بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih
"Alif, macam mana kamu boleh sampai di Taman You pada masanya?"
"Ikut jalan yang Tuan Murabbi beritahu. Kalau ikut signboard jalan betul-betul, insyaAllah tiada masalah sepatutnya. Ba, macam mana kamu boleh tersesat jauh pula?"
"Banyak sangat signboard, pening kepala dibuatnya. Tadi banyak kali juga keluar masuk jalan dan U-turn."
Turuti petunjuk jalan, selamat sampailah di destinasi. (Gambar hiasan semata-mata) |
Jika mahu sampai destinasi dengan selamat dan betul jalannya, maka ikutlah petunjuk jalan dengan sebaik-baiknya.
Perjalanan menuju ke syurga, begitulah juga keadaannya.
Ikut Petunjuk, Tiba Destinasi
Kata Allah s.w.t. :
"Dan Allah menyeru (manusia) ke Dar As-Salam (syurga), dan memberikan petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki ke jalan yang lurus." (Yunus, 10 : 25)
Manusia mengetahui suatu tempat yang namanya 'Syurga'. Dan seruan berlumba-lumba ke syurga itu, juga sudah sampai kepada mereka. Mereka tahu, mereka sedar.
Namun demikian, tidak semua orang akan melalui jalan yang sama sepanjang perjalanan ke Syurga. Orang yang diberikan petunjuk dan mengikut petunjuk tersebut elok-elok, nescaya sampailah ia ke destinasi Syurga dengan cepat dan selamat.
Manakala bagi orang yang tidak diberikan petunjuk atau tidak mengikuti petunjuk yang sebetulnya, maka lainlah jalan dan sukarlah perjalanan yang ditempuhi. Sama ada ia sampai lewat, ataupun langsung ia sesat.
Ikhwah dan akhawat rahimakumullah.
Kerana itu kita hendaklah sentiasa memperbaharui niat dan memperbanyak amal soleh, agar Allah memudahkan perjalanan kita Syurga, baik di dunia mahupun di akhirat.
Ada orang niatnya untuk ke Syurga, tapi tidak berfokus. Sebelum tiba di destinasi, ia terlebih dahulu singgah sini, singgah sana. Berhibur sini, bermain sana.
Ada pula orang amalnya untuk ke Syurga, tapi tidak mujahadah. Sebelum sampai di tujuan, bila tidak ketemukan petunjuk, ia menghentikan perjalanannya lalu melencong ke lain.
Mudah-mudahan dengan niat dan amal soleh kita, Allah memberikan petunjuk lalu kita menurutinya mengikut jalan yang ditinggalkan oleh para nabi dan rasul Allah.
Dunia sebagai jalan, akhirat sebagai tujuan.
والله أعلم
Wallahu'alam