Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin

24 July 2013

Ikhlas dan Kerana Allah

*Disiarkan semula dari blog lama

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Al-marhum Muhammad Nur Iman Shafiq bin Abdul Rahman telah meninggal dunia pada hari Sabtu 16 Mac 2013 lalu selepas terlibat dalam suatu kemalangan jalan raya. Kepergiannya dari dunia ini sangat menyedihkan, terutamanya bagi mereka yang rapat dan mengenali sosok tubuh yang dipanggil Iman ini.

Akhu Iman Shafiq

Saya bukanlah seorang kenalan rapat al-marhum, tetapi saya pernah diizinkan oleh-Nya untuk bertemu dengan al-marhum sebanyak tiga kali. Kali pertama di KONSISTEN IKRAM 2011, keduanya pada tahun 2012 di SMS Banting dalam satu program bersama ikhwah UK, dan kali terakhir di PERSISTEN IKRAM pada tahun yang sama. Saya bersyukur, meskipun dalam perkenalan yang singkat ini, saya masih berpeluang mengambil banyak ibrah daripada qudwah hasanahnya.

Selepas kepergiannya, banyak ikhwah menceritakan kebaikan dan amal soleh al-marhum, dan mereka juga bersaksi bahawa al-marhum sesungguhnya telahpun melaksanakan kewajipan syahadatul haq menyampaikan risalah Islam kepada manusia. Ikut kata hati, saya juga mengiyakannya.

Saya berbangga akan al-marhum kerana kepergiannya diiringi oleh puji-pujian dan cerita-cerita baik tentang kebaikan diri dan amalnya. Dalam masa yang sama, saya juga mencemburuinya.

Andaikata cemburu saya terhadapnya menggerakkan saya untuk lebih kuat, bersungguh dan istiqamah di jalan D&T demi Allah, maka itulah yang saya harap-harapkan.

Akan tetapi, andaikata cemburu buta saya menggerakkan saya untuk ALL OUT di jalan ini dengan niat supaya semasa hidup atau selepas mati saya dipuji dan diangkat oleh manusia, maka itu sesuatu yang saya doakan supaya dijauhkan dari saya dan supaya hati ini dipelihara daripada penyakit-penyakit hati yang tidak baik yang boleh merosakkan amal.

Ikhwah akhawat rahimakumullah.

Marilah kita sama-sama mengambil pengajaran daripada satu hadith yang panjang yang mana Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, Rasulullah berkata bahawa orang-orang yang mula-mula diseru pada hari kiamat ialah lelaki yang membaca atau menghafaz Al-Quran, lelaki yang banyak harta dan lelaki yang terkorban dalam perang sabil.

Kepada lelaki yang membaca/menghafaz Al-Quran, Allah Ta'ala berfirman, "Tidakkah Aku ajarkan engkau apa yang Aku turunkan melalui Rasul-Ku?"

Apabila lelaki itu menjawab, "Ya, wahai Tuhanku", Allah berfirman lagi, "Apa yang engkau amalkan dengan apa yang engkau ketahui di dalam Al-Quran itu?"

Jika lelaki itu berbohong, Allah berfirman kepadanya, "Engkau dusta!". Para malaikat juga turut berkata demikian. "Engkau sebenarnya mahukan pujian orang. Sesungguhnya apa yang engkau mahu itu engkau telah dapat dan itulah ganjaran untukmu".

Kepada orang kaya pula Allah berfirman, "Tidakkah Aku kurniakan kekayaan kepada engkau sehingga engkau tidak perlukan bantuan orang lain?"

Jawab orang kaya, "Ya, wahai Tuhanku". Lalu Allah berfirman lagi, "Apakah yang engkau lakukan dengan kekayaan yang Aku kurniakan itu?"

Jika orang kaya itu menjawab, dia gunakan hartanya untuk menghubungkan silaturrahim dan bersedekah, Allah lalu berfirman dan diikuti oleh para malaikat, "Engkau berdusta! Sebenarnya engkau mahu dikatakan orang, bahawa engkau pemurah. Engkau telah memperolehi apa yang engkau mahu itu dan itulah ganjaran untukmu!"

