Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin

04 April 2015

Da'i Umpama Air

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

Surah Qaf, 50 : 9
Surah Qaf, 50 : 9

Seorang da'i itu umpama air.

Air yang membasahi tanah kontang, lalu suburlah tanah tersebut. Dari tanah kering yang tiada apa-apa, lalu wujudlah hidupan. Begitulah da'i, membasahi dan menghidupkan hati manusia dengan nasihat dan peringatan.

Air sungai yang mengalir dari hulu ke hilir, dan sepanjang itulah setiap hidupan mendapat manfaat darinya. Begitulah da'i, sepanjang hidupnya dari awal hingga akhir usia, ia pasti memberi manfaat kepada orang sekeliling.

Air jika bertakung dan tidak mengalir, lama-kelamaan akan berbau busuk dan menjadi keruh warnanya. Begitulah da'i, jika tidak bergerak dan pegun, manakan manusia lain boleh memperoleh manfaat daripada kita.

Air jika mengalir di suatu tempat, ia mengisi ruang-ruang kosong. Begitulah da'i, di manapun ia berada, ia akan mengisi lompong-lompong yang ada dalam masyarakat sekeliling.

Air jika diisi ke dalam bekas, bentuknya akan mengikut bentuk bekas tersebut. Begitulah da'i, jika ia disusun dalam jama'ah, ia akan bertindak mengikut acuan jama'ah.

Air jika terlalu sejuk, ia membeku. Begitulah da'i, jika terlalu dibuai keselesaan, ia akan hanyut kelenaan.

Air jika terlalu panas, ia mendidih lalu hilang di udara sebagai wap. Begitulah da'i, jika terlalu diuji keperitan, ia boleh menghilang.

Belajarlah dari air. Dan jadilah umpama air.

Adakah kita umpama air?

والله أعلم
Wallahu'alam

01 April 2015

Katibah Rumah

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

Dalam membina seseorang rijal muslim sejati, Ikhwan Muslimin telah mengkhususkan beberapa wasilah tarbiyah penting yang menyokong proses pengislahan seseorang akh dan juga suasana soleh agar para mujahid dakwah terus sihat dan konsisten dalam memikul beban di sepanjang jalan dakwah.

Antara wasilah-wasilah takwin tersebut, ianya adalah katibah.

Katibah adalah wasilah berasaskan tarbiyah ruhiyah, bertujuan melembutkan hati, mencantikkan jiwa, mengembalikan jasad kepada ibadah, memelihara ukhuwah sesama ahli katibah, bermuhasabah diri, iman dan amal, dan juga membiasakan diri dengan ketaatan dan disiplin.

Dalam katibahlah para ikhwah dibina dengan adab katibah yang khusus, seperti menghadirkan niat kerana Allah s.w.t. dan redha-Nya dari awal hingga akhir katibah, sentiasa merasa dan berusaha bertaqarrub dengan Allah s.w.t., sentiasa mentadabbur dan memikirkan ayat Al-Quran dan hadits yang dibacakan sepanjang katibah, bersungguh-sungguh menunaikan kewajipan katibah, berdisiplin, tidak berlebihan dalam makan dan tidur, serta meninggalkan gurau senda dan percakapan kosong.

Dalam katibah itulah juga para ikwah didisiplinkan agar memperbanyak tilawah Al-Quran, selawat, zikir dan muhasabah, disamping bergiliran dalam berjaga (hirasah) pada tengah malam dan bangun menunaikan ibadah malam lain seperti solat sunat.

Indahnya saat melarikan diri dari kehidupan dunia yang hiruk-pikuk, lalu kembali ke sisi ikhwah yang dirindui, dan bersama-sama menghidupkan malam dengan pelbagai ibadah, dalam suasana berukhuwah yang penuh dengan mahabbah.

Ikhwah bersama-sama memperbaik hati dan fikiran, dan kembali kepada-Nya dengan memperbanyak ibadah sunat dalam katibah.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah,

Persoalannya, adakah kita ini beriltizam dan konsisten dalam meneruskan adab dan kewajipan katibah dalam kehidupan seharian kita yang diluar dari waktu katibah?

