Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin

30 December 2013

Pesawat Terbang

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Jika menaiki kapal terbang, saya lebih suka berada di tempat yang dekat pada sayap. Setiap kali berada dalam pesawat, lagi-lagi ketika berada dekat pada sayap, teringat akan topik penerbangan pesawat dalam mata pelajaran fizik yang dipelajari di sekolah menengah dahulu. Anda ingat yang mana satu?

Menerbangkan pesawat


Daya tujah (thrust), dihasilkan oleh kipas atau enjin, ialah daya aerodinamik yang menolak atau menarik pesawat ke hadapan. Manakala daya aerodinamik bertentangan ialah daya geseran (drag) yang memperlahan pergerakan pesawat.

Untuk pesawat bergerak ke hadapan di udara, daya tujah mesti sama atau lebih besar berbanding daya geseran. Jika tidak, kelajuan pesawat menjadi perlahan. Maka, semakin besar daya tujah berbanding daya geseran, semakin bertambah laju pesawat terbang.

Bagi sayap pula, ia dicipta dengan bentuk khusus agar udara yang melalui di atasnya lebih laju berbanding udara bergerak di bawahnya. Berdasarkan prinsip Bernoulli, kawasan yang udaranya laju bertekanan rendah, manakala kawasan yang udaranya perlahan bertekanan tinggi. Kesannya, pesawat akan terangkat ke atas kerana daya angkat (lift) terhasil. Maka, semakin bertambah pesawat terbang, semakin bertambah daya angkat terhasil.

Diri bagai pesawat

Dalam mengharungi perjalanan hidup, diri kita ini ibarat pesawat yang terbang di udara.

Manusia perlu ada daya tujah sebagai kuasa dan sayap sebagai sokongan yang akan terus membuatkannya bergerak untuk terus hidup. Tanpa sayap yang kuat dan daya tujah yang besar berbanding tekanan dihadapinya, pesawat berisiko besar terhempas. 

Manusia, jika tidak disokong dengan sayap dan daya tujah yang mencukupi, ia takkan mampu bertahan lama dalam kehidupan yang penuh dengan cabaran dan keperitan.

Patah sayap?

Dan dalam situasi kecemasan bila mana pesawat patah satu sayapnya, posisi pesawat tidak lagi stabil dan boleh terhempas.

Namun begitu, ada satu cara untuk menyelamatkan pesawat, iaitu juruterbang mesti menerbangkan dan mendaratkan kapal terbang dengan satu sayap. Teknik ini sukar dilaksanakan, tetapi tidak mustahil.

Begitu juga manusia, bila mana berada pada saat yang sangat genting atau perit, ditambah dengan kehilangan sokongan sayap dan daya tujah, kita memerlukan kekuatan istimewa sebagai alternatif yang akan membolehkan kita untuk terus bertahan dan hidup, meskipun kita pedih dan sedih dalam kesukaran.
Maka ikhwah dan akhawat rahimakumullah sekalian, apakah sayap dan kuasa penggerak bagi kalian sendiri?

Kata Allah :
"Wahai orang-orang beriman, takutlah Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepada Allah, dan berjihadlah di jalan-Nya, agar kamu berjaya." (Surah Al-Maidah, 5 : 35)

Semoga kita menemukan jalan-jalan yang membolehkan kita mendekatkan diri kepada Allah s.w.t., serta beriltizam dan beristiqamahlah dalam mempertahankan dan memperbaiki Islam dan iman kita. Kerana semua itulah sayap dan enjin yang membolehkan kita berjalan, berjalan, dan terus berjalan, hingga tiba di penamat, sampai di matlamat.

Wallahu'alam

09 November 2013

Nama Putera dan Puteri Kita

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Ayat 190, Surah Al-A'raf

"Tatkala Dia memberi kedua-duanya seorang anak yang sempurna, mereka menjadikan sekutu bagi Allah terhadap anak yang telah dianugerahkan oleh-Nya itu. Maka Maha Tinggi Allah dari apa yang mereka persekutukan."

Menurut ulama tafsir, orang-orang musyrik menyekutukan Allah dengan menamakan anak mereka dengan nama berhala sembahan mereka seperti Abdul 'Uzza, Abdul Manat, Abdusy Syam, dan sebagainya.

Menurut Imam Hasan Al-Basri pula, ia berkata : "Mereka itu adalah orang-orang Yahudi dan Nasrani. Mereka dikurniakan anak oleh Allah, lalu menjadikannya Yahudi dan Nasrani."

Nama Baik Bagi Anak

Berbeza dengan orang-orang musyrik terdahulu yang menisbahkan nama anak mereka kepada tuhan atau berhala sembahan, dan orang-orang zaman kini yang menamakan anak mereka dengan nama-nama selebriti atau sebagainya, kita, orang-orang muslim pula dianjurkan untuk menamakan anak dengan nama-nama yang baik.

Dalam Islam, kita digalakkan menisbahkan nama anak kepada :
  • nama Allah, seperti Abdur Rahman, dll.
  • nama Nabi, seperti Muhammad, Ibrahim, dll.
  • nama malaikat, seperti Ridhwan, dll.
  • nama sahabat atau orang terdekat Nabi, seperti Abu Bakar, Umar, Khadijah dll.
  • nama orang-orang soleh dari kalangan salafussoleh
  • nama orang yang syahid di jalan Allah

Secara umumnya, asalkan dinamakan dengan nama yang bermaksud baik.

Nama Ialah Doa Kita

Salah satu tanda kesyukuran kepada Allah atas kurniaan cahaya mata adalah dengan memberi nama yang baik-baik bagi anak. Sesungguhnya nama itu adalah doa. Apabila setiap kali seseorang dipanggil dengan namanya, setiap kali itulah ia didoakan dengan maksud namanya. Kerana itulah kita dituntut agar menamakan anak dengan nama yang mempunyai maksud yang baik-baik.

Daripada Abu Darda' r.a., kata Rasulullah s.a.w. :
"Sesungguhnya kamu sekalian akan diseru pada hari kiamat dengan nama-nama kalian dan nama-nama bapa kalian. Oleh demikian, perelokkanlah nama-nama kalian." (Hadith riwayat Abu Daud)

Majoriti ikhwah dan akhawat, baik syuyukh mahupun syabab, yang saya kenali, mereka bukan sahaja mahukan nama yang baik-baik bagi anak mereka, malah mereka mengharapkan maksud nama atau ciri individu yang namanya diberikan kepada anak, juga ada pada diri anak mereka, zahir mahupun batin.

Kebanyakan ibu bapa menamakan dengan nama-nama kebiasaan seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Khadijah, Fatimah dan lain-lain.

Sebaliknya bagi ikhwah dan akhawat, mereka mengabadikan pada putera atau puteri mereka dengan nama para pejuang Islam dan para syuhada zaman terdahulu atau zaman ini, yang rata-ratanya jarang didengari dan dikenali oleh masyarakat kita.

Mus'ab, Hanzalah, Talhah, Ubadah, Ayyath, Umar Mukhtar, Ummu Salamah, Nusaibah, dan banyak lagi, itulah antara nama para pejuang Islam dan para syuhada yang diabadikan sebagai nama anak ikhwah dan akhawat kita.

Inilah yang kita mahu terapkan dalam pembinaan keluarga muslim ikhwah dan akhawat kita. Kita mahu menghidupkan kembali nama para pejuang Islam dan para syuhada yang selama ini tidak dikenali oleh masyarakat dengan mengabadikan ia sebagai nama bagi anak-anak kita. Dan semestinya kita mahu nama itu menjadi doa bagi tuan empunya nama itu sendiri.

Ini semua kerana mengimpikan kelahiran putera dan puteri umat Islam kita sebagai kelahiran semula bagi para pejuang dan para syuhada Islam terdahulu yang telah mengorbankan seluruh hidup mereka bagi Allah dan Rasul semata-mata.

Semoga dengan nama yang baik tersebut menjadi doa, motivasi dan kebanggaan bagi anak itu sendiri. Putera dan puteri kita, merekalah penyambung perjuangan dalam memuliakan Islam di muka bumi ini.

Wallahu'alam

21 August 2013

Giliran Iman dan Kufur

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Singgah blog, baca entri di Muntalaq.com.

Singgah Instagram, like gambar noradanish @ Nora Danish.

Singgah Facebook, share wallpost Mesir Kini.

Singgah YouTube, layan gwiyomi Wawa Zainal.

Singgah radio, dengar IKIM.fm.

Singgah televisyen, tonton Tentang Dhia.

Islam dan jahiliyah, bergiliran datang pada diri. Pada suatu ketika, masuk Islam, keluar jahiliyah. Pada suatu ketika lain, masuk jahiliyah, keluar Islam.

Nabi s.a.w. bersabda :
"Bersegeralah beramal sebelum datangnya fitnah seperti sepenggalan malam yang gelap gulita, seorang laki-laki pada waktu pagi masih beriman dan pada waktu petang telah menjadi kafir. Dan pada waktu petang masih beriman dan paginya menjadi kafir. Ia menjual agamanya dengan kesenangan dunia." (Hadith riwayat Ahmad)

Semoga kita beristiqamah beramal dengan amalan ma'ruf, menjauhi amalan mungkar. 
 
Wallahu'alam.

17 August 2013

Lakonan Pengantin Baru KITA!

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Musim cuti panjang sebegini pasti akan penuh dengan undangan ke majlis perkahwinan saudara-mara atau kenalan rapat. Saya sendiri menerima hampir 10 undangan, tetapi malangnya semua tidak dapat saya hadiri kerana saya masih berada di bumi perantauan.

Melihat ikhwah dan akhawat yang akan mendirikan baitul muslim, saya teringat akan satu artikel nukilan seorang murabbi lama tentang pengantin baru KITA. Sejak dua tahun yang lalu, setiap kali datangnya musim ikhwah dan akhawat bernikah, saya pasti akan teringatkan artikel ini. Saya pernah kongsikan artikel ini di Facebook saya, tetapi tidak sampai tiga minit selepas itu, perkongsian tersebut saya padamkan. Sebabnya, saya khuatir bukan sahaja orang kebiasaan akan merasa pelik dengan 'budaya' KITA, malah pengantin baru KITA sendiri.

Inilah artikel luahan hati sang murabbi yang saya hormati.

"Dulu kebanyakan dari kita belum kahwin. Mereka mendapat dakwah dan tarbiyyah semasa belajar. Mengenal erti Islam semula ketika single. Belajar erti iman, adab, ibadah, pergaulan, sosial dan bagaimana hidup sebagai seorang muslim mengikut Quran dan Sunnah. Kita cuba sedaya upaya untuk beramal dan praktikkan apa yang kita belajar dari murabbi-murabbi. Murabbi berada di tepi kita, bersama-sama makan minum setiap hari, menegur apa yang sepatutnya.