Demikianlah juga, firman Allah kepada lelaki yang terkorban dalam perang sabil, apabila dia berbohong dengan mengatakan, "Engkau perintah kami berjihad fi sabilillah, maka aku berjihad. Dalam perang sabil aku membunuh dan akhirnya aku dibunuh".

Semoga Allah sentiasa menjaga keikhlasan kita dalam beramal. Dan sentiasalah kita mengamalkan doa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w kepada Sayyidina Ali r.a. supaya tidak lemas dalam pujian manusia: 
اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ مَا لاَيَعْلَمُوْنَ 
وَلاَ تُؤَاخِذْنِيْ بِمَا يَقُوْلُوْنَ 
وَاجْعَلْنِيْ خَيْرًا مِمَّا يَظُنُّوْنَ
"Ya Allah, ampunilah aku dari apa yang tidak mereka ketahui, dan janganlah Engkau hukum aku atas apa yang dikatakan oleh orang-orang itu, dan jadikanlah aku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan."

Moga Allah redha.

Wallahu'alam.

23 July 2013

Gantikan Dia Dengan Orang Lain!

*Disiarkan semula dari blog lama

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Di awal saingan Piala AFF Suzuki 2012, sudah banyak peminat yang mula mempertikaikan kredibiliti jurulatih negara, K. Rajagopal dan meminta dia ditukarkan. Sehinggalah pada saat kekalahan Malaysia kepada Thailand di peringkat separuh akhir, ketidakpuasan hati peminat akhirnya sampai ke kemuncak.

Rasa marah, geram dan kecewa, semuanya dilontarkan kepada Rajagopal dan pemain.

Pemain Malaysia meraikan kejayaan bersama jurulatih K. Rajagopal

Wahai saudaraku penyokong setia Harimau Malaya, pemain dan jurulatih itu memang boleh dicari ganti. Tapi pasukan Malaysia tak boleh dicari ganti, tetap akan wujud buat selamanya.

Begitulah juga dengan agama Islam kita. Penganutnya akan bersilih ganti terdiri dari pelbagai jenis bangsa, tetapi agama Islam tetap selamanya sama.

Allah menciptakan kita sebagai hamba untuk beribadah kepada-Nya, dan menjadi khalifah yang mentadbir bumi dengan agama-Nya. Sejarah lalu membuktikan bahawa setiap kaum yang menolak seruan dakwah Islam dan tidak menjadikan Islam sebagai cara hidup selepas diutuskan para rasul kepada mereka, Allah akan mengazab dan menggantikan mereka dengan kaum yang lain.

"... dan jika kamu berpaling (dari agama Allah), akan Allah gantikan satu kaum yang lain dari kamu, kemudian mereka tidak seperti kamu." (Muhammad, 47 : 38)

Begitulah peringatan daripada Allah kepada kita ummah Nabi Muhammad s.aw..

Wahai saudaraku penyokong setia Harimau Malaya, kita sibuk memekik dari luar padang meminta supaya jurulatih atau pemain digantikan bila mana mereka tidak beraksi cemerlang seperti yang kita harapkan.

Bayangkan kita yang diciptakan untuk mengabdikan diri kepada-Nya tidak 'beraksi' seperti apa yang Dia harapkan, tidak takutkah kita kalau kita akan dihukum dan digantikan dengan orang lain oleh Allah?

Ingatkah kita akan kisah iblis dihalau keluar dari syurga? Iblis dihalau keluar dari syurga hanya kerana sekali sahaja enggan patuh kepada perintah Allah supaya sujud kepada Nabi Adam a.s..

Bayangkan kita yang sudah berapa banyak kali tidak sujud kepada-Nya dan melanggar perintah-Nya, agak-agaknya nasib kita pada masa akan datang? Allah itu Maha Pengasih, maka Dia tangguhkan hukuman agar kita boleh bertaubat. Tapi sampai bila? Kita tak tahu. Hukuman Allah, bila-bila masa boleh terjadi.