Alangkah ruginya jika kita dapat menyempurnakan satu juz tilawah Al-Quran, 500-700 kali zikir dan 4-8 rakaat solat malam hanya dalam satu malam katibah, namun tidak pula ketika waktu diluar katibah.

Ada satu hadits yang menarik untuk direnungi bersama.
Daripada Aisyah r.a., beliau berkata : "Adalah Rasulullah apabila tiba 10 malam terakhir dari Ramadan, baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya dan mengikat kainnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Lihatlah bagaimana baginda Rasulullah s.a.w. mengejutkan ahli keluarganya agar bersama-sama dengan baginda dalam menghidupkan malam dengan ibadah.

Jika dalam katibah kita saling bergiliran antara berjaga dan tidur sesama ahli katibah, mengapa tidak ketika kita di rumah keluarga bersama ahli keluarga atau di "Rumah Islam" (RI) sesama ikhwah atau akhawat, kita meneruskan tradisi hirasah katibah di rumah?

Alangkah baiknya jika tradisi baik hirasah dan nasihat dengan saling mengejutkan atau saling memperingat ahli keluarga atau ahli rumah bagi menghidupkan rumah dengan ibadah dapat diteruskan seperti mana kita komited dengannya seperti mana dalam katibah.

Moga Allah mengurniakan kita kekuatan dan hidayah agar kita dapat bermujahadah dan beriltizam dengan ibadah sunat.

والله أعلم
Wallahu'alam

04 February 2015

Menjadi Air Yang Mengalir Dan Menghidupkan

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

Sejauh manakah kita melihat kaitan antara penciptaan air dan manusia di dunia ini?

Banyak orang sukakan air kerana manfaatnya yang pelbagai. Tapi tak banyak orang yang suka menjadi 'air'.

Menjadi air?

Kata Allah s.w.t. :

Maksud : "Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati, dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi. Sungguh, tanda-tanda bagi kaum yang memikirkan." (Al-Baqarah, 2:164)

Juga dalam surah Al-An'am, ayat ke-99 :

Maksud : "Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan. Maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau, Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak, dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya pada waktu pohonnya berbuah dan kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda bagi orang-orang yang beriman."

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Alangkah indah dunia ini, jika kita ini umpama air yang mengalir.

Air yang mengalir dari hulu hinggalah ke hilir, ia akan menyuburkan tanah, lalu menumbuhkan hidupan.

Air yang suci, ia akan digunakan oleh hidupan, baik manusia mahupun binatang, untuk minuman dan juga menyucikan badan.

Air yang dingin, ia akan menyegarkan.

Begitulah air berperanan dan bermanfaat kepada seluruh penghuni dunia ini. Lalu, bagaimanakah kita, manusia sebagai khalifah yang sepatutnya memakmur dan mentadbir dunia ini dengan kebaikan dan rahmat?

Kita ini, jadilah umpama air, 'mengalir' dalam masyarakat sekeliling, mengisi ruang-ruang kosong yang ada. Kemudian, bermanfaatlah kepada setiap orang yang kita temui dan santuni, dari awal hingga akhir hidup kita. Jadilah kita makhluk yang 'suci', kemudian lagi menyucikan. Menyucikan manusia lain dari anasir-anasir jahiliyyah, kemaksiatan, kejahatan, dan kekejian.

Manusia hidupnya bagaikan air yang mengalir, bukankah itu yang sepatutnya?

Moga adik-adik ini menjadi 'air', membawa rahmat bagi sekalian alam.

 والله أعلم
Wallahu'alam

28 October 2014

Mahu Berjual Beli dan Melabur Emas?

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih

Emas di mana-mana

Kini hangat diperkatakan mengenai pembelian dan pelaburan emas. Dulunya jual beli emas hanya berlaku di kedai-kedai emas ataupun dari rumah ke rumah, namun kini ia sudahpun melata di alam siber. Dulunya konsep jual beli emas adalah sekadar "bayar dan dapat", kini konsep pembelian dan pelaburan emas sudahpun berkembang dalam banyak bentuk. Skim jual beli atau pelaburan emas secara tangguh dan diskaun, ETA (Estimated Time Arrival), dan lain-lain lagi.

