyak mungkin pengajaran dan bimbingan dalam mengikuti kafilah dakwah ini.

Dan dalam pertemuan tersebut, persoalan berkaitan jemaah lazimnya ditanya. Bukan sahaja jemaah sendiri, bahkan jemaah lain.

Mengapa isu jemaah? Tak pasti. Yang pasti, kebanyakan ikhwah dan akhawat memang suka berbicara tentang jemaah.

Sejujurnya, aku suka bila mana Ustaz Zawawi bercakap tentang jemaah. Prinsip dan akhlaknya, kerana itulah aku sangat mengagumi dan menghormatinya. Kenapa? Kerana tidak pernah sekalipun aku mendengar perkataan buruk yang diungkapkan olehnya tentang jemaah lain dan ahli pimpinannya.

Terima kasih kepada Ustaz Zawawi dan para syuyukh yang lain. Kerana merekalah aku kini memahami slogan yang selalu kita laungkan bersama - dakwah kita ialah dakwah kasih sayang dan penyatuan.

Ketika mana orang di bawah leka menghentam jemaah lain dan pimpinannya, orang di atas pula tidak pernah berhenti mendoakan dan melaksanakan usaha-usaha penyatuan dan kerjasama antara jemaah lain. Ini kerana para murabbi agung arif dalam membezakan antara alat dan matlamat. Jemaah-jemaah kecil hanyalah alat, khilafah itu matlamat. Maka janganlah kerana terlalu sibuk dengan alat, kita tercicir jauh dari matlamat yang hendak dituju.

Jundi menyerang, qiyadi mempertahan.

Ya ikhwani.

Begitulah para syuyukh mengajarkan kita dalam meniti jalan dakwah ini. Dakwah Ikhwan bukan sahaja mempersatukan kumpulan-kumpulan manusia secara luaran semata-mata, bahkan mengikat hati-hati dalam kebersamaan. Kerana itu bagi seorang al-akh sejati, hendaklah ia sentiasa mendoakan dan berusaha agar kita diizinkan bersama dengan mereka yang lain.

Ukhuwah, teras kegemilangan.

Wallahu'alam.

04 February 2014

Pembaharuan Perjanjian

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Sekitar kedatangan tahun baru, baik tahun masihi mahupun tahun hijrah, atau juga hari ulang tahun kelahiran, menjadi kebiasaan orang kebanyakan memasang azam baru bagi mengharungi hari mendatang dengan semangat dan tekad yang lebih positif. Praktik sebegini wajar dihormati dan dipuji.

Jika amalan baik sebegini atas tujuan urusan dunia pun kita rai dan galakkan, maka apatah lagi bagi urusan akhirat, lebih jauhlah kita perlu rai dan amalkan.

Ya ikhwani.

Kata Allah s.w.t. :
"Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan dari anak cucu Adam dari sulbi mereka keturunan mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri. Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar, kami bersaksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai tentang perkara ini." (Al-A'raf : 172)

Disamping menyambut tahun baru dengan resolusi baru, marilah kita memulakan hari-hari dengan memperbaharui dan mengislahkan niat dan amal dalam kerangka memperbaik keislaman dan keimanan kita terhadap Allah s.w.t. dan para rasul-Nya.

Bermula dari alam roh, kita sudah pun memberi penyaksian bahawa Allah ialah Tuhan Maha Esa, tuhan yang satu dan yang paling berhak disembah. Kemudian, kita dilahirkan di alam dunia untuk menjadi khalifah di muka bumi.

Ya ikhwani.

Adakah kita masih ingat akan perjanjian, pengakuan, penyaksian dan segala apa yang berlaku di alam roh dahulu?

Ya, memang alam roh dan alam dunia ialah dua alam yang berbeza, dan kehidupan di alam roh ialah zaman yang sangat jauh dari zaman sekarang. Jadi, tidak pelik andai kata kita lupa tentang apa yang berlaku di alam roh. Disebabkan itulah kita perlu sentiasa mengimbau kehidupan lama kita kembali. Jika di alam kubur dan akhirat pun manusia akan mengingati kehidupan dan ketaatan mereka kepada tuhan di dunia, begitulah juga kita di dunia ini perlu mengingati kehidupan kita di alam roh.

Sebagai hamba Allah, kita ini punya perjanjian dan kewajipan yang wajib ditunaikan bagi-Nya. Janganlah terlupa dan melupakan perjanjian itu semua.

Ingatlah akan azab binasa yang ditimpakan kepada umat terdahulu yang lupa dan ingkar dalam mentaati perintah-Nya, dek kerana ketidakpedulian dan kesombongan mereka sendiri.

Kata Allah s.w.t. :
"Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari atau ketika mereka berehat pada tengah hari. Maka tidak ada yang mereka katakan ketika datangnya azab Kami kepada mereka, melainkan mereka berkata: Sebenarnya kami adalah orang-orang yang zalim." (Al-A'raf : 4-5)

"Dan berapa banyak Kami binasakan negeri-negeri yang penduduknya telah berlaku sombong dan tidak bersyukur dalam kehidupannya. Maka itulah dia tempat-tempat tinggal mereka terbiar tidak didiami orang sesudah mereka kecuali sedikit sahaja. Dan sesungguhnya Kamilah yang mewarisi mereka." (Al-Qasas : 58)

Ya ikhwani.

Kita ini ialah pengembara. Bermula dari alam roh, kita mengembara ke alam dunia dan seterusnya alam kubur, dan akhirnya berhenti ke alam akhirat bagi kerehatan yang kekal abadi. Syurga atau neraka. Dengan redha-Nya atau murka-Nya.

Apa yang kita niatkan dan kerjakan, di mana-mana dan pada bila-bila pun, pastikan ianya kerana Dia semata-mata. Janji kita, hanya untuk Dia.

Allahu ghayatuna, Ar-rasul qudwatuna.

Wallahu'alam.