Ya Allah, tetapkanlah hati-hati kami di jalan dakwah ini. Moga amal kami selama ini akan menjadi saksi dan bukti daripada kami kepada Engkau pada Hari Pengadilan kelak.

Wallahu'alam.

22 July 2013

Mana Bajet Dakwah Kita?

*Disiarkan semula dari blog lama

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Sebentar tadi PM Datuk Seri Najib telah membentangkan Bajet 2013 yang bertemakan "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat : Sebuah Janji Ditepati". Pembentangan disiarkan secara langsung oleh kebanyakan stesen penyiaran dan ia menjadi tumpuan oleh seluruh rakyat Malaysia yang selama ini mengharapkan Bajet 2013 kali ini akan memberi lebih banyak 'hadiah' kepada mereka dalam usaha mengurangkan beban kos hidup yang tinggi.



Bajet 2013 dikatakan disambut dengan reaksi positif daripada rakyat, lagi-lagi golongan belia. Antara isi Bajet 2013 yang menjadi tumpuan ialah rebat kepada belia berusia 21-30 tahun sebanyak RM200 untuk pembelian telefon pintar dan bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M) RM250 kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan bawah RM2,000.

Melihatkan respon teman-teman di laman Facebook dan Twitter, mereka sangat teruja dan banyak orang mula bercakap mengenai kemampuan memiliki gajet canggih dan terbaru, seperti iPhone 5 dan sebagainya.

Lalu terdetik hati ini, di manakah bajet untuk dakwah dan agama kita? Siapa yang mahu peruntukkannya?

Saya tidak menemukan jawapannya. Kecewa, hanya itulah perasaan saya ketika memikirkan isu Bajet 2013 yang menjadi isu perbualan buat masa ini.

Ketika manusia miskin harta dan wang, lalu kerajaan pemerintah pun menyediakan pelbagai bentuk skim bantuan kewangan. Masalah ekonomi rakyat, ada solusi-solusinya.

Ketika manusia miskin akidah, ibadah dan akhlaknya, di mana bajet untuk pemuliharaan semua itu? Solusinya ada, tapi malangnya tiada orang yang sudi melaksanakannya, tiada pula yang sudi melaburkan harta, tenaga, masa dan dirinya untuk dakwah dan agama yang mulia ini.

Kalaulah ada pihak yang menawarkan rebat RM 200 kepada seorang murabbi untuk setiap usrah yang berjaya dibentuk dan dibawa olehnya, mungkin bumi Malaysia ini akan penuh dengan murabbi dan mutarabbi yang beristiqamah dengan dakwah dan tarbiyah. Kalaulah ada pihak yang menawarkan rebat RM 1000 kepada pendakwah untuk setiap orang bukan muslim yang berjaya diislamkan olehnya, mungkin bumi Malaysia ini akan menjadi negara Islam yang rakyatnya Melayu, Cina, India dan kaum lain semuanya muslim.

Malangnya, realitinya bukan begitu!

Ikhwah akhawat rahimakumullah.