Kini ramai dari kita telah berpindah ke alam baru. Alam yang lebih 'privacy' dari sahabat-sahabat lain dan bahkan murabbi sendiri. Banyak perkara baru yang kita perlu hidup sendirian tanpa teman murabbi yang akan menunjuk itu dan ini. Sebahagian besar dari kita telah memasuki alam 'BM'!

Apa yang terperasan oleh sahabat yang belum 'melangkah' ialah lakonan-lakonan 'kurang sopan' dari pengantin-pengantin muda ini. Maybe ianya bukan disengajakan dan memang ia maybe tidak diperasankan oleh pelakonnya, tapi ia diperasani oleh penontonnya.

Sejak hari pertama mereka hanya diikat oleh 'pertunangan', telah ada hubungan-hubungan yang kurang enak didengari dan sampai ke telinga penonton. Sedangkan movienya belum sampai ke sinema 'panggung wayang gambar'. Telah ada perbualan telefon melebihi had, telah ada emel melebihi huruf-huruf akal dan lain-lain yang maybe juga tidak disedari oleh pelakonnya.

Setelah hari menjadi 'raja', memang ada berlaku solekan dan perhiasan. Tapi ianya maybe tidak dapat dielakkan kerana desakan famili dan adat perpatih atau temenggung tua yang bertukar menjadi muda dan moden. Tetapi iklan kahwin di FB dengan gambar ala artis menghiasi laman foto FB. Ini tentunya bukan budaya kita dan budaya orang tarbiyyah. Setelah dipaksa bersolek, maka siapa pula memaksa kita menjadi penghias laman majalah dunia FB? Gambar-gambar aksi kasih sayang berdua juga tidak ketinggalan.

Setelah hidup kembali normal sebagai BM, timbul pulak lakonan lain. Lakonan gelak ketawa, gurau-gurauan fizikally atau cakapan suara, dekat mendekat, panggilan manja dan lain-lain berlaku di depan penonton sahabat-sahabat lain tidak kira sesama KITA atau bukan. Gambar-gambar lebih manja menghiasi Majalah FB lagi dengan lebih banyak.

Mencemburukan orang yang belum ber'BM'? Bukan masalah cemburu atau tidak, tetapi ia masalah adab dan akhlaq. Maybe perkara ini tidak sempat diajar oleh murabbi semasa belum kahwin dulu kerana belum tiba masanya. Sekarang oleh kerana ia telah berlaku dengan hits yang tinggi, maka mana-mana murabbi patut mengajar kembali tajuk 'ADAB DAN IKHTILAT SETELAH BM'.

Kerana kita ada 'tamayyuz'nya!"

Sekali baca, terasa 'pedas'nya. Bila difikirkan dalam-dalam, ada benarnya kata murabbi kita ini.

Semoga apa yang dinukilkan oleh murabbi kita ini, ada sesuatu yang baik yang kita boleh ambil untuk difikirkan dan diamalkan.

Suatu hari nanti, insyaAllah saya juga akan mendirikan baitul muslim. Tapi menjadi harapan agar biarlah kelak menjadi pengantin baru yang menjaga adab dan akhlak, agar dosa-dosa disebabkan 'kenakalan' dan keghairahan menjadi Raja Sehari tidak mencemari hari pernikahan kelak.

Wallahu'alam

Dikongsikan semula dari blog Muntalaq.

16 August 2013

Ziwaj Da'awi, Tanda Wafa' Seorang Rijal

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Ketika anda ketemu seorang lelaki yang begitu bersemangat, anda mungkin menganggapnya mantap dalam fikrah, cekal dalam azam dan akan mengorbankan segala-galanya untuk dakwah yang diyakininya.

Tapi bila berdepan dengan masa menentukan pilihan zaujah, anda tiba-tiba kecewa dengannya. Bukan kerana masalah atau paksaan keluarga, bukan kerana tekanan janji lama atau lain-lain uzur yang mungkin boleh diterima, tetapi ia kalah kerana sebab yang anda ragui kesanggupan pengorbanannya untuk dakwah.

Dia mungkin bersungguh-sungguh mencari seorang mad'u dan men-DF, tapi dengan mudah ia membiarkan seorang ukhti yang telah lama berkorban dan bersedia untuk berkorban lagi, tetapi terpaksa terkorban kerana menjadi ahli baitul muslim yang tak ketentuan masa depannya.

Apakah hanya kerana umur yang hanya lebih banyak beberapa hari (Ya, beberapa tahun lebih tua juga adalah beberapa hari), maka ia sanggup membiarkan seorang ukhti dilarikan arus keperluan kehidupan biasa dan kembali menjadi manusia biasa kategori MB atau MC?

Adakah hanya kerana wajah yang tidak secantik artis hiasan media massa maka ia sanggup korbankan manusia yang telah ditarbiyyah begitu lama oleh sang murabbiyah?

Adakah kerana hanya untuk mengikuti kehendak mata dan kononnya melaksanakan hadis 'dinikahi wanita kerana kecantikannya', maka ia sanggup hanya melihat seorang ukhti dibawa kembali secara paksa atas kuasa seorang suami kepada cara 'hidup selesa' dan 'harmoni'?

Tidak…

Tidak mungkin seorang rijal yang wafa' (setia) dengan dakwahnya untuk membiarkan dirinya hanya melihat dakwah surut kerana kehilangan tenaga-tenaga yang telah diasuh dan dibina dengan susah payah tangan murabbiyah. Tidak mungkin juga seorang rijal sanggup gembira dengan rumahtangga barunya bersama zaujah yang entah dari mana dan dia hidup gembira sedangkan akhawat di sana-sini menangis diheret ke alam hidup lama mereka kembali, bukan kerana kerelaan hati mereka.

Sampai bila kita hanya akan menjadi orang yang hanya berkorban harta dan tenaga tetapi tidak sanggup untuk mengorbankan keinginan mendirikan rumah tangga dengan pilihan ala artisnya.

Sungguh terharu mendengar ungkapan seorang sahabat:

"... jika tidak kerana halangan keluarga, tidak kerana memelihara imej dakwah dan tidak kerana kekangan tohmahan masyarakat, nescaya kulengkapkan bilangan empat mengikut sunnah para sahabat demi menyelamatkan dakwah kita. Akan tetapi..."

Wallahu'alam

Dikongsikan semula dari blog Muntalaq.

15 August 2013

Asmaa' Hisham Saqr

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Jikalau ikhwah akhawat pernah membaca buku "Iman dan Harakah" yang terkenal dengan kisah ghulam ad-dakwah, anda pasti tidak asing dengan nama Hisham Saqr. Beliaulah penulis buku tersebut dan beliau merupakan salah seorang ahli pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Saya tidak mahu bercerita tentang beliau, tetapi tentang anak perempuan beliau - Asmaa'.

Syahidnya Asmaa' Hisham Saqr

Asmaa' merupakan salah seorang antara ratusan mangsa kekejaman pihak pasukan keselamatan Mesir yang menyerang rakyat atas alasan mahu menyuraikan perhimpunan pro-Morsi semalam (14 Ogos 2013).

Siapakah Asmaa' Saqr? Asmaa' Saqr adalah seorang ibu kepada dua orang anak, iaitu Rahmah dan Yahya, yang dilahirkan pada tahun 1985 dan merupakan seorang aktivis dakwah yang sangat aktif di bandar Nasr. Tanyalah ahli-ahli masjid di bandar Nasr, sekiranya terdapat aktiviti pembangunan kefahaman Islam untuk wanita dan kanak-kanak, pasti di sana adanya seorang wanita bernama Asmaa' Hisham Saqr.

Asmaa' ditakdirkan Allah berkahwin pada umur yang agak lewat dalam budaya Arab Mesir iaitu sekitar 25-26 tahun. Suatu hari ibunya bertanya kepada beliau, "Marilah aku kahwinkan kamu dengan pemuda biasa". Lalu Asmaa' menjawab dengan suara yang tenang dan penuh percaya kepada janji Allah, "Aku tidak akan menyerahkan tubuhku melainkan kepada lelaki yang ditarbiyah. Aku rela membujang hingga ke tua tapi tidak akan kuserahkan diriku melainkan kepada lelaki yang beriman kepada fikrah ini. Aku tidak rela anak-anak aku dididik oleh mereka yang kurang!".

Subhanallah wal-hamdulillah wa-lä-ilaha-illah wal-allahu-akbar.

Diceritakan sendiri oleh ayahnya (Dr. Hisham Saqr), bahawa beliau (Dr. Hisham Saqr) menjadi saksi bahawa Asmaa' selalu mengharapkan syahadah dan selalu berkata "Aku mahu pergi menuju tuhanku".

Asmaa' pernah bermimpi selepas syahidnya mujahid Said Siyam (Menteri Hamas di Gaza), beliau berkata kepada Asmaa', "Mari bersamaku", lalu Asmaa' mahu mengikuti beliau, tetapi dihalang oleh ibunya dan suaminya. Mereka berkata kepada Asmaa', "Bukan sekarang Asmaa', lain kali."

Asmaa' sentiasa mengikati mimpinya sehinggalah ketika ini, Asmaa' berkata "Inilah waktunya!"

Asmaa' menidurkan kedua-dua anaknya sebelum bergerak ke Medan Raba'ah pada malam hari. Dr. Hisham Saqr berkata kepada puterinya itu, "Berpada-padalah turun ke medan. Kau masih ada anak-anak kecil yang perlukan kau".

Asmaa' lantas membalas, "Adakah aku patut menyia-nyiakan peluang untuk syahid semata-mata kerana anak-anak?!"

Subhanallah wal-hamdulillah wa-lä-ilaha-illah wal-allahu-akbar.

Semoga Allah menerima kesyahidan beliau dan menempatkan beliau di syurga Firdaus. Dan semoga Allah menerima pengorbanan Dr. Hisham Saqr.

Saya mengimpikan seorang zaujah yang cita-citanya seperti cita-cita Asmaa'. Saya juga mengimpikan menjadi rijal yang ditarbiyah seperti rijal yang dicitakan oleh Asmaa' itu. Dan saya berharap ikhwah dan akhawat juga mempunyai cita-cita yang sama. Mereka telah membuktikan keimanan mereka terhadap fikrah ini, kita bila lagi?