Dan semua ini terjadi dek kerana semua orang juga mahu berniaga emas. Kenapa semakin banyak orang mahu berjual beli dan melabur emas? Aku tak terlalu mengetahuinya. Bagi mereka yang terlibat dengan jual beli dan pelaburan emas, mereka lebih arif.

Emas dan duit, dambaan masyarakat yang menjadi mangsa
penyelewangan ekonomi.

Cuma di sana ada beberapa perkara yang kurasakan seolah-olah, bahkan sepastinya, ada yang tidak kena dengan skim jual beli dan pelaburan emas yang menjadi ikutan dan anutan orang kebanyakan sekarang.

Aku anti skim jual beli dan pelaburan emas

Sejujurnya, aku tidak suka dan tidak redha dengan kewujudan pelbagai skim jual beli dan pelaburan emas yang bukan sahaja terang-terang menyalahi prinsip yang dibenarkan menurut Islam, bahkan juga yang syubhah (meragukan).

Dan di luar sana, banyak orang yang telah lama terlibat dalam perniagaan dan pelaburan emas dan kini sudahpun bergelar jutawan emas, mempertikai beberapa fatwa yang telah diputuskan oleh pihak berautoriti berkenaan (seperti Majlis Fatwa Kebangsaan dan Bank Negara) yang memutuskan bahawa beberapa skim perniagaan dan pelaburan yang wujud kebelakangan ini adalah tidak sah dan tidak dibenarkan. Soal mereka, "kenapa mahu menghalang kami orang Islam untuk menjadi kaya?"

Aku dan mereka yang bersetuju dengan fatwa mengharamkan perniagaan dan pelaburan yang menyalahi dan meragukan tersebut bukan kerana mencemburui mereka yang kaya-raya kerana perniagaan dan pelaburan emas mereka. Tanyalah sesiapapun, setiap orang pasti mahu kaya. Tapi mahu kaya itu, biarlah secara jalan yang dibenarkan di sisi hukum-hakam agama.

Ya, para sahabat memang hartawan dan jutawan

Alasan kebanyakan peniaga dan pelabur emas ini, juga banyak disandarkan kepada sirah para sahabat yang kebanyakannya adalah orang kaya. Diambilnya sebagai contoh ialah sahabat kaya seperti Abu Bakr, Utsman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, dan lain-lain.

Kataku, ya, memang benar. Tapi kumahu tanyakan juga beberapa persoalan. Para sahabat yang kaya-raya ini, kerana perniagaan apa? Kekayaan mereka pula, akhirnya akan ke mana?

Kalau benarlah emas dan perak itu tinggi darjatnya dalam Islam dan Nabi Muhammad s.a.w., nescaya sudah lama para sahabat menjalankan perniagaan dan pelaburan emas. Tapi hakikat tidak!

Para sahabat yang kaya berniagakan haiwan ternakan, tanaman dan pakaian. Dengan haiwan ternakan, tanaman dan pakaian ini, mereka bukan sahaja menjadi kaya untuk diri sendiri, bahkan secara langsung juga mereka telah mengangkat nilai penguasaan orang Islam dalam industri penternakan, makanan dan tekstil, iaitulah industri yang berkaitan dengan barangan kegunaan harian rakyat. Kemudian, kekayaan mereka itu dikembalikan dalam bentuk zakat, sedekah ataupun infak di jalan jihad fi sabilillah, seperti pembangunan infrastruktur dan ketenteraan, yang akhirnya kita melihat hasil kekayaan itu kembali bermanfaat bagi kemajuan masyarakat, negara dan agama.