Tapi tak mengapa. Walaupun tiada siapa yang mahu 'menaja' dakwah kita ini, namun saya percaya bahawa ikhwah dan akhawat sekalianlah penaja utama dakwah suci kita ini. Kerana andalah dakwah kita bawa ini terjaga. Ingatlah pesan Pak Cik Hasan Al-Banna :
Saudara-saudara kita yang dikasihi yang memerhatikan Ikhwanul Muslimin dari jauh mungkin tertanya-tanya : Dari mana mereka memperoleh pendapatan mereka? Daripada mana mereka mendapat wang yang diperlukan oleh dakwah yang berkembang maju seperti dakwah mereka ini, sedangkan suasana sekarang begitu gawat dan manusia semuanya kedekut belaka?
Saya ingin menjawab semua persoalan mereka dengan menyatakan landasan bagi sebuah dakwah yang berteraskan agama ialah iman, kemudian barulah wang. Akidah, kemudian barulah harta benda.
Bagi seorang yang mempunyai iman yang sahih, segala kunci kejayaan ada bersamanya. Sedikit wang yang dimiliki oleh Ikhwanul Muslimin adalah hasil wang yang mereka kumpul daripada pendapatan mereka sendiri. Wang ini mereka kumpul hasil berjimat cermat ketika membeli barangan keperluan mereka, keperluan rumah dan anak-anak. Mereka serahkan dengan sepenuh hati. Malah jika boleh, mereka mahu serahkan lebih dari itu untuk jalan Allah ini. Apabila mereka tidak mampu memberikan apa-apa, mereka akan berpaling dengan air mata yang berlinangan sedih kerana tidak mampu memberikan apa-apa sumbangan.
Syukur kepada Allah dengan wang yang sedikit ini bersama iman yang agung, sudah cukup untuk mereka yang mengabdikan diri. Sumbangan ini menjadi kunci kejayaan bagi mereka yang benar-benar beramal. Allah yang memiliki segala-galanya pasti akan memberkati setiap sen wang yang dimiliki oleh Ikhwan.
"Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya." (Al-Baqarah : 276)
"Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan) dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda." ( Ar-Rum : 39)

Tak mengapa kalau tiada bajet untuk dakwah kita daripada orang lain. Sebab poket ikhwah dan akhawatlah sumber pendapatan dakwah ini. Sunduquna, juyubuna.

Wallahu'alam.

21 July 2013

Kisah Keropok

*Disiarkan semula dari blog lama

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Pagi ini merupakan pagi terakhir saya di bumi perantauan sebelum keberangkatan pulang ke tanah air dalam masa beberapa jam lagi. Bila teringatkan Terengganu, pasti akan teringatkan keropok. Bila teringatkan keropok, ada suatu hal yang mengingatkan diri ini tentang dakwah dan tarbiyyah.

Mari kita mentadabbur keropok dan bermuhasabah. Menarik kisahnya.



Keropok keping yang asalnya kering dan keras, apabila digoreng dalam minyak panas, terhasillah keropok yang haybah.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah,

Pak Mustafa Masyhur dalam bukunya Jalan Dakwah, menyebut bahawa wasilah umum dakwah tidak berubah, tidak bertukar ganti dan tidak melampaui tiga perkara ini :

  • iman 'amiq atau iman yang mendalam
  • takwin daqiq atau pembentukan yang rapi
  • amal mutawäsil atau amal yang berterusan

Walau di mana jua sekalipun marhalah aktivitisme dakwah kita, wasilah umum dalam gerak kerja kita tetap seperti apa yang dinyatakan di atas. Sirah membuktikan bahawa sinergi antara tiga wasilah yang saling berkait inilah yang menjadi asas kepada pembentukan individu, keluarga, ummah dan kerajaan Islam terdahulu yang kuat dan gemilang.

Pak Mustafa Masyhur mengingatkan kita bahawa tidak sah dan tidak benar kalau kita mengambil jalan ringkas dan tergopoh-gapah dalam memenuhi tujuan dan menyempurnakan tugas kita sebagai khalifah yang mentadbir bumi Allah ini dengan agama-Nya.

Bagi antum yang bersikap gopoh dan ingin cepat memetik buah dakwah sebelum masak, ingatlah pesanan daripada Pak Hassan ini.
"Hai ikhwanul muslimin terutama yang gopoh daripada kamu. Dengarkanlah daripadaku satu kalimah yang tinggi yang berkumandang dari atas mimbar ini di dalam muktamar umum ini. Sesungguhnya jalan kamu ini adalah yang telah digariskan langkah-langkahnya, ditentukan batas-batasnya dan aku tidak mahu melanggar batas-batas itu. Aku telah yakin dengannya. Keyakinan yang sebenar-benarnya, bahawa itulah jalan yang paling selamat untuk mencapai tujuannya.
Ya, boleh jadi ia satu jalan yang panjang, tetapi di sana tidak ada jalan lain selain itu. Sifat kelakian tidak akan lahir kecuali dengan keberanian, ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang serius dan berterusan. Barangsiapa dari kalangan kamu yang hendak cepat dan gopoh memetik buah sebelum masak atau hendak memetik hasil sebelum masanya, maka aku tidak bersama dengannya sama sekali dan lebih baik baginya meninggalkan dakwah ini dan carilah dakwah yang lain. Barangsiapa yang bersabar bersama aku sehingga berkembang dan membesar benih itu lalu tumbuh pokoknya, baik buahnya sehingga tiba waktunya untuk dipetik dan diambil, maka ganjarannya terserahlah kepada Allah semata-mata. Kita dan dia tidak boleh lari dari dua kebaikan ini. Sama ada kita menang dan berkuasa atau mati syahid dan berbahagia."