Wallahu'alam

13 August 2013

Tetaplah Menjaga Niat dan Akhlakmu

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Di sepanjang jalan dakwah dan tarbiyyah ini, para du'at pasti akan teruji dengan pelbagai mehnah yang pasti akan menggugah iman dan amal. Mereka yang bermula dengan niat dan akhlak baik, kemudiannya memeliharanya, selalunya perjalanannya berakhir dengan baik walaupun di sepanjang perjalanannya terdapat pelbagai halangan. Mereka yang bermula dengan niat dan akhlak baik, tetapi jika tidak memeliharanya, selalunya perjalanannya berakhir dengan kekecewaan.


Megan Rutledge, perjalanan perjuangannya tampak pasti akan berakhir dengan kemenangan. Malangnya, ia berakhir dengan kekalahan dan kekecewaan.


Michal Marosi, perjalanan perjuangannya sepertinya pasti akan berakhir dengan kekalahan. Namun begitu, walau jatuh di pertengahan jalan perjuangan, semua itu tidak menghalangnya untuk bangkit, bersikap berani dan optimis terhadap masa depan dan dalam meraih kemenangan.

Bagi ikhwah dan akhawat rahimakumullah, tetaplah memulakan setiap pekerjaan dengan niat dan akhlak baik, serta memeliharanya disepanjang pekerjaan tersebut. Beramallah dengan kencang dan melaju, tapi jangan lupa Allahlah segala-galanya. Maka, jagalah hubungan dengan-Nya. Sesungguhnya Dialah yang berkuasa memuliakan hamba-Nya dan juga menghinakan hamba-Nya. 
Ya muqallib al-qulüb, thabbit qulübana 'alä dïnik.
Wahai Tuhan Yang Membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hati-hati kami di atas agama-Mu.
Wallahu'alam.

05 August 2013

Trailer Apa Lagi Yang Kita Mahu?

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Selepas menonton trailer filem Fast and Furious 6 sebelum ini, terdetik di hati nak menonton filem tersebut kerana teruja melihatkan ia penuh dengan babak dan aksi yang mantap lagi hebat. Baru-baru ini, melalui perkongsian trailer filem KL Gangster 2 daripada beberapa orang kawan di Facebook, juga menyebabkan hati tertarik untuk menonton filem tersebut.

Kemudian saya terfikir.

Trailer sesebuah filem yang hanya berdurasi 2-3 minit itu sudah cukup kuat untuk menggerakkan kebanyakan dari kita agar pergi ke panggung wayang dan ternanti-nanti untuk menonton filem tersebut.

Tapi yang peliknya...

'Trailer' kisah syurga dan neraka dalam Al-Quran dan Al-Hadith yang banyak-banyak itupun masih belum cukup bagi kita untuk berlumba-lumba mendapatkan syurga dan bencikan neraka.

Jadi, 'trailer' apa lagi yang kita mahu?

Wallahu'alam.

02 August 2013

Impian Hari Ini

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


"Demi Allah aku tidak sanggup terperuk dan berkurung di dalam sangkar bersama-sama kalian seperti ayam bersama anak-anaknya.

Aku tidak mampu hidup dengan menyejukkan diri sedangkan kepanasan api dugaan membakar hati-hati umat Islam.

Aku tidak rela tinggal bersama-sama kalian sepanjang masa sedangkan realiti umat Islam kini telah mengoyak-robak jiwa setiap mereka yang mempunyai hati dan akal yang waras.

Benar-benar tidak bermaruah jika aku tinggal bersama-sama kalian dengan limpahan kenikmatan diangkat satu hidangan dan dituruti pula dengan hidangan yang lain."


As-Syahid Dr. Abdullah Azzam

As-Syahid Dr. Abddullah Azzam, mujahid yang telahpun menemui syahid yang dicita-citakannya. Kepergian beliau melahirkan ribuan lagi mujahid yang sedang mengejar dan menunggu-nunggu untuk mati syahid. Kitakah orangnya?

Sejak dari usia muda, beliau telahpun komited memperniaga fikiran, tenaga dan hartanya untuk dakwah dan tarbiyyah. Kita?

Rajin dan cemerlang dalam pelajaran, bahkan bergelar 'Doktor'. Tetapi semua itu tidak pula menghalangnya daripada mencintai jihad untuk umat dan agama Islam. Kita?

Berhijrah dari tempat tinggal yang aman dan selesa ke suatu tempat yang asing baginya dan huru-hara dengan suasana peperangan. Semua itu dilakukan demi dakwah dan jihad. Kita?

Mati syahid, cita-cita tertinggi. Persoalannya, sudah bersediakah kita untuk mati syahid? Sudah bersediakah kita untuk meninggalkan kesenangan dunia?

Daripada Jabir r.a., katanya, ada seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w. pada hari perang Uhud: "Bagaimanakah pendapat Tuan jikalau saya terbunuh, di manakah tempatku?" Nabi s.a.w. bersabda: "Di syurga." Orang tersebut lalu melemparkan beberapa buah kurma yang masih di tangannya, kemudian berperang sehingga ia dibunuh (mati syahid)." (Muttafaq 'alaih)

Sesungguhnya syurga itu di bawah naungan pedang.

Kata Allah s.w.t. : 

"SesungguhnyaAllah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil, dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu. Dan demikian itulah kemenangan yang agung." (At-Taubah : 111)

Janji Allah, saya percayakannya. Mati syahid, saya mengimpikannya. Anda?

Wallahu'alam.

31 July 2013

Berikanku Jawapan

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Kebelakangan ini, ada satu hal yang membuatkan saya sentiasa terfikir-fikir dan tercari-cari jawapan kepada persoalan yang bermain di kepala saya.

Dari kalangan orang Islam, ada orang Islam mukmin, orang Islam munäfik dan orang Islam fäsik atau käfir.

Yang mukmin, mereka beriman dan beramal dengan perkara-perkara yang diimaninya.

Yang munäfik, mereka ini hipokrit dan bersandiwara dalam mentaati perintah dan larangan dalam agama Islam.

Manakala yang fäsik atau käfir, mereka mengetahui kebenaran agama Islam, tetapi mengingkari dan menolak kebenaran tersebut.

Persoalan yang bermain-main di fikiran, adakah orang Islam di luar sana perasan sama ada ciri-ciri orang munäfik, fäsik dan käfir ini ada pada diri mereka atau tak?

Kalau ya, mengapa memilih untuk bersikap dengan ciri-ciri orang-orang tersebut?

Tidak cukupkah peringatan-peringatan Allah dalam Al-Quran dan Rasulullah dalam hadith baginda yang sampai kepada kita selama ini agar kita tersedar dan keluar dari kesesatan tersebut?

Persoalan yang dilontarkan datangnya dari kisah ini.

Bila kita nak buat kerja dakwah mengajak manusia mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya, pasti akan ada individu atau kumpulan manusia yang bersikap menongkah arus, yang mahu menganggu atau menghalangi kerja-kerja murni kita

Kita nak buat kerja baik, tapi mengapa mereka tak suka? Hairan.

Kita nak mengajak manusia menyembah Allah semata-mata, tapi mengapa mereka membantah tindakan kita? Hairan.

Kita bukannya nak merampas ahli keluarga, harta atau kedudukan dari mereka, tapi mengapa mereka ketakutan atau kebimbangan? Hairan.

Sudah sampai kepada mereka ini seruan dan nasihat dari para du'at dan orang soleh, bahkan mereka sendiri mempunyai Al-Quran di tangan mereka, tetapi mengapa mereka tidak mengambil pengajaran dari semua itu?

Wahai saudaraku.
"Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman dari jalan Allah, kamu mengkehendakinya bengkok, padahal kamu menyaksikan?" (Äli-Imran : 99)

"Dan janganlah kamu duduk di setiap jalan dengan menakut-nakutkan dan menghalangi orang beriman dari jalan Allah dan ingin membelokkannya." (Al-A'raf : 86)
Kenapa kalian masih mahu membuatkan manusia beralih dari jalan kebenaran, meskipun kalian mengetahui kebenaran tersebut?
"Dan apabila dikatakan kepada mereka : 'Marilah (patuh) kepada apa yang telah diturunkan Allah (patuh) kepada Rasul', nescaya engkau melihat orang munafik menghalangi (manusia) dengan bersungguh-sungguh dari menghampirimu." (An-Nisa' : 61)
Kenapa kalian begitu bersungguh-sungguh melarikan manusia dari mendengarkan seruan dan nasihat kami?
"Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih, (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman." (An-Nisa' : 138-139)
Dan kenapa kami para du'at dan orang soleh tidak pula menjadi teman rapat bagi kalian?
"Sesungguhnya orang-orang kafir itu menginfakkan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Mereka itu akan (terus) menginfakkan harta itu, kemudian mereka menyesal sendiri, dan akhirnya mereka akan dikalahkan. Ke dalam neraka Jahannamlah orang-orang kafir itu akan dikumpulkan." (Al-Anfäl : 36)
Kenapa kalian sanggup berhabis duit semata-mata untuk menyesatkan manusia?
"Dan sebahagian dari orang-orang A'rab (yang munafik) itu memandang apa yang mereka belanjakan (dermakan pada jalan Allah) sebagai satu bayaran yang memberatkan." (At-Taubah : 98)
Tapi merasa keberatan untuk menyumbang harta di jalan Allah?
"Orang yang lebih menyukai dunia dari akhirat, dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah dan menginginkan (jalan) bengkok. Mereka itu berada dalam kesesatan yang jauh." (Ibrähim : 3)
Tidak sedarkah kalian bahawa kalian sudah jauh tersesat?
"Dan sungguh, mereka (syaitan) benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk." (Az-Zukhruf : 37)
Atau kalian menyangka perbuatan kalian itu sebagai perbuatan yang baik?
"Atau adakah mereka mengira bahawa Kami tidak mendengar rahsia dan bisikan mereka? Sebenarnya (Kami mendengar), dan utusan-utusan Kami (malaikat) sentiasa mencatat di sisi mereka." (Az-Zukhruf : 80)
Adakah kerana kalian menyangka tiada seorangpun yang mengetahui perancangan jahat kalian?
"Dan mereka (orang-orang munäfik) mengatakan, 'Taat'. Tetapi, apabila mereka pergi dari sisimu (Muhammad), sebahagian dari mereka mengatur siasat pada malam hari (mengambil keputusan) lain dari apa yang telah mereka katakan tadi." (An-Nisä' : 81)
Di hadapan kami, kalian berbicara apa yang kami suka. Di belakang kami, kalian berbicara apa yang kalian suka.
"Tetapi orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya." (Al-A'raf : 36)
"Allah menjanjikan orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan neraka Jahanam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah itu bagi mereka, dan Allah melaknat mereka, dan bagi mereka azab seksa yang kekal." (At-Taubah : 68)
Tidak cukupkah peringatan ini bagi kalian agar kalian meninggalkan kerja-kerja jahat tersebut dan bertaubat kembali kepada Allah?