Berbeza dengan kita yang tamak dan buta hatinya dalam menjalankan perniagaan dan pelaburan emas pada hari ini. Perniagaan dan pelaburan emas itu hanya sekadar berlegar disekitar industri emas sahaja. Andai kata industri emas dikuasai oleh orang Islam, adakah ia akan meningkatkan penguasaan dan kuasa membeli orang Islam dalam industri lain? Kufikirkan tidak.

Kemudian, berapa banyak dari kita yang membeli, menyimpan dan melabur emas ini memberi perhatian kepada hak emas? Banyak orang memberi perhatian kepada untung dan rugi dalam jual beli dan pelaburan emas, tetapi banyak orang juga terlepas pandang dalam menyempurnakan hak harta seperti kewajipan membayar zakat.

Ingatlah amaran oleh Allah s.w.t. dalam surah At-Taubah, ayat ke-34 :

"Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya."

Banyak orang menyimpan emas dan berjual beli dengannya kerana mahu mengkayakan diri sendiri, dan tidak banyak pula yang mahu mengkayakan umat Islam. Apa-apapun, bagi mereka yang terlibat dalam perniagaan dan pelaburan emas, tanyalah diri sendiri. Allah Maha Mengetahui.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Agama tidak menghalang umatnya untuk menjadi kaya. Tapi biarlah niat dan usaha kita itu bertepatan dengan kehendak syarak pada setiap ketika dan tempat. Jadilah kaya, tapi jangan lupa menunaikan kewajipan zakat, sedekah dan infak. Kayakan diri sendiri, tapi jangan lupa untuk kayakan umat Islam juga.

Moga Allah redha, amin.

p/s: Panduan dalam urusan perniagaan dan pelaburan emas oleh Majlis Fatwa Kebangsaan boleh didapati di sini.

والله أعلم
Wallahu'alam

24 October 2014

Nyalakan Lilin

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih
"Daripada anjurkan kempen sentuh anjing, baik anjurkan kempen usap anak yatim!"
Inilah antara respon yang diberikan oleh orang umum rentetan anjuran kempen I Want To Touch A Dog yang kontroversi baru-baru ini.

Selain 'saranan' di atas, tidak kurang juga ada yang menyarankan agar dianjurkan kempen menyentuh isteri, Al-Quran dan sebagainya, yang menurut mereka semua itu bahkan jauh lebih baik daripada kempen menyentuh anjing.

Tapi kemudiannya, aku tertanya pada diri sendiri.

Pihak-pihak yang menyarankan kempen-kempen 'alternatif' tersebut, adakah mereka sendiri sudahpun melaksanakannya?

Lebih baik buat itu, lebih baik buat ini, itu ini, itu ini. Persoalannya, sudahkah ia dianjurkan? Kalau belum, silalah anjurkan. Takkanlah kita mahu mencadangkan kepada Syed Azmi dan teman penganjur kempen menyentuh anjing agar mereka yang menganjurkannya pula? Kalau lain yang dibuatnya, nanti marahkan mereka pula.

Lebih baik menyalakan lilin daripada mengutuk kegelapan

Kita ini terlebih suka memerhati dan mengkritik pekerjaan orang. Tidak banyak pula yang suka melihat dirinya sendiri. Kerana itu, marilah kita merenungi kata-kata berikut :

الأفضل أن تضيء شمعة من أن يلعن الظلام

"Lebih baik menyalakan lilin daripada mengutuk kegelapan."


Mengutuk kegelapan tidak menjadikan suasana semakin terang, malah menjadikan ia suram. Memperlekeh pekerjaan seseorang tanpa membantu atau memberinya solusi, tidak menyelesaikan masalah sedia ada, malah menjadikan persaudaraan sesama manusia semakin merenggang.

Wahai ikhwah dan akhawat sekalian,

Perhebatkanlah pekerjaanmu dalam keadaan kalian mengawasi lidah dan tanganmu. Basahkan hatimu, keraskan tekadmu, kerahkan kudratmu, lalu ubatilah penyakit umat kita ini. Asyik meremeh dan mengkritik pekerjaan orang, bukan lagi tabiat para du'at.

Ubati, usah sakiti.

والله أعلم
Wallahu'alam