بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih
Hari ini kita dapat menyaksikan fenomena Korean Wave sudah merebak hampir ke seluruh pelusuk dunia, termasuklah Malaysia sendiri. Hari ini dalam kalangan masyarakat kita, drama-drama Korea, K-pop (Korean pop) dan rancangan lain menjadi tontonan kesukaan bagi orang kebanyakan. Dan aku tidak terkecuali.
Aku ketika bersama ahli keluarga atau saudara-mara, juga turut serta melayan beberapa program televisyen Korea. Dalam banyak-banyak program televisyen itu, aku sangat tertarik dengan program realiti atau variety show. Antaranya Running Man, Happy Together, 2 Days 1 Night, Barefooted Friends, Hello Counselor, The Return of Superman, Cool Kiz On The Block dan Heart Beat.
Antara program realiti televisyen Korea. |
Rancangan-rancangan ini kebanyakannya membuatkan kita selalu berseronok dan bergelak ketawa. Inilah sebabnya orang kebanyakan menggemari untuk menontonnya. Tapi padaku, nilai gelak ketawa itu semua tidaklah seberapa sangat berbanding pengajaran atau manfaat yang boleh dikutip, serta inspirasi untuk mengaplikasinya dalam realiti kehidupan di sini.
Membandingkan rancangan-rancangan televisyen Korea tersebut dengan apa yang ada di Malaysia, jelas kita sangat jauh tertinggal di belakang. Program-program televisyen Korea bukan sekadar menghidangkan lakonan atau nyanyian semata-mata, malah syarikat-syarikat produksi turut membawa artis-artis turun padang untuk beraksi bersama rakyat biasa, baik di kota mahupun di desa. Golongan artis dididik untuk menunaikan tanggungjawab dan memainkan peranan dalam melahirkan masyarakat yang sejahtera.
Sebagai contoh, antaranya program televisyen kegemaran, iaitu Hello Counselor, Heart Beat dan Cool Kiz On The Block. Dalam Hello Counselor, masalah atau kebimbangan yang diutarakan oleh penonton terpilih akan dibualkan bersama dengan beberapa orang selebriti jemputan. Dalam Heart Beat, sekumpulan selebriti akan dilatih sebagai ahli bomba. Hidup dan bekerja sebagai ahli bomba dan penyelamat sebenar, mereka akan turut serta dalam misi menyelamat dan membantu mangsa kemalangan atau kesusahan. Manakala dalam Cool Kiz On The Block, para selebriti bersukan atas tujuan menanam kesedaran dalam kalangan rakyat Korea agar bersukan dalam usaha melahirkan masyarakat yang sihat.
Program televisyen sebegini, secara tidak langsung memberi kesedaran dan mendidik, baik bagi para penonton mahupun para selebriti itu sendiri, tentang realiti kehidupan masyarakat di luar sana. Kadang-kadang, realiti cabaran hidup yang dikongsi atau dihadapi oleh penonton dan selebriti dalam televisyen itu lebih mengejutkan berbanding apa yang disangka oleh banyak orang selama ini.
Manakala sesama selebriti, melalui pelbagai bentuk permainan, ziarah, perkelahan dan pengembaraan sepanjang rakaman program-program televisyen tersebut, mereka menjadi makin rapat dan mengenali antara satu sama lain.
Tidaklah hairanlah jika selebriti di sana diangkat sebagai ikon masyarakat. Mereka dipuji dan dipuja bukan kerana bakat nyanyian atau lakonan semata-mata, sebaliknya kerana sikap mesra dan keterlibatan mereka mengerjakan kerja-kerja sosial dan kemasyarakatan. Para selebriti, dekat pada hati rakyat Korea.
Namun jika melihat pada industri hiburan Malaysia, tidak banyak perkara yang boleh kita banggakan. Program-program realiti berunsurkan kehidupan masyarakat yang menghubungkan artis sesama artis dan artis sesama masyarakat, masih jauh ketinggalan dan sedikit bilangannya jika dibandingkan dengan program lakonan dan nyanyian. Artis kita diangkat hanya kerana bakatnya yang hebat dalam menyanyi, berlakon atau melawak. Susah sekali menemukan artis yang diangkat kerana baktinya kepada masyarakat. Sesama artis pula, ada sahaja isu kontroversi melibatkan pertelingkahan dan pertikaman lidah.
Wahai saudaraku yang dikasihi.
الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها فهو أحق بها
"Al-Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin. Maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya."
Dalam mengislahkan industri hiburan tanah air, mungkin di sana ada 'hikmah' yang boleh diketemukan dan diaplikasi, sesuai dalam konteks masyarakat di sini.
Kita mengangkat para selebriti kerana berkhidmat, bukan kerana menyemak. Daebak!
والله أعلم
Wallahua'lam