Wahai saudaraku.

Apakah tujuan sebenarmu? Aku tidak mengerti, maka berikanlah aku jawapannya.
"Dan sekiranya (dahulu) kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu), tentulah kami tidak termasuk dalam penghuni neraka yang menyala-nyala. Maka mereka mengakui dosanya, tetapi jauhlah (dari rahmat Allah) bagi penghuni neraka yang menyala-nyala itu." (Al-Mulk : 10-11)
Wahai saudaraku, takutlah kepada Allah. Takutlah kepada Hari Pembalasan. Takutlah kepada azab neraka. Semoga kalian tidak termasuk dalam golongan manusia yang menyesal pada hari akhirat kelak.
"Hari (kebangkitan) yang tidak bermanfaat harta benda dan anak-pinak, kecuali sesiapa yang datang kepada Allah dengan hati yang sejantera." (As-Syu'ara' : 88-89)
Wallahu'alam.

30 July 2013

Tadabbur Al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Al-Quran bukan untuk setakat dibaca, tetapi juga untuk diteliti, dihayati dan difikiran tentang isinya, agar kita dapat memahami makna, hikmah dan tujuannya. Inilah sebab bagi setiap al-akh, menjadi kewajipan bagi mereka untuk mentadabbur Al-Quran.

Kita membaca Al-Quran bukan sekadar kerana hendak mengejar untuk mengkhatamkan tilawah Al-Quran dengan secepat mungkin, bukan sekadar merebut ganjaran 10 kebaikan bagi setiap huruf yang dibaca, dan juga bukan sekadar untuk menambah pengetahuan tentang ciptaan alam, hukum-hakam dan sirah. Kita mahu lebih dari itu.

Kita mahu dengan Al-Quran, keimanan kita terhadap Allah, Rasul, kitab-Nya, dan hari akhirat bertambah baik.

Kita mahu dengan Al-Quran, cara fikir kita lebih tajam, kritis dan meluas dari sempadan bagi orang kebiasaan.

Kita mahu dengan Al-Quran, akan membuahkan amal-amal yang bermanfaat untuk ummah dan agama Islam, bukan untuk diri sendiri semata-mata.

Kita mahu dengan Al-Quran, ia menjadi sumber pegangan dan rujukan paling utama bagi setiap urusan dalam kehidupan seharian kita, baik dalam urusan ibadah mahupun muamalat.

Al-Quran, dustüruna! Al-Quran, perlembagaan kami!

"Sebuah kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan kepadamu penuh berkah agar mereka mentadabbur ayat-ayatnya dan agar orang yang berakal sempurna beringat mengambil pengajaran." (Sod : 29)

"Maka tidakkah mereka mentadabbur Al-Quran, atau hati mereka sudah terkunci?" (Muhammad : 24)

Al-Quranmu itu, tadabburlah ia dengan tekun.

Ikhwan rahimakumullah.

Semoga Allah menjadikan hati kita ini hati-hati yang cintakan Al-Quran. Hati yang cintakan Al-Quran adalah apabila kita bertemu dengannya dengan hati yang senang, duduk bersamanya dalam waktu yang panjang tanpa rasa bosan, rindu padanya bila ia tiada di sisi, banyak berinteraksi dengannya, percaya penuh terhadap bimbingannya, kembali kepadanya dalam setiap permasalahan kecil atau besar, dan mentaatinya baik perintah mahupun larangan.

Senantiasalah memohon kepada Allah agar diberikan hati yang jernih, hati yang hidup, hati yang sentiasa terawat dan dijaga. Yä muqollibal qulüb, thabbit qolbï 'alä dïinik.

Wallahu'alam.

29 July 2013

Memilih Sasaran Yang Sesuai

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Di luar sana, tidak dinafikan banyak orang Islam, termasuklah kita, yang mempunyai kefahaman baik tentang Islam dan bersemangat untuk menyampaikan mesej Islam kepada kawan-kawan di sekelilingnya.

Semangat dalam berdakwah itu memang penting, tapi jangan biarkan semangat itu membuatkan kita bekerja tanpa ilmu atau dengan mengabaikan disiplin-disiplin dalam gerak kerja dakwah. Ilmu ini dikenali sebagai ilmu fiqh dakwah.

Fiqh dakwah, kita dapat perolehinya dengan mempelajari Al-Quran, sunnah dan juga sirah para sahabat serta salafussoleh. Untuk kali ini, saya suka untuk berkongsi sedikit ilmu fiqh dakwah berdasarkan Al-Quran, sumber rujukan utama bagi setiap aktivis dakwah.

Dengan mengambil Al-Quran sebagai panduan utama dalam bekerja, harapnya ia akan membuatkan kita lebih banyak berfikir dengan lebih tajam dan kritis, kerana ayat-ayat Al-Quran itu banyak sekali berkait dengan permasalahan kehidupan. Akhirnya, dengan banyak membaca dan mentadabbur Al-Quran, semoga ia akan membuatkan kita sentiasa dekat kepada Al-Quran.

Ilmu dan disiplin dalam dakwah

Seperti yang disebut di atas, keghairahan berdakwah, dengan darah panas dan semangat membaranya, tanpa didasari ilmu dan disiplin, seseorang da'i akan lebih terdedah kepada kesilapan dalam menyampaikan isi seruan yang dibawa. Ini boleh terjadi disebabkan, antaranya, tidak wujud jalinan hubungan dan kesefahaman antara da'i (yang menyeru) atau mad'u (yang diseru).

Saya bagi satu contoh kes berdasarkan pengalaman saya sendiri. Ada seorang si fulan ini mendapat sentuhan tarbiyah di luar negara. Selepas mengenal erti dakwah dan tarbiyyah, seperti kawan-kawannya yang lain, dia merasa kepentingan untuk menyampaikan dakwah kepada manusia di sekelilingnya. Dan dia melakukannya.

Cuma masalahnya, pada pandangan saya, dia lebih suka untuk menyentuh kawan-kawannya yang bukan muslim (baca : belum muslim) berbanding kawan-kawan Melayu. Sedangkan masih banyak lagi antara kawan Melayu di sekelilingnya itu yang perlu disantuni dan diberi sentuhan tarbiyyah. Pada saya, perkara seperti inilah yang selalunya mengakibatkan para du'at kehabisan tenaga, masa dan wang kerana kesilapan memilih sasaran mad'u yang sesuai berdasarkan keutamaan dari aspek tertentu.

Kenapa saya berkata begitu?

Surah Ibrahim : 4

Kata Allah s.w.t. :

"Dan kami tidak mengutuskan seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, agar dia dapat memberi penjelasan kepada mereka." (Ibrahim : 4)

Berdasarkan ayat di atas, satu petunjuk yang kita dapati di sini adalah bahawa tidaklah Allah menghantar seseorang utusan-Nya kepada sesebuah kaum melainkan dengan bahasa kaumnya tersebut.

Keselarasan bahasa itu merupakan salah satu elemen terpenting dalam mewujudkan komunikasi yang berkesan. Jika bercakap dalam bahasa yang sama pun boleh saling tersalah faham, inikan pula bercakap dengan bahasa yang saling berbeza. Kerana itu komunikasi antara da'i dan mad'u dengan bahasa yang sama yang saling difahami sangat memainkan peranan supaya kedua-dua pihak menerima dan menyampaikan maklumat yang sepatutnya.

Dan bahasa yang sama tidaklah digunakan antara dua pihak melainkan mereka ini ada unsur lain yang juga menjadi persamaan antara mereka, seperti asal usul keturunan, bangsa dan budaya. Untuk itu, mari kita tadabbur kisah-kisah Nabi dan kaumnya yang diceritakan oleh Allah dalam surah Hud.

Kata Allah s.w.t. :

"Dan kepada kaum 'Äd, (diutuskan) saudara mereka, Hud. Dia berkata : Sembahlah Allah, tidak ada tuhan bagimu selainnya." (Hud : 50)

"Dan kepada kaum Thamud, (diutuskan) saudara mereka, Saleh. Dia berkata : Wahai kaumku, sembahlah Allah, tidak ada tuhan bagimu selainnya." (Hud : 61)

"Dan kepada (penduduk) Madyan (diutuskan) saudara mereka, Syu'aib. Dia berkata : Wahai kaumku, sembahlah Allah, tidak ada tuhan bagimu selain dia." (Hud : 84)

Berdasarkan tiga ayat dari surah Hud di atas, kita akan dapati bahawa para rasul yang diutuskan oleh Allah, selain berkomunikasi dalam bahasa yang sama dengan kaumnya, mereka juga datang dari kaumnya sendiri.

Gaya bahasa dan jalinan hubungan

Kembali kepada contoh kes di atas, kerana itu pada saya tindakan si fulan tersebut 'bermasalah', iaitu bermasalah dari segi keutamaan memilih sasaran mad'u yang sesuai. Kawan-kawan Melayunya yang agamanya Islam warisan inilah sepatutnya lebih diutamakan dan lebih banyak disentuh kerana mereka ini datang dari keturunan dan bercakap dalam bahasa yang sama dengannya, berbeza dengan kawan Perancis, Inggeris atau Afrikanya itu, contohnya. Tambahan pula, kawan-kawan Melayunya yang sudah Islam tetapi belum berpegang dan beramal baik dengannya itu, hanyalah tinggal perlu dibangkitan perasaan 'izzah mereka terhadap Islam dan disemarakkan keinginan untuk bersama-sama dengan kita bekerja dalam satu pasukan.

Memilih mad'u yang sesuai, inilah antara disiplin gerak kerja dakwah mengikut fiqh dakwah yang sepatutnya dihormati oleh setiap da'i.

Wallahu'alam.

28 July 2013

Kau Ada atau Tak, Sama Sahaja

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Banyak orang menyertai bulatan usrah dengan harapan usrah akan membentuk dirinya lebih baik dari sebelumnya. Namun hakikatnya, tidak semua perkara akan terjadi seperti mana yang kita harapkan. Ada banyak sebab mengapa hal ini berlaku. Antaranya harapan seseorang yang menggunung terhadap keberkesanan sistem tarbiyah melalui usrah dan ketidaksabaran terhadap jalan dakwah dan tarbiyyah yang panjang ini.

Apabila kita mentadabbur ayat ke-129 dari surah Al-A'raf, kita akan mendapatkan ciri-ciri golongan yang tergopoh-gapah ini.