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Marilah kita bermuhasabah, duduk sebentar beriman sejenak.

Iman 'amiq, ia digoreng dan 'bertahan' dalam minyak panas.

Takwin daqiq, ia digoreng dengan penuh teliti, sehinggakan tidak hangus dan tidak pula tak cukup masak.

Amal mutawasil, ia asalnya kecut dan keras, tapi bila digoreng dengan sempurna, ianya mengembang lalu menjadi rangup dan sedap dimakan.

Setialah di jalan dakwah dan tarbiyyah ini dengan menghormati wasilah-wasilah umum dakwah ini, nescaya hasilnya sangat hebat!

Wallahu'alam.

Kosa kata :
هَيْبَةٌ / haybah = hebat
عَمِيقٌ / 'amik = dalam
مُتَوَاصِلٌ / mutawäsil = berpanjangan, berterusan

20 July 2013

Ukhuwah Pakaian Dalam

*Disiarkan semula dari blog lama

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.

Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.

Bagaimanakah anda mendefinisikan objek di bawah dalam hidup anda?



Rasanya semua orang pasti tahu bahawa ianya boxer shorts, lagi-lagi ikhwah. Barang lelaki katakan. Akhawat jangan malu-malu pula, ya.

Kenapa boxer shorts? Ada kisahnya. Bukan cerita 18SX tapi U, sesuai untuk semua orang.

Ada apa dengan boxer shorts?

Bagi lelaki, ia merupakan satu objek yang tergolong dalam barang kepunyaan peribadi yang punya privasinya yang tersendiri. Dan jangan terkejut kalau ia juga dianggap sebagai simbol maruah bagi lelaki. Ia tidak selalu menjadi subjek perbualan, tidak juga selalu menjadi bahan tontonan awam, bukan hanya dalam kalangan perempuan, bahkan sesama lelaki juga. Maka tidak hairanlah ianya satu objek yang sangat tinggi nilai privasinya. Dilarang disentuh oleh orang lain. Boxer shorts, 100% hak milik si empunya.

Begitu juga dengan ikhwah, boxer shorts ialah rahsia kehidupan mereka. Ikhwah lain termasuklah ikhwah serumah atau sebilik dengannya juga tiada hak ke atasnya. Seperti lelaki lain, jika sesuatu boxer shorts itu milik si A, maka si A itulah yang akan memakainya, membasuhnya, mengeringkannya dan akhirnya melipatkannya.

Tapi...

Jangan terkejut kalau ada sekumpulan ikhwah yang tinggal sebumbung dapat menerima hakikat bahawa pakaian dalam mereka boleh dikutip, dibasuh, disidai dan dilipat oleh ikhwah serumah. Keadaan sebegini rupa tidak boleh dilihat di semua rumah ikhwah, hanya di beberapa tempat sahaja.

Bagi saya, tanda ukhuwah sesama mereka seperti ini sangatlah dikagumi. Susah sekali hendak menemukan seorang ikhwah yang boleh 'mengizinkan' pakaian dalamnya disentuh oleh ikhwah lain, ataupun seorang ikhwah yang tanpa malu dan perasaan 'geli' boleh menyentuh pakaian dalam ikhwah lain, dari membasuhnya hinggalah menyidainya.

Inilah keindahan berukhuwah. Ukhuwah yang tersingkap disebalik pakaian dalam!

Wallahu'alam