Tarbiyah & Takwin

Tarbiyah & Takwin

30 December 2013

Pesawat Terbang

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.


Jika menaiki kapal terbang, saya lebih suka berada di tempat yang dekat pada sayap. Setiap kali berada dalam pesawat, lagi-lagi ketika berada dekat pada sayap, teringat akan topik penerbangan pesawat dalam mata pelajaran fizik yang dipelajari di sekolah menengah dahulu. Anda ingat yang mana satu?

Menerbangkan pesawat


Daya tujah (thrust), dihasilkan oleh kipas atau enjin, ialah daya aerodinamik yang menolak atau menarik pesawat ke hadapan. Manakala daya aerodinamik bertentangan ialah daya geseran (drag) yang memperlahan pergerakan pesawat.

Untuk pesawat bergerak ke hadapan di udara, daya tujah mesti sama atau lebih besar berbanding daya geseran. Jika tidak, kelajuan pesawat menjadi perlahan. Maka, semakin besar daya tujah berbanding daya geseran, semakin bertambah laju pesawat terbang.

Bagi sayap pula, ia dicipta dengan bentuk khusus agar udara yang melalui di atasnya lebih laju berbanding udara bergerak di bawahnya. Berdasarkan prinsip Bernoulli, kawasan yang udaranya laju bertekanan rendah, manakala kawasan yang udaranya perlahan bertekanan tinggi. Kesannya, pesawat akan terangkat ke atas kerana daya angkat (lift) terhasil. Maka, semakin bertambah pesawat terbang, semakin bertambah daya angkat terhasil.

Diri bagai pesawat

Dalam mengharungi perjalanan hidup, diri kita ini ibarat pesawat yang terbang di udara.

Manusia perlu ada daya tujah sebagai kuasa dan sayap sebagai sokongan yang akan terus membuatkannya bergerak untuk terus hidup. Tanpa sayap yang kuat dan daya tujah yang besar berbanding tekanan dihadapinya, pesawat berisiko besar terhempas. 

Manusia, jika tidak disokong dengan sayap dan daya tujah yang mencukupi, ia takkan mampu bertahan lama dalam kehidupan yang penuh dengan cabaran dan keperitan.

Patah sayap?

Dan dalam situasi kecemasan bila mana pesawat patah satu sayapnya, posisi pesawat tidak lagi stabil dan boleh terhempas.

Namun begitu, ada satu cara untuk menyelamatkan pesawat, iaitu juruterbang mesti menerbangkan dan mendaratkan kapal terbang dengan satu sayap. Teknik ini sukar dilaksanakan, tetapi tidak mustahil.

Begitu juga manusia, bila mana berada pada saat yang sangat genting atau perit, ditambah dengan kehilangan sokongan sayap dan daya tujah, kita memerlukan kekuatan istimewa sebagai alternatif yang akan membolehkan kita untuk terus bertahan dan hidup, meskipun kita pedih dan sedih dalam kesukaran.
Maka ikhwah dan akhawat rahimakumullah sekalian, apakah sayap dan kuasa penggerak bagi kalian sendiri?

Kata Allah :
"Wahai orang-orang beriman, takutlah Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepada Allah, dan berjihadlah di jalan-Nya, agar kamu berjaya." (Surah Al-Maidah, 5 : 35)

Semoga kita menemukan jalan-jalan yang membolehkan kita mendekatkan diri kepada Allah s.w.t., serta beriltizam dan beristiqamahlah dalam mempertahankan dan memperbaiki Islam dan iman kita. Kerana semua itulah sayap dan enjin yang membolehkan kita berjalan, berjalan, dan terus berjalan, hingga tiba di penamat, sampai di matlamat.

Wallahu'alam