Kisah Nabi Musa dan kaumnya, ayat 128-129

Kaum Nabi Musa iaitu Bani Israil, sebelum kedatangan Nabi Musa, mereka telahpun dizalimi oleh Fir'aun. Apabila diutuskan Nabi Musa kepada mereka, mereka menganggap Nabi Musalah superhero mereka, iaitu penyelamat yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang akan menyelamatkan mereka dari kezaliman Fir'aun. 

"Musa berkata kepada kaumnya : Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya bumi milik Allah, diwariskan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki antara hamba-hamba-Nya. Dan kesudahan (yang baik) adalah bagi orang-orang bertaqwa." (Al-A'raf : 128)

Harapan dan janji yang diberikan oleh Nabi Musa kepada mereka membuatkan mereka bertambah percaya dan bergantung harap kepada Nabi Musa.

Namun, setelah beberapa lama bersama Nabi Musa, mereka menyedari bahawa nasib mereka tetap sama. Keadaan tidak bertambah baik, mereka tetap dizalimi oleh Fir'aun. Nabi Musa pun tidak dapat mengalahkan Fir'aun. Semua ini membuatkan mereka kecewa. Harapan indah yang diimpikan selama ini kini sekadar menjadi kenangan. Punah segalanya. Kerana terlalu kecewa, lalu mereka meluahkan rasa hati mereka kepada Nabi Musa :

"Kami telah ditindas (oleh Fir'aun) sebelum engkau datang kepada kami dan setelah engkau datang." (Al-A'raf : 129)

Bagi kaum Nabi Musa, mereka merasakan kehadiran Nabi Musa adalah sia-sia dan tidak membawa apa-apa perubahan yang lebih baik bagi mereka. Ketika Nabi Musa tiada, mereka ditindas. Bahkan ketika Nabi Musa ada sekalipun, mereka tetap ditindas. Tiada beza, sama sahaja. Ini luahan hati mereka. Beginilah, betapa kecewanya mereka terhadap Nabi Musa.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Kisah Nabi Musa dan kaumnya ini mengingatkan saya akan kisah yang berlaku terhadap mereka yang pada awalnya bersemangat bersama kita di jalan dakwah dan tarbiyyah ini, tetapi kemudiannya mereka memilih untuk keluar dari gerabak di jalan ini. Mereka merasakan proses pentarbiyyahan dan pentakwinan seseorang manusia itu memakan masa yang terlalu panjang, dan tidak lagi sesuai dengan suasana semasa. Pada mereka, pasti ada jalan alternatif lain yang boleh membawa mereka sampai ke matlamat yang sama dengan kita. Namun, bagi kita yang memahami benar manhaj dan prinsip yang kita pegang dan bawa, pasti kita akan kukuhkan kaki kita di jalan ini.

Ingatlah kita semua akan pesanan yang disampaikan oleh Pak Cik Hasan ini :
"Hai ikhwanul muslimin terutama yang gopoh daripada kamu. Dengarkanlah daripadaku satu kalimah yang tinggi yang berkumandang dari atas mimbar ini di dalam muktamar umum ini. Sesungguhnya jalan kamu ini adalah yang telah digariskan langkah-langkahnya, ditentukan batas-batasnya dan aku tidak mahu melanggar batas-batas itu. Aku telah yakin dengannya. Keyakinan yang sebenar-benarnya, bahawa itulah jalan yang paling selamat untuk mencapai tujuannya.
Ya, boleh jadi ia satu jalan yang panjang, tetapi di sana tidak ada jalan lain selain itu. Sifat kelakian tidak akan lahir kecuali dengan keberanian, ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang serius dan berterusan. Barangsiapa dari kalangan kamu yang hendak cepat dan gopoh memetik buah sebelum masak atau hendak memetik hasil sebelum masanya, maka aku tidak bersama dengannya sama sekali dan lebih baik baginya meninggalkan dakwah ini dan carilah dakwah yang lain. Barangsiapa yang bersabar bersama aku sehingga berkembang dan membesar benih itu lalu tumbuh pokoknya, baik buahnya sehingga tiba waktunya untuk dipetik dan diambil, maka ganjarannya terserahlah kepada Allah semata-mata. Kita dan dia tidak boleh lari dari dua kebaikan ini. Sama ada kita menang dan berkuasa atau mati syahid dan berbahagia."

Sungguh, jalan ini sangat panjang. Tapi yakinilah, inilah jalan yang paling dekat kepada sunnatullah dan sunnah Rasulullah s.a.w., para sahabat serta para salafussoleh yang terdahulu. Semoga Allah menetapkan diri dan hati kita di jalan dakwah dan tarbiyyah ini, hingga sama ada kita mati mulia sebagai seorang da'i ataupun mati syahid sebagai seorang mujahid.

Wallahu'alam.

27 July 2013

Buat Pilihan dan Nyatakannya (Siri 2)

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Dalam entri yang lepas, telah dikongsikan bahawa dengan mendalami asbab an-nuzul dan muläbasät penurunan surah Al-A'raf. Kita difahamkan bahawa tema yang dibawa oleh surah Al-A'raf adalah pertentangan sengit antara hak dan batil, manakala tujuan surahnya adalah supaya manusia membuat pilihan antara dua dan berani menyatakannya, serta dalam masa sama tidak sepatutnya seseorang berada di pihak berkecuali atau sebagai pemerhati sahaja.

Dan kali ini kita akan meneliti beberapa bahagian perenggan ayat dari surah Al-A'raf yang daripadanya kita akan menyedari betapa tegasnya peringatan dan balasan Allah kepada manusia yang berpihak kepada kekufuran serta ketidakpedulian Allah terhadap golongan yang berkecuali dan hanya memerhati serta menunggu-nunggu.

Surah Al-A'raf mengandungi kisah Adam dan Iblis, penduduk syurga dan neraka, dan para nabi dan kaumnya. Persamaan yang terdapat pada kisah-kisah ini adalah semua kisah ini menceritakan pertentangan antara hak dan batil.

Mari kita tadabbur surah Al-A'raf dari satu bahagian ke satu bahagian yang lain.

Kisah Nabi Adam dan Iblis (Ayat 11-37)

1) Ayat 14-16

"(Iblis) berkata : Berilah aku penangguhan waktu, sampai hari mereka dibangkitkan. Allah berfirman : Benar, kamu termasuk yang diberi penangguhan waktu. Iblis berkata : Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan sentiasa menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus."

Kebiasaannya, kita selalu meminta tempoh penangguhan apabila ada tugasan untuk disiapkan, hutang untuk dilangsaikan atau keputusan dalam sesuatu permasalahan untuk dibuat.

Hebatnya Iblis, ia meminta tempoh penangguhan daripada Allah dalam keadaan ia telahpun membuat keputusan muktamad untuk matlamat hidupnya, iaitu menyesatkan manusia. Cuba tanyakan diri kita, adakah kita sudah membuat keputusan muktamad tentang matlamat hidup kita? Malulah kita kepada Iblis dan syaitan jika kita yang Allah panjangkan umur kita di dunia ini, tetapi kita masih terkial-kial untuk membuat pilihan antara Islam dan jahiliyyah, masih termangu-mangu ke manakah hala tuju hidup kita.

2) Ayat 20

"Kemudian syaitan membisikan fikiran jahat kepada mereka agar menampakkan aurat mereka (yang selama ini) tertutup. Dan (syaitan) berkata : Tuhanmu hanya melarang kamu berdua mendekati pohon ini agar kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal (dalam syurga)."

Umum sedia tahu bahawa Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga kerana memetik buah pohon larangan dalam syurga. Persoalannya, apakah yang dikejar oleh Adam dan Hawa sehinggakan mereka memilih untuk mendekati pohon larangan tersebut? Ketahuilah, demi kepentingan diri sendiri, mereka memilih untuk memenuhi kemahuan diri iaitu supaya kekal di dalam syurga, lebih dari memilih untuk patuh kepada larangan Allah.

Adam dan Hawa membuat keputusan kerana dipengaruhi kepentingan diri, akibatnya mereka dihalau dari syurga ke bumi. Inilah akibatnya membuat keputusan kerana pentingkan diri sendiri.


Kisah ahli syurga dan neraka (Ayat 38-58)

1) Ayat 44

"Dan para penghuni syurga menyeru penghuni-penghuni neraka : Sungguh, kami telah memperoleh apa yang dijanjikan Tuhan kepada kami, semua itu benar. Apakah kamu telah memperoleh apa yang dijanjikan Tuhanmu kepadamu itu benar? Mereka menjawab : Benar. Kemudian penyeru (malaikat) mengumumkan tentang laknat Allah bagi orang-orang zalim."

Ayat ini menunjukkan bahawa dalam pertarungan antara al-haq dan al-batil, pasti al-haq menang dan al-batil dikalahkan. Mereka yang memilih al-haq, akan dikurniakan syurga. Selainnya, nerakalah tempatnya.

Berbahagialah mereka ketika di dunia yang menuruti perintah dan menjauhi larangan Allah dengan penuh ikhlas dan istiqamah, kerana mereka ini akan memperoleh sebaik-baik balasan di alam akhirat yang kekal abadi, iaitulah syurga. Mereka yang ketika di dunia yang dibekalkan Al-Quran dan diutuskan kepada mereka orang-orang söleh yang menyeru kepada kebenaran Islam, namun memilih untuk berpaling dari semua itu, duduklah diam-diam di neraka kelak.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Setelah menerima petunjuk daripada Allah melalui Al-Quran, Rasulullah melalui Al-Hadith dan para du'at melalui seruannya, adakah kita masih belum membuat pilihan untuk beramal dengan amalan ahli syurga ataupun ahli neraka?

2) Ayat 46-48

"Dan antara keduanya (syurga dan neraka), ada tabir dan di atas A'raf (tempat tertinggi), ada orang-orang yang saling mengenali, masing-masing dengan tandanya. Mereka (ahli neraka) menyeru ahli syurga : Salämun 'alaikum (salam sejahtera ke atas kamu). Mereka belum dapat masuk, tetapi mereka ingin segera (masuk).
Dan apabila pandangan mereka dialihkan ke arah ahli neraka, mereka berkata : Ya Tuhan kami, janganlah Engkau tempatkan kami bersama-sama orang zalim itu."

Pada hari akhirat kelak, Allah akan perlihatkan syurga dan neraka kepada segolongan manusia yang tempatnya bukan di syurga, juga bukan di neraka, tetapi di atas A'raf. Mereka ini dikenali sebagai Ashäbul A'raf.

Siapakah Ashäbul A'raf? Merekalah ketika Hari Pengadilan datang menghadap Allah dalam keadaan timbangan amal kebaikan dan keburukan adalah sama banyak, dan ketika di dunia tidak membuat keputusan yang betul-betul. Walaupun di dunia mereka mengenali perbezaan tanda-tanda antara orang-orang söleh dan orang zalim, namun mereka ragu-ragu untuk memilih bersama orang mukmin dan beramal dengan Islam secara keseluruhan ataupun tidak. Kerana itulah di akhirat kelak, apabila ditunjukkan kepada mereka bahawa ahli syurgalah pihak yang benar, lalu mereka mahu benar masuk ke dalam syurga, namun Allah tidak mengizinkannya lagi. Itulah balasan bagi Ashäbul A'raf.

Anda pula, mahu pilih syurga atau neraka?

Kisah nabi-nabi dan kaumnya (Ayat 59-102)

Dari ayat 59-64 diceritakan kisah Nabi Nuh dan kaumnya, ayat 65-72 tentang Nabi Hud dan kaumnya 'Ad, ayat 73-79 tentang Nabi Saleh dan kaumnya Thämud, ayat 80-84 tentang Nabi Lut dan kaumnya, dan ayat 85-95 tentang Nabi Syu'aib dan kaumnya penduduk Madyan.

Kisah nabi-nabi dan kaumnya di atas memperlihatkan sunnatullah pertentangan antara al-haq dan al-batil yang pengakhirannya pasti dimenangi oleh al-haq. Balasan azab yang diberikan kepada kaum-kaum yang ingkar tersebut bukanlah kerana Allah suka-suka mahu melaksanakannya, tapi kerana kesombongan yang meninggi, keingkaran yang melampau dan kerosakan yang terlalu teruk yang telah mereka kerjakan. 

Mereka diberi pilihan untuk menerima seruan supaya menyembah Allah semata-mata dan bersama rasul mereka, namun mereka tidak memilih untuk berbuat demikian. Bahkan mereka menyindir dan mengeji seruan dan utusan Allah. Maka, begitulah balasannya bagi orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri.

Kisah Nabi Musa dan kaumnya Bani Israil (Ayat 103-162)

1) Ayat 121-125

"Mereka berkata : Kami beriman kepada Tuhan seluruh alam.
Iaitu Tuhannya Musa dan Harun.
Fir'aun berkata : Mengapa kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya ini benar-benar tipu muslihat yang telah kamu rancangkan di kota ini untuk mengusir penduduknya. Kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu).
Pasti akan aku potong tangan dan kakimu dengan bersilang, kemudian aku akan menyalib kamu semua.
Mereka (ahli sihir) berkata : Sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami."

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Apa jawapan ahli sihir ketika diancam dan diugut oleh Fir'aun disebabkan mereka beriman kepada Allah? "Sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami."

Berbeza dengan Nabi Adam dan Hawa yang membuat keputusan atas kepentingan diri mereka, para pesihir yang mulanya bersama dengan Fir'aun pula telah membuat keputusan dan memilih untuk beriman kepada Allah bersama Nabi Musa dan Harun. Walaupun akan kehilangan kedudukan tinggi di sisi Fir'aun dan diancam akan diseksa olehnya, namun ahli sihir tekad dan tetap dengan pilihan mereka.

Cuba refleksi pada diri kita. Dalam banyak-banyak keputusan yang kita putuskan dalam hidup ini, banyaknya kerana Allah, rasul dan agama Islam ataupun kehendak nafsu diri? Inilah persoalan yang kita seharusnya sentiasa lontarkan kepada diri sendiri.

Kisah Bani Israil dan Hari Sabat (Ayat 163-166)

"Dan tanyakanlah kepada Bani Israil tentang negeri yang terletak berhampiran laut ketika mereka melanggar aturan Hari Sabat, ketika datang kepada mereka ikan-ikan terapung-apung di permukaan air, padahal pada hari-hari yang bukan Sabat ikan-ikan itu tidak datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan mereka berlaku fasik.
Dan ketika suatu umat antara mereka berkata : Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang keras? Mereka menjawab : Agar kami mempunyai alasan kepada Tuhanmu dan agar mereka bertaqwa.
Maka setelah mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang orang berbuat kejahatan dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim seksaan yang keras disebabkan mereka terlalu fasik.
Maka setelah mereka bersikap sombong terhadap segala apa yang dilarang, Kami katakan kepada mereka : Jadilah kamu kera yang hina!"

Kisah dalam ayat 163-166 ini dianalogikan seperti ini. Ketika mana kelompok A ta'at dan giat menjalankan tanggungjawab 'amar ma'ruf nahi mungkar dengan menasihati kelompok B yang melakukan kemungkaran, tiba-tiba datang kelompok C yang mempertikai kelompok A yang terlalu menjaga tepi kain orang. 

Tahukah anda siapakah kelompok C ini? Inilah kelompok yang sikapnya mirip seperti Ashäbul A'raf. Di depannya jelas ada satu kelompok yang patuh kepada perintah Allah dan satu kelompok lain pula ingkar kepada larangan Allah, namun mereka memilih untuk mempersoal tindakan kelompok orang söleh, sedangkan orang yang bermaksiat tidak ditegur.

Kelompok C, inilah kelompok yang cenderung untuk bersikap berkecuali dan memerhati sahaja. Malahan, inilah kelompok yang katanya menyokong agenda menegakkan syari'at Islam tetapi dalam masa sama sentiasa mempertikai mereka yang bekerja ke arah tujuan tersebut.

Dan dalam ayat ke-165, sebagaimana sunnatullahnya, Allah menyelamatkan mereka yang bersama kebenaran dan membinasakan mereka yang bersama kebatilan.

Apa nasib kelompok C? Ada sebahagian ahli mufassirin menafsirkan bahawa Allah mengabaikan kelompok tersebut. Kerana itu pengakhiran kisah ini berakhir tanpa diketahui apa nasib yang menimpa kelompok tersebut. Ada pula ahli mufassirin menafsirkan bahawa kelompok C ini akhirnya termasuk dalam kelompok B dan turut sama diazab seperti kelompok B.

Buat Pilihan dan Nyatakannya

Beginilah kisah-kisah dalam surah Al-A'raf ini mengajarkan kita bahawa menjadi sunnatullah pertarungan antara kebenaran dan kebatilan, pasti kebenaran akan menang. Berdasarkan kisah-kisah dan bukti yang ditunjukkan oleh Allah kepada kita semua tadi, kemudiannya kita diseru pula untuk membuat keputusan sama ada mahu mengikuti jejak langkah ahli syurga ataupun ahli neraka. Antara dua, tiada pilihan ketiga.

Maka, adakah anda sudah membuat pilihan anda? Buatlah pilihan anda sekarang, dan beranilah menyatakannya!

Wallahu'alam.

26 July 2013

Buat Pilihan dan Nyatakannya (Siri 1)

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Bayangkan jika anda seorang ahli PAS dan anda berada dalam Perhimpunan Agung UMNO. Pada suatu ketika, Dato' Seri Najib bertanya, "Siapa ahli PAS di sini?"

Apa reaksi anda?

Bayangkan pula jika anda seorang ahli UMNO dan anda berada dalam Muktamar Tahunan PAS. Pada suatu saat, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi bertanya, "Siapa ahli UMNO di sini?"

Apa reaksi anda?

Pegangan Hidup Disimpul Mati

Sebagai seorang muslim, kita pasti tidak sekali-kali rela hidup dan mati dalam keadaan tidak beriman. Kalimah syahadatain menjadi ikrar hidup kita bahawa hanya Islam cara hidup kita semata-mata, tidak ada yang lain dari itu.

"Orang-orang kafir dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah, Allah menghapus segala amal mereka. Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta beriman kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad, dan itulah kebenaran dari Tuhan mereka. Allah mengampunkan dosa-dosa mereka dan memperbaik keadaan mereka. Yang demikian itu kerana sesungguhnya orang-orang kafir mengikuti perkara yang batil dan orang-orang yang beriman mengikuti hak dari Tuhan mereka. Demikianlah Allah membuat perumpamaan bagi mereka." (Surah Muhammad : 1-3)

Perbandingan dibuat antara dua kumpulan manusia. Sama ada yang bersama Islam, atau yang bersama jahiliyyah. Tiada yang ketiga, keempat, dan lain dari itu. Hanya dua.

Maka persoalannya, apakah kita telah memilih untuk menyertai kumpulan mana?

Hanya ada dua pilihan, pilih salah satu dari dua. Kita tidak boleh memilih untuk berkecuali atau "Tidak tahu" atau "Nanti saja jawabkan".

Kata Allah :  

"Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam seluruhnya, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sungguh, ia musuh nyata bagimu." (Al-Baqarah : 208)

Jika Islam menjadi pilihan, maka berpegang padanya dan beramallah dengannya semata-mata. Jika sebaliknya, maka jahiliyyah atau syaitanlah pilihannya. Ya, itulah hakikatnya. Meskipun kita mengisytiharkan bahawa kita bukan ahli pasukan syaitan, tetapi secara tak sedar, kalau bukanpun menjadi ahli pasukan syaitan, kita telahpun menjadi penyokong pasukan syaitan. Memilih untuk tidak menguatkan pasukan Islam ataupun berkecuali, maknanya secara tidak langsung telah menguatkan pasukan syaitan.

Apapun alasannya, hanya ada dua pilihan, tiada lain dari itu. Dan ini dapat dipelajari dengan mentadabbur surah Al-A'raf, yang mana isi kandungannya mempunyai tema dan ahdaf yang sangat besar.

Surah Al-A'raf

Surah Al-A'raf merupakan surah ketujuh dalam Al-Quran tetapi diturunkan selepas surah Sod. Ianya termasuk dalam kumpulan surah Makiyyah dan mengandungi 206 ayat.

Mengenai sejarah penurunan surah ini, surah Al-A'raf diturunkan ketika fasa dakwah Nabi s.a.w. secara terang-terangan, bila mana berlakunya pertentangan yang jelas antara hak dan batil, atau antara Islam dan jahiliyyah.

Ketika 10 tahun fasa dakwah sirriyyah (tersembunyi) Nabi s.a.w., para sahabat yang menganuti agama Islam tidak menghadapi banyak ujian besar daripada orang musyrikin Mekah. Namun setelah Islam mula disampaikan secara terang-terangan kepada orang ramai, maka bermulalah saatnya Nabi s.a.w. dan para pengikutnya diancam dan ditindas dengan teruk. 

Tiga golongan manusia

Dari sudut pandang fiqh dakwah, kita akan dapati fasa dakwah jahriyyah (terang-terangan) Nabi s.a.w. merupakan satu bentuk proses penapisan dalam pentakwinan qaidah sulbah (tulang belakang) kumpulan muslimin. Di pihak Islam, lahir sekelompok muslimin yang mula takut akan ancaman daripada orang musyrikin Mekah. Manakala di pihak orang Quraisy, wujud satu kumpulan manusia yang sekadar memerhati dan mengikuti perkembangan dakwah Nabi s.a.w., menunggu-nunggu dan tertanya-tanya sama ada Muhammad dan seruan dibawanya itu benar atau tidak.

Maka di sana ada tiga kelompok manusia - orang Islam yang mukmin, orang kafir Quraisy yang memusuhi Islam, dan orang Islam atau bukan Islam Quraisy yang ragu-ragu, berkecuali dan memerhati.

Ketika fasa keterbukaan dan muwajahah inilah orang Islam digesa membuat pilihan, memilih Islam dan berpegang teguh padanya, atau berpaling daripadanya. Orang Quraisy yang masih belum memeluk Islam yang memilih untuk berkecuali dan masih ragu-ragu pula, juga perlu segera membuat pilihan, sama ada memilih kebenaran isi dakwah Rasulullah atau agama sedia ada yang bertuhankan berhala-berhala.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Kesimpulannya, dengan memahami asbab an-nuzul dan muläbasät (konteks) penurunan surah Al-A'raf ini, dapatlah difahami betapa bahawa ketika mana Islam disampaikan secara terang-terangan kepada seluruh ummah manusia, para du'at dan pendokong dakwah islamiyyah pasti akan diuji dengan pelbagai bentuk ancaman, penindasan dan hukuman daripada musuh-musuh agama Islam. Namun semua itu tidak lain tidak bukan merupakan satu bentuk ujian untuk melihat setakat mana keteguhan orang Islam terhadap agama Islam yang dianuti. Bagi mereka yang masih belum membuat keputusan, di sinilah Allah menuntut kita membuat pilihan - Islam atau jahiliyyah. Dan bagi mereka yang memilih untuk berkecuali dan menjadi pemerhati, sesungguhnya tiadalah tempat bagi mereka di sisi Allah.

Maka secara keseluruhannya, tema surah Al-A'raf adalah pertentangan sengit antara hak dan batil, dan tujuan surahnya adalah supaya manusia membuat pilihan antara dua dan berani menyatakannya, serta dalam masa sama tidak sepatutnya seseorang berada di pihak berkecuali atau sebagai pemerhati sahaja.

Jika kita ahli parti PAS, beranilah nyatakan ia di hadapan Dato' Seri Najib! 

InsyaAllah dalam bahagian kedua, kita akan menghayati isi surah Al-A'raf dengan lebih terperinci dalam usaha memahami tema dan hadaf besar surah ini.

Wallahu'alam.

25 July 2013

Da'i Bertanya Juz 29 Menjawab

*Disiarkan semula dari blog lama

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Ikhwah dan akhawat yang dirahmati Allah, sesungguhnya jalan dakwah dan tarbiyah yang kita lalui ini, jalan yang kita berjanji untuk setia di atasnya sepanjang hayat kita ini, merupakan satu-satunya jalan yang membawa kita dan seluruh umat manusia yang mengikutinya kepada hakikat kebahagiaan dan kemuliaan sebenar di dunia dan akhirat kelak.

Jalan D&T yang kita susuri ini adalah suatu jalan yang ada pantang-larang dan berperaturan, jalan yang sangat panjang, yang punya banyak misteri. Dari sehari ke sehari, satu persatu mutiara D&T yang dapat kita kutip di sepanjang perjalanan kita di jalan D&T ini. Segala apa yang kita perolehi daripada D&T, itulah yang mengajarkan kita dalam memperbaiki gerak kerja D&T kita.

Tapi, mungkin di sana ada beberapa persoalan dan kekeliruan mengenai jalan D&T. Segala permasalahan tersebut, sebaiknya diselesaikan secepat mungkin agar kita tidak terbabas kepada jalan penyelewangan. Maha Suci Allah yang telah mengurniakan kita guru-guru dan generasi murabbi yang sentiasa ada untuk memandu kita di jalan D&T ini. Antara manfaat yang mungkin kita perolehi daripada mereka adalah huraian mereka mengenai ayat-ayat Allah, yang menjadi sumber utama fiqh D&T kita.

Tahu atau tidak tahu, begitulah juga surah-surah dalam juz 29 ada menjawab persoalan-persoalan asas bagi da'i, termasuklah kita yang juga mungkin tertanya-tanya tentang hal yang berkait D&T.

1. Apakah yang saya perlu tahu untuk berdakwah?

Untuk menjawab soalan ini mari kita melihat surah pertama dalam juz 29 iaitu surah Al-Mulk. Anda perlu tahu tentang Allah kerana itu matlamat utama dakwah – mengajak manusia menuju Allah.

Untuk itu, surah Al-Mulk keseluruhannya memperkatakan tentang kudrat Allah dan merupakan tazkirah ringkas tentang Allah.

Surah ini membawa manusia menghayati kudrat Allah, bahawa seluruh kerajaan di bawah kuasa-Nya bahawa Dia berkuasa terhadap segala sesuatu.

2. Apakah persediaan diri yang saya perlu ada?

Surah kedua dalam juz 29 iaitu surah Al-Qalam memberikan suatu alat untuk berdakwah. Alat yang dimaksudkan ialah akhlak pendakwah. Alangkah baiknya jika orang mengaku pendakwah menepati ayat berikut:
"Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang agung." (Al-Qalam: 4)
Seterusnya surah ini menyebut tentang akhlak tertentu yang tidak layak dimiliki oleh para da'i seperti suka mencaci, menghasut serta menghalang amal kebaikan orang lain. (Al-Qalam: 11-12)

Surah ini menceritakan kisah pekebun yang diberikan rezeki yang banyak tetapi dia menjadi semakin kedekut, lalu Allah menarik balik pemberian-Nya dengan membinasakan kebun tersebut.

Pendakwah tidak boleh kedekut. Hidupnya adalah untuk memberi. Oleh itu keluarkanlah tenaga, wang, masa, ilmu atau kemahiran mana mampu.

Surah ini menarik perhatian kepada suatu lagi alat berdakwah iaitu penulisan. Jika surah yang pertama diturunkan, surah Al-A'la, mengajak memperkukuhkan ilmu dengan jalan membaca, maka surah Al-Qalam ini pula mengajak memikirkan dan menghayati penulisan. Allah bersumpah, "Demi pena, dan demi apa yang ia tuliskan." (Al-Qalam: 1)

Dengan menghayati pembacaan dan penulisanlah, umat yang pada awalnya adalah buta huruf telah membina perpustakaan yang paling besar di dunia di Kota Baghdad.

Hayatilah dua ayat berikut yang merupakan asas menyebarkan ilmu:
"Bacalah dengan nama Rabb kamu yang menciptakan." (Al-A'la: 1)

"Demi pena dan demi apa yang ia tuliskan." (Al-Qalam: 1)

3. Adakah itu sahaja yang saya perlukan untuk berdakwah?

Kalian perlu juga faham tentang Hari Akhirat kerana selain mengajak beriman kepada Allah, matlamat utama dakwah ialah mengajak beriman kepada Hari Pembalasan. Iman kepada Hari Pembalasan adalah penting kerana ia pendorong untuk membuat kebaikan dan meninggalkan keburukan.

Surah ketiga dalam juz 29 iaitu surah Al-Haqqah adalah suatu tazkirah tentang Hari Akhirat. Ia menceritakan bagaimana bagaimana manusia kelak ada yang menerima buku catatannya dengan tangan kanan dan ada dengan tangan kiri, bagaimana kehidupan di syurga serta tentang penyesalan mereka yang tidak beriman.

4. Bolehkah saya mula berdakwah sekarang?

Ada lagi sesuatu yang kalian perlu miliki. Kalian perlu ada akhlak 'ibadiyyah, iaitu akhlak ahli ibadah, sentiasa merasa rendah diri di hadapan Allah dan memiliki kecenderungan melakukan ibadat dengan baik. Ini dihuraikan dalam surah Al-Ma'ärij. Surah ini memberikan ciri-ciri yang baik yang perlu ada seperti menjaga solat, melakukan infaq serta menjaga amanah dan janji

5. Siapakah model pendakwah yang boleh saya contohi?

Mari kita lihat surah seterusnya dalam juz 29 iaitu surah Nuh. Suatu contoh ikutan yang baik bagi pendakwah ialah Nabi Nuh a.s..
"(Setelah puas menyeru mereka) Nabi Nuh berdoa dengan berkata: Wahai Rabb, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman). Dan seruanku tidak memberikan apa-apa kesan melainkan menjadikan mereka semakin jauh (dari kebenaran)." (Nuh: 5-6)
Perkataan 'siang dan malam' menunjukkan bahawa dakwah adalah merupakan fokus kehidupan Nabi Nuh sehingga tiada masa untuk melakukan perkara lain.
"Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (supaya beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa mereka, mereka menyumbat jari mereka ke dalam telinga dan menutup kepala mereka dengan pakaian mereka. Dan mereka telah berterusan berdegil dan menyombongkan diri dengan melampau." (Nuh: 7)
Perhatikan perkataan 'setiap kali' memberi erti bahawa dakwah Nabi Nuh hampir tidak mendapat respon langsung. Dikatakan bahawa sepanjang 950 tahun usianya dalam baginda bekerja keras begitu, hanya 60 orang sahaja yang beriman, purata 1 orang beriman dalam 15 tahun. Namun baginda berusaha tetap teguh berusaha. Maksud yang hendak disampaikan di sini adalah, teruskanlah menyeru. Di luar sana ramai sekali muda-mudi yang hilang tujuan, tiada matlamat hidup. Cuba dampingi mereka, berceritalah dengan mereka, jadilah seorang model ikutan bagi mereka.
"Kemudian aku menyeru mereka secara terang-terangan." (Nuh: 8)
Lihat bagaimana baginda menukar kaedah, seolah-olah menyatakan bahawa usahanya sebelum ini yang dijalankan secara sirr (rahsia) adalah tidak berjaya.
"Kemudian aku berdakwah sekaligus secara terang-terangan dan secara rahsia (berjumpa orang tertentu secara individu)." (Nuh: 9)
Ayat ini sekali lagi menunjukkan baginda menukar kaedah. Semua ini seolah-olah mengatakan baginda telah mencuba segala apa yang terfikir olehnya ke tahap tidak tahu apa lagi yang patut baginda lakukan untuk umatnya yang degil itu. Apakah kata-kata Nabi Nuh dalam dakwahnya? "Aku berkata: Mohon ampunlah kepada Rabb kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun." Yakni baginda mulakan dengan berita gembira bahawa sebesar manapun kesalahan kamu Allah akan ampunkan.

Baginda terus memberikan berita gembira untuk umatnya yang dilanda pelbagai ujian seperti kemarau, kegawatan ekonomi, tidak mendapat zuriat, kebun tidak subur serta tanah yang kontang gersang:
"(Sekiranya kamu bertaubat memohon ampun), nescaya Dia akan menurunkan hujan lebat mencurah-curah. Dia akan tambahkan bagi kamu harta kamu dan anak-pinak kamu dan menjadikan bagi kamu kebun-kebun dan sungai-sungai." (Nuh: 11-12)
Lihatlah uslub (cara) Nabi Nuh berdakwah:
a. Beri berita gembira
b. Beri tazkirah tentang Allah (contohnya Nuh: 15-16, Al-Mulk di atas)
c. Beri tazkirah tentang Akhirat (contohnya Nuh: 18, Al-Haqqah di atas)
Dalam ayat paling akhir sekali, surah ini memberikan panduan siapa yang perlu diutamakan dalam dakwah:
"Ampunkanlah diriku, kedua ibubapaku, dan orang-orang yang memasuki rumah aku dalam keadaan beriman, dan ampunilah seluruh orang mukmin lelaki dan perempuan..."
Yakni keutamaan dalam dakwah adalah untuk menyelamatkan ibubapa kemudian saudara-mara dan mereka yang dekat dengan kita, seterusnya barulah untuk seluruh umat.

Ini dia Nabi Nuh, seorang da'i yang hebat. Perhatikan, kalian tidak perlu mendapat gelaran ustaz untuk berdakwah. Kalian juga tidak perlu mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat untuk berdakwah. Ramai para anbiya merupakan orang kelas pertengahan di negeri mereka. Kalian juga tidak perlu pengetahuan yang terlalu mendalam dalam masalah furu' untuk menjadi pendakwah. Yang penting ialah sentiasa menjaga sifat-sifat orang beriman - jaga adab, jaga ibadat, jaga solat, jaga hubungan dengan Allah dan selalu ingatkan akhirat.

6. Bagaimanakah respon mad'u nanti?

Untuk menjawab soalan ini mari kita teliti surah seterusnya dalam juz 29 iaitu surah Al-Jinn. Surah ini pasti akan menjadikan kalian semua cemburu dan iri hati. Ini kerana para jin lebih hebat memberikan respon terhadap dakwah Nabi s.a.w. dan lebih mudah berubah berbanding manusia.
"Katakanlah : Telah diwahyukan kepada aku bahawa sekumpulan jin telah mendengar (ayat-ayat Al-Quran yang aku bacakan) lalu mereka (menceritakan kepada kaumnya dengan) berkata sesungguhnya kami telah mendengar bacaan yang mempesonakan. Yang memberi petunjuk kepada kebenaran lalu kamipun beriman dengannya maka kami tidak akan sekali-kali melakukan syirik kepada Rabb kami." (Al-Jinn: 1-2)
Jin sendiri merasa hairan mengapa manusia boleh memohon pertolongan dari jin, "Dan bahawa terdapat manusia yang meminta perlindungan dari jin lalu golongan jin itu menjadikan manusia tersebut semakin sesat". Di penghujung surah ini, disebut "Supaya jelas bahawa para rasul telah benar-benar menyampaikan risalah Rabb mereka...", seolah-olah memberitahu kita bahawa Allah mengetahui siapa yang melakukan tanggungjawab dakwah dan siapa yang enggan. Oleh itu lakukan sesuatu. Ajaklah seseorang kepada Allah.

7. Bagaimanakah saya boleh hilangkan rasa takut dan malu untuk menyeru manusia?

Surah seterusnya iatu surah Al-Muzzammil memberikan suatu senjata pendakwah untuk menaikkan semangat dan menguatkan hati, iaitu qiyamullail, sama ada ianya solat tahajjud, solat hajat, solat taubat, solat istikharah, solat tasbih, solat witir, solat tarawih atau lain-lain. Kenapa perlu qiyamullail? Kerana "Sesungguhnya Kami akan berikan kepada kamu suatu perintah yang berat." (Al-Muzzammil: 5)

Untuk memimpin manusia kepada kebenaran, kalian perlukan bekalan dan kekuatan dalaman. Inilah yang dibina melalui qiyamullail.

Kenapa pula perlu lakukan di waktu malam? Kerana "Sesungguhnya suasana malam itu lebih mendalam kesannya dan lebih berkesan bacaannya. Sesungguhnya di waktu siang engkau mempunyai urusan yang panjang."

Surah ini seterusnya memasuki kisah Firaun, "Sesungguhnya Kami utuskan kepada kamu semua seorang rasul yang menjadi saksi (bahawa risalah Islam sudah disampaikan kepada kamu) sebagaimana kami utuskan kepada Firaun seorang rasul."

Apakah erti semua ini? Ini adalah kerana Firaun itu bengis dan zalim serta ditakuti orang, dan begitu juga sesetengah orang di zaman kita. Oleh itu mohonlah bantuan Rabb dengan melakukan qiyamullail sebagai bekalan menghadapi kepayahan hidup berdepan dengan manusia dan menghadapi kerumitan tugas di waktu siang.

Surah ini menjelaskan tentang persiapan seorang da'i. Adakah perlu menuntut ilmu bertahun-tahun? Tidak. Adakah perlu tunggu hingga ada kelulusan tertentu? Tidak. Adakah perlu tunggu hingga hebat dalam bahasa Arab? Tidak. Adakah perlu itu dan ini? Tidak. Anda hanya perlu tahu tentang Allah, tahu tentang Hari Akhirat, jaga akhlak, jaga ibadat dan lakukan qiyamullail.

Perhatikan bahawa surah ini adalah surah Makkiyyah. Tetapi dalam ayat terakhir disebutkan tentang jihad sedangkan jihad adalah fokus surah Madaniyyah. Jelas ayat ini adalah untuk masa depan. Ayat ini seolah-olah mengatakan, apabila kamu semua diwajibkan berjihad kelak (di Madinah atau di mana-mana tempat) atau terlibat dengan peperangan, maka qiyamullail akan tetap menjadi bekalan utama bagimu.

8. Saya sudah tahu faham tentang Allah, faham tentang Hari Akhirat, saya jaga akhlak, saya jaga ibadah dan saya jaga qiyamullail. Apa lagi yang saya perlukan?

Untuk menjawab soalan ini mari kita lihat surah seterusnya dalam juz 29 iaitu surah Al-Muddaththir yang mana awal surah ini berbunyi, "Bangkitlah memberi peringatan."

Jika kalian sudah punya segala keperluan tadi, maka jomlah kita berdakwah. Dengan lidah atau dengan pena. Atau dengan apa saja. Kalian sudah ada bekalan iaitu qiyamullail. Kalian sudah ada model ikutan iaitu Nabi Nuh. Kalian ada akhlak seorang da'i. Kalian menjaga ibadat. Kalian tahu tentang matlamat utama dakwah iaitu menyeru kepada Allah dan Hari Akhirat. Kalian sudah ada semua ini? Kalau ya, maka kalian sudah bersedia.

Apa lagi yang ditunggu? Sayyidina Abu Bakar Al-Siddiq r.a. pada hari beliau masuk Islam membawa 6 atau 7 orang lain masuk Islam, kesemuanya tergolong dalam kalangan sahabat al-mubasysyarin bil jannah (yang dijamin syurga).
"Wahai orang yang berselimut. Bangkitlah berikan peringatan. Dan Rabbmu maka agungkanlah dia."  
'Agungkan Rabbmu' di sini bukan bermaksud bertakbir. Maksudkan ialah jadikan Allah paling agung bagi manusia. Jadikan semua di bumi ini kenal dan agungkan Allah.

9. Bagaimana jika saya enggan berdakwah?

Mari kita lihat surah seterusnya dalam juz 29 iaitu surah Al-Qiyamah. Surah ini memperkatakan tentang pertemuan dengan Allah. Sanggupkah kita bertemu dengan Allah dalam keadaan kalian enggan menjalankan perintah-Nya?
"Berkata manusia pada hari ini: Ke manakah hendak melarikan diri?" (Al-Qiyamah: 10)

"Diberitahu kepada manusia pada hari tersebut tentang apa yang dia lakukan dan apa yang dia enggan lakukan." (Al-Qiyamah: 13)

"Bahkan manusia menjadi saksi terhadap dirinya sendiri. Walaupun dia memberikan bermacam-macam alasan." (Al-Qiyamah: 14-15)
Ayat tadi seolah-olah mengatakan walaupun manusia memberikan pelbagai sebab untuk tidak berdakwah seperti sibuk dan sebagainya, hakikatnya, itu hanya sekadar alasan. Hendak seribu daya.

10. Adakah orang yang saya seru itu akan mendapat hidayah dan berubah menjadi baik?

Surah seterusnya iaitu surah Al-Insan menyebut ketentuan-ketentuan Allah terhadap manusia. Antara sifat manusia yang sudah ditentukan Allah ialah sekalipun sudah diberikan akal dan diutuskan para rasul, bukan semua akan beriman.
"Sesungguhnya Kami telah berikan petunjuk kepada manusia (melalui penggunaan akal dan melalui risalah para rasul) tidak kira samada dia orang beriman atau dia kufur." (Al-Insan: 3)
Kita diperintahkan untuk meneruskan tugas para anbiya. Adapun hidayah, maka itu urusan Allah dan kita serahkanlah ia kepada-Nya.

11. Bagaimana jika orang yang ajak itu enggan menerima dakwah saya?

Surah terakhir dalam juz 29 iaitu surah Al-Mursalat mengulang-ulang ayat "Dan nerakalah bagi orang-orang yang mendustakan (risalah)."

Surah ini seolah-olah memberikan amaran kepada sekalian manusia, sambutlah dengan baik para pendakwah, mereka melakukan tugas mulia tugas para anbiya, mengajak kepada risalah para rasul. Jika kita tidak menerima, maka "Nerakalah bagi orang-orang yang mendustakan (risalah)."

Ikhwah dan akhawat, kita tidak ingin memasuki perdebatan tentang dakwah itu fardhu 'ain atau fardhu kifayah. Yang terpenting itu adalah bahawa kita telah diberikan suatu keistimewaan, yakni kita adalah sebaik-baik umat manusia. Akan tetapi keistimewaan ini adalah bersyarat sebagaimana firman Allah s.w.t. bermaksud:
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." (Ali-Imran: 110)
Ayat ini seolah-olah memberikan syarat bahawa kita boleh kekal sebagai sebaik-baik umat selagi mana kita menyuruh perkara ma'ruf dan kita mencegah perkara mungkar dan kita beriman dengan Allah.

Wallahu